Isnin, 20 Mei 2013

Utusan Online - Selatan

Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Wujudkan subjek Tata Rakyat

Posted: 19 May 2013 11:23 AM PDT

Oleh NORLIZA MOHAMAD ZAKARIA
utusanmelaka@utusan.com.my

Idris Haron (dua dari kanan) bersama isteri, Fadilah Abdullah memakai pakaian seragam sekolah menengah pada majlis sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Melaka di Seri Negeri, Ayer Keroh, kelmarin. - BERNAMA

MELAKA 19 Mei - Pusat-pusat tuisyen di seluruh negeri ini digalakkan memberi ruang bagi penambahan satu subjek sampingan iaitu Tata Rakyat bagi membolehkan golongan pelajar terdidik bukan hanya dari segi akademik malah penyerapan nilai-nilai murni dan tatatertib.

Ketua Menteri, Datuk Idris Haron berkata, cadangan itu mengambil kira golongan muda kini yang dilihat tidak seimbang antara pengetahuan akademik dengan nilai tatatertib.

Kita tidak mahu generasi kini hanya berat kepada pengetahuan akademik semata-mata, sehingga pengetahuan tatatertib yang mengawal tatatusila serta nilai-nilai murni kehidupan mereka sedikit ketinggalan.

Atas sebab itu saya mencadangkan dan menggalakkan pusat-pusat tuisyen menyediakan ruang untuk subjek Tata Rakyat bagi mendidik generasi muda ini tentang nilai-nilai murni sebagai rakyat di negara ini.

Memang di sekolah-sekolah telah diajar dengan pelbagai nilai-nilai murni namun, kita hairan mengapa dalam keadaan sekolah yang mempunyai pelbagai kemudahan, produk (murid) yang dihasilkan tidak sama seperti dahulu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar selepas merasmikan Sambutan Hari Guru peringkat negeri di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini semalam.

Turut hadir, Pengarah Pelajaran negeri, Kasim Mohamad dan Exco Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, Teknologi Hijau dan Inovasi, Datuk Md. Yunos Husin.

Kata Idris, Jabatan Pelajaran negeri boleh memainkan peranan bagi menggalakkan pusat-pusat tuisyen mewujudkan satu mata pelajaran sampingan itu agar proses pengajaran tatatertib dalam kalangan murid tidak hanya tertumpu di peringkat sekolah tetapi secara menyeluruh.

Sebelum itu, Idris dalam ucapannya berkata, kebanyakan pusat tuisyen yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan wujud semata-mata memberi fokus untuk lulus dalam peperiksaan utama tanpa mengira aspek akhlak dan nilai-nilai murni.

Katanya, kebanyakan pusat tuisyen tidak mengajar generasi muda tentang cara-cara menghormati orang tua, menghormati negara, menghormati kawan dan jiran serta menghayati prinsip rukun negara.

Inilah yang perlu sama-sama kita fikirkan kerana generasi kini ke arah sindrom yang benar itu palsu, yang palsu itu benar dan mereka lebih percayakan sistem khidmat pesanan ringkas (SMS), media sosial, internet dan laman sosial tanpa mengambil kira jasa dan pengorbanan seseorang, fakta sejarah dan peranan kerajaan," katanya.

Pada majlis yang sama, Idris dan isteri, Datin Fadilah Abdullah tampil berpakaian sekolah malah, Idris turut mempersembahkan nyanyian khas buat para guru bertajuk Guru Mendidik Bukan Kerana Nama.

Jangan terpedaya individu mengaku pegawai JKR

Posted: 19 May 2013 11:23 AM PDT

SEREMBAN 19 Mei - Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri menasihatkan orang ramai agar berwaspada dengan kehadiran individu yang menyamar sebagai kakitangan jabatan berkenaan untuk melakukan samun.

Pengarah JKR negeri, Datuk Ir. Dr. Roslan Md. Taha berkata, kerja penyelenggaraan jalan yang dijalankan jabatan mahupun kontraktor dilantik hanya melibatkan jalan utama dan awam.

"Malah, kerja selenggara dan turapan jalan hanya sehingga bahu jalan dan tidak memasuki halaman rumah mahupun tanah persendirian.

"Oleh itu, saya berharap supaya orang ramai tidak mudah terpedaya dengan individu yang mendakwa mereka kakitangan JKR dan ingin melakukan kerja di kawasan rumah penduduk setempat," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Jelasnya, sekiranya ada individu yang menggunakan uniform jabatan serta kenderaan yang mempunyai logo JKR dan mendakwa ingin melakukan kerja di kawasan kediaman sila minta pengenalan diri mereka untuk pengesahan.

"Ingin ditegaskan adalah lebih baik agar penduduk tidak berinteraksi secara langsung dengan individu sebegini dan jika ada keraguan panggil jiran berhampiran demi keselamatan," ujarnya.

Akhbar semalam melaporkan seorang warga emas disamun oleh seorang lelaki yang menyamar sebagai wakil JKR dengan mendakwa mahu menurap tar secara percuma di hadapan kediaman mangsa di Kampung Lada, Chengkau, Rembau, dekat sini.

Dalam kejadian kira-kira 7.45 pagi itu, mangsa, Latifah Lebai Abd Aziz, 73, diacu pisau di leher sebelum diarahkan untuk menyerahkan rantai emas, dua bentuk cincin yang dianggarkan bernilai RM5,000.

Malah, pembantu rumah warga emas berkenaan, Maspapuri Basran, 47, turut kehilangan rantai leher yang turut diragut oleh lelaki berbadan besar menaiki motosikal.

Orang Asli: Guru diminta lebih komited

Posted: 19 May 2013 11:23 AM PDT

KUALA LIPIS 19 Mei - Guru di sekolah Orang Asli diminta memainkan peranan lebih berkesan di samping memberi perhatian khusus dalam membantu murid masyarakat berkenaan supaya tidak tercicir.

Timbalan Pengarah Pelajaran Pahang, Mohd. Rosdi Ismail berkata, guru perlu mencari kaedah bersesuaian dengan kebolehan murid dan bersabar ketika mengajar.

Guru juga perlu kreatif bagi merangsang minat murid untuk belajar selain berusaha memujuk mereka datang ke sekolah.

Guru di sekolah Orang Asli dinasihatkan lebih komited mengajar dan tidak terlalu cepat membuat andaian bahawa tahap pencapaian akademik murid Orang Asli tidak dapat dipertingkatkan lagi," katanya di sini baru-baru ini.

0 ulasan:

Catat Ulasan