Khamis, 23 Mei 2013

Utusan Online - Politik

Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Politik


Tian Chua, Haris, Tamrin ditahan

Posted: 23 May 2013 12:06 PM PDT

Oleh AZRAI MOHAMMAD
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 23 Mei - Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tian Chua serta dua individu propembangkang, Haris Fathillah Mohamed Ibrahim dan Tamrin Abdul Ghafar ditahan polis tengah hari ini kerana dipercayai menghasut orang ramai bagi menggulingkan kerajaan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh berkata, kesemua mereka ditahan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 berkaitan ucapan ketiga-tiganya dalam satu forum mengenai Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) anjuran Suara Anak Muda Malaysia (SAMM) di Dewan Perhimpunan Cina di sini pada 13 Mei lalu.

"Tian Chua ditahan di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT), Sepang dekat sini, sementara Tamrin ditahan di Bangsar dan Haris pula di Segambut.

"Setakat ini mereka masih lagi dalam tahanan di Lokap Berpusat Kuala Lumpur, Jinjang. Sama ada mereka ditahan reman atau sebaliknya bergantung pada proses siasatan," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini hari ini.

Ditanya dakwaan segelintir pihak bahawa Akta Hasutan 1948 telah dimansuhkan, Mohmad menegaskan, akta tersebut masih berkuat kuasa serta diguna pakai oleh pihak polis dalam siasatan dan pendakwaan di mahkamah.

"Polis masih lagi menjalankan siasatan mengikut akta tersebut dan sekiranya ada bukti menunjukkan kesalahan itu berlaku, polis akan dakwa pesalah di mahkamah. Sama ada akta itu sah atau tidak itu bergantung kepada keputusan mahkamah," ujarnya.

Sementara itu, Mohmad berkata, pihaknya tidak akan bertoleransi lagi dengan mana-mana pihak yang cuba mengadakan perhimpunan di lokap atau pusat tahanan bagi mendesak polis membebaskan tahanan.

"Jika ada rasa tidak puas hati, bukan cara protes di jalanan, sila bawa ke mahkamah atau saluran-saluran betul yang kita ada," ujarnya.

PKR 'bangga' rakyat langgar undang-undang Singapura

Posted: 23 May 2013 12:06 PM PDT

KUALA LUMPUR 23 Mei - Parti Keadilan Rakyat (PKR) secara terbuka mengakui berbangga dengan 21 rakyat Malaysia di Singapura yang ditahan polis republik itu atas kesalahan berhimpun kerana menyifatkannya sebagai kebebasan bersuara mereka yang mahukan keadilan sistem pilihan raya di negara sendiri.

Sehubungan itu, empat pimpinan kanan PKR iaitu dua Naib Presiden, Nurul Izzah Anwar dan Datuk Chua Jui Meng serta Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin dan Ahli Parlimen Batu Pahat, Datuk Idris Jauzi hari ini menyerahkan memorandum kepada Suruhanjaya Tinggi Singapura di Jalan Tun Razak di sini hari ini.

Pengerusi pertubuhan bukan kerajaan haram Bersih, Datuk S. Ambiga turut hadir bagi menyatakan sokongan terhadap PKR dan tindakan rakyat Malaysia terbabit.

Ketika ditemui media selepas penyerahan itu, Tze Tzin berkata, tindakan 21 rakyat Malaysia tersebut merupakan satu bentuk patriotisme kerana mahukan keadilan di tanah air sendiri dan tiada kena-mengena dengan Singapura.

Katanya, PKR juga sedaya-upaya akan menyediakan bantuan kepada mereka yang terbabit sekiranya diperlukan.

"Dan kita sebagai rakyat Malaysia cukup bangga dengan tindakan mereka, walaupun mereka ada langgar undang-undang di Singapura tetapi itu satu kebebasan suara rakyat Malaysia.

"Mereka tidak berniat untuk langgar sebarang udang-undang atau cabar kerajaan Singapura tapi tindakan mereka terhadap Malaysia, tiada kena-mengena dengan kerajaan Singapura (kerana) mereka nak tunjuk patriotisme terhadap Malaysia," katanya.

Memorandum tersebut antaranya menyatakan kebimbangan PKR terhadap 21 rakyat Malaysia yang ditahan akibat menganjur dan menyertai protes haram di Singapura pada 11 Mei lalu.

Akibat protes haram di Merlion Park di republik tersebut pada 11 Mei lalu, salah seorang peserta dibatalkan permit kerja di Singapura, sementara dua lagi menghadapi pembatalan pas lawatan sosial ke negara jiran tersebut.

0 ulasan:

Catat Ulasan