Khamis, 16 Mei 2013

Utusan Online - Kota

Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


UIAM malu tercemar teruk

Posted: 15 May 2013 01:21 PM PDT

Oleh SITI AINIZA KAMSARI
kota@utusan.com.my

KAWASAN hutan yang telah dibersihkan oleh sebuah syarikat ini dipercayai menjadi punca pencemaran Sungai Pusu yang turut mengalir ke dalam kawasan kampus UIAM Gombak.

SUNGAI yang mengalir ke dalam kawasan UIAM ini dahulunya jernih dan menjadi daya tarikan kepada pelawat.

WAKIL agensi kerajaan turut dibawa melihat anak sungai di dalam kawasan kampus UIAM yang tercemar akibat aktiviti pembersihan hutan berdekatan di Gombak, Selangor.

GOMBAK 15 Mei - Kawasan sekitar kampus induk Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini diancam masalah pencemaran alam sekitar yang teruk ekoran pelbagai aktiviti penerokaan hutan seluas kira-kira lima hektar berdekatan dengan kampus tersebut.

Akibat daripada kerja-kerja pembersihan hutan itu, kini beberapa anak sungai yang mengalir di dalam kawasan kampus, kolam-kolam tebatan banjir, kolam serta tasik-tasik rekreasi di universiti itu dijangka akan mati dalam tempoh lima tahun lagi.

Pengarah Bahagian Pembangunan UIAM, Datuk Ir. Shaffei Mohamad berkata, pembukaan hutan itu juga menimbulkan masalah banjir kilat di dalam kawasan UIAM yang menjejaskan 22,000 warganya, termasuk kakitangan dan pelajar.

Masalah banjir kilat berlaku terutama apabila hujan lebat yang kerap kebelakangan ini. Apabila banjir, jalan dalam kawasan kampus ditenggelami air malah telah ada kejadian air melimpah sehingga ke bilik-bilik kuliah, penempatan pelajar dan kakitangan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Difahamkan, kawasan hutan itu dibersihkan untuk projek membina rumah.

Ekoran masalah itu, pihaknya mengambil inisiatif membawa sekumpulan pegawai akademik dan pentadbiran UIAM serta wakil-wakil dari beberapa agensi kerajaan untuk melihat sendiri kawasan yang telah tercemar dan yang menjadi punca pencemaran.

Wakil agensi kerajaan yang hadir termasuk dari Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Jabatan Perhutanan, Pejabat Tanah dan Galian Gombak dan Majlis Perbandaran Selayang.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati beberapa anak sungai dari Sungai Pusu yang menjadi saliran utama di kawasan itu teruk tercemar. Alirannya tersekat oleh timbunan lumpur dan pasir yang menyebabkan sungai menjadi cetek dan mengecil manakala kejernihan dan kualiti air terjejas.

Air anak sungai di dalam kawasan kampus, yang selama ini menjadi tumpuan termasuk pelawat dalam dan luar negara, juga menjadi keruh dan tidak lagi dapat dibanggakan oleh warga UIAM.

Melihatkan keadaan yang teruk ini, menyebabkan kami di pihak pentadbiran berasa sangat malu. Sebagai sebuah kampus universiti Islam yang dikurniakan alam sekitar yang hijau dan cantik, pencemaran seperti ini tidak sepatutnya berlaku.

Sukar untuk kami menjawab terutama apabila pelawat merungut dan tidak berpuas hati dengan keadaan kolam rekreasi dan sungai yang tercemar ini.

Seolah-olah kami tidak mengambil berat soal melestarikan alam sekitar sedangkan UIAM begitu menjuarai dalam pelbagai bidang akademik tetapi dalam hal alam sekitar kami dianggap gagal dan ini sangat memalukan," kata Shaffei.

Menurut beliau, UIAM membelanjakan hampir RM1.2 juta setiap tahun untuk mengatasi masalah pencemaran itu, termasuk memperbaiki dari aspek teknikal.

Namun sampai bila kami harus berbelanja besar untuk menjaga alam sekitar yang semakin teruk tercemar akibat perbuatan orang lain.

Tidak guna kami melakukan pelbagai usaha tetapi pihak lain terutama pemaju yang mengusahakan pembukaan tanah secara berfasa-fasa berhampiran dengan UIAM ini terus menerus merosakkan alam sekitar yang menyebabkan kampus ini menjadi mangsa," katanya.

Mula beroperasi hari ini

Posted: 15 May 2013 01:21 PM PDT

DERETAN teksi bandar menunggu penumpang pada hari pertama perkhidmatan teksi bandar dibenarkan mengambil penumpang di KLIA, Sepang semalam. - BERNAMA

SEPANG 15 Mei - Langkah membenarkan perkhidmatan teksi bandar beroperasi di aras satu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mulai hari ini mendapat reaksi positif penumpang dan pemandu teksi bandar.

Fazilah Siraj, 54, berkata, langkah Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) itu amat baik kerana ia memudahkan penumpang memilih perkhidmatan teksi mengikut keperluan dan menjimatkan masa apabila penumpang tidak perlu menunggu lama untuk mendapatkan teksi.

"Dengan adanya teksi bandar di KLIA ini, pelanggan macam saya ada pilihan memilih sama ada nak naik teksi limousin atau teksi bandar, lagi pun saya tidak perlu tunggu lama-lama," katanya.

Isnin lepas, Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Albar mengumumkan perkhidmatan teksi bandar akan beroperasi di aras satu bangunan Terminal Utama KLIA manakala teksi limousin kekal beroperasi di aras tiga.

Beliau berkata, perluasan perkhidmatan di bawah sistem dua peringkat iaitu limousin lapangan terbang dan teksi bandar; tempoh menunggu penumpang diyakini dapat dikurangkan daripada 45 hingga 60 minit kepada 10 minit terutama pada waktu puncak, selain mengurangkan masalah 'ulat' di KLIA.

Pendapat sama turut dikongsi R. Murali, 49, yang berkata: "Saya hendak cerita lebih saya tidak tahu sebab ini kali pertama hendak cuba, namun saya rasa ini lebih senang, sebab saya terus boleh dapatkan teksi serta-merta".

William Lee, 63, pula berkata, beliau masih kurang faham akan cara teksi bandar itu beroperasi, antaranya seperti daripada segi caj yang dikenakan dan kaedah yang diguna pakai untuk menjamin keselamatan penumpang.

Bagaimanapun, beliau menyambut baik langkah SPAD itu kerana dapat memudahkan penumpang mendapatkan teksi dengan penawaran pilihan teksi bandar yang banyak.

Beberapa pemandu teksi bandar yang ditemui juga menyatakan rasa gembira dan teruja dengan langkah itu yang akan dapat menjana pendapatan tambahan untuk mereka.

Hayat Ali Mohamad, 41, berkata, langkah SPAD itu membuka ruang kepadanya termasuk pemandu teksi yang lain menjana pendapatan lebih.

"Sebelum ini teksi bandar hanya dibenarkan menghantar penumpang sahaja ke KLIA dan tidak boleh mengambil penumpang. Tetapi selepas ini pemandu teksi macam saya bila hantar penumpang tidak perlu balik dengan kosong lagi ke KL (Kuala Lumpur) seperti sebelum ini yang ada pembaziran tol dan minyak," katanya.

Hayat yang sudah tiga tahun memandu teksi berkata, langkah itu membuktikan program transformasi kerajaan untuk membantu pemandu teksi berjaya dilaksanakan, sekali gus menunjukkan keprihatinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak terhadap nasib golongan pemandu teksi.

Halimah Ibrahim, 35, pula berkata, beliau menyambut baik langkah itu kerana dapat membantunya mencari pendapatan lebih.

"Sekarang cuma saya keliru sedikit dengan kawasan ini. Macam teksi bandar seperti saya ini kawasan yang boleh saya hantar penumpang hingga ke Lembah Klang sahaja, kalau seperti ke Melaka dan Cameron Highlands boleh lagi sebab kawasan pelancongan. Bagaimana dengan kalau penumpang saya yang ingin balik ke Perak, Ipoh misalnya.

"Tetapi berdasarkan taklimat pagi tadi dengan SPAD, mengatakan boleh tunjuk teksi chit yang telah dicap kalau hendak keluar ke luar kawasan, tetapi belum ada hitam putih lagi. Kalau boleh saya hendak penjelasan lanjut berhubung perkara ini," katanya.

Nadirman Nadar, 56, yang sudah 15 tahun menjadi pemandu teksi berkata, langkah SPAD itu sangat bagus kerana penumpang di Terminal KLIA lebih ramai jika dibandingkan di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT), sekali gus memberikan pendapatan harian yang lebih.

"Saya tidak tahu apakah secara keseluruhannya yang boleh dinilaikan tetapi bagi saya apa yang SPAD buat ini memang bagus. Saya rasa boleh bagi kebaikan kepada pemandu teksi bandar," katanya.

Tinjauan Bernama mendapati beberapa kakitangan SPAD turut membuat pemantauan di aras satu bangunan terminal utama berkenaan bagi mengawasi teksi-teksi bandar yang tiba di KLIA.

Pemantauan bertujuan memastikan pemandu teksi bandar berdisiplin dan berhemah. — BERNAMA

Ahmad Fauzi akan selesaikan masalah secara berterusan

Posted: 15 May 2013 01:21 PM PDT

AHMAD Fauzi Zahari (kiri) berbual dengan orang ramai selepas majlis tahlil dan Yasin sebagai meraikan kemenangannya pada PRU-13 di Masjid Taman Sri Rampai, Kuala Lumpur baru-baru ini.

KUALA LUMPUR 15 Mei - Ahli Parlimen Setiawangsa, Datuk Ahmad Fauzi Zahari bertekad akan menyelesaikan segala permasalahan yang berlaku di kawasannya secara berterusan.

Menurut Ahmad Fauzi, dia tidak mahu menjadi pemimpin yang hanya turun padang untuk meraih undi ketika Pilihan Raya Umum (PRU) sahaja dan 'ghaib' selepas menang.

"Terdapat 1,001 masalah di setiap kawasan, oleh itu saya akan berusaha untuk selesaikan setiap satu daripadanya agar rakyat di kawasan Parlimen ini dapat menjalani kehidupan harian yang selesa.

"Segala masalah yang diaju penduduk di kawasan ini semasa saya berkempen untuk PRU-13 juga akan diselesaikan segera tanpa mengira agama, bangsa, kaum dan ideologi politik," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Dalam pada itu, menurutnya, beberapa masalah di kawasan itu telah pun diambil tindakan.

"Kami telah menyelesaikan masalah ketiadaan lampu, kipas rosak serta longkang tersumbat di pasar Cina Jalan Ayer Panas," jelasnya.

Ditanya mengenai perbezaan ketara majoriti yang dimenanginya iaitu sebanyak 1,390 berbanding Datuk Seri Zulhasnan Rafique 8,134 pada PRU-12 menurutnya, jumlah tersebut agak memgejutkan beliau.

"Saya akan mengkaji mengenai kekurangan yang ada. Sekiranya ada kekurangan atau keperluan pada golongan tertentu saya akan cuba atasi dengan segera.

"Mengenai keputusan PRU ini yang didakwa lebih kepada 'tsunami Cina' saya berharap satu kajian khusus dibuat bagi memastikan punca sebenar perkara ini berlaku," ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Fauzi turut menggesa agar penduduk di kawasan itu mengetepikan soal perkauman dan sama-sama bekerjasama memajukan Setiawangsa agar menjadi sebuah kawasan yang selesa untuk diduduki oleh semua kaum.

0 ulasan:

Catat Ulasan