Rabu, 22 Mei 2013

Utusan Online - Utara

Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


SAR, sekolah pondok diperkasa

Posted: 21 May 2013 10:54 AM PDT

Oleh SAFINA RAMLI
utusan@utusankedah.com.my

ALOR SETAR 21 Mei - Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri Kedah akan bekerjasama dalam usaha memperkasa sekolah agama rakyat (SAR) serta sekolah pondok di negeri ini menerusi penambahbaikan infrastruktur, kebajikan dan skim perkhidmatan guru.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, kerajaan komited meningkatkan sistem pembelajaran di sekolah tersebut supaya setanding dengan sekolah kerajaan.

"Kerajaan menggesa lembaga pengurusan sekolah berkenaan mendaftar dengan Kementerian Pelajaran dan Pengajian Tinggi sebagai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) bagi membolehkan pelbagai bantuan serta kemudahan disalurkan kepada mereka.

"Kerajaan bersungguh-sungguh memperkasa dan meningkatkan taraf SAR dan sekolah pondok menerusi transformasi yang terancang demi manfaat semua pihak," katanya kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir di Wisma Darul Aman, di sini semalam.

Menurutnya, bagi merealisasikan transformasi itu lembaga pengurusan perlu mendaftar sekolah mereka sebagai SABK dengan segera.

Katanya, status SABK bukan bermakna kerajaan mengambil alih sekolah sebaliknya pengurusan dan ahli jemaah masih kekal serta sekolah masih beroperasi seperti biasa termasuk menggunakan mata pelajaran sedia ada.

"Dalam hal ini masih berlaku kekeliruan dalam kalangan lembaga jemaah sekolah yang beranggapan sekolah mereka diserahkan kepada kerajaan.

"Jika mereka mendaftar sekolah dalam sistem SABK, kerajaan akan menyalurkan peruntukan untuk bangunan sekolah, kebajikan pelajar dan gaji guru yang diselaraskan sama seperti skim perkhidmatan guru di SABK," ujarnya.

Tambah Jamil Khir, terdapat SAR tidak berminat mendaftar dengan SABK atas alasan tidak mahu menggunakan mata pelajaran kebangsaan sebaliknya mahu kekal dengan mata pelajaran sedia ada.

Sementara itu, Mukhriz berkata, sekolah pondok ketika ini menghadapi masalah kemudahan yang daif dan kerajaan menyalurkan bantuan bagi mempertingkat infrastruktur tersebut demi keselesaan guru dan pelajar.

"Menerusi bantuan kerajaan masalah itu dapat diatasi dan pelajar dapat menuntut ilmu dengan selesa," katanya.

Perkhidmatan bomba perlu baik untuk tarik pelabur - Raja Perlis

Posted: 21 May 2013 10:54 AM PDT

KANGAR 21 Mei - Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail (gambar) bertitah perkhidmatan bomba yang baik perlu diwujudkan kerana amat penting dalam usaha membangunkan sesebuah kawasan terutama bagi menarik minat pelabur dari negara asing.

Titah baginda, ini kerana pelabur asing amat menitikberatkan aspek keselamatan sebelum berminat untuk melabur.

"Kebanyakan pelabur asing yang datang dari negara-negara maju mengharapkan tahap perlindungan keselamatan yang terjamin, maka penekanan terhadap keselamatan kebakaran dan pencegahan kebakaran menjadi aspek yang perlu diutamakan," titah baginda ketika merasmikan Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Perlis di sini hari ini.

Bangunan JBPM Perlis tersebut yang dibina dengan kos RM10 juta siap dibina pada 14 Mac 2010 dan mula beroperasi sepenuhnya pada 1 Ogos 2011.

Berangkat sama, Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Azlan Man, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan, Timbalannya, Datuk Halimah Mohd. Saddique dan Ketua Pengarah JBPM, Datuk Wan Mohd. Nor Ibrahim.

Baginda bertitah, ibu pejabat baharu di lokasi yang strategik iaitu kira-kira empat kilometer dari bandar Kangar dapat memberi perkhidmatan bomba yang lebih efisien kepada masyarakat di negeri ini.

"Tambahan pula perkhidmatan kebombaan merupakan keperluan asas kepada masyarakat khususnya bagi kawasan-kawasan yang mempunyai bilangan penduduk yang tinggi, kawasan perindustrian serta pusat komersial yang pesat membangun," titah baginda.

Dalam masa sama, baginda berharap anggota Bomba akan terus meningkatkan kecekapan dan kemahiran supaya dapat memberi perkhidmatan yang lebih baik dan efisien pada masa hadapan.

Selain itu, titah baginda, anggota bomba juga perlu mendekati masyarakat supaya mesej-mesej keselamatan mudah dihayati dan difahami.

Titah baginda, antara aktiviti yang boleh dilakukan untuk mendekati masyarakat adalah seperti gotong-royong, program bomba bersama masyarakat, pameran dan pendidikan, kempen kesedaran keselamatan, kebakaran dan sebagainya.

Lapor kepada Cake jika harga barang naik

Posted: 21 May 2013 10:54 AM PDT

ALOR SETAR 21 Mei - Para pengguna dinasihatkan agar segera membuat aduan kepada Persatuan Pengguna Negeri Kedah (Cake) jika terdapat sebarang kenaikan harga barangan kawalan di negeri ini.

Presiden Cake, Datuk Yusuff Ismail berkata, sehingga kini pihaknya masih belum menerima aduan mengenai kenaikan harga barang-barang kawalan di negeri ini selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) berlangsung.

Katanya, khabar angin mengenai akan berlaku kenaikan harga barang selepas PRU-13 seperti digembar-gemburkan parti pembangkang ternyata tidak benar dan pengguna tidak perlu panik dengan berita yang tidak sahih seperti itu.

"Saya ada dengar khabar angin mengatakan harga barang akan naik selepas PRU-13 namun sehingga kini harga roti, gula, minyak dan lain-lain lagi kekal seperti biasa.

"Pengguna kena bijak dan jangan mudah terpedaya dengan khabar-khabar angin yang tidak berasas begini kerana ia hanya boleh mencetuskan pembelian panik di kalangan pengguna.

"Jika ada barang naik, pengguna patut buat aduan kepada kami dengan segera kerana kita akan terus berhubung dengan pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) bagi mengesan punca kenaikan harga barang," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sebelum ini terdapat desas-desus di dalam laman sosial mengenai kenaikan harga barangan seperti roti, beras dan lain-lain lagi selepas PRU-13.

Desas-desus itu disanggah oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hasan Malek yang memberitahu bahawa ia hanyalah khabar angin yang disebarkan oleh pihak pembangkang semata-mata mahu memburukkan kerajaan yang dipilih rakyat.

Beliau juga menggesa orang ramai agar tidak mempercayai khabar angin tersebut dan pada masa sama akan bertindak terhadap peniaga yang menaikkan harga barang.

Menurut Yusuff, pihak-pihak yang mencetuskan khabar angin tersebut perlu diberi amaran agar perkara tersebut tidak lagi berulang pada masa hadapan.

"Harga barang adalah satu perkara yang sensitif dan tidak wajar dipermainkan kerana ia boleh memberi gambaran yang tidak elok kepada kerajaan.

"Pihak kami harap kerajaan akan lebih tegas dan memantau perkara ini dan jangan benarkan harga barang-barang dinaikkan sesuka hati oleh peniaga yang tidak bertanggungjawab," jelasnya.

0 ulasan:

Catat Ulasan