Selasa, 14 Mei 2013

Utusan Online - Selatan

Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Uji kebijaksanaan, kreativiti

Posted: 13 May 2013 12:22 PM PDT

Oleh FARABI SHEIKH SAID AL JABRI
utusanN9@utusan.com.my

Peserta Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kuantan meraikan kejayaan mereka sebagai johan dalam kategori Robocon.

REMBAU 13 Mei - Bidang robotik sememangnya bukanlah sesuatu yang asing buat masyarakat di negara negara ini, malah mempunyai pengikutnya tersendiri yang bergerak dalam skala kecil.

Biarpun bidang ini masih lagi di peringkat awal dan memerlukan penerokaan serta penyelidikan yang lebih meluas, namun beberapa usaha awal telah dijalankan bagi membuka luas bidang ini bagi membolehkan orang ramai turut sama dalam teknologi robotik.

Untuk itu, Cabaran Robot JTM 2013 yang dianjurkan oleh Jabatan Tenaga Manusia (JTM) dan Institut Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILJTM) merupakan salah satu cara terbaik bagi mendidik budaya inovatif dan kreatif dalam kalangan pelatih di pusat latihan berkenaan.

Ketua Pengarah JTM, Datuk Romli Hassan berkata, Cabaran Robot JTM 2013 yang dianjurkan di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Pedas itu merupakan salah satu platform bagi warga ILJTM mengasah bakat dan kreativiti dalam teknologi.

Malah katanya, penganjuran program seperti ini dilihat sebagai wadah bagi mencungkil kebolehan pelajar dalam usaha melahirkan sebahagian teknokrat yang memajukan industri di negara ini kelak.

"Malah jika diperhalusi, kerajaan juga menerusi Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) telah memperuntukkan sejumlah dana bagi tujuan meningkatkan daya saing modal insan dan menyokong pertumbuhan inovasi.

"Jadi saya merasakan pertandingan seperti ini amat bertepatan dengan hasrat kerajaan untuk memberikan pendedahan kepada warga ILJTM berkenaan teknologi robotik," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Mengulas lanjut tentang pertandingan itu, Romli menjelaskan, ini merupakan satu persediaan bagi pasukan ILJTM untuk menyertai Pertandingan Robocon peringkat kebangsaan yang dijadualkan berlangsung di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) pada 22 hingga 27 Mei ini.

Jelas beliau, sebanyak 32 ILP, lapan Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) dan Institut Teknikal Jepun-Malaysia (JMTI) menyertai program ini yang pertandingan itu didokong oleh SIRIM Malaysia dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi.

"Kita melihat penyertaan kali ini cukup menggalakkan dan percaya bahawa pertandingan seperti ini akan menarik minat semua pihak untuk menceburi bidang teknologi robotik ini.

"Pertandingan ini diadakan pertama kali di Tokyo, Jepun dan dianjurkan oleh Kesatuan Penyiaran Asia Pasifik (ABU) yang mempunyai keahlian lebih 100 badan penyiaran daripada 50 negara seluruh dunia.

"Peserta akan mereka cipta robot menggunakan teknologi dan kreativiti dalam satu pertandingan yang terbuka berdasarkan kepada tema yang dipilih dan kategori, antaranya Robocon dan RoboRumblez," katanya.

Romli berharap pertandingan yang diadakan setiap tahun ini bukan dilihat sebagai satu aspek untuk mencari kemenangan semata-mata, tetapi bertujuan menguji kebijaksanaan dan kreativiti dalam menyelesaikan misi dan visi mereka untuk mencapai sebarang objektif.

"Malah penganjuran pertandingan ini juga adalah salah satu strategi untuk melahirkan saintis dan jurutera mekanikal yang mampu bersaing bukan sahaja di peringkat tempatan, malahan antarabangsa," katanya.

Jururawat perlu dinamik hadapi cabaran semasa

Posted: 13 May 2013 12:22 PM PDT

Sebahagian jururawat bergandingan tangan semasa menyanyikan lagu jururawat sempena perasmian Hari Jururawat Peringkat Hospital Pakar Putra di Melaka, semalam.

MELAKA 13 Mei - Golongan jururawat di negeri ini digesa untuk lebih dinamik dan tidak hanya kekal pada satu tahap, sebaliknya sentiasa melakukan penambahbaikan segala kekurangan dalam perkhidmatan bagi memenuhi jangkaan pesakit yang sentiasa meningkat seiring kemajuan negara.

Ketua Menteri, Datuk Idris Haron berkata, penambahbaikan secara berterusan adalah perlu dan merupakan cabaran yang harus dihadapi kerana kaedah perubatan masa kini semakin mencabar dari segi penggunaan teknologi dan ilmu pengetahuan.

Menurutnya, para jururawat perlu meletakkan daya dinamik pada tahap paling tinggi kerana jangkaan para pesakit yang juga pelanggan boleh berubah mengikut kehendak dan suasana.

"Kita akan ketinggalan jauh ke belakang jika sentiasa bersikap pasif serta tidak minat untuk mengejar ilmu dan pengetahuan yang lebih mencabar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena perasmian Hari Jururawat Peringkat Hospital Pakar Putra, di sini hari ini.

Yang hadir sama Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah Hospital Pakar Putra, Datuk Ramlah Abas dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Radhuana Salleh.

Jelas Idris, perkhidmatan jururawat merupakan teras dan tulang belakang kepada perkhidmatan kesihatan kerana skop tugasan yang paling luas dalam organisasi.

"Jururawat adalah antara golongan barisan hadapan dalam memainkan peranan penting merealisasikan impian semua rakyat untuk mendapat penjagaan kesihatan yang optimum secara adil tanpa mengira agama, bangsa dan warna kulit serta di setiap pelosok negara," ujarnya.

0 ulasan:

Catat Ulasan