Isnin, 13 Mei 2013

Utusan Online - Selatan

Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Terap budaya sukan di peringkat kanak-kanak

Posted: 12 May 2013 12:06 PM PDT

Idris Haron (berbaju biru) ditemani Abu Bakar Mohamad Diah (kanan) menyampaikan hadiah cabutan bertuah dalam majlis Sukaneka Tadika JAIM Zon Utara 2013, di Sungai Udang, Melaka, semalam. -utusan/Gaie Uchel

MELAKA 12 Mei - Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) meneruskan usaha memupuk budaya dan semangat kesukanan dalam kalangan muridnya di peringkat tadika di seluruh negeri ini.

Ketua Penyelia Tadika JAIM negeri, Datuk Noradibah Abdullah berkata, program tahunan yang dianjurkan bagi mencungkil bakat sukan dalam kalangan kanak-kanak itu antara usaha JAIM bagi meningkatkan mutu sukan di negeri ini.

"Antara lain, kita mahu melihat potensi yang ada dalam kalangan kanak-kanak tadika JAIM di seluruh enam zon di negeri ini dalam pelbagai acara.

"Ia secara tidak langsung dapat mengeratkan lagi hubungan silaturrahim serta perpaduan di kalangan kanak-kanak," katanya.

Beliau berkata demikian dalam majlis Sukaneka Tadika JAIM Zon Utara 2013 di padang Kompleks Penjara Sungai Udang di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis yang dirasmikan oleh Ketua Menteri, Datuk Idris Haron itu ialah Ahli Parlimen Tangga Batu, Datuk Dr. Abu Bakar Mohamad Diah.

Menurut Noradibah, seramai 420 orang murid daripada 11 tadika di zon utara menyertai sukaneka itu.

Katanya, seramai 120 orang murid tadika JAIM akan dipilih disetiap zon bagi menyertai peringkat seterusnya yang bakal diadakan di padang Sekolah Henry Gurney, Telok Mas di sini pada 15 Jun ini.

Noradibah berkata, jumlah keseluruhan murid di tadika JAIM kini mencecah 3,940 orang di 60 buah tadika di seluruh negeri ini.

MAIM anjur kursus bantu bakal pengantin hadapi alam perkahwinan

Posted: 12 May 2013 12:06 PM PDT

MELAKA 12 Mei - Majlis Agama Islam Melaka (MIAM) mengambil inisiatif membantu bakal pengantin yang ingin mendirikan rumah tangga dengan menganjurkan Kursus Praperkahwinan dan Kekeluargaan Islam.

Timbalan Pengerusi MAIM, Datuk Yaakub Md. Amin berkata, kursus praperkahwinan amat perlu dilaksanakan dalam usaha memberi ilmu asas kepada bakal pengantin bagi menghadapi cabaran alam rumahtangga yang semakin kompleks pada masa kini.

"Dengan adanya ilmu asas tersebut, mereka akan mendapat maklumat dan manfaat berguna yang boleh diamal serta diaplikasikan dalam kehidupan berumahtangga antara suami dengan isteri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan majlis penutup Kursus Praperkahwinan dan Kekeluargaan Islam Siri 17/2013 anjuran MAIM Bentara Sdn. Bhd. di Auditorium Seri Negeri, Ayer Keroh di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengurus MAIM Bentara Sdn. Bhd, Yazid Palal.

Menurut Yaakub, kursus selama dua hari itu merupakan prasyarat bagi mereka yang bakal mendirikan rumahtangga untuk mempersiapkan diri dengan ilmu pengetahuan yang berkaitan dengan pernikahan dalam ajaran agama Islam.

"Kursus ini juga bertujuan mendedahkan peserta tentang tanggungjawab dan peranan pasangan agar mereka lebih bersedia menempuh alam perkahwinan .

"Selain itu, kursus seperti ini juga dapat membuka minda peserta tentang isu gejala sosial yang kerap berlaku dalam masyarakat, berpunca daripada kelemahan institusi kekeluargaan," ujarnya.

Seramai lapan penceramah telah menjayakan kesemua lapan modul sempena kursus yang bermula semalam melibatkan seramai 100 peserta lelaki dan wanita dari seluruh negeri.

Jangan khianati amanah rakyat

Posted: 11 May 2013 12:22 PM PDT

Oleh MOHAMMAD YASIR JAAFAR
utusanN9@utusan.com.my

Tuanku Muhriz Tuanku Munawir menyerahkan watikah pelantikan kepada Mohamad Hasan pada Istiadat Penyerahan Watikah Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Menteri Besar Negeri Sembilan di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah, semalam.

KUALA PILAH 11 Mei - Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir menitahkan semua wakil yang dipilih rakyat ke Dewan Undangan Negeri dan Dewan Rakyat tidak mengkhianati amanah itu dengan menggunakannya untuk kepentingan sendiri.

Titah baginda, menyalahgunakan kuasa dan kedudukan yang ada itu akan menjurus kepada ketidakadilan serta kerapuhan pelaksanaan sesuatu dasar yang dirangka untuk kebaikan rakyat.

"Beta menyeru kamu menunjukkan tingkah laku yang baik dan berkeperibadian tinggi sesuai dengan gelaran Yang Berhormat yang akan kamu pegang sebaik sahaja mengangkat sumpah di Dewan Undangan Negeri atau Dewan Rakyat kelak," titah baginda di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah, di sini hari ini.

Tuanku Muhriz bertitah demikian selepas berkenan menyempurnakan upacara penyerahan watikah pelantikan dan angkat sumpah Menteri Besar Negeri Sembilan kepada Datuk Seri Mohamad Hasan.

Turut berangkat Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud.

Majlis angkat sumpah itu disaksikan Ketua Hakim Syarie, Datuk Mohd. Shukor Sabudin dan Hakim Utama Mahkamah Tinggi Seremban, Datuk Siti Mariah Ahmad.

Titah Tuanku Muhriz, wakil rakyat perlu bertanggungjawab ke atas semua rakyat yang berada dalam kawasan masing-masing tanpa mengira fahaman politik, keturunan, mahupun pegangan agama.

"Beta mengingatkan semua wakil rakyat yang terpilih, kamu telah diamanahkan oleh rakyat untuk mewakili mereka bagi menyuarakan segala permasalahan serta melindungi kepentingan mereka dalam pembuatan dan pelaksanaan sesuatu dasar atau keputusan," titah baginda.

Baginda turut mahukan rakyat negeri ini ditadbir dengan asas ketelusan dan akauntabiliti yang kukuh.

"Beta juga yakin, sebagai Menteri Besar, Mohamad akan memastikan urusan pentadbiran di jabatan dan agensi kerajaan di negeri ini bebas daripada sebarang unsur penyelewengan serta salah guna kuasa seperti rasuah dan seterusnya menjadi contoh sebuah kerajaan bersih dan adil.

"Kepada penjawat awam, kamu sewajarnya terus bersikap neutral dalam melaksanakan tanggungjawab tanpa ada kecondongan kepada mana-mana fahaman politik," titah baginda.

0 ulasan:

Catat Ulasan