Isnin, 13 Mei 2013

Utusan Online - Utara

Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Tin City mercu tanda baharu Ipoh

Posted: 12 May 2013 12:06 PM PDT

Oleh HAMIMAH HAMID
utusanperak@utusan.com.my

Roshidi Hashim (depan, tiga dari kanan) melihat model pembangunan Tin City ketika majlis perasmian Tin City di Ipoh, semalam.

IPOH 12 Mei - Tin City yang terletak di Jalan Falim, Menglembu di sini bakal menjadi satu lagi mercu tanda baharu di Ipoh apabila siap sepenuhnya pada 2018.

Dibina di atas hartanah seluas kira-kira 10.12 hektar, Tin City merangkumi pusat beli belah, hotel, kompleks komersial dan apartmen eksklusif.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Roshidi Hashim berkata, pembangunan hartanah dengan nilai pembangunan kasar (GDV) berbilion ringgit itu bakal memberi impak positif kepada bandar raya Ipoh.

Katanya, Tin City berpotensi menjadikan Ipoh bandar raya yang lebih maju pada masa akan datang dengan kemasukan pelabur dan pelancong.

"Pembangunan hartanah baharu ini terletak di tempat yang strategik berdekatan dengan bandar raya Ipoh. Kita percaya dengan pembangunan baharu ini, ekonomi Ipoh akan lebih berkembang.

"Pada masa yang sama, saya yakin lebih ramai pelabur akan melabur di sini pada masa akan datang," kata selepas merasmikan Projek Tin City di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Amber Synergy Sdn. Bhd., Datuk Yong Chai Song.

Menurut Roshidi, serentak dengan perjalanan projek Tin City, jalan utama di hadapan pembangunan hartanah tersebut yang menghubungkan antara Kledang dan Menglembu akan dilebarkan bagi mengurangkan kesesakan.

Ini kerana katanya, hasil pemerhatian pemaju, kira-kira 3,000 kenderaan melalui jalan tersebut setiap jam.

"Jalan dari Kledang Utama ke Menglembu memang sesak setiap hari kerana terdapat pasar borong di situ. Apabila pembangunan hartanah ini siap nanti, pasti akan lebih sesak.

"Jadi untuk mengelakkan kesesakan tersebut, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) telah meluluskan permohonan pemaju untuk kerja-kerja pelebaran jalan," katanya.

Sementara itu, Chai Song berkata, projek yang dijangka siap dalam tempoh lima tahun itu bakal menarik kira-kira 4,000 pengunjung setahun.

Katanya, Tin City akan menjadi hab komersial terbaru yang mampu menarik kemasukan pelabur dari China dan Sumatera, Indonesia.

"Tin City menyasarkan pengunjung daripada pelbagai latar belakang dan umur. Kita menyediakan pelbagai kemudahan untuk semua tidak kira peniaga, kakitangan kerajaan dan swasta mahupun pelajar.

"Jadi kita yakin projek baharu ini akan membantu menaikkan ekonomi Perak, khususnya ekonomi Ipoh," katanya.

Sektor pembuatan catat peratus kemalangan tertinggi

Posted: 12 May 2013 12:06 PM PDT

SUNGAI PETANI 12 Mei - Sektor pembuatan mencatatkan peratus kemalangan paling tinggi berbanding sektor lain iaitu hampir 27 peratus daripada 61,552 jumlah kemalangan direkodkan di tempat kerja pada 2012.

Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Zabidi Md. Adib berkata, sektor perkhidmatan mencatatkan 22 peratus kemalangan di tempat kerja, pembinaan (lapan peratus) dan bakinya dalam sektor lain.

Katanya, memandangkan sektor pembuatan mempunyai bilangan pekerja paling ramai berbanding sektor lain, syarikat dalam sektor pembuatan perlu meningkatkan kesedaran terhadap keselamatan dan kesihatan pekerja di tempat kerja.

"Mereka perlu lebih aktif memainkan peranan dalam jawatankuasa keselamatan dan kesihatan pekerja di syarikat masing-masing.

"Bagaimanapun berdasarkan pemerhatian kita kebelakangan ini, tahap kesedaran dalam kalangan majikan dan pekerja semakin meningkat, cuma kita mahu kerjasama antara mereka lebih baik," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di sini semalam. Zabidi berkata, walaupun kadar kemalangan maut dan kecederaan di tempat kerja menurun dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini, majikan dan pekerja tidak sewajarnya bersikap sambil lewa.

Katanya pada tahun lepas, kadar kemalangan di tempat kerja adalah 3.31 peratus/1,000 pekerja, menurun berbanding 3.4 peratus/1,000 pekerja yang dicatatkan pada 2011.

Kadar kemalangan maut di tempat kerja pada 2012 pula 4.64 peratus/100,000 pekerja berbanding 6.17 peratus/100,000 pekerja pada 2011, kata Zabidi.

Terdahulu dalam ucapannya Zabidi berkata, JKKP menggalakkan majikan dan pekerja mengambil bahagian secara proaktif dalam pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerja bagi memastikan tempat kerja mereka kondusif untuk bekerja agar kualiti dan produktiviti dapat ditingkatkan.

Seminar sehari itu dihadiri hampir 300 pekerja pelbagai sektor dari Kedah, Perlis dan Pulau Pinang. Turut hadir Pengarah JKKP Kedah Mohamad Jais Suratman. — BERNAMA

Pameran kehidupan tauke lombong

Posted: 12 May 2013 12:06 PM PDT

IPOH 12 Mei - Pameran yang memaparkan era dan kehidupan keluarga tauke-tauke pelombong di Perak pada era 1920-an dan 1030-an diadakan di Falim House, Jalan Lahat di sini bermula hari ini.

Pameran selama tiga bulan itu yang akan berakhir pada 11 Ogos dibuka secara percuma kepada orang ramai dari pukul 10 pagi hingga enam petang.

Pengarah Amber Synergy Sdn. Bhd., Datuk Poo Tak Kiau berkata, pameran sempena pelancaran Tin City itu akan memaparkan gaya hidup pelombong di zaman kegemilangan bijih timah di negeri itu.

Katanya, lebih 210 gambar lama yang antaranya diambil sebelum tahun 1900, serta pelbagai artifak boleh dilihat di Falim House.

"Kita tahu ramai yang tidak pernah melihat peralatan melombong. Jadi mereka boleh menyaksikan peralatan melombong bijih timah, perkakas dapur luar biasa, alat permainan yang jarang ditemui serta kenderaan lama di sini.

"Bukan sahaja ia boleh membawa balik kenangan lama dan nostalgia, pameran ini juga memberi pendidikan dan manfaat kepada generasi muda," katanya dalam majlis pelancaran Falim House di sini hari ini.

Pelancarannya disempurnakan oleh Datuk Bandar Ipoh, Datuk Roshidi Hashim.

Menurut Tak Kiau, perkhidmatan bas percuma pergi dan balik akan disediakan dari stesen kereta api Ipoh ke Falim House pada hujung minggu.

"Bas-bas ini akan bertolak dari stesen kereta api pada pukul 1.45 pagi, 1.45 petang dan 2.45 petang dari stesen kereta api Ipoh.

"Dari Falim House pula, bas akan bergerak pukul 1.15 petang, 2.15 petang, 4.15 petang dan 5.15 petang," katanya.

0 ulasan:

Catat Ulasan