Khamis, 30 Mei 2013

Utusan Online - Kota

Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Kg. Dato Keramat sering banjir

Posted: 29 May 2013 11:15 AM PDT

OLEH SITI AINIZA KAMSARI
kota@utusan.com.my

Johari Abdul Ghani (kiri) menerangkan masalah banjir yang berlaku di Kampung Dato Keramat kepada Pengarah Kejuruteraan Awam dan Saliran DBKL, Ir. Tan Keng Chok (dua dari kiri) sambil diperhatikan oleh Pegawai DBKL, Lokman Abdul (dua dari kanan) dan penduduk di Kuala Lumpur semalam. - UTUSAN/Fatin Amirah

KUALA LUMPUR 29 Mei - Penduduk digesa memberikan kerjasama kepada agensi-agensi kerajaan yang menguruskan sistem saliran dalam usaha mengatasi masalah banjir kilat yang kian kerap berlaku di Kampung Dato Keramat.

Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Johari Abdul Ghani berkata, Kampung Dato Keramat dilaporkan antara 10 kawasan paling teruk dilanda banjir kilat di sekitar Kuala Lumpur.

"Namun yang lebih penting perlu buang dahulu tabiat buruk suka membuang sampah ke dalam longkang, parit besar dan sungai terutamanya di Jalan Lorong Kiri yang memburukkan lagi masalah banjir kilat.

"Sampah-sarap menyekat aliran air yang menyebabkan banjir kilat mudah berlaku walaupun dalam tempoh kurang sejam hujan turun," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan majlis taklimat dengan wakil-wakil agensi kerajaan termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Alam Flora Sdn. Bhd (Alam Flora) dan para penduduk di sini, hari ini.

Johari berkata, dalam jangka pendek penyenggaraan sistem saliran dan perparitan terpaksa lebih kerap dilakukan sementara menunggu siapnya projek besar yang melibatkan pengubahsuaian saliran dilakukan bagi mengekang masalah banjir kilat di seluruh bandar raya Kuala Lumpur.

"Kita kena lebih kerap memastikan seluruh sistem saliran bersih, tidak tersumbat dengan sebarang sampah supaya setiap kali hujan lebat, air mudah dialirkan tanpa sebarang sekatan," katanya.

Menurutnya, sejak tiga tahun kebelakangan ini, kawasan itu yang melibatkan 70 buah rumah atau 350 orang penduduk begitu teruk dilanda banjir kilat sehingga naik ke paras pinggang orang dewasa.

Katanya, kejadian itu menyebabkan penduduk menanggung kerugian besar apabila kebanyakan peralatan dan perabot rumah mengalami kerosakan dan terpaksa diganti baru.

"Ada penduduk yang membiarkan ruang tamu rumah mereka kini kosong tanpa sebarang perabot lagi kerana tidak mahu rosak dan rugi akibat banjir," katanya.

Di samping itu, katanya, akibat terlalu kerap berlaku banjir kilat menyebabkan pelbagai agensi kerajaan terpaksa menyalurkan pelbagai bantuan segera kepada penduduk yang menjadi mangsa.

"Ini termasuklah bantuan dari pihak Jabatan Kebajikan Malaysia, Baitulmal dan sebagainya. Permohonan yang lalu masih belum sampai, terpaksa pula membuat permohonan baharu," katanya.

Terganggu oleh lombong pasir

Posted: 29 May 2013 11:15 AM PDT

Oleh SITI AINIZA KAMSARI
kota@utusan.com.my

PAPAN iklan penjualan pasir yang dipasang oleh pengusahanya di laluan masuk ke kawasan penyimpanan pasir di Kampung Sungai Pusu, Gombak, Selangor.

GOMBAK 29 Mei - Penduduk Kampung Sungai Pusu di sini mendesak kerajaan negeri segera memantau kegiatan melombong pasir yang mereka dakwa menyebabkan masalah alam sekitar yang teruk di kampung tersebut.

Menurut mereka, kegiatan itu juga menyebabkan kawasan persekitaran kampung mereka berdepan dengan masalah habuk dan debu pasir memenuhi udara sehingga menimbulkan suasana tidak selesa.

Ini berlaku terutamanya apabila lori-lori pengangkut pasir dan lori pembancuh simen keluar masuk dari lokasi mengorek pasir tersebut.

Kegiatan melombong pasir itu melibatkan beberapa batang anak Sungai Pusu di kampung itu, yang turut mengalir masuk ke kampus induk Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang terletak berdekatan.

Salah seorang penduduk, Mazlan Mohd. Nor berkata, kegiatan mengorek pasir itu telah beroperasi sejak tahun 2004 lagi yang ketika itu dilakukan secara agak tertutup.

"Tetapi pada hari ini, kegiatan angkut pasir berjalan tanpa henti dari awal pagi sehingga lewat malam. Yang paling kami tidak tahan bukan sahaja masalah habuk sampai masuk ke dalam rumah malah jalan di kampung ini sudah berlubang-lubang teruk angkara lori-lori pasir ini.

"Bayangkan jika musim panas, penuh dengan habuk dan musim hujan pula, jalan jadi berlopak-lopak dan air kotor akan memercik setiap kali lori-lori tersebut lalu lalang di hadapan rumah saya," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui.

Mazlan berkata, kini hampir setiap hari penduduk terpaksa 'makan' pasir, habuk dan debu malah pernah ada yang terpaksa mendapatkan rawatan paru-paru akibat masalah pernafasan yang didakwanya berpunca daripada pencemaran yang berlaku itu.

"Keadaan yang paling teruk dialami ketika ketika kerajaan negeri dibubarkan sempena Pilihan Raya Umum Ke-13 baru-baru ini apabila dalam tempoh hampir sebulan, kegiatan korek pasir dari sungai berkenaan semakin menjadi-jadi.

"Operator-operator pasir ini benar-benar mengambil kesempatan apabila tidak ada mana-mana pihak berkuasa akan mengambil tindakan, sehingga lori besar yang menggunakan 24 tayar dan lori-lori pembancuh simen menjadi raja di kampung ini," dakwanya.

Menurutnya lagi, kegiatan melombong pasir itu turut melibatkan sebidang tanah wakaf untuk tapak perkuburan turut menjadi 'mangsa' apabila dipajakkan pihak tertentu kepada operator pasir tersebut.

Kawasan tanah wakaf itu, katanya, dijadikan tempat menyimpan pasir dan membancuh simen di tanah tersebut.

"Difahamkan, bayaran pajak tanah itu ialah RM4,000 sebulan. Pasir yang disimpan di situ turut melibatkan pasir halus yang dibawa dari luar, dipercayai dari Karak dan Bentong di Pahang," dakwanya.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati aktiviti korek pasir itu berlaku secara terbuka terutama berhampiran dengan pintu belakang kampus UIAM tanpa diambil tindakan oleh mana-mana pihak.

Operator pasir tersebut didapati tidak membersihkan jalan keluar masuk atau membina takungan air untuk membersihkan tayar-tayar lori yang berpasir dan berdebu itu.

Kegiatan korek pasir ini dipercayai menjadi antara punca berlakunya pencemaran alam sekitar yang teruk di kampus UIAM apabila anak Sungai Pusu yang mengalir dari lokasi korek pasir itu kini mengalami mendapan pasir dan lumpur yang teruk apabila banyak alirannya disekat dan tercemar.

Prasarana nafi kontraktornya curi air

Posted: 29 May 2013 11:15 AM PDT

KUALA LUMPUR 29 Mei - Syarikat Prasarana Negara Berhad (Prasarana) menafikan dakwaan salah sebuah syarikat kontraktor yang dilantiknya terlibat dengan kes kecurian air yang berlaku di sebuah tapak pembinaan stesen Transit Aliran Ringan (LRT) di Sri Keladi, Bukit Jalil di sini.

Pengarah Kumpulan Prasarana bagi Pembangunan Projek Prasarana, Zulkifli Mohd. Yusoff berkata, pihaknya telah menyiasat dakwaan itu, dan kontraktor yang terlibat dalam projek sambungan laluan LRT (LEP) berkenaan telah menafikan melakukan perbuatan itu.

"Paip air high-density polyethylene (HDPE) yang dikenal pasti oleh pihak Syabas telah dipasang secara haram sebenarnya ialah sebahagian daripada sistem rangkaian paip air yang disambung kepada meter air untuk sub stesen Tenaga Nasional Berhad (TNB) di situ dan meter itu dipercayai telah dicuri minggu lepas," katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan Utusan Malaysia hari ini mengenai tapak pembinaan stesen LRT berkenaan diserbu oleh pihak Syabas kerana syarikat kontraktor projek itu disyaki mencuri air sejak lebih dua tahun lalu.

Menurut Zulkifli, pada tahun lalu pihak kontraktor terlebih dahulu menyiapkan laluan sambungan LRT Ampang bagi mengambil alih tapak untuk menyediakan kawasan pembinaan stesen LRT.

"Untuk membersihkan kawasan bagi pembinaan LEP, pihak kontraktor terpaksa mengalihkan pili bomba sedia ada di sub stesen TNB itu ke lokasi baharu.

"Paip HDPE digunakan untuk menyambung sumber air kepada meter air pencawang TNB," jelasnya.

Katanya, pihak kontraktor kerja-kerja awal telah menyiapkan kerja-kerja dalam tempoh beberapa bulan dan menyerahkan tapak itu kepada kontraktor yang bertanggungjawab bagi projek LEP.

"Berlawanan dengan dakwaan Syabas, kontraktor berkenaan tidak mengambil air yang disalurkan ke sub stesen TNB untuk membersihkan kenderaan berat dan ringan miliknya. Tambahan pula, ruang terhad di tapak itu tidak membolehkan aktiviti seperti itu dilakukan.

"Kami memandang serius dakwaan ini dan sedia membantu serta memberi sokongan penuh kepada pihak berkuasa untuk menyiasat perkara tersebut," ujarnya.

0 ulasan:

Catat Ulasan