Sabtu, 18 Mei 2013

Utusan Online - Kota

Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Penganjur naikkan sewa RM1,000

Posted: 17 May 2013 11:58 AM PDT

Oleh NORMAIRAH JAMALUDDIN
kota@utusan.com.my

Rosli Sulaiman (empat dari kiri) menjelaskan kepada wartawan mengenai masalah yang dihadapi oleh peniaga-peniaga di Downtown Cheras dalam sidang akhbar di Kuala Lumpur kelmarin.

KUALA LUMPUR 17 Mei - Persatuan Peniaga dan Penjaja Bumiputra Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur meminta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memantau penganjur bazar larut malam Downtown Cheras, di sini yang menaikkan harga sewa tapak niaga sehingga RM1,000 sebulan.

Presidennya, Datuk Rosli Sulaiman berkata, penganjur dilihat menyalah guna surat kebenaran yang diberi oleh DBKL untuk mengutip sewa bulanan.

"Mereka (penganjur) sepatutnya mengutip sewa sebanyak RM350 sahaja daripada peniaga. Tetapi apa yang dimaklumkan, penganjur sesuka hati menaikkan sewa dan menindas peniaga.

"Bagaimana peniaga nak menjana pendapatan jika keuntungan yang diperoleh digunakan semata-mata untuk membayar sewa. Saya fikir ini sudah keterlaluan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan mesyuarat bersama kira-kira 50 peniaga Downtown Cheras, di sini semalam.

Dalam mesyuarat itu, peniaga meluahkan rasa tidak puas hati terhadap penganjur dan berharap perkara itu diambil perhatian oleh DBKL.

Seorang peniaga, Yanti Tamin, 32 berkata, selain sewa dinaikkan sehingga RM1,000 penganjur turut meminta deposit dalam jumlah yang sama daripada peniaga.

"Kami dimaklumkan bahawa deposit sebanyak RM1,000 itu adalah wang pendaftaran. Namun ia tidak akan dipulangkan semula kepada kami, perkara itu benar-benar memberi tekanan kepada peniaga di sini.

"Malah, jika tiba bulan puasa dan hari raya, sewa tapak akan dinaikkan sehingga RM3,000," katanya yang berniaga tudung sejak tiga tahun lalu.

Sementara itu, rakannya, Khairul Johari Mohd. Dani, 32, berkata, penganjur akan menutup gerai jika lewat membayar sewa.

"Jika lewat sehari pun, tanpa budi bicara mereka akan tutup gerai kami.

"Selain itu, kami juga dipaksa menandatangani dokumen yang mengatakan persetujuan kami untuk membayar sewa sebanyak RM1,000 serta membayar sewa mengikut kadar yang mereka tetapkan pada bulan puasa dan Aidilfitri," katanya.

Dalam pada itu, Rosli berkata, pihaknya akan menghantar memorandum mengenai perkara tersebut kepada Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar dan DBKL dalam masa terdekat.

"Saya berharap perkara ini dapat diselesaikan segera kerana bimbang jika dibiarkan peniaga Melayu tidak mampu untuk meneruskan perniagaan mereka di sini.

"Malah, jika dilihat kini sudah ada peniaga luar yang berniaga di sini," katanya.

DBKL akan siasat penganjur - Mhd. Amin Nordin

Posted: 17 May 2013 11:58 AM PDT

KUALA LUMPUR 17 Mei - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melalui Jabatan Pelesenan dan Pengurusan Penjaja akan membuat siasatan terhadap penganjur di Downtown Cheras yang didakwa menaikkan sewa sehingga RM1,000 sebulan.

Ketua Pengarah Sosio Ekonomi DBKL, Datuk Mhd. Amin Nordin Abd. Aziz berkata, pihak penganjur seharusnya mendapatkan surat kebenaran daripada DBKL untuk menentukan kadar sewa tapak.

"Kami akan siasat perkara ini dengan lebih lanjut dan tindakan akan diambil jika didapati penganjur melanggar syarat-syarat yang telah ditetapkan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Mhd Amin Nordin berkata, tapak bazar larut malam itu akan dipindahkan ke kawasan lain memandangkan kawasan tersebut terlibat dengan sebuah projek.

"Tapak baru yang dikenal pasti tidak jauh daripada tapak asal iaitu di Bandar Permaisuri," katanya.

Tengku Adnan tumpu masalah banjir, perumahan

Posted: 17 May 2013 11:58 AM PDT

Tengku Adnan Tengku Mansor (baris depan, dua dari kiri) menerima kad perakam masa daripada Adnan Md. Ikhsan pada majlis sambutan ketibaannya bersama Dr. J. Loga Bala Mohan (tiga dari kanan) di Kementerian Wilayah Persekutuan di Menara Seri Wilayah, Putrajaya semalam.

PUTRAJAYA 17 Mei - Masalah kesesakan lalu lintas, banjir kilat dan perumahan untuk golongan muda berpendapatan rendah dalam sektor perkhidmatan akan diberi perhatian serius oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Beliau yang memulakan tugas rasminya hari ini berkata, rakyat yang tinggal di Putrajaya, Kuala Lumpur dan Labuan juga dialu-alukan mengemukakan sebarang masalah kepada pihak kementerian supaya jalan penyelesaian boleh diambil.

Menurutnya, kajian mengenai kesesakan jalan raya terutamanya pada waktu puncak di Kuala Lumpur akan terus diberi perhatian demi keselesaan rakyat yang sangat tertekan dengan masalah tersebut.

"Saya dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib akan turun untuk melihat sendiri masalah kesesakan jalan raya dan kenapa masalah banjir kilat di Kuala Lumpur berlaku.

"Saya juga akan berbincang bagi mencari kaedah bagaimana perumahan awam yang disewakan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) atau kementerian dapat disewakan kepada anak muda yang bekerja dalam sektor perkhidmatan seperti hotel dan restoran kerana gaji mereka rendah dan tidak mampu membayar sewa rumah di Kuala Lumpur," katanya.

Tengku Adnan berkata demikian kepada pemberita selepas beliau dan timbalannya, Senator Datuk Dr. J. Loga Bala Mohan hadir dalam majlis sambutan ketibaan mereka di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Setiausaha kementerian Datuk Adnan Md. Ikshan.

Tengku Adnan juga akan mengambil inisiatif berjumpa dengan semua persatuan penduduk di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan dalam tempoh empat bulan pertama ini bagi mendapatkan maklumat mengenai kehendak rakyat di kawasan-kawasan terlibat.

"Kami nak tanya apa yang mereka mahu dan apa yang kami boleh buat," katanya.

Terdahulu dalam ucapannya Tengku Adnan yang juga Ahli Parlimen Putrajaya mahu menyampaikan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa kakitangan awam yang tinggal di kuarters kerajaan diberikan Elaun Bantuan Sara Hidup (Cola) pada kadar penuh berbanding separuh ketika ini.

Beliau juga akan membangkitkan kepada Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr. Ali Hamsa mengenai penjawat awam yang berpangkat rendah terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan kuarters kerajaan di Putrajaya.

Beliau juga mahu melawat setiap tingkat di DBKL untuk bertemu dengan kakitangan di situ walaupun menyedari ada di kalangan mereka tidak menyokong kerajaan.

"Ini disebabkan oleh persepsi, tapi kita akan mendekati dan menerangkan tentang sesuatu perkara jadi mereka akan faham," katanya.

0 ulasan:

Catat Ulasan