Jumaat, 7 September 2012

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Bapa Angkasawan Negara meninggal dunia akibat barah usus

Posted: 07 Sep 2012 04:28 AM PDT

PETALING JAYA: Datuk Sheikh Mustapha Abdul Shukor, bapa kepada Angkasawan Negara Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor, meninggal dunia di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) pukul 9.26 pagi tadi akibat barah usus.

Allahyarham berusia 77 tahun berasal dari Seremban, Negeri Sembilan meninggalkan seorang balu, Datin Zuraidah Sheikh Ahmad,67, dan empat orang anak lelaki iaitu Sheikh Ahmad Shukor, 42, Sheikh Taufik Shukor, 41, Sheikh Muszaphar Shukor, 40, dan Sheikh Arwis Shukor, 34.

Seorang lagi anak Allahyarham Sheikh Mustapha Shukor, meninggal dunia pada 2007 ketika berusia 37 tahun.

Menurut Sheikh Muszaphar, bapanya dimasukkan ke HUKM sejak sebulan lalu kerana menderita selama lima tahun akibat penyakit tersebut.


Jenazah allahyarham akan disembahyangkan di Masjid Negeri, Seremban, sebelum dikebumikan di Tanah Pekuburan Islam Haji Said, di Seremban selepas Asar.


Sheikh Muszaphar berkata sepanjang hayat bapanya, allahyarham merupakan seorang ayah yang luar biasa dalam mendidik anak-anaknya menjadi insan yang berguna.

"Ayah amat mementingkan pendidikan dari segi ilmu keagamaan dan bidang akademik serta sangat menggalakkan anak-anaknya membantu orang lain. Itu saya rasa ayah merupakan seorang yang luar biasa sehingga boleh membesarkan anak-anaknya dengan berjaya," katanya.

Beliau berkata satu kesukaran bagi dirinya dan keluarga untuk menerima kenyataan ini tetapi ia harus diterima dengan hati yang cekal.

Anak sulung allahyarham, Sheikh Ahmad berkata ayahnya tabah menghadapi penyakit walaupun berada di tahap kritikal.

"Saya sangat kagum dengan sifat ayah yang sangat kuat semangat melawan penyakitnya itu," katanya. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/07


Dua individu bawa bendera 'Sang Saka Malaya' serah diri hari ini

Posted: 07 Sep 2012 04:25 AM PDT

KUALA LUMPUR: Dua lagi individu yang dikehendaki polis membawa bendera 'Sang Saka Malaya' semasa Himpunan Janji Demokrasi pada malam Ambang Merdeka minggu lalu menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, di sini hari ini.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Perundangan) Kuala Lumpur, ACP Aziz Zakaria berkata kedua-dua individu yang masing-masing berumur 24 tahun itu ditahan polis selepas menyerah diri pada 2.30 petang tadi.

Katanya kedua-dua lelaki tersebut akan disiasat mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan dan polis akan menyiasat tindakan susulan sewajarnya yang akan dikenakan berdasarkan hasil siasatan.

"Setelah semua keterangan yang diperlukan untuk siasatan selesai direkodkan, mereka mungkin dibebaskan selewat-lewatnya malam ini dengan jaminan polis seperti mana empat individu yang menyerah diri sebelum ini," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.


Aziz berkata kedua-dua individu tersebut hadir menyerah diri bersama peguam mereka untuk membantu siasatan.


Menurutnya polis masih memburu seorang lagi wanita dan lima individu lain yang didakwa memijak gambar pemimpin negara pada malam sambutan Ambang Merdeka itu dan jumlah individu yang menyerah diri setakat petang tadi adalah lima orang. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/07


Tiada ulasan:

Catat Ulasan