Khamis, 30 Mei 2013

Utusan Online - Pahang

Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Pahang, Rusia hasil vaksin demam denggi

Posted: 30 May 2013 11:40 AM PDT

Oleh MOHAMAD SHOFI MAT ISA
shofi.isa@utusan.com.my

KUANTAN 30 Mei - Pahang Technology Resources Sdn. Bhd. (PTR) yang merupakan syarikat milik kerajaan (GLC) negeri ini mengadakan kerjasama dengan dua syarikat farmaseutikal Rusia bagi menghasilkan vaksin demam denggi.

Dua syarikat dari Rusia itu adalah Aboilek LLC dan NT Pharma LLC yang terkenal sebagai pengeluar vaksin generasi baharu dan produk-produk biofarmaseutikal untuk pasaran dunia.

Ketua Pegawai Eksekutif PTR, Sazali Mohd. Nor berkata, selain syarikat itu, dua lagi syarikat di negara ini turut terlibat dalam kerjasama tersebut iaitu Biopharma Today Sdn. Bhd. dan Medical Today Sdn. Bhd..

Menurutnya, dua syarikat dari Rusia itu bersetuju melaksana projek berskala besar melibatkan perpindahan teknologi dari negara itu ke negara ini.

"Kita telah melakukan rundingan selama lapan bulan untuk melaksana projek bernilai kira-kira RM250 juta ini.

"Dianggarkan sebanyak RM92 juta akan digunakan untuk pembinaan kilang bagi projek itu manakala sebanyak RM153 juta untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D) mengenai penyakit demam denggi," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob.

Sazali berkata, pihaknya mengenal pasti dua lokasi untuk pembinaan kilang bagi projek itu iaitu sama ada di Lanchang dan Gambang.

Sementara itu, ditanya mengenai aspek keselamatan kilang tersebut, Adnan berkata, PTR akan memainkan peranan memberi penjelasan kepada rakyat mengenai projek berimpak tinggi tersebut.

"Kita akan sentiasa memastikan sesuatu yang kita lakukan bukan sahaja selamat, malah akan memberi faedah kepada rakyat keseluruhannya," katanya.

Tubuh jawatankuasa lindungi pengguna

Posted: 30 May 2013 11:40 AM PDT

SHAHIRUDDIN Ab. Moin (kiri) mengadakan perbincangan bersama kakitangan Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK)di Kuantan, kelmarin.

KUANTAN 30 Mei - Kerajaan negeri bercadang menubuhkan jawatankuasa khas melibatkan pengguna di setiap daerah bagi memantau situasi jual beli supaya tidak berlaku penyelewengan dan penipuan yang akan merugikan pengguna.

Pengerusi Jawatankuasa Koperasi, Keusahawanan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Shahiruddin Ab. Moin berkata, usaha itu perlu dilaksana dengan melibatkan pelbagai kaum terdiri daripada pengguna, peniaga, agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Menurut beliau, langkah itu sebagai pendekatan lebih meluas bagi mendengar permasalahan kepenggunaan daripada peringkat akar umbi.

"Hala tujunya mudah sahaja, kita mahu menjaga hak pengguna supaya mereka tidak tertipu dan rakyat boleh menggunakan sumber kewangan secara berhemah dan jimat di samping menggerakkan kesedaran kepada golongan peniaga bagi mewujudkan situasi perniagaan yang baik," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Di samping itu, katanya, Jabatan Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan negeri juga akan meningkatkan penguatkuasaan secara bersepadu melibatkan kerjasama pelbagai agensi kerajaan termasuk polis.

Shahiruddin menambah, perkara itu bertujuan memastikan segala usaha yang telah dijalankan selama ini dapat memberi impak berkesan kepada masyarakat dalam urusan kepenggunaan.

"Penguatkuasaan yang dilakukan jabatan adalah berterusan dan ada keberkesanannya, tinggal lagi kita harus mencari jalan supaya hasil usaha ini akan lebih hebat dan benar-benar memberi kesan supaya pengguna tidak tertipu," katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta kerjasama orang ramai memberi maklumat terhadap sebarang penipuan seperti cetak rompak menerusi gerak gempur yang dilaksana pihak penguatkuasa.

Katanya, selain pendekatan kepada pengguna dewasa, jabatan itu turut mendekati pengguna remaja dan kanak-kanak dengan penubuhan kelab pengguna di kebanyakan sekolah.

"Dalam tempoh lima tahun akan datang, hampir 60 peratus adalah pengguna muda berusia antara 18 hingga 45 tahun.

"Jadi amat baik kalau kita bertindak dari sekarang dengan menjelajah ke sekolah-sekolah," katanya.

Beliau berharap menerusi penubuhan kelab itu akan meningkatkan kesedaran terhadap hak kepenggunaan dengan wujudnya pelbagai dasar dan akta berkaitan demi membela kepentingan mereka selain mewujudkan perbincangan dua hala antara pelajar dengan jabatan berkaitan.

Utamakan pemakaian jaket keselamatan

Posted: 30 May 2013 11:40 AM PDT

JERANTUT 30 Mei - Pemandu dan penumpang bot penambang Taman Negara Kuala Tahan dan Hulu Tembeling diminta memakai jaket keselamatan ketika bergerak ke lokasi tertentu di pusat pelancongan itu dan kampung di pesisiran Sungai Tembeling di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tahan, Datuk Wan Amizan Wan Abdul Razak berkata, perkara itu penting kerana perkara tersebut merangkumi keselamatan ketika berada di kawasan perairan termasuk sungai.

"Pengusaha bot terbabit diingatkan jangan tunggu sehingga musim tengkujuh dan paras air sungai naik baharu hendak mengenakan jaket keselamatan, tetapi peraturan ini wajib dilaksanakan sepanjang masa.

"Tragedi bot ekspres karam di Belaga, Sarawak kelmarin membabitkan kehilangan nyawa sewajarnya dijadikan iktibar dalam kalangan pengusaha bot penambang di negeri ini," katanya kepada pemberita di Kuala Tahan di sini semalam.

Katanya, air Sungai Tembeling yang kadang kala melebihi paras biasa berikutan hujan lebat di kawasan hulu sejak beberapa hari lalu boleh mengundang risiko keselamatan pemandu dan penumpang bot termasuk pelancong khususnya ketika melalui kawasan jeram.

0 ulasan:

Catat Ulasan