Rabu, 15 Mei 2013

Utusan Online - Utara

Utusan Online - Utara


Fokus kepada amalan kebersihan

Posted: 14 May 2013 11:49 AM PDT

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail membuang tin minuman ke dalam tong kitar semula pada majlis perasmian Kenderaan Kutipan Sisa Pepejal Environment Idaman (ENVI) sambil diperhatikan oleh Azmil Khalid (kanan) di Komalaut, Kuala Perlis di Kangar, Perlis, kelmarin.

KANGAR 14 Mei - Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mahu rakyat menzahirkan rasa cinta dan sayang kepada negeri dengan mengamalkan kebersihan sebagai salah satu fokus utama.

Titan baginda, banyak perkara boleh dizahirkan untuk menyatakan rasa cinta dan sayang kepada Perlis, namun antara yang mudah dilakukan ialah mewujudkan suasana bersih dan indah.

"Kebersihan hendaklah dijadikan sebagai sebahagian daripada budaya bangsa yang bermentaliti kelas pertama," titah Tuanku Syed Faizuddin.

Raja Muda Perlis mengutarakan perkara itu sewaktu merasmikan Gotong-royong Perdana Peringkat Negeri Peris 2013 anjuran Environment Idaman Sdn Bhd (E-Idaman) di Kompleks Makanan Laut (Komalaut), Kuala Perlis di sini semalam.

Yang turut hadir, Pengarah E-Idaman, Datuk Azmil Khalid.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah, tanggungjawab menjaga kebersihan tidak harus diletak di bahu kerajaan atau pihak berkuasa tempatan semata-mata, malah ia merupakan tanggungjawab bersama masyarakat.

Pada majlis itu, baginda turut merasmikan dua buah jentera pemungut sisa pepejal, setiap satu bernilai kira-kira RM450,000.

Dua jentera itu adalah tambahan kepada 11 buah sedia ada digunakan bagi memungut sisa pepejal di Perlis, selain tiga unit lagi yang akan dibekalkan tidak lama lagi.

Sebelum itu pada sebelah pagi berlangsung majlis gotong-royong membersihkan kawasan persekitaran Komalaut yang menjadi tumpuan para penggemar makanan laut dan ikan bakar, melibatkan beratus-ratus orang anggota E-Idaman dan penduduk sekitar. - BERNAMA

Peluang Melayu miliki hartanah RM70 juta di Bandar Meru Raya

Posted: 14 May 2013 11:49 AM PDT

JAMALUDIN Abdul Rahim (kiri) meninjau tapak projek pembinaan kondominium dan lot kedai di Meru Raya, Ipoh, Perak, semalam.

IPOH 14 Mei - Orang Melayu digesa supaya merebut peluang memiliki hartanah melibatkan 295 unit kedai dan kondominium yang kini sedang dibangunkan di tapak Projek Pembangunan Bercampur Zon 5, Bandar Meru Raya di sini.

Yang Dipertua Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) negeri, Datuk Wira Jamaludin Abdul Rahim berkata, projek pembangunan bernilai RM70 juta dan berkeluasan hampir dua hektar diusahakan oleh PKMM itu dijangka siap dalam tempoh dua tahun.

"Sebanyak 170 unit kondominium dinamakan sebagai DWJ Residence akan dijual dengan harga minimum RM250,000 iaitu 30 peratus lebih murah daripada harga pasaran.

"Kita akan memberikan keutamaan kepada kira-kira 400,000 orang Melayu yang menetap di Ipoh untuk memilikinya dan status pegangannya adalah hak milik kekal," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri majlis tahlil dan kenduri doa selamat untuk pembangunan projek berkenaan di sini hari ini.

Yang turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi, Mohamad Ziad Mohamed Zainal Abidin.

Dalam pada itu, Jamaludin berkata, kerja-kerja pembangunan projek tersebut telah bermula sejak tiga bulan lalu dan berjalan mengikut jadual.

Beliau berkata, selain 125 unit kedai yang ditawarkan, pihaknya turut menjual lima unit 'penthouse' dengan harga RM1.5 juta sebuah di kawasan tersebut.

Tambah beliau, setakat ini, pihaknya telah menerima tempahan sebanyak 70 peratus dan kira-kira 65 peratus daripadanya terdiri daripada ahli-ahli PKMM sendiri.

"Kita amat menggalakkan syarikat milik kerajaan (GLC) untuk memiliki hartanah di sini dan pihak Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (SSI) merupakan antara yang terawal membeli satu premis.

"Kita menawarkan harga kira-kira RM900,000 bagi unit perniagaan untuk membolehkan orang Melayu mampu memilikinya berbanding RM1.8 juta yang dijual di Taipan Bandar Meru Raya," katanya.

Zabri mahu ubah wajah Trong

Posted: 14 May 2013 11:49 AM PDT

IPOH 14 Mei - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Trong, Dr. Zabri Abd. Wahid (gambar) bertekad untuk menggunakan segala kepakaran yang dimilikinya dalam bidang pertanian bagi mengubah wajah kawasan itu serta penduduknya menjadi lebih maju dan berdaya saing.

Bekas Pengarah Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) negeri itu berkata, kawasan Trong mempunyai banyak potensi melalui hasil hutan hinggalah ke laut yang boleh dibangunkan sebagai kegiatan ekonomi baharu sekali gus meningkatkan pendapatan penduduk.

Bagi mencapai matlamat tersebut, menurut Zabri, beliau mempunyai banyak perancangan khususnya untuk merancakkan kegiatan pertanian dan menggalakkan penglibatan penduduk Trong dalam perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

''Paling terdekat, saya ingin menjadikan sebuah kampung di Trong sebagai kampung contoh yang mana setiap rumah di situ penduduknya menanam tiga atau empat jenis tanaman di sekeliling rumah mereka seperti serai, kunyit, kacang panjang atau bayam.

''Selain memanfaatkan kawasan terbiar di persekitaran rumah, tanaman juga boleh digunakan untuk makanan sendiri selain dijual sebagai pendapatan sampingan. Projek ini akan saya jalankan dengan bantuan agensi pertanian berkaitan untuk bekalan bahan mentah seperti biji benih dan baja serta kursus untuk penduduk," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), Zabri menang di Trong selepas menewaskan calon Pas, Norazli Musa dengan majoriti 1,804 undi.

Menurut Zabri, antara projek lain dalam perancangannya ialah melibatkan seramai mungkin penduduk kawasan itu dalam program Azam Tani di bawah Kementerian Pertanian Dan Industri Asas Tani.

Katanya, selain memberikan bantuan peralatan perniagaan kepada penduduk, pihaknya berhasrat mewujudkan pusat pemprosesan makanan dan gerai-gerai perniagaan kekal kepada penduduk Trong.

Pada masa sama, kata Zabri, pihaknya akan mengadakan kursus-kursus perniagaan kepada penduduk yang telah dan akan menceburi bidang keusahawanan untuk meningkatkan pengetahuan mereka.

''Kegiatan ini akan membantu merancakkan kegiatan ekonomi di DUN Trong dan sekali gus dapat mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

''Begitu juga dengan kemudahan infrastruktur seperti bank dan klinik, semua ini saya akan usahakan untuk kemudahan penduduk yang sebelum ini terpaksa keluar jauh untuk mendapatkan semua perkhidmatan ini," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan