Sabtu, 18 Mei 2013

Utusan Online - Utara

Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Tingkat mutu perkhidmatan

Posted: 17 May 2013 11:58 AM PDT

Oleh ABD. RAZAK OSMAN
utusankedah@utusan.com.my

JAMALUDDIN Saad (empat dari kanan) menyampaikan replika cek RM1,000 kepada Bahdun Salleh dari Kumpulan Pro-star Penjara Alor Setar yang muncul juara Konvensyen KIK Zon Utara di Kelab Cinta Sayang Sungai Petani, Kedah semalam.

SUNGAI PETANI 17 Mei - Jabatan Penjara Malaysia (JPM) sentiasa berusaha menambah baik layanan terhadap semua banduan di 39 buah penjara di seluruh negara berdasarkan prosedur undang-undang yang ditetapkan.

Pengarah Bahagian Pengurusan Banduan JPM, Komisioner Penjara, Jamaluddin Saad berkata, banduan tidak mungkin merungut jika mereka menerima layanan baik dari segi tempat tinggal, makan minum, perubatan dan penginapan.

"Pelbagai idea baharu terus diguna pakai bagi membaiki mutu perkhidmatan di setiap penjara," katanya ketika menutup dan menyampaikan hadiah Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Peringkat Zon Utara di Kelab Cinta Sayang Sungai Petani di sini semalam.

Kira-kira 200 kakitangan penjara dari Kedah, Perlis, Perak dan Pulau Pinang menghadiri konvensyen itu.

Mengulas mengenai konvensyen tersebut, Jamaluddin berkata, banyak bahan menarik berjaya diketengahkan oleh peserta melalui pertandingan reka cipta yang diadakan dan boleh dijadikan panduan serta kegunaan pihak penjara.

Menurutnya, kerusi pengimbas pernah diperkenalkan peserta kumpulan dan telah diguna pakai oleh pihak penjara bagi memastikan banduan boleh dikesan apabila menggunakan bahan-bahan terlarang seperti dadah dan rokok.

"Malah sesetengah produk terpilih di negara ini hendak diguna pakai oleh penjara di beberapa buah negara asing termasuk Jepun, Hong Kong, Indonesia, Thailand, bagaimanapun kita belum memberi persetujuan mengenainya," kata beliau.

Dalam perkembangan lain, katanya, beliau melahirkan rasa bangga kerana JPM pada tahun lalu telah meraih kemenangan yang amat membanggakan apabila berjaya merangkul hampir keseluruhan kategori dipertandingkan pada Hari Inovasi Kementerian Dalam Negeri.

Pada pertandingan kali ini, Kumpulan Pro-Star dari Penjara Alor Setar, Kedah muncul pemenang pertama menerusi reka cipta alat keselamatan cota menewaskan sembilan pasukan lain.

Kumpulan itu menerima hadiah RM1,000 manakala tempat kedua dimenangi oleh Kumpulan Pride Penjara Pokok Sena dengan reka cipta alat pencuci makanan (RM750) manakala ketiga, Pasukan Northern King Pusat Koreksional Perlis sekali gus membawa pulang wang tunai RM500.

Karnival Kahwin-Kahwin, Pesta Makanan Tradisional Negeri Kedah 2013 kembali

Posted: 17 May 2013 11:58 AM PDT

WAN Ahmad Muazzam Wan Ismail (dua dari kanan) menyerahkan cek tajaan sebanyak 5,000 naskhah Utusan Malaysia kepada Eksekutif Jualan Utusan Melayu (M) Berhad Alor Setar, Mohd. Shukri Hamad (empat dari kiri) di Perkampungan Tradisional Gunung Keriang, Alor Setar semalam.

ALOR SETAR 17 Mei - Seri Panglima Sdn. Bhd. (SPSB) menaja 5,000 naskhah Utusan Malaysia sempena 'Karnival Kahwin-Kahwin dan Pesta Makanan Tradisional Negeri Kedah 2013' yang akan berlangsung di Perkampungan Tradisional Gunung Keriang pada 24 hingga 25 Mei ini.

Ketua Pegawai Eksekutif SPSB, Wan Ahmad Muazzam Wan Ismail berkata, karnival yang bertemakan perkahwinan dalam taman itu diadakan setelah mendapat sambutan dan sokongan menggalakkan pada tahun lepas.

Katanya, selain Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia, karnival kali ini turut mendapat kerjasama daripada kerajaan negeri Kedah dan Muzium Negeri Kedah Darul Aman.

"Penganjuran Karnival Kahwin-Kahwin dan Pesta Makanan Tradisional Negeri Kedah 2013 kali ini memberi kelainan di mana konsep perkahwinan dalam taman merupakan satu trend baharu khususnya di negeri-negeri utara Semenanjung.

"Karnival kali ini ingin menampilkan lebih kepada perkahwinan 1Malaysia dan antarabangsa," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Menurutnya, apa yang menarik, karnival itu diadakan dalam kawasan resort yang berkeluasan 24 hektar di Gunung Keriang.

Turut diadakan, pertandingan masak kawah yang akan menampilkan empat buah kampung terpilih, demonstrasi masakan, pertandingan mewarna bersama Upin dan Ipin, pertandingan andaman pengantin, pertandingan fotografi serta kugiran.

"Selain itu, pihak muzium juga akan mengadakan pertandingan memasak Master Chef," ujarnya.

Tambah Wan Ahmad Muazzam, acara kemuncak adalah majlis resepsi pasangan pengantin yang akan berkahwin dan disandingkan pada majlis tersebut yang mendapat sentuhan perunding perkahwinan terkenal iaitu Rizalman Ibrahim.

Ujarnya, sepanjang karnival yang bermula dari pukul 10 pagi hingga 10 malam itu, pengunjung akan dihiburkan oleh artis ternama tanah air seperti Black Mentor, Jay Jay dan ramai lagi serta berpeluang membawa pulang hadiah cabutan bertuah bernilai RM10,000.

Sebarang maklumat lanjut boleh melayari Facebook, Karnival Kahwin-Kahwin Kedah atau hubungi talian 04-7723838/3939.

Pejalan kaki penyumbang ketiga tertinggi kematian

Posted: 17 May 2013 11:58 AM PDT

S. JEGAN (kanan) bersama pegawainya membantu orang awam melintas jalan sempena kempen keselamatan pejalan kaki di Seberang Jaya, Pulau Pinang semalam.

PERMATANG PAUH 17 Mei - Sikap tidak mengambil berat segelintir masyarakat yang tidak menggunakan lintasan pejalan kaki menyumbang kepada statistik kemalangan dan kematian.

Malah di Pulau Pinang, golongan pejalan kaki merupakan kumpulan ketiga tertinggi dilaporkan maut dalam kemalangan jalan raya selepas penunggang motosikal dan pemandu kereta.

Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) negeri, S. Jegan berkata, sepanjang tahun lalu, sebanyak 32 daripada 401 kes kemalangan maut di Pulau Pinang melibatkan pejalan kaki.

"Pejalan kaki lebih terdedah kepada bahaya kerana mereka tidak mempunyai sebarang alat perlindungan bagi melindungi mereka sekiranya terlibat dalam kemalangan.

"Oleh itu kesedaran orang ramai amat perlu bagi menggunakan lintasan belang ketika melintas dan tidak melintas sesuka hati terutama di laluan utama seperti lebuh raya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Keselamatan Pejalan Kaki sempena Minggu Keselamatan Jalan Raya 2013 peringkat negeri di hadapan pusat beli belah Sunway Carnival di sini hari ini.

Kempen bertemakan 'Utamakan Pejalan Kaki, Anda Mampu Mengubahnya' itu diadakan bagi mendidik orang ramai terutamanya pejalan kaki agar lebih mengutamakan keselamatan dengan lebih berhati-hati semasa melintas jalan raya.

Kempen itu diadakan di seluruh negeri bermula 11 Mei lalu hingga 19 Mei ini dengan kerjasama daripada Jabatan Pengangkutan Jalan, Majlis Perbandaran Seberang Perai, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dan Institut Memandu Melati.

Selain itu katanya, jika pejalan kaki terlibat dalam kemalangan di lokasi yang bukan dikhaskan untuk pejalan kaki, mereka bukan sahaja tidak dilindungi oleh undang-undang tetapi turut tidak layak untuk menuntut sebarang pampasan insurans.

0 ulasan:

Catat Ulasan