Isnin, 20 Mei 2013

Utusan Online - Politik

Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Politik


DAP hipokrit, dwi standard - bekas ahli

Posted: 20 May 2013 11:57 AM PDT

KUALA LUMPUR 20 Mei - Tindakan Pengerusi DAP, Karpal Singh mengugut menyaman Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim kerana mendedahkan rahsia parti itu disifatkan sebagai hipokrit dan dwi standard.

Bekas Setiausaha Organisasi DAP Bahagian Jelutong, Mohamed Razali Abdul Rahman berkata, Karpal tidak sedar DAP selama ini melakukan perkara sama kerana sentiasa mahu mendedahkan kesalahan atau kesilapan yang kononnya dilakukan kerajaan.

Sehubungan itu, tambahnya, pemimpin DAP tersebut perlu bersedia dan menerima tindakan pihak lain yang mendedahkan kepincangan parti itu apatah lagi perkara berkenaan dilakukan bekas pemimpin dan ahli DAP sendiri.

"Saya sokong tindakan Tunku Abdul Aziz 100 peratus. Sekiranya Karpal dan DAP tidak melakukan perkara seperti didedahkan menerusi beberapa siri kenyataan Tunku Abdul Aziz sebelum ini, kenapa mereka perlu berasa takut," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas kelantangan Tunku Abdul Aziz yang juga bekas Naib Pengerusi DAP yang terus nekad mendedahkan segala rahsia parti itu kepada umum walaupun Karpal mengugut akan mengambil tindakan undang-undang sekiranya keadaan tersebut berterusan.

Dalam pada itu, bekas Setiausaha DAP Kampung Baru Balakong, Tan Chew Wah menyelar tindakan Karpal yang dilihat sebagai usaha terakhir mengunci mulut Tunku Abdul Aziz.

Katanya, Karpal tidak sewajarnya berbuat demikian memandangkan DAP selama ini sering mendabik dada kononnya menjadi parti yang mengamalkan demokrasi.

"Mahu dedahkan silap orang lain boleh, tetapi apabila ada orang lain mahu dedah salah dan rahsia sendiri, mereka melompat dan mahu saman.

"Ini sikap dwi standard yang diamalkan DAP. Mereka takut agenda yang direncana diketahui rakyat," katanya.

Zahrain cabar Guan Eng baca surat ROS

Posted: 20 May 2013 11:57 AM PDT

KUALA LUMPUR 20 Mei - Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dicabar membaca surat daripada Pendaftar Pertubuhan (ROS) bertarikh 17 April lalu berhubung pemilihan Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) parti itu secara terbuka dalam sidang akhbar dalam masa terdekat.

Bekas Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim berkata, rakyat berhak mengetahui sama ada dakwaan pemimpin-pemimpin DAP bahawa ROS akan membatalkan pendaftaran parti itu benar atau sebaliknya.

Menurut beliau, kegagalan Guan Eng menyahut cabaran itu akan menyebabkan orang ramai menganggap DAP mempunyai agenda yang cuba disembunyikan.

"Sekiranya Guan Eng tidak mahu membaca surat ROS itu, saya sendiri akan mendedahkan kandungannya kepada orang ramai.

"Jadi, jangan bohong dan tipu ahli-ahli DAP dengan menyalahkan ROS kerana kita tahu apa perancangan mereka yang lebih besar," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Sebelum ini, pelbagai pihak melihat pucuk pimpinan DAP cuba mengambil kesempatan daripada isu kesilapan pengiraan undi pemilihan CEC yang berlangsung pada Disember tahun lalu.

Para pemimpin tertinggi DAP menyalahkan ROS kononnya bertindak zalim sehingga tidak dapat bertanding menggunakan lambang parti tersebut dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 walaupun hakikatnya ROS tidak pernah menghalang DAP menggunakan lambang sendiri.

Ketua Pengarah ROS, Datuk Abdul Rahman Othman pada 11 Mei lalu menegaskan, pihaknya tidak berhasrat membatalkan pendaftaran DAP selagi siasatan berhubung proses pemilihan CEC parti itu belum selesai.

Zahrain turut menyelar Guan Eng kerana gagal mengemukakan senarai nama sebanyak 2,576 perwakilan kepada ROS serta enggan menjelaskan tentang isu 753 perwakilan yang tidak dijemput menghadiri pemilihan CEC Disember lalu.

"Kita ingin tahu muslihat yang terkandung dalam perancangan Guan Eng dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang bagi memastikan calon-calon seperti Teng Chang Khim, Chow Kon Yeow, Boo Cheng Hai, Datuk Ngeh Koo Ham dan Nga Kor Ming mendapat undi yang rendah," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Zahrain menganggap pengakuan Ahli Parlimen Serdang dari DAP, Dr. Ong Kian Ming tentang tindakan pembangkang menuduh pengundi bernama Chua Lai Fatt sebagai warga asing membuktikan kebiadapan mereka terhadap rakyat Malaysia yang layak mengundi.

"Mereka kata UMNO rasis tetapi bila mereka lihat seorang lelaki yang mempunyai nama Cina tetapi kulitnya tidak seperti Cina, mereka tuduh dia bukan rakyat Malaysia, kononnya warga Bangladesh," katanya.

Berhubung perhimpunan haram yang dianjurkan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Zahrain berkata, segala tohmahan Penasihat PKR itu terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hanyalah pembohongan.

0 ulasan:

Catat Ulasan