Jumaat, 31 Mei 2013

Utusan Online - Pahang

Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Bimbang ancaman gajah liar

Posted: 31 May 2013 12:05 PM PDT

Oleh M.RIZAL NOR
utusanktn@gmail.com

BEBERAPA penduduk membaiki saluran paip air yang rosak dipercayai dilakukan sekumpulan gajah liar di kawasan tadahan air Sungai Tabong, Kuala Tahan, Pahang, baru-baru ini.

JERANTUT 31 Mei - Penduduk di sekitar Kuala Tahan di sini, bimbang selepas kumpulan gajah liar kerap masuk ke kawasan perkampungan dan kebun mereka ekoran banyak habitatnya musnah dipercayai akibat aktiviti penebangan hutan.

Penduduk, Abdul Jalil Abd. Rahman, 53, berkata, kumpulan gajah berkenaan masuk ke kawasan perkampungan dan kebun penduduk untuk mencari makanan.

Menurutnya, banyak kerosakan berlaku seperti tanaman, papan tanda di bahu jalan dan paip air pecah disebabkan gajah tersebut.

"Kami baru sahaja mengadakan gotong-royong membaiki saluran paip air di kawasan tadahan air Sungai Tabong yang dirosakkan gajah liar itu.

"Kini banyak gajah liar kerap masuk ke kebun penduduk untuk mencari makanan dan jika dibiarkan berterusan, penduduk akan mengalami kerugian kerana banyak tanaman rosak berikutan masalah itu," katanya kepada pemberita di sini baru-baru ini.

Abdul Jalil berkata, selain itu tong tempat pengumpulan getah di ladang turut dimusnahkan dan penduduk juga bimbang menjalankan aktiviti menoreh ekoran ancaman haiwan tersebut.

"Tidak mustahil suatu hari nanti gajah liar ini boleh masuk ke kawasan penempatan penduduk untuk mencari makanan dan perkara tidak diingini boleh berlaku kerana gajah keluar pada waktu malam ketika penduduk lena tidur," katanya.

Sehubungan itu, dia berharap pihak berkuasa terutama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bertindak segera supaya kumpulan haiwan itu dapat dipindahkan ke kawasan lain.

Kerajaan negeri tunai janji bawa masuk pelabur Rusia

Posted: 31 May 2013 12:05 PM PDT

KUANTAN 31 Mei - Kesediaan dua syarikat farmaseutikal Rusia menjalin usahasama bagi menghasilkan vaksin demam denggi membuktikan kejayaan kerajaan Pahang membawa masuk pelabur ke negeri ini.

Yang Dipertua Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) negeri, Datuk Dr. Abd. Wahid Abd. Manap berkata, usaha itu merupakan sebahagian janji dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 sekali gus membuktikan kerajaan negeri menunaikan janji tersebut.

"Kerjasama ini pastinya mewujudkan banyak peluang pekerjaan kepada rakyat di negeri ini seterusnya memberi manfaat kepada ekonomi negeri supaya lebih berkembang maju," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Pahang Technology Resources Sdn. Bhd. (PTR) yang merupakan syarikat milik kerajaan (GLC) negeri ini bakal menjalin kerjasama dengan dua syarikat farmaseutikal Rusia bagi menghasilkan vaksin demam denggi.

Dua syarikat dari Rusia tersebut adalah Aboilek LLC dan NT Pharma LLC yang terkenal dalam mengeluarkan vaksin generasi baharu dan produk-produk biofarmaseutikal.

Ketua Pegawai Eksekutif PTR, Sazali Mohd. Nor berkata, selain PTR, terdapat dua lagi syarikat dari negara ini terlibat dalam usahasama tersebut iaitu Biopharma Today Sdn. Bhd. dan Medical Today Sdn. Bhd..

Abd. Wahid berkata, pihaknya yakin kerajaan Pahang akan terus menjalankan usaha dan promosi menjadikan negeri ini sebagai salah satu negeri yang menjadi tumpuan pelabur dari dalam dan luar negara.

"Cuma apa yang kita harapkan, kerajaan Pahang turut memberi tumpuan kepada pelabur-pelabur dari dalam negeri ini," katanya.

Tambahnya, kerajaan negeri juga diharap terus memberi tumpuan kepada sektor lain yang berpotensi dalam memajukan ekonomi seperti pelancongan dan pertanian.

Wakil khas Giatmara bantu lahir lebih ramai usahawan

Posted: 31 May 2013 12:05 PM PDT

Shahiruddin Ab. Moin

KUANTAN 31 Mei - Pengarah GiatMara negeri, Sallehhoddin Abu Bakar dilantik menganggotai Jawatankuasa Koperasi, Keusahawanan dan Kepenggunaan negeri bagi membantu kerajaan negeri melahirkan lebih ramai usahawan dalam kalangan belia.

Pengerusi Jawatankuasa Koperasi, Keusahawanan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Shahiruddin Ab. Moin berkata, GiatMara banyak menumpukan soal latihan kemahiran terhadap belia dan telah melahirkan usahawan dalam pelbagai bidang.

"Jadi di atas pengalaman ini saya mencadangkan GiatMara disatukan di peringkat kerajaan negeri iaitu di bawah jawatankuasa saya.

"Kita telah adakan perbincangan di peringkat negeri dan bersetuju melantik wakil khas GiatMara iaitu Sallehhoddin untuk duduk dalam barisan ahli jawatankuasa ini," katanya kepada pemberita di sini kelmarin.

Menurutnya, terdapat sebanyak 41 ahli dalam jawatankuasa itu yang akan mengadakan mesyuarat setiap dua bulan sekali dengan menyusun program dan latihan bagi melahirkan lebih ramai usahawan di Pahang.

"Selain GiatMara, jawatankuasa tersebut turut dianggotai jabatan kerajaan negeri dan Persekutuan, Majlis Amanah Rakyat (Mara), Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP), Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN), Amanah Ikhtiar, Bank Persatuan dan Bank Rakyat.

"Kita telah adakan mesyuarat kali pertama baru-baru ini dan saya minta supaya agensi Kerajaan Persekutuan dan negeri di bawah jawatankuasa ini membuat pendekatan baharu iaitu mendengar pendapat orang ramai sebelum membuat program," ujarnya.

Katanya, selain itu, beliau juga mahu agensi kerajaan membentuk jalinan dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi memastikan lebih ramai rakyat mendapat faedah.

0 ulasan:

Catat Ulasan