Jumaat, 31 Mei 2013

Utusan Online - Utara

Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


40 pesawah rayu segera atasi bekalan air

Posted: 30 May 2013 11:40 AM PDT

Oleh ABD. RAZAK OSMAN
utusankedah@utusan.com.my

BEBERAPA orang petani menunjukkan sawah yang merekah di Kampung Sungai Pasir, Sungai Petani, Kedah semalam akibat tiada bekalan air.

SUNGAI PETANI 30 Mei - Kira-kira 40 pesawah di Kampung Sungai Pasir Jalan Batu Lintang dekat sini meminta agensi kerajaan segera mengambil langkah mengatasi masalah bendang kering kontang akibat kekurangan aliran air di sawah mereka.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, rata-rata pesawah merayu agar agensi kerajaan berkaitan seperti Jabatan Pertanian dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menyalurkan bekalan air secukupnya bagi mengelak anak padi mati akibat masalah itu.

Pesawah, Mansor Shamsuddin, 55, berkata, mereka berasa kesal dengan masalah itu kerana ia tidak sepatutnya berlaku di kawasan sawah jika ada pihak terus membuat pemantauan.

Katanya, masalah itu seperti tidak diambil berat oleh pihak berkaitan kerana ketika padi sudah ditanam dalam petak sawah, saluran air masih belum dibersihkan oleh pihak berkenaan.

"Kami menghadapi masalah ini sudah lama dan selalu mengharapkan air hujan semata-mata, petani di tempat lain terima pelbagai kemudahan tetapi petani di Sungai Pasir diabaikan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mansor berkata, walaupun petani di sini menanam padi seluas satu hektar seorang, tetapi mereka tetap gigih melakukannya untuk dijadikan sumber pendapatan.

"Kami cuma minta air dimasukkan ke dalam kawasan sawah mengikut jadual iaitu 15 Mac, tetapi sampai sekarang sawah kering kontang," katanya.

Rakannya, Fauzi Ashaari, 52, berkata, pihak kerajaan menyediakan batas ban begitu cantik malangnya air tidak dimasukkan pada waktu yang dikehendaki.

"Saya buat bendang di sini sudah hampir 15 tahun, tetapi payah hendak melihat air berada dalam salurannya, sebagai petani kami juga perlu dapat pembelaan," katanya.

Menurutnya, petani di Kampung Bukit Kecik, Komoi, Simpor, Hutan Gelam dan Tikam Batu begitu mudah mendapat bekalan air dalam sawah setiap kali musim menanam padi.

Pesawah lain, Abu Hassan Ahmad, 66, berkata, lebih banyak lagi anak padi akan mati di kawasan Sungai Pasir jika masalah itu dibiarkan berlarutan.

"Jika perlu pihak agensi pertanian dan lain-lain datang melihat sendiri masalah yang kami hadapi ketika ini," katanya.

Seorang lagi petani, Zamri Kerya, 42, berkata, walaupun sibuk dengan perniagaan kedai runcit namun dia masih berminat menanam padi.

"Sekarang banyak kawasan sawah padi tanahnya mula merekah dan yang paling sedih sistem perparitan yang disediakan oleh kerajaan seolah-olah tidak berfungsi langsung sejak dulu lagi," katanya.

Raja Perempuan Perlis ziarah pesakit di HTF

Posted: 30 May 2013 11:40 AM PDT

TUANKU Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid berkenan mengurniakan cenderamata kepada Hassan Husin sambil diperhatikan oleh Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil (kanan) di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar, Perlis, semalam.

KANGAR 30 Mei - Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid berkenan berangkat menghadiri program Lawatan Mahabbah 2013 berslogankan Raja Ditaati, Rakyat Dirahmati, Negeri Disanjungi di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar di sini, hari ini.

Pada majlis itu, baginda diiringi oleh Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Keberangkatan baginda berdua disambut oleh Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan dan Prasarana Awam, Kemajuan Luar Bandar dan Kesihatan Perlis, Jefperi Othman dan Pengarah HTF, Datuk Dr. Ahmad Noordin.

Ketika lawatan itu, Raja Perempuan Perlis dan Raja Puan Muda Perlis beramah mesra dengan para pesakit sambil mengurniakan hamper kepada mereka terlibat.

Lawatan Mahabbah ini merupakan aktiviti tahunan anjuran HTF dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs).

Program menziarahi pesakit itu diadakan sempena sambutan hari ulang tahun keputeraan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail pada 17 Mei lalu bersesuaian dengan slogan Raja dan Rakyat Berpisah Tiada.

Polis erat hubungan dengan masyarakat

Posted: 30 May 2013 11:40 AM PDT

AHMAD Ibrahim (kiri) bertanyakan sesuatu kepada seorang pesakit, Muhammad Alif Syazwan Muhammad Zambri pada Program Lawatan Ke Hospital dan Derma Darah Sempena Hari Polis di Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar, Kedah, semalam.

ALOR SETAR 30 Mei - Pelbagai aktiviti dijalankan oleh Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri untuk mewujudkan hubungan baik antara polis dan masyarakat termasuk melawat pesakit di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini hari ini.

Dalam program itu, sebanyak 130 hamper disumbangkan kepada pesakit termasuk kanak-kanak dan keluarga polis yang dirawat di hospital tersebut bersempena Peringatan Hari Polis Ke-206.

Ketua Polis negeri, Datuk Ahmad Ibrahim berkata, lawatan itu merupakan keprihatinan anggota polis terhadap masyarakat selain menjaga keamanan negara.

"Ramai pegawai polis yang hadir pada program ini, saya mahu mereka memahami, ada sifat simpati supaya apabila kita tengok orang sakit kita tahu macam mana perasaan pesakit pada masa itu.

"Selain pada hari polis, saya juga galakkan pegawai saya khususnya di Kedah untuk bagi bantuan pada pesakit dan mereka yang memerlukan bantuan," katanya selepas melakukan kunjungan di hospital itu.

Yang turut hadir, timbalan beliau, Datuk Abdul Ghafar Rajab dan Pengarah HSB, Datuk Dr. Juita Ghazalie.

Selain menyampaikan sumbangan kepada pesakit, Ahmad turut melawat kira-kira 150 anggotanya yang menderma darah bagi menampung keperluan darah di HSB.

Ahmad berkata, usaha itu merupakan salah satu keprihatinan anggota polis dalam membantu dan mewujudkan kerjasama dengan hospital.

"Ini merupakan salah satu kerjasama kita dengan hospital bagi menambah keperluan darah untuk membantu masyarakat," katanya.

0 ulasan:

Catat Ulasan