Isnin, 20 Mei 2013

Utusan Online - Pahang

Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Jangan takut derma buah pinggang

Posted: 20 May 2013 12:09 PM PDT

Oleh ALI MAHMOOD
utusanktn@gmail.com

Pasukan doktor melakukan pembedahan pemindahan buah pinggang seorang penderma. - Gambar hiasan

TEMERLOH 20 Mei - Seramai 17,138 pesakit buah pinggang di seluruh negara kini hidup menderita kerana tiada insan lain yang sanggup menderma organ itu bagi membantu mereka meneruskan kehidupan harian secara normal seperti orang lain.

Secara umumnya rakyat negara ini yang sihat belum bersedia untuk menderma buah pinggang kepada mereka yang memerlukan kerana beranggapan kehilangan salah satu buah pinggang akan menyebabkan kehidupan tidak sempurna.

Malah, mereka beranggapan penderma organ tersebut mungkin akan berhadapan dengan pelbagai kompilasi penyakit lain apabila salah satu buah pinggang diberikan kepada orang lain.

Pelbagai stigma dan mitos disebarkan menyebabkan rakyat masih meragui kenyataan bahawa hanya memiliki satu buah pinggang, mereka masih boleh menjalani hidup seperti biasa.

Menurut Pakar Nefrologi dan Ketua Jabatan Perubatan Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas), Dr. Rafidah Abdullah, kepercayaan terhadap perkara itu menjadi satu halangan besar bagi membantu pesakit buah pinggang hidup lebih baik.

Katanya, ramai beranggapan pendermaan buah pinggang adalah langkah paling akhir bagi menyelamat nyawa penghidap penyakit berkenaan.

"Kita mungkin berpendapat proses dialisis yang dilalui oleh pesakit terbabit adalah satu alternatif terbaik yang perlu dijalani oleh mereka daripada menerima buah pinggang orang lain atau saudara mara terdekat.

"Pandangan seperti itu adalah salah, sebenarnya menerima organ berkenaan adalah lebih baik dan menjadi pilihan utama kerana bukan sahaja menjimatkan kos rawatan tetapi pesakit dapat menjalani kehidupan seperti biasa," katanya.

Beliau berkata demikian semasa ditemui pada program pameran dan khidmat Pendidikan Pesakit Dialisis Mengenai Pemindahan Buah Pinggang di hospital tersebut di sini baru-baru ini.

Rafidah berkata, mereka yang menderma buah pinggang tidak akan mengalami komplikasi lain dan akan hidup sihat seperti sebelum menderma organ berkenaan.

Beliau menjelaskan, kaedah menerima buah pinggang itu adalah menjimatkan perbelanjaan berbanding proses menjalani rawatan dialisis sepanjang hayat.

"Perbelanjaan hemodialisis memerlukan perbelanjaan RM33,000 setahun bagi setiap pesakit, sedangkan proses pemindahan adalah jimat iaitu lebih separuh daripada perbelanjaan kerana hanya sekali proses pembedahan dijalankan dan dilakukan secara percuma di hospital kerajaan," katanya.

Menurutnya, beliau sendiri mempunyai seorang adik yang sejak lahir mempunyai satu buah pinggang sahaja tetapi menjalani kehidupan normal seperti orang lain yang mempunyai dua organ itu.

Ujarnya, daripada pemantauan, kajian dan analisis terhadap penderma mendapati mereka tidak menghadapi sebarang penyakit lain.

"Jadi pemindahan dan rawatan buah pinggang adalah jalan terbaik dengan melibatkan penderma daripada kalangan ahli keluarga dan adalah rawatan terbaik serta sesuai terutama bagi pesakit yang masih muda.

"Berbanding menerima rawatan dialisis, hidup mereka tidak bebas apabila terikat dengan masa kerana banyak dihabiskan menjalani proses tersebut iaitu tiga kali seminggu selama empat jam,'' katanya.

Selain itu katanya, mereka juga terpaksa berpantang dalam aspek pemakanan dan sudah tentunya menyebabkan kehidupan golongan itu terbatas serta turut mengganggu tugas bagi yang bekerja.

Dalam pada itu, Ketua Unit Perkhidmatan Transplant, Bahagian Perkembangan Khidmat Perubatan Kementerian Kesihatan, Dr. Raja Farah Baizura Raja Shahruddin memberitahu, adalah wajar pesakit dan keluarganya mendapatkan khidmat nasihat di hospital bagi memastikan kaedah terbaik membantu pesakit buah pinggang terutama daripada kalangan keluarga sendiri.

Katanya, program kesedaran mengenai menderma buah pinggang kepada pesakit oleh ahli keluarga sudah lama diperkenalkan tetapi kurang mendapat sambutan berikutan masyarakat takut menerimanya.

"Kaedah menderma dan menerima buah pinggang tidak mendatangkan risiko atau komplikasi kesihatan kerana pesakit serta keluarga akan menjalani pemeriksaan kesihatan secara teliti.

"Kaedah ini membantu pesakit mendapatkan buah pinggang lebih cepat kerana jumlah pesakit yang mendaftar di Sistem Perkongsian Organ Malaysia (eMOSS) untuk mendapatkan buah pinggang semakin bertambah,'' ujarnya.

Katanya, mengikut rekod terdapat 22 penderma dan pemindahan buah pinggang telah dilakukan di seluruh negara sejak 1975 sehingga kini daripada 44 individu yang berikrar menderma buah pinggang.

"Di Pahang, terdapat 12 proses pemindahan organ berkenaan bagi tempoh yang sama iaitu dua kes di Hoshas, satu di Kuantan Special Cantre dan sembilan di Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan," jelasnya.

Tambah beliau, sehingga akhir tahun lalu terdapat 216,140 individu berikrar menderma organ dan daripada jumlah itu 1,561 orang bersetuju mendermakan buah pinggang, iaitu 1,159 orang sanggup menderma organ tersebut semasa hidup dan 402 mendermakannya selepas kematian.

Menurutnya, rakyat negara ini paling sedikit berikrar untuk menderma organ sewaktu hidup atau selepas kematian iaitu 0.75 peratus bagi populasi keseluruhan penduduk di negara ini.

Sehubungan itu, beliau berharap golongan muda tampil berikrar menderma kerana organ mereka masih dalam keadaan baik dan setiap orang yang didermakan selepas kematian boleh menyelamatkan lapan nyawa.

"Malah dari sudut agama Islam pula, Majlis Fatwa Kebangsaan mengesahkan pendermaan organ selepas kematian bukan sahaja dibenarkan tetapi diharuskan.

"Oleh itu, saya berharap umat Islam juga perlu tampil menjadi penderma organ dan tidak perlu rasa bersalah kononnya jasad kita tidak sempurna apabila dibangkitkan semula di akhirat nanti," kata beliau.

Tiada masalah hidup dengan satu buah pinggang

Posted: 20 May 2013 12:09 PM PDT

Ramvet Kaur telah menderma salah satu buah pinggang kerana kasihan melihat suaminya yang terpaksa menjalani rawatan dialisis tiga kali seminggu.

TEMERLOH 20 Mei - Seorang wanita yang telah menderma salah satu buah pinggang kepada suaminya kini mampu menjalani kehidupan harian seperti biasa walaupun mempunyai satu buah pinggang sahaja.

Wanita berkenaan, Ramvet Kaur, 34, berkata, dia sanggup mengambil tindakan yang cukup berani dalam hidupnya semata-mata ingin melihat suami yang menghidap penyakit buah pinggang hidup sihat.

Tambahnya, hasil pengorbanannya itu berhasil apabila suaminya V. Manvir, 45, kini mampu hidup seperti insan lain dan bebas bergerak tanpa gangguan masa untuk proses dialisis seperti sebelum ini.

Katanya, pengorbanan itu memberi erti besar dalam kehidupan suaminya sekali gus menolak dakwaan penderma organ terutama buah pinggang akan menghadapi masalah dalam kehidupan seharian mereka.

"Kesedaran memberikan buah pinggang timbul apabila mendapati keadaan suami semakin lemah sejak mendirikan rumah tangga dua tahun lalu.

''Kami mengadakan perbincangan dengan pakar perubatan dan mendapati kaedah pemberian buah pinggang kepada suami antara cara untuk menyelamatkan nyawanya,'' katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Pada peringkat awal katanya, pakar perubatan menjalankan pemeriksaan kesihatan ke atasnya dan suami bagi memastikan tiada sebarang penyakit serta buah pinggang berkenaan sesuai untuk suami.

Ramvet berkata, akhirnya doktor mendapati buah pinggangnya sesuai lalu menjalani pembedahan dan sehingga kini suaminya hidup sihat tanpa sebarang penyakit atau risiko hasil pembedahan berkenaan.

Bagi Manvir pula, pada peringkat awal dia tidak mempercayai bahawa Ramvet sanggup mendermakan sebelah organ tersebut.

Katanya, setelah mengadakan perbincangan dan mengambil kira risiko ditanggung, mereka akhirnya membuat keputusan menerima ginjal isterinya yang kebetulan sesuai dengannya.

"Usaha memindahkan ginjal itu mendapat perhatian hospital iaitu kami sentiasa menjalani pemeriksaan kesihatan setiap enam bulan sekali bagi memastikan tiada sebarang jangkitan kuman atau penyakit lain" katanya.

MBNP bantah perhimpunan haram

Posted: 20 May 2013 12:09 PM PDT

Oleh SALEHUDIN MAT RASAD
utusanktn@gmail.com

MARAN 20 Mei - Majlis Belia Negeri Pahang (MBNP) menyokong ketegasan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk mengambil tindakan ke atas mana-mana pihak yang cuba menghuru-harakan negara.

Sehubungan itu, Pengerusinya, Khairul Amin Osman (gambar) berkata, majlis itu membantah tindakan tidak bertamadun pembangkang yang berterusan mengadakan perhimpunan haram di beberapa negeri yang mempertikaikan keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 baru-baru ini.

Beliau berkata, sebanyak 26 gabungan dalam pertubuhan itu yang mempunyai 30,000 ahli itu mengutuk usaha Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menganjurkan perhimpunan terbabit untuk meraih simpati rakyat.

Tegasnya, rakyat yang diberi kuasa mengundi dalam pilihan raya umum lalu telah memilih Barisan Nasional (BN) dan perlu diterima dengan baik serta rasional oleh mereka.

"Sikap yang tidak dapat menerima kekalahan dan meletakkan kesalahan kepada pihak lain atas kekalahan pembangkang menampakkan kerakusan Anwar menghalalkan cara untuk menumbangkan kerajaan BN.

"Anwar yang secara terus-terusan menghasut rakyat dengan provokasi dan fitnah dengan menyalahkan BN dan Suruhanjaya Pilihan Raya tidak boleh diterima akal yang waras,' katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia selepas majlis pelancaran program liga sukan untuk semua oleh Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Ismail Abdul Muttalib di Kompleks Rakan Muda Daerah Maran di sini semalam.

Beliau berkata, kepimpinan badan gabungan itu telah diingatkan supaya tidak ada mana-mana ahli persatuan mereka terbabit dengan demonstrasi jalanan.

Tambahnya, kerajaan perlu bertegas dengan penganjur atau individu yang bermaharajalela menganjurkan demonstrasi haram jalanan tanpa rasa bersalah.

"Tindak tanduk Anwar yang menghasut rakyat di seluruh negara dengan sokongan DAP sangat menjijikkan,''katanya.

0 ulasan:

Catat Ulasan