Rabu, 15 Mei 2013

Utusan Online - Pahang

Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Menyelami kehidupan etnik pedalaman

Posted: 15 May 2013 01:21 PM PDT

Oleh HARIS FADILAH AHMAD
utusanktn@gmail.com

S.K. Devamany (kiri) bersama rombongan penuntut ASEAN melihat kualiti air selepas memasang penapis di kepala paip di sebuah rumah Orang Asli di Pos Pantos, Kuala Lipis, baru-baru ini. - utusan/HARIS FADILAH AHMAD

KUALA LIPIS 15 Mei - Berkunjung ke sesebuah negara yang mempunyai kelainan etnik dan resam hidup adalah antara pengalaman unik yang dikongsi pelancong asing dari negara-negara ASEAN.

Selain itu, perkongsian intelektual dan kepakaran dalam kalangan pelancong terbabit dapat dizahirkan menerusi kegiatan kemanusiaan dan sukarelawan membabitkan kaum etnik di pedalaman negeri ini.

Pengalaman itu turut dikongsi sebanyak 40 penuntut daripada universiti dan politeknik empat negara ASEAN iaitu Malaysia, Singapura, Thailand dan Myanmar menerusi program inap desa dan kerja kesukarelaan di Kampung Orang Asli Pos Pantos di sini baru-baru ini.

Program itu turut disertai sebanyak 10 penuntut tempatan daripada Universiti Tekonologi Malaysia (UTM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Selangor (Unisel) yang bertindak sebagai sukarelawan.

Dikendalikan Yayasan Antarabangsa Singapura (YAS), program itu bertujuan merapatkan hubungan persaudaraan antara penuntut negara ASEAN menerusi bidang akademik berkaitan pembangunan teknologi pengurusan air, alam sekitar dan keusahawanan.

Lawatan mereka diselenggarakan sukarelawan Majlis Belia Malaysia (MBM) yang juga menjadi tuan rumah pakej program inap desa Kuala Medang serta lawatan sehari ke Pos Pantos di pedalaman Jelai.

Yang hadir sama, bekas Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk S.K. Devamany, Exco MBM, Ahmad Daniar Ismail dan Penolong Pengarah Komunikasi Korporat YAS, Priscilla Teo.

Kunjungan ke Kampung Orang Asli Pos Pantos meninggalkan kesan kepada penuntut berkenaan kerana berpeluang mendalami cara hidup masyarakat Orang Asli Semai iaitu memasak nasi dan ubi kayu dalam buluh dan memasak ikan kering menggunakan daun.

Priscilla ketika ditemui Utusan Malaysia berkata, program itu dapat menjalin hubungan kerjasama budaya dan teknologi antara penuntut negara ASEAN yang bergabung di bawah kegiatan sukarelawan anjuran YAS.

"Lawatan ini menjurus kepada kegiatan sukarela dalam membantu penduduk pedalaman di sini mengurus serta merawat air bersih secara betul dan menggunakan peralatan murah sekali gus memacu taraf kesihatan yang baik dalam kalangan penduduk Orang Asli di sini.

"Kita mengaplikasi bidang teknologi berasaskan rawatan air bersih kerana penduduk pedalaman ASEAN kini berhadapan dengan ancaman global khususnya usaha membaiki taraf kesihatan dan alam sekitar," katanya.

Menurutnya, semasa kunjungan ke rumah Orang Asli berkenaan, ahli rombongan terbabit memasang penapis di kepala paip untuk membolehkan penghuni berkenaan memperoleh air bersih bagi keperluan minuman dan masakan.

Tambahnya, menerusi pakej lawatan Program Inap Desa Kuala Medang, para penuntut berpeluang mengenali pelbagai adat resam etnik Semai termasuk penduduk Melayu Pahang di pesisiran Sungai Jelai.

"Lawatan itu amat berguna kepada penuntut yang turut merasai pengalaman seperti menyumpit, memasak nasi dan ubi kayu dalam buluh termasuk mencuba menyalai ikan menggunakan kaedah tradisional," katanya.

Sementara itu, katanya, majlis suai kenal dan program Kenali Orang Asli Pantos turut diadakan bersama penuntut dengan penduduk terbabit yang dihadiri Devamany.

Menurut Devamany, lawatan penuntut universiti daripada beberapa negara ASEAN menerusi program berkenaan dapat mendekatkan hubungan diplomatik menerusi pendidikan, kesihatan, kebudayaan dan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

"Kerajaan berterima kasih kepada Kedutaan Singapura yang menguruskan lawatan sukarelawan YAS kerana dapat menjalin hubungan erat dengan negara jiran ini khususnya sesama penuntut berkenaan," ujarnya.

Beliau berkata, pemilihan Pos Pantos adalah tepat kerana destinasi berkenaan mempunyai pelbagai aset budaya serta kesenian yang belum tercemar dan perlu diketengahkan kepada pelawat antarabangsa.

Dalam pada itu, Ahmad Daniar berkata, program berkenaan merupakan kolaborasi antara MBM dengan YAS bertujuan menerapkan kesedaran dan perkongsian bijak dalam kalangan penuntut antarabangsa.

"Sebagai sukarelawan, MBM mendidik penuntut terbabit melaksanakan kerangka hubungan antarabangsa dengan penuntut negara lain khususnya berkongsi pengalaman serta kemahiran sesuatu bidang pengajian," katanya.

Hapus saki baki kemiskinan

Posted: 15 May 2013 01:21 PM PDT

Oleh HARIS FADILAH AHMAD
utusanpahang@utusan.com.my

JERANTUT 15 Mei - Kerajaan negeri mempunyai strategi yang tersusun bagi membangunkan kampung-kampung tradisional di pinggir Sungai Pahang dan Sungai Tembeling di daerah ini untuk dimajukan menerusi sektor pertanian dan pelancongan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tawar, Datuk Dr. Ahmad Shukri Ismail berkata, langkah ini bertujuan membantu mengubah kehidupan penduduk yang berpendapatan rendah dan menghapuskan saki baki kemiskinan berasaskan transformasi pembangunan bidang tertentu.

Beliau berkata, agensi seperti Felcra, Jabatan Pertanian dan Jabatan Perikanan akan membantu penduduk yang mempunyai tanah terbiar untuk melaksanakan projek perladangan getah, kelapa sawit, tanaman kontan dan ternakan ikan air tawar bagi menambah pendapatan mereka.

"Selain bagi meningkatkan pendapatan penduduk, pada masa sama kita mahu menarik golongan belia kembali ke kampung masing-masing," katanya kepada pemberita selepas menziarah warga emas dan pesakit kronik, di Kampung Kedondong, Pulau Tawar, dekat sini baru-baru ini.

Menurut beliau, kerajaan menyediakan kemudahan asas di kampung tradisional di pinggir sungai berkenaan dengan membina jalan raya dan jeti untuk keselesaan petani memunggah hasil kampung ke bandar Jerantut dan tempat pengumpulan hasil pertanian.

"Tanggungjawab sosial kerajaan BN telah diterjemahkan sejak sebelum dan selepas pilihan raya umum yang lepas dengan membina banyak projek kemudahan asas membabitkan kos yang tinggi di kampung-kampung tradisional," ujarnya.

Justeru, kata Ahmad Shukri, usaha itu akan diteruskan berasaskan Aku Janji Barisan Nasional (BN) setelah rakyat memberi mandat sekali lagi kepada BN untuk meneruskan pemerintahan negeri ini.

"Usaha murni kerajaan BN negeri menerusi pelbagai program telah terbukti apabila kemiskinan tegar berjaya dikurangkan sehingga tiga peratus sahaja sejak dua tahun lepas.

"Bagi DUN Pulau Tawar, Projek Perumahan Masyarakat Setempat (PPMS) di Bukit Rang di sini iaitu penempatan sebanyak 100 keluarga miskin telah terbukti mengubah pendapatan peserta dan kini mereka bebas daripada belenggu berkenaan," katanya.

Beliau berkata, kerajaan BN juga telah merancang membahagikan lot tanah di Bukit Rang dan kampung tradisional lain untuk belia berkeluarga membina rumah dan memudahkan mereka menumpukan perhatian kepada bidang pertanian dan usahawan sebagai sumber pendapatan.

Tambahnya, usaha membina penempatan setempat untuk Orang Asli di DUN Pulau Tawar telah dan akan dilaksanakan oleh kerajaan di samping membabitkan penyertaan aktif golongan minoriti di sini dalam sektor pertanian dan pendidikan.

Kerajaan serius laksana pembangunan

Posted: 15 May 2013 01:21 PM PDT

KUALA KRAU 15 Mei - Pembangunan pesat di kawasan Parlimen Kuala Krau di sini membuktikan kerajaan serius dalam melaksanakan projek pembangunan seimbang dan menepati keperluan rakyat.

Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Ismail Mohamed Said (gambar) berkata, kawasan Parlimen itu berjaya menampakkan pembangunan selari dengan kepesatan negara.

Menurut beliau, Pekan Kuala Krau dan Bandar Tun Abdul Razak Jengka yang terletak di dalam kawasan Parlimen itu menunjukan arah aliran pembangunan memberangsangkan berikutan kewujudan jambatanKuala Krau yang menyeberangi Sungai Pahang.

"Pembangunan yang dilaksanakan di kawasan penempatan kampung tradisional, pekan, tanah rancangan Felda, ladang dan perkampungan Orang Asli semakin memberangsangkan hasil perancangan jitu kerajaan Barisan Nasional (BN)," katanya di sini baru-baru ini.

Jelasnya, projek pembangunan bernilai lebih RM250 juta di Bandar Tun Abdul Razak sedang dilaksanakan seperti Stadium Jengka, Kompleks Terminal Pengangkutan Bersepadu, masjid baharu Jengka dan lain-lain.

Katanya, kewujudan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Jengka Pahang di Bandar Tun Abdul Razak menambahkan lagi variasi dan keindahan kawasan Parlimen Kuala Krau.

"Wakil rakyat daripada BN telah membuktikan komitmen dan kesungguhan luar biasa berkhidmat untuk rakyat dengan pelbagai program sejak lima tahun lalu," katanya.

0 ulasan:

Catat Ulasan