Ahad, 13 Mei 2012

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


Pemandu Malaysia perlu ubah sikap: Lam Thye

Posted: 13 May 2012 02:16 AM PDT

Mutakhir

KUALA LUMPUR: Sikap pengguna jalan raya di negara ini yang tidak sabar, kelam-kabut, suka memandu laju dan menukar lorong dengan sesuka hati, perlu diubah untuk mengurangkan kemalangan.

Anggota Majlis Keselamatan Jalan Raya Kebangsaan, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata kempen keselamatan jalan raya memang perlu diadakan, tetapi ia tidak akan berhasil selagi pengguna tidak mematuhi perkara asas berkaitan keselamatan dan sikap berhemah serta tidak mengubah sikap angkuh dan tidak bertanggungjawab masing-masing ketika di jalan raya.

"Mereka sedar mengenai bahaya di jalan raya, tapi reaksi mereka berubah apabila mereka memandu, dan membahayakan nyawa sendiri serta nyawa orang lain apabila mereka menganggap jalan dan lebuh raya sebagai trek perlumbaan Formula Satu," katanya dalam kenyataan hari ini. Lee berkata, Malaysia mengalami kerugian lebih kurang RM9 bilion setahun akibat kemalangan jalan raya melalui perbelanjaan untuk membaiki kerosakan, membayar insurans dan bil perubatan.

"Kajian menunjukkan lebih separuh daripada kemalangan jalan raya membabitkan mereka yang berusia antara 18 dan 40 tahun, yang juga aset penting negara," katanya.

Lee berkata, pada 2010, 414,421 kes kemalangan jalan raya dilaporkan, berbanding 397,330 pada tahun sebelumnya, yang menunjukkan peningkatan sebanyak 4.3 peratus. Jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya pula meningkat dua peratus kepada 6,872 pada 2010 daripada 6,745 pada 2009.

Katanya, kemalangan kenderaan bermotor adalah kes tertinggi berkaitan kemalangan dan kematian berkaitan kerja.
"Masalahnya, ada orang yang tidak pernah mengambil pengajaran daripada gambar-gambar mengerikan mengenai kenderaan yang remuk, mayat, mangsa yang mengerang kesakitan dan kepiluan yang dialami keluarga mereka," katanya. - BERNAMA


F1: Hamilton langgar peraturan GP Sepanyol, bermula di petak terakhir

Posted: 13 May 2012 02:04 AM PDT

Mutakhir

BARCELONA: Pelumba McLaren Mercedes, Lewis Hamilton terpaksa bermula di petak terakhir selepas didapati melanggar peraturan Formula Satu (F1) ketika sesi kelayakan menjelang perlumbaan Grand Prix Sepanyol, hari ini.

Keputusan Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) mengakibatkan petak pertama yang menjadi milik Hamilton selepas mengungguli petak pertama dalam sesi kelayakan di Barcelona, semalam, diserahkan kepada pelumba Williams, Pastor Maldonado.

Hamilton didapati menunggu sehingga ke saat akhir sebelum mencatatkan masa kelayakan terbaik bagi memintas pencabarnya dari pasukan Williams. Bagaimanapun, pasukan McLaren mengarahkan pemandu dari Britain itu supaya menghentikan keretanya selepas ia melepasi garisan, berikutan masalah teknikal.

McLaren mendakwa pemandunya tidak mempunyai jumlah minyak yang mencukupi dan menyebabkan Hamilton terpaksa kembali ke pit.

Sementara itu, FIA memutuskan:"berikutan jumlah minyak yang diisi di dalam kereta Lewis Hamilton berada di bawah kawalan pasukan McLaren, pengawas perlumbaan menyifatkan ia tidak boleh diterima dan keputusan kelayakan Hamilton digugurkan; sebaliknya dibenarkan memulakan perlumbaan di petak terakhir. - AP


Tiada ulasan:

Catat Ulasan