Isnin, 27 Mei 2013

Utusan Online - Utara

Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Transformasi bandar raya Ipoh

Posted: 26 May 2013 11:48 AM PDT

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my

SEBAHAGIAN daripada bandar raya Ipoh walaupun terus dijana sehingga mengalami pembangunan pesat, tetapi ia tidak mengabaikan penjagaan bangunan warisan.

IPOH 26 Mei - Sekitar tahun 1895, Ipoh muncul sebagai sebuah bandar terbesar di Perak dan kedua terbesar di negeri-negeri Melayu bersekutu.

Ketika itu, jalan raya menghubungi Lembah Kinta diperbaiki, malah jambatan kayu yang dibuka pada 1890 menyeberangi Sungai Kinta juga telah diganti dengan jambatan besi.

Setelah lima tahun Ipoh dan Menglembu Town Council ditubuhkan bermula 1957, statusnya kemudiannya telah dinaik taraf ke Majlis Perbandaran Ipoh yang dipengerusikan oleh E.G. Walker.

Pada 27 Mei 1988, Ipoh mencatat lembaran baharu apabila Sultan Perak, Sultan Azlan Shah telah mengisytiharkan taraf bandar raya kepada ibu negeri Perak sekali gus melayakkan jawatan Ketua Eksekutif Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) digelar sebagai Datuk Bandar.

Namun, cabaran membangunkan Ipoh pada masa kini bukan sesuatu yang mudah buat Datuk Bandar, Datuk Roshidi Hashim (gambar), apatah lagi masih wujud persepsi yang menganggap Ipoh sebagai 'bandar pencen'.

Bagi Roshidi, penekanan yang diberikan ialah mengekalkan konsep 'bersih, hijau dan membangun' serta memperkenalkan Program Transformasi MBI seawal tahun 2011.

"Kita meletakkan kegemilangan Ipoh sebagai bandar terbersih di Malaysia selain memastikannya selamat untuk dihuni. Program penghijauan bandar dapat dilihat melalui 'Greening Greentown' serta membangunkan beberapa taman awam seperti Taman Rekreasi Gunung Lang, Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz dan Taman Dr. Seenivasagam.

"Segala perancangan yang kita laksanakan juga selari dengan tujuh Bidang Keberhasilan Utama (KRA) dalam Pelan Perak Aman Jaya serta Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA)," katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Dalam pada itu, Roshidi berkata, kepesatan Ipoh terserlah apabila MBI menjadi pihak berkuasa tempatan (PBT) yang menerima jumlah permohonan cadangan pemajuan kedua tertinggi di Malaysia selepas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Beliau berkata, peranan MBI dalam meluluskan pelan-pelan cadangan pemajuan dengan segera melalui Pusat Kelulusan Setempat (OSC) yang diperkenalkan sejak 2007, berjaya menambah baik sistem penyampaian serta mengurangkan kerenah birokrasi.

"Sistem ini dapat memudahkan kelulusan permohonan pembangunan tanah, pelan bangunan, kerja tanah, jalan dan parit dengan mematuhi peruntukan di bawah Kanun Tanah Negara 1965, Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 serta Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974," katanya.

Menurut Roshidi, sejak OSC diwujudkan di MBI, sebanyak 462 cadangan pembangunan komersial telah diluluskan dan daripada jumlah itu, sebanyak 266 projek telah siap dibina sekali gus berjaya mengubah landskap pembangunan bandar raya Ipoh.

"Antara projek yang telah siap dibina termasuklah pasar raya Mydin di Meru Raya dan Manjoi, kompleks beli-belah AEON Station 18, Hotel Kinta Riverfront, Banjaran Hot Spring Retreat Ipoh, MH Hotel, Sunway Lost World Hotel serta Terminal Aman Jaya di Meru Raya," katanya.

Dalam pada itu, Roshidi turut menjangkakan, perubahan demi perubahan bakal mengubah wajah Ipoh apabila beberapa lagi projek komersial yang telah diluluskan akan mengambil masa beberapa tahun untuk disiapkan.

Beliau berkata, projek berkenaan termasuklah Hotel Casuarina dan Taman Tema Animasi di Meru Raya, Ipoh Shoe City di Pengkalan, Kompleks beli-belah AEON dan pasar raya Econsave di Klebang, Hotel Cititel, Majestic Tower, The Octagon, Ipoh SOHO, Tin City di Falim serta Pusat Konvensyen Ipoh.

"Jumlah permohonan cadangan pemajuan yang diterima oleh MBI adalah meningkat dari setahun ke setahun. Pada tahun 2008, kita menerima 785 permohonan diikuti 2,380 (2009), 2,458 (2010), 2,887 (2011) dan mencecah 4,445 permohonan pada 2012," katanya.

Pekan Guar Chempedak perlu diperbesar bagi manfaat rakyat

Posted: 26 May 2013 11:48 AM PDT

JERAI 26 Mei - Pekan Guar Chempedak di sini perlu diperbesarkan berikutan pertumbuhan ekonomi khususnya dalam bidang perniagaan yang semakin rancak ketika ini.

Ahli Parlimen Jerai, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, langkah berkenaan penting bagi memberi keselesaan dan menampung keperluan penduduk dalam jangka masa panjang.

Beliau memberikan contoh legaran ekonomi di kawasan berkenaan yang amat memberangsangkan terutama semasa operasi pasar malam atau pasar mingguan dengan pelanggannya adalah dari seluruh Parlimen ini.

Sebab itu saya melihat ada ruang untuk peningkatan dan kita dapat melihat kesesakan jalan raya serta kedudukan premis perniagaan di pasar Guar Chempedak.

Sudah sampai masa kita harus memikirkan kawasan ini mempunyai bandar yang lebih luas," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-42 Koperasi Pasar Mingguan Guar Chempedak di sini semalam.

Jamil Khir yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, rancangan tersebut bagaimanapun memerlukan pelaburan dan penambahbaikan dengan mencari tapak baharu atau memperbesarkan pekan berkenaan.

Selain itu katanya, semua pihak harus memberikan kerjasama agar usaha demi manfaat rakyat tersebut dapat dilaksanakan.

Kita akan panjangkan kepada pihak atasan kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan dalam melihat peluang untuk membangunkan kawasan ini.

Perlu ada pelan pembangunan jangka masa panjang dan majlis kerajaan tempatan juga harus melihat secara serius cadangan ini," katanya.

Pesta kahwin-kahwin, makanan meriah

Posted: 25 May 2013 11:48 AM PDT

Tunku Puteri Intan Safinaz Tunku Abdul Halim Mu'adzam Shah turut menjamu selera bersama pasangan pengantin, Shaiful Shahidan dan Faatin Zaahira Zainul Roseli dalam Karnival Kahwin-Kahwin dan Pesta Makanan Tradisional Negeri Kedah 2013 di Perkampungan Tradisional Gunung Keriang, Alor Setar, Kedah, semalam. - MINGGUAN/ KAMAL BASIR

ALOR SETAR 25 Mei - Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tuanku Panglima Besar Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Tunku Abdul Halim Mu'adzam Shah hari ini merasmikan Karnival Kahwin-Kahwin dan Pesta Makanan Tradisional Negeri Kedah 2013 di Perkampungan Tradisional Gunung Keriang di sini.

Karnival anjuran Seri Panglima Sdn. Bhd. (SPSB) yang bermula semalam itu meriah dengan acara kemuncaknya iaitu majlis resepsi pasangan pengantin, Shaiful Shahidan, 31, dan Faatin Zaahira Zainul Roseli, 27, yang disandingkan dengan sentuhan perunding perkahwinan terkenal, Rizalman Ibrahim.

Sebagai meraikan pengantin, Tunku Puteri Intan Safinaz turut merenjis air mawar kepada kedua-dua mempelai yang diijabkabulkan 31 Mac lalu di pelamin.

Hadir sama memeriahkan majlis, Toh Puan Temenggung Kedah, Puan Sri Tengku Maliha Tengku Ariss; Pengerusi Belia dan Sukan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan, Badan-Badan Bukan Kerajaan, Aminuddin Omar yang mewakili Menteri Besar; Pengerusi Agama, Hal Ehwal Masyarakat India dan Siam, Sumber Tenaga Manusia, Pelancongan, Mohd. Rawi Abd. Hamid dan Ketua Pegawai Eksekutif SPSB, Wan Ahmad Muazzam Wan Ismail.

Ketika menjamu selera, jemputan yang hadir turut dihiburkan dengan persembahan nyanyian artis popular seperti Black dan Mila serta persembahan kebudayaan.

Karnival kali kedua itu diadakan dengan sokongan Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia, Kerajaan Negeri Kedah serta Muzium Negeri Kedah Darul Aman dan dijangka menarik 15,000 pengunjung.

Pelbagai aktiviti menarik diadakan sejak semalam seperti wayang kulit, parti ghazal dan lain-lain lagi termasuk pameran pengantin.

0 ulasan:

Catat Ulasan