Rabu, 15 Mei 2013

Utusan Online - Kota

Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Pembangunan semula bermula

Posted: 14 May 2013 11:49 AM PDT

Oleh MOHD. ZULFADLI SHARIFUDIN
kota@utusan.com.my

Inilah tapak yang akan didirikan pasar sementara untuk menempatkan sebahagian besar peniaga di Pasar Raja Bot. - Utusan/Ghazali Basri

KUALA LUMPUR 14 Mei - Bangunan di hadapan Plaza Safuan di Jalan Raja Alang di sini telah dirobohkan, yang menandakan akan bermulanya Projek pembangunan semula Pasar Raja Bot.

Perobohan bangunan itu bertujuan memberi laluan kepada kerja-kerja pembinaan pasar sementara untuk menempatkan para peniaga di pasar yang lebih dikenali sebagai Pasar Chow Kit itu.

Pengunjung pasar itu yang ditemui melihat pembangunan semula pasar tersebut bukan sahaja akan mengangkat taraf peniaga di situ tetapi juga kawasan Chow Kit itu sendiri.

Mereka meluahkan harapan agar bangunan pasar baru nanti setanding dengan pasar-pasar di luar negara yang jauh lebih moden dan selesa sekali gus menjadi tarikan pelancong di ibu kota.

Seorang pengunjung pasar berkenaan, Juriah Ahmad, 57, menyambut baik usaha kerajaan bagi membangunkan pasar tersebut.

"Saya merupakan pengunjung yang selalu ke sini untuk membeli barangan keperluan harian. Lokasinya mudah dikunjungi dengan pengangkutan awam.

"Saya menyokong pembangunan pasar ini kerana ia sudah usang dan kotor jadi tidak sesuai untuk para pelancong luar lihat. Di samping itu, pasar ini terkenal di merata tempat," katanya ketika ditemui.

Seorang lagi pengunjung, Rohyah Sahad, 55, menyifatkan pembangunan semula pasar itu dapat menarik lebih ramai pelanggan kerana keadaannya kelak pasti lebih selesa.

"Saya sokong 100 peratus dengan usaha mencantikkan semula pasar ini. Dengan keadaan pasar ini yang sudah berusia, sudah tiba masa ia dinaik taraf," jelasnya.

Sementara itu, tinjauan mendapati pemindahan kumpulan pertama sebanyak 25 orang daripada 205 penjaja di Pasar Raja Bot ke tapak sementara telah selesai dan mereka menjalankan perniagaan seperti biasa.

Seorang peniaga roti canai, Jaafar Said, 55, berasa lega berikutan pemindahan ke tapak sementara selesai.

"Pemindahan bagi peniaga gerai makan dilaksanakan pada 25 Mac lalu. Saya bersyukur kerana semua kemudahan seperti dapur, gerai, bekalan elektrik dan air disediakan.

"Aktiviti perniagaan kami berjalan seperti biasa sementara pembangunan semula dilaksanakan. Saya telah berniaga roti canai selama 35 tahun di sini dan saya mahu para peniaga dan pengunjung selesa apabila pasar baharu siap kelak," ujarnya.

Peniaga santan, Awaludin Adam, 46, berharap kerja-kerja pembangunan semula itu nanti dapat dilakukan dengan lancar tanpa sebarang masalah.

"Apabila pindah ke tapak sementara di sini, pelanggan agak kurang sedikit berbanding dahulu. Bagaimanapun, saya yakin Pasar Raja Bot yang berwajah baharu nanti akan dapat menarik lebih ramai pelanggan dan kami dapat berniaga dengan lebih selesa," katanya.

Airport Limo tidak terkubur

Posted: 14 May 2013 11:49 AM PDT

Oleh HASHNAN ABDULLAH
kota@utusan.com.my

PEMANDU-PEMANDU Airport Limo yakin keputusan SPAD membenarkan teksi bandar menurun dan mengambil penumpang di KLIA tidak akan menjejaskan perkhidmatan mereka.

SEPANG 14 Mei - Para pemandu teksi dan limousin (Airport Limo) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ) di sini percaya perkhidmatan mereka tidak akan 'terkubur' berikutan keputusan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) membenarkan teksi bandar mengambil dan menurun penumpang di KLIA mulai esok.

Wakilnya, Sahran Abdul Hamid (gambar) berkata, para penumpang di KLIA, termasuk pelancong asing akan tetap memilih Airport Limo berdasarkan polisi dan rekod perkhidmatan mereka yang baik selama 15 tahun di lapangan terbang terbabit.

Beliau berkata, pihaknya juga akan turut melancarkan pelbagai program dan promosi bagi memperkukuhkan lagi jenama Airport Limo di kalangan penumpang di KLIA dan pelancong asing.

"Kami amat kecewa dengan keputusan kerajaan itu tetapi tetap akur dan tidak akan mogok atau melakukan demonstrasi yang boleh menjejaskan imej kerajaan.

"Saya percaya dalam tempoh dua tiga bulan akan datang, perkhidmatan Airport Limo akan menjadi satu jenama yang boleh dipercayai oleh orang ramai, termasuk pelancong asing," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Mulai esok, kerajaan membenarkan teksi bandar menurun dan mengambil penumpang di KLIA dan juga KLIA2 dengan syarat pemandu teksi itu menggunakan kenderaan pelbagai guna (MPV).

Keputusan tersebut selaras dengan usaha kerajaan untuk memastikan pemandu-pemandu teksi itu dapat menyediakan kenderaan yang sesuai bagi kemudahan dan keselesaan penumpang, termasuk pelancong asing.

Namun begitu, Sahran melahirkan kesangsian berhubung sikap para pemandu teksi bandar terhadap penumpang yang rata-ratanya dilaporkan agak negatif oleh media massa.

"Selama ini kami berjuang untuk memastikan Airport Limo menjaga imej negara dan rakyat dengan memberi maklumat yang betul kepada pelancong asing supaya mereka terus datang ke Malaysia tanpa rasa takut.

"Sudah pasti kami tidak mahu perjuangan selama 15 tahun itu menjadi sia-sia," katanya.

XMIT 500 teknologi baharu pungut sampah

Posted: 14 May 2013 11:49 AM PDT

MD. RAIS Mansur (dua dari kiri) bertukar dokumen dengan Mauri E. Leonen sambil diperhatikan oleh Matti Pullinen (tengah), Dr. Judin Abdul Karim (kanan sekali) dan Dr. Mohd. Fadzil Man (kiri) pada majlis menandatangani MoU antara AWSM dengan Ecosir Group di Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR 14 Mei - Program Pemindahan Teknologi Sistem Pungutan Sampah Bersepadu menggunakan teknologi XMIT 500 yang melibatkan teknologi hijau bakal memberi manfaat kepada rakyat di negara ini.

Pengerusi Automated Waste System (M) Sdn. Bhd. (AWSM) Dr. Mohd. Fadzil Man berkata, teknologi dari Finland itu bukan sahaja baik kepada alam sekitar malah mewujudkan persekitaran hidup yang lebih sihat.

Jelasnya, teknologi XMIT 500 merupakan alternatif bagi memindahkan sampah daripada bangunan tinggi ke bekas pembuangan sampah secara automatik tanpa menggunakan khidmat kerja manusia.

Sisa sampah akan dipindahkan menggunakan vakum secara automatik dari bangunan dengan lebih cepat, mudah dan bersih.

Proses yang menggunakan paip bersaiz 500 milimeter itu mampu mengumpul dan memindahkan sisa pada kelajuan melebihi 20 meter per saat ke pusat pembuangan sampah yang disediakan sebelum dipindahkan ke tempat pelupusan sampah," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Ecosir Group Oy Ltd. di sini hari ini.

Yang turut hadir, Duta Besar Finland, Matti Pullinen dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), Datuk Seri Dr. Judin Abdul Karim.

Tambahnya, sistem pemindahan sampah tersebut turut mengurangkan bau dan risiko pencemaran jika dibandingkan dengan cara pengurusan sisa sampah secara tradisional," jelasnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Ecosir Group Oy, Mauri E Leponen berkata, penggunaan teknologi moden tersebut membawa penjimatan besar terutama dalam kerja-kerja penyelenggaraan dan pembersihan bangunan.

0 ulasan:

Catat Ulasan