Khamis, 16 Mei 2013

Utusan Online - Pahang

Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


10 Exco Pahang angkat sumpah

Posted: 16 May 2013 11:38 AM PDT

Oleh MOHD. SHOFI MAT ISA dan SHAHRINNAHAR LATIB
utusanpahang@utusan.com.my

Adnan Yaakob bersama sebahagian Exco Pahang yang baharu dilantik pada majlis mengangkat sumpah di Istana Abu Bakar, di Pekan, semalam.

PEKAN 16 Mei - Sepuluh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Pahang hari ini mengangkat sumpah jawatan dan menerima tauliah pelantikan sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang baharu.

Upacara mengangkat sumpah dan menandatangani surat sumpah Exco berkenaan berlangsung di hadapan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah di Istana Abu Bakar di sini pada pukul 11 pagi.

Istiadat berkenaan menyaksikan bekas Exco pada penggal 2004-2008 yang merupakan ADUN Dong, Datuk Shahiruddin Ab. Moin kembali dilantik pada penggal kali ini.

Empat muka lama pada penggal lalu yang dilantik semula ialah ADUN Lanchang, Datuk Mohd. Sharkar Shamsudin; Datuk Ir. Mohd. Soffi Abdul Razak (Benta); Datuk Wan Rosdy Wan Ismail (Jelai) dan Datuk Shafik Fauzan Sharif (Inderapura).

Lima lagi yang dilantik adalah muka baharu iaitu ADUN Chini, Datuk Abu Bakar Harun; Datuk Mohd. Johari Hussain (Tioman); Norol Azali Sulaiman (Guai); Datuk Shahaniza Shamsuddin (Kuala Sentul) dan Syed Ibrahim Syed Ahmad (Kerdau).

Yang berangkat sama ialah Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah.

Yang turut menyaksikan istiadat tersebut Datuk Seri Adnan Yaakob yang mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Pahang buat penggal keempat, pada 9 Mei lalu dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail.

Dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), BN memenangi 30 daripada 42 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sekali gus membentuk kerajaan negeri dengan majoriti dua pertiga.

Dua Exco pada penggal lalu iaitu Datuk Ishak Muhamad dan Datuk Mohamad Sahfri Ab. Aziz tidak bertanding dalam PRU-13, manakala dua lagi bekas Exco iaitu Datuk Wan Adnan Wan Mamat dan Datuk Hoh Khai Mun pula bertanding di kerusi Parlimen.

Seorang lagi Exco penggal lalu yang juga ADUN Cheka, Datuk Fong Koong Fuee pula berpegang kepada pendirian pucuk pimpinan MCA untuk tidak menerima sebarang jawatan di peringkat Persekutuan atau negeri.

Sementara itu, Adnan ketika ditemui pemberita kemudiannya memaklumkan portfolio yang akan dipegang oleh setiap Exco hanya akan diumumkan Isnin ini bagi memastikan selaras dengan barisan Kabinet di peringkat Kerajaan Persekutuan.

Menurutnya, pada masa ini, beliau telah menyenaraikan 33 jawatankuasa yang berkaitan untuk dipegang oleh 10 Exco yang baharu dilantik hari ini.

"Portfolio yang akan diwujudkan mungkin tidak akan sama seperti sebelum ini kerana akan disusun semula mengikut Kabinet Persekutuan yang diumumkan semalam.

"Saya sendiri mungkin akan memegang portfolio antaranya seperti Jawatankuasa Khas Perpaduan dan Jawatankuasa Hal Ehwal Orang Asli," katanya.

Jelasnya, pada Isnin ini juga beliau akan mengadakan mesyuarat dengan anggota Exco untuk membincangkan mengenai perubahan yang akan dilaksanakan oleh kerajaan negeri.

Sementara itu, mengenai ketiadaan wakil MCA di dalam barisan Exco, Adnan berkata, itu adalah keputusan MCA sendiri yang tidak mahu menerima sebarang jawatan di dalam kerajaan negeri.

"Saya sudah bagi tahu dari awal, MCA jangan kalah, kalau kalah nanti tidak ada wakil dalam kerajaan negeri.

"Bagaimanapun, saya telah tubuhkan Jawatankuasa Khas Perpaduan yang khusus untuk membantu masyarakat Cina di negeri ini dan akan dipengerusikan sendiri oleh saya," katanya.

Adnan berkata, beliau tidak mahu masyarakat Cina salah sangka terhadap penubuhan jawatankuasa ini kerana ia ditubuhkan bukan bersifat kelas kedua tetapi mahu membantu kaum itu.

72 unit komputer judi dirampas

Posted: 16 May 2013 11:38 AM PDT

TEMERLOH 16 Mei - Polis daerah ini merampas sebanyak 72 unit komputer dan peralatan yang dipercayai digunakan untuk tujuan perjudian serta wang tunai berjumlah RM535 dalam tiga serbuan berasingan pada Isnin lalu dan semalam.

Dalam serbuan itu, polis turut menahan tiga penjaga premis dan 13 pelanggan.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, dalam serbuan pertama pukul 12.30 tengah malam, polis menyerbu dua buah premis di Taman Rimba dan merampas 32 unit komputer serta pelbagai peralatan serta wang tunai RM350.

"Dalam serbuan kedua, pukul 11 malam di sebuah premis di taman Perindustrian Mentakab, semalam, polis merampas 40 unit komputer dan peralatannya serta wang tunai berjumlah RM185. Polis turut menahan seorang penjaga dan 11 pelanggan," katanya di sini hari ini.

Beliau seterusnya berkata, kesemua penjaga yang ditahan akan didakwa di bawah Seksyen 4B(A) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 yang boleh dikenakan denda tidak kurang dari RM10,000 dan tidak lebih RM100,000 bagi setiap mesin judi yang dirampas.

Menurut beliau, mengikut Seksyen 4(1)(B) Enakmen Hiburan 1993 mereka disabitkan kesalahan akan didenda tidak kurang daripada RM10,000 tetapi tidak lebih daripada RM50,000 atau penjara selama tidak lebih lima tahun atau kedua-dua sekali.

Turunkan bahan kempen

Posted: 16 May 2013 11:38 AM PDT

PRIHATIN PAHANG
Kuantan

Saudara Pengarang,

PILIHAN Raya Umum Ke-13 (PRU-13) telah lama berlalu, namun apa yang dikesali ialah bahan kempen parti-parti politik masih ada yang belum diturunkan di sebahagian tempat di negeri ini.

Walaupun sebahagian besar sudah diturunkan namun peliknya, mengapa masih ada yang berdegil untuk tidak menurunkan bahan ini secepat mungkin.

Benar tempoh akhir menurunkan bahan kempen yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) adalah pada Ahad ini tetapi saya percaya perkara ini boleh dilakukan lebih awal.

Kegagalan menurunkan bahan kempen hanyalah mencacatkan pemandangan apatah lagi ada papan kempen misalnya yang senget menunggu masa menyembah bumi.

Malah ada bendera parti politik yang dipasang di jambatan tertentu sudah 'rebah' akibat dipukul angin sehingga membahayakan lalu lintas terutama penunggang motosikal.

Diharapkan pihak berkuasa tempatan (PBT) dapat bertindak tegas memastikan parti politik terlibat dapat menurunkan bahan kempen mereka dalam tempoh masa yang ditetapkan pada Ahad ini.

Jika ada yang masih gagal mematuhi peraturan dalam tempoh itu, maka elok benar deposit calon mereka ditarik balik agar menjadi pengajaran kepada semua pihak.

Jangan hanya pandai memasang bahan kempen tetapi kemudian dibiarkan seolah-olah tiada pihak bertanggungjawab.

0 ulasan:

Catat Ulasan