Isnin, 13 Mei 2013

Utusan Online - Pahang

Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Kuala Lipis bakal miliki IPT

Posted: 13 May 2013 12:22 PM PDT

Oleh Ali Mahmood
utusanktn@gmail.com

KUALA LIPIS 13 Mei - Kerajaan negeri merizabkan tanah seluas 400 hektar di Benta di sini bagi pembinaan sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) yang menawarkan kursus kejuruteraan perlombongan dengan kerjasama beberapa universiti dari luar negara.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benta, Datuk Ir. Mohd. Soffi Abdul Razak (gambar) berkata, pemilihan Dewan Undangan Negeri (DUN) Benta sebagai tapak IPT itu berikutan daerah ini merupakan kawasan perlombongan yang kaya dengan kandungan mineral seperti bijih besi dan emas.

Menurutnya, ketika ini terdapat dua lombong emas di Empang Jalil yang dikendalikan sebuah syarikat dari Indonesia, J. Resources dan di Selinsing pula diuruskan oleh syarikat dari Kanada.

"Syarikat J. Resources bersedia menjadi penggerak utama penubuhan IPT itu dengan kerjasama universiti luar negara.

"Kita menyediakan tanah 400 hektar untuk pembinaan IPT tersebut dan diharap memberikan limpahan ekonomi kepada penduduk di sekitar kawasan ini," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Mohd. Soffi berkata, beliau berharap penubuhan institusi itu nanti bukan sahaja merancakkan lagi industri perlombongan tetapi turut memberikan manfaat kepada penduduk tempatan.

Tambahnya, sudah tentu apabila sesuatu IPT dibuka, maka peluang pekerjaan dan ekonomi turut terbentang luas kepada masyarakat di sini.

Dalam pada itu, beliau yakin daerah ini akan terus membangun apabila Jalan Lingkaran Tengah (CSR) dari Simpang Pelangai, Bentong ke Kuala Krai yang kini dalam pembinaan siap mengikut jadual.

Pengorbanan ibu dihargai

Posted: 13 May 2013 12:22 PM PDT

Oleh SHAHRINNAHAR LATIB
nahar.latib@utusan.com.my

Siti Rukiyan Arshad memeluk ibunya, Saudah Nayan yang turut menerima bunga sempena Hari Ibu di HTAA, Kuantan, kelmarin.

KUANTAN 13 Mei - Kasih ibu membawa ke syurga, itulah ungkapan yang sering kita dengar berkaitan dengan kasihnya individu yang melahirkan kita.

Tiada lebih berharga dan tinggi nilainya melainkan curahan kasih sayang seorang insan yang bergelar ibu.

Walau apa sekalipun panggilan kita kepada insan istimewa ini sama ada emak, mama, bonda atau umi, budi mereka dalam membelai kita tiada bandingan dan penghujungnya.

Malah, kasih sayang mereka tidak pernah bersempadan walau siapa kita sekalipun.

Insan suci ini tidak pernah membezakan anak-anaknya walaupun ada dalam kalangan cahaya mata tidak pernah menggembirakan hati mereka.

Kasihnya yang setinggi gunung tidak pernah terhakis walaupun seinci biarpun seribu kesilapan yang dilakukan anak-anak terhadapnya.

Tidak kira manusia atau haiwan, spesies keturunan, kaum mahupun agama kepercayaan, naluri keibuan adalah asli, lahir secara semula jadi tanpa sebarang paksaan.

Mungkin bersempena dengan kasihnya ibu yang tiada batasan, Hari Ibu disambut oleh lapisan masyarakat di seluruh dunia.

Atas dasar itulah, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) negeri mengambil inisiatif mengedarkan bunga kepada pesakit wanita di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) sempena sambutan Hari Ibu.

Sebanyak 300 kuntum bunga ros diedarkan di Wad Bersalin dan Wad Wanita hospital berkenaan sebagai penghargaan kepada para ibu atas pengorbanan membesarkan anak mereka.

Pemangku Pengarah LPPKN Pahang, Siti Asmad Zakarni berkata, program ini bertujuan memberikan penghargaan kepada para ibu atas jasa yang tidak ternilai kepada keluarga masing-masing.

Katanya, pendekatan tersebut dibuat kerana bunga melambangkan sanjungan kepada kaum ibu yang secara langsung atau tidak langsung telah berjasa kepada kemajuan negara dengan mendidik anak-anak mereka sehingga berjaya.

"Mereka bukan setakat memainkan peranan di peringkat keluarga, malah dalam bidang pendidikan dan dunia pekerjaan seiring dengan golongan bapa sejak merdeka lagi," katanya ketika ditemui semalam.

Menurut beliau, sebanyak 24 orang terlibat dalam aktiviti itu yang turut membabitkan agensi seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri dan Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) Pahang.

"Dengan pemberian bunga ini diharap kesakitan para pesakit wanita yang sedang dirawat di HTAA dapat dikurangkan," katanya.

Sementara itu seorang pesakit, Saudah Nayan, 57, melahirkan rasa gembira kerana ini merupakan pertama kali menerima penghargaan ketika meraikan Hari Ibu.

"Setiap penghargaan yang diterima merupakan satu perangsang untuk saya sembuh daripada penyakit ini demi masa depan anak-anak dan keluarga.

"Dahulu sambutan Hari Ibu seakan tidak membawa apa-apa erti kepada masyarakat dan ada kalanya tidak dipedulikan, namun perkembangan ini membuatkan saya rasa gembira dan berharap dapat diteruskan pada masa depan," katanya.

Katanya, sebagai seorang ibu, dia tidak pernah meminta sebarang balasan terhadap sumbangan yang telah dilakukan untuk membesarkan anak-anak.

Bagi anaknya, Siti Rukiyan Arshad, 24, berkata, dia gembira kerana ada pihak yang sanggup datang melawat ibunya untuk meraikan Hari Ibu.

"Memang saya sedih melihat keadaan ibu saya yang sakit buah pinggang, namun dengan kedatangan mereka ini mengurangkan sedikit kesedihan tersebut.

"Terima kasih kepada LPPKN kerana sudi memberikan bunga kepada ibu sempena Hari Ibu ini. Ini secara tidak langsung dapat meringankan beban kesakitan yang dialami beliau," katanya.

Ibu bapa perlu beri layanan adil kepada anak-anak - Adnan

Posted: 13 May 2013 12:22 PM PDT

Adnan Yaakob bergambar bersama pelajar, ibu bapa serta kakitangan Felda dalam Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang PMR dan SPM 2012 Wilayah Mempaga di Dewan Orang Ramai Felda Kemasul, Bentong, semalam.

BENTONG 13 Mei - Ibu bapa perlu memberikan layanan yang adil dalam pendidikan dan tidak membezakan kasih sayang terhadap anak-anak supaya dapat membentuk mereka sebagai manusia serta modal insan berguna kepada agama, bangsa dan negara.

Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, setiap anak mempunyai kelebihan serta kekurangan dalam diri masing-masing walaupun ada antara mereka yang cemerlang dalam akademik dan sebaliknya.

Katanya, dalam keghairahan ibu bapa memberikan pendidikan terbaik, mereka jangan mengabaikan nasib anak yang kurang berjaya dalam akademik.

"Memang kalau boleh kita semua mahu anak-anak kita cemerlang dalam akademik supaya menjadi insan berkelulusan tinggi tetapi kecemerlangan itu belum pasti menjamin mereka terdidik sehingga menjadi insan berguna.

"Kepada para pelajar pula, saya ingin nasihatkan jangan terlalu mengejar kecemerlangan sehingga jasa ibu bapa dan guru termasuk kerajaan yang selama ini membantu serta menyokong mereka sehingga berjaya seperti hari ini," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2012 Wilayah Mempaga di Dewan Orang Ramai Felda Kemasul di sini semalam.

Dalam majlis itu, seramai 128 pelajar terdiri daripada anak-anak dan cucu peneroka Felda Wilayah Mempaga menerima sijil penghargaan kecemerlangan daripada pengurusan Felda.

Menurut Adnan, pelajar yang kurang cemerlang akademik juga boleh dilatih sebagai modal insan dalam bidang kemahiran sehingga mampu melahirkan mereka sebagai pekerja terlatih pada masa depan.

Katanya, kejayaan di peringkat PMR dan SPM hanya merupakan jambatan sebelum menempuh pembelajaran lebih mencabar di peringkat institut pengajian tinggi.

"Saya berharap pelajar cemerlang perlu belajar dan berjaya secara konsisten sehingga berjaya memperoleh kelulusan di peringkat ijazah dan Doktor Falsafah (Ph.D)," ujarnya.

0 ulasan:

Catat Ulasan