Isnin, 20 Mei 2013

Utusan Online - Utara

Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Perkukuh perpaduan majukan Kedah

Posted: 19 May 2013 11:23 AM PDT

Oleh Sahbulah Darwi
pengarang@utusan.com.my

Mukhriz Mahathir beramah mesra dengan seorang OKU, Abdul Razak Saidin dalam Majlis Kesyukuran Kemenangan Barisan Nasional di kediaman rasmi Menteri Besar Kedah di Seri Mentaloon, Jerlun, Kedah, semalam.

JERLUN 19 Mei - Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir menyeru rakyat tanpa mengira latar belakang dan fahaman politik memperkukuhkan perpaduan serta silaturahim bagi mencapai sasaran menjadikan Kedah maju.

Setelah Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) berakhir, beliau berkata, kini tiba masanya untuk semua pihak menghulurkan tangan persahabatan terutama di antara penyokong Barisan Nasional (BN) dengan parti-parti pembangkang.

"Pelbagai polemik dan pecah belah dalam masyarakat berlaku sebelum ini kerana politik telah menjadi perkara harian yang sering dibincangkan dalam kalangan rakyat.

"Jadi saya pohon supaya letak tepi buat sementara isu politik supaya kita dapat bersama-sama pulihkan keadaan dan waktu ini kita gunakan untuk pupuk perpaduan tak kira apa juga fahaman politik," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis kesyukuran sempena kemenangan BN pada PRU-13 yang dihadiri kira-kira 5,000 penduduk di Alor Biak di sini, semalam.

Yang turut hadir, isteri Mukhriz, Datin Norzieta Zakaria; Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Othman Aziz dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Siputeh, Datuk Abu Hasan Sarif.

Mukhriz yang juga ADUN Ayer Hitam berkata, rakyat perlu melupakan sengketa yang mungkin tercetus semasa tempoh berkempen PRU-13.

"Kini masanya kita hulurkan tangan persaudaraan untuk bersatu. Negara membangun apabila rakyat majmuk pelbagai kaum bersatu dan kerajaan akan dapat menjalankan tugas dengan penuh amanah tanpa perlu bimbang apa-apa," katanya.

Beliau berkata, untuk membawa Kedah ke tahap yang sama dengan negeri maju lain, memerlukan kerjasama semua pihak bagi memudahkan projek pembangunan di negeri ini dilaksanakan.

Katanya, Kedah sudah agak lama tercicir daripada arus pembangunan negara, jadi banyak perkara perlu dilakukan bagi mencapai matlamat menjadi sebuah negeri maju seiring dengan aspirasi yang dihasratkan oleh Kerajaan Pusat.

"Saya mohon rakan-rakan daripada parti pembangkang bersama bangunkan negeri ini, kita lakukan yang terbaik dan kerjasama semua pihak amat diperlukan.

"Mungkin ada yang akan berfikir bahawa perkara ini adalah mustahil, Kedah takkan maju, kita takkan mampu majukan Kedah, tapi percayalah tidak mustahil selagi kita fikirkan inilah masanya untuk melakar masa depan yang lebih cerah," katanya.

Beliau turut memohon maaf secara terbuka kepada semua pihak sekiranya terdapat kekasaran yang dilakukan tanpa disedarinya terutama sepanjang tempoh berkempen.

Raja Muda Perlis mahu rakyat 'celik' media

Posted: 19 May 2013 11:23 AM PDT

KANGAR 19 Mei - Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mahu rakyat 'celik media' supaya mereka berupaya membuat penilaian terhadap sesuatu perkara atau isu yang dibangkitkan.

Titah baginda, masyarakat perlu menguasai teknologi terkini yang memudahkan lagi penerimaan maklumat dan berita yang merentasi faktor geografi, ruang waktu, bahasa, budaya mahupun agama.

"Kewartawanan menuntut sifat amanah, berdisiplin dan beradab. Saya pasti tiada siapa boleh menafikan peranan wartawan dan media massa dalam pembangunan dan pemodenan sesebuah negara," titah baginda.

Baginda mengutarakan perkara itu ketika bertitah merasmikan Seminar Kewartawanan Keamanan IMT-GT di kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) Arau di sini, semalam.

Turut berangkat ke majlis itu Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Seminar sehari itu diadakan sempena sambutan ulang tahun keputeraan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail yang ke-70, yang dianjurkan bersama oleh UiTM Perlis dan Kelab Media Perlis (KEMPs) dengan disertai oleh para wartawan Perlis, Thailand dan Indonesia di samping penuntut UiTM Perlis dan Shah Alam serta Universiti Utara Malaysia (UUM).

Baginda bertitah, laporan berita yang semakin pantas adalah cabaran kepada pengamal media dalam mengukuhkan etika kewartawanan apatah lagi dalam keadaan landskap politik terkini dan asas hubungan antarabangsa yang boleh dieksploitasi ke arah tidak sihat dan membimbangkan.

Raja Muda Perlis bertitah, penulisan mampu mengubah pemikiran masyarakat malah kekuatan pada ketajaman penulisan boleh menjatuhkan, membangunkan atau memporak-perandakan sesebuah negara.

"Mutakhir ini, kuasa pena sudah bertukar menjadi gabungan kuasa jari jemari dan jalur lebar yang luar biasa pantasnya dan nilai berita turut diukur daripada kepantasannya," titah baginda.

Menurut baginda, kalau dahulu berita dianggap masih baharu jika ia dilaporkan dalam tempoh 24 jam, namun pada masa ini, jika berita dilaporkan dalam tempoh dua atau tiga jam selepas peristiwa, ia sudah agak ketinggalan.

"Walaupun kepantasan menjadi kayu ukur penting, namun nasihat saya ia perlulah didasari oleh nilai kebenaran dan realisasi menyeluruh atau ketepatannya," titah Tuanku Syed Faizuddin.

Baginda mencadangkan inisiatif latihan dan pertemuan sama ada di peringkat domestik dan antarabangsa perlu dilaksanakan lebih kerap sama ada bagi tempoh jangka pendek dan jangka panjang untuk memperkasakan dunia kewartawanan.

Sementara itu, dalam forum yang dikendalikan oleh Rektor UiTM Perlis, Prof. Datuk Dr. Ahmad Redzuan Abdul Rahman sempena seminar itu, para wartawan dari tiga negara turut mengemukakan pelbagai pandangan bagi mempromosikan kawasan pertumbuhan segi tiga Indonesia, Malaysia dan Thailand (IMT-GT) iaitu gagasan yang diwujudkan pada 1993.

Yang turut hadir Pengarah Tourism Malaysia di Medan, Indonesia, Nor Asikin Haron. - BERNAMA

0 ulasan:

Catat Ulasan