Selasa, 28 Mei 2013

Utusan Online - Kota

Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Minta pindah PPR berdekatan

Posted: 28 May 2013 10:59 AM PDT

Oleh NORMAIRAH JAMALUDDIN
kota@utusan.com.my

Muhammad Zaki Che Mat menunjukkan pokok yang menghempap sebahagian rumahnya dalam kejadian ribut di Jalan Suasa di Sungai Besi, Kuala Lumpur baru-baru ini. (Gambar kiri) keadaan kerosakan bahagian dalam rumahnya. - UTUSAN/FARID JANUDIN

KUALA LUMPUR 28 Mei - Mangsa kejadian ribut kencang di pekan Sungai Besi, di sini berharap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memindahkan mereka ke Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang berdekatan dengan kediaman asal mereka.

Alasan penduduk terlibat, kebanyakan daripada mereka merupakan peniaga kecil dan bekerja di sekitar Sungai Besi selain tidak mempunyai kenderaan untuk bergerak jika dipindahkan ke kawasan yang jauh.

Tinjauan Utusan Malaysia ke dewan sementara yang menempatkan mangsa mendapati, rata-rata daripada mereka meluahkan rasa bimbang apabila diberitahu akan dipindahkan ke PPR Bukit Jalil dalam masa terdekat.

Seorang mangsa, Mohamad Zaki Che Mat, 53 berkata, dia akan mengalami kesukaran untuk ke tempat kerja jika ditempatkan di PPR Bukit Jalil kerana tidak mampu menanggung kos ulang-alik yang tinggi.

"Saya harap DBKL memindahkan kami di kawasan yang berhampiran, paling tidak pun di PPR Permai yang paling hampir dengan Sungai Besi.

"Saya juga berharap DBKL tebang semua pokok yang berisiko untuk tumbang dan bina semula rumah kami di kawasan asal," katanya yang kerugian hampir RM20,000 akibat ribut kencang itu.

Dalam kejadian yang berlaku hujung minggu lalu, beberapa buah rumah mengalami rosak teruk akibat dihempap pokok yang dipukul ribut.

Sebelum ini Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menggesa DBKL mengkaji semula pelan landskap yang memerlukan pokok-pokok berusia terus subur dan dijadikan hiasan di sekitar ibu negara.

Kata beliau, DBKL memerlukan pembangunan landskap yang baharu kerana pokok-pokok besar dan rendang yang berusia lebih 20 hingga 30 tahun dilihat berbahaya kepada orang ramai terutama sekali ketika bencana alam seperti ribut kencang dan hujan lebat.

Tambahnya, mangsa akan dibawa ke PPR Bukit Jalil untuk diberikan penempatan dan tidak perlu membayar sewa selama tiga bulan.

Namun beliau turut mengarahkan DBKL mencari tempat tinggal terdekat di sekitar Sungai Besi memandangkan mangsa-mangsa bekerja di sekitar kawasan itu.

Sementara itu, Nur Hayati Mauti, 47 berkata, dia bersyukur kerana tidak ada seorang pun ahli keluarganya yang mengalami kecederaan dalam kejadian tersebut.

"Walaupun rumah kami ranap sepenuhnya, namun kami percaya ada hikmah di sebalik kejadian yang berlaku," katanya yang masih trauma dengan kejadian tersebut.

Suaminya, Kamarudin Che Moot, 53 pula berkata, dia berterima kasih kepada Kementerian Wilayah Persekutuan dan DBKL yang telah membantu mereka selepas kejadian ribut berlaku.

"Walaupun hanya tinggal di dewan, namun dengan bantuan yang diberi seperti makanan, selimut, wang ringgit dan lain-lain dapatlah kami menjalani kehidupan seharian dengan selesa," katanya.

LZS sasar 200 keluar daripada kategori asnaf

Posted: 28 May 2013 10:59 AM PDT

PENGURUS Besar Kutipan LZS, Roszy Non menyerahkan buah tangan kepada Maimon Muttalib sempena lawatan ke atas pelakon itu di Shah Alam semalam.

SHAH ALAM 28 Mei - Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyasarkan untuk mengeluarkan seramai 200 individu daripada golongan asnaf pada tahun ini.

Pengarah Program Ziarah Korporat dan Media, Siti Hajar Abdul Rahim berkata, sasaran yang memberi tumpuan dari aspek ekonomi itu dibuat berdasarkan pelaksanaan program LZS meningkatkan pendapatan golongan berkenaan seperti perniagaan kecil antaranya bidang jahitan, mekanik dan sebagainya.

Setakat ini katanya, terdapat sebanyak 26,000 individu dikategorikan sebagai asnaf di Selangor dan sebahagian daripada mereka telah pun menjalankan kegiatan perniagaan kecil-kecilan.

"Justeru itu, LZS sememangnya menyediakan bantuan dari segi peralatan perniagaan termasuk khidmat nasihat kepada golongan ini untuk meninggikan lagi pendapatan mereka sekali gus terkeluar daripada kategori asnaf.

"Ini kerana hanya aspek ekonomi sahajalah mampu mengeluarkan mereka daripada masalah kemiskinan. Jadi, sebagai badan yang bertanggungjawab untuk mengagihkan zakat, kami memberikan bantuan yang dipohon bagi menaikkan taraf ekonomi golongan ini.

"Kami juga melakukan pemantauan ke atas golongan asnaf yang menerima bantuan ini bagi memastikan bantuan yang diberikan sememangnya mampu menjana pendapatan mereka," katanya ketika ditemui selepas Program Zikra Korporat di Kampung Bukit Lanchong, di sini hari ini.

Terdahulu, LZS membawa kira-kira 50 pembayar zakat dari pelbagai agensi melawat lapan asnaf yang menerima bantuan zakat di Shah Alam, Rawang, Bukit Beruntung, Kuala Kubu Baru dan Ulu Yam.

Siti Hajar berkata, tujuan pihaknya membawa para pembayar zakat tersebut adalah bertujuan memberi informasi dan pendedahan mengenai operasi, kutipan dan agihan zakat.

"Malah, mereka juga dapat melihat, menemui sendiri dan beramah mesra serta boleh bertanya lebih lanjut dengan para penerima zakat ini," katanya.

Sementara itu, penerima zakat, Roslina Ahmad Derawi, 35, berterima kasih kepada LZS kerana memberikan bantuan iaitu sebuah mesin lubang butang dan mesin jahit baju.

Ibu tunggal kepada tiga anak itu berkata, memulakan karier sebagai tukang jahit sejak 12 tahun lalu banyak mengajarnya kerana sepanjang tempoh itu banyak pengalaman yang ditempuhinya.

"Saya mempunyai lapan buah mesin termasuk yang diberikan oleh LZS dan pemberian mesin oleh mereka memudahkan saya untuk menyiapkan baju pelanggan," katanya.

Dalam pada itu, LZS turut melawat pelakon, Maimon Muttalib, 55, yang menghidap penyakit barah payu dara sejak dua tahun yang lalu.

Maimon yang mesra dengan panggilan Mama itu berkata, kunjungan kakitangan LZS dan para pembayar zakat ke rumahnya di Seksyen 17 membuatnya berasa gembira.

"Siapa yang tidak gembira apabila ramai orang mengunjungi di saat kita sedang sakit, tetapi sedikit risau kerana khuatir tidak mampu melayan tetamu dengan sebaik mungkin.

"LZS banyak membantu saya dan anak-anak dalam meneruskan kehidupan setelah saya berhenti daripada berlakon," katanya.

Kontraktor bina stesen LRT didakwa curi air sejak dua tahun lalu

Posted: 28 May 2013 10:59 AM PDT

Yusof Badawi (dua dari kanan) bersama pegawainya menunjukkan paip getah yang disambung secara haram dengan paip Syabas dalam serbuan ke atas tapak projek Stesen LRT di Bukit Jalil dekat Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR 28 Mei - Sebuah tapak pembinaan stesen Transit Aliran Ringan (LRT) di Sri Keladi, Bukit Jalil, dekat sini hari ini diserbu Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) kerana syarikat kontraktor projek itu disyaki mencuri air sejak lebih dua tahun lalu.

Pengarah Eksekutif Projek dan Bahagian Kehilangan Air Tanpa Hasil (NRW) Syabas, Yusof Badawi berkata, pembongkaran yang dilakukan pihaknya berdasarkan risikan itu membabitkan kerugian sebanyak RM98,179.

"Kami menemui sebatang paip getah bersaiz 16 milimeter (mm) yang disambungkan secara haram di tetiang meter yang tidak bermeter di sebuah kawasan stesen janakuasa Tenaga Nasional Berhad (TNB) Sri Keladi.

"Pembongkaran ini adalah hasil siasatan Syabas susulan aduan yang diterima daripada penduduk mengenai tekanan air rendah yang kerap berlaku di kawasan mereka," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tambahnya, hasil siasatan bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negara (SPAN) mendapati lokasi itu tidak mempunyai akaun berdaftar dan tiada meter air milik Syabas ditemui di tapak pembinaan berkenaan.

Ujarnya, sumber bekalan air terawat itu dipercayai digunakan untuk kerja-kerja membancuh simen dan turut digunakan untuk aktiviti mencuci tayar kenderaan berat yang keluar masuk ke tapak pembinaan.

"Kami juga percaya sambungan haram ini telah digunakan oleh kontraktor pembinaan terbabit selama 826 hari berdasarkan tarikh mula kerja pada 23 Februari 2011 yang dipamerkan di papan tanda projek," katanya.

Sehubungan itu kata Yusof, Syabas telah mengeluarkan Notis Pemberitahuan Kesalahan dan Tindakan Penguatkuasaan kepada kontraktor utama projek itu untuk membuat tuntutan ganti rugi kehilangan air.

"SPAN pula mengeluarkan Notis Pemberitahuan Kesalahan untuk tujuan pendakwaan. Sekiranya disabitkan kesalahan individu terlibat boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya mengikut Akta Industri Perkhidmatan Air 2006," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Yusof berkata, sebanyak 1,273 aduan berhubung kes curi air diterima pihaknya sejak 1 Januari hingga 22 Mei lalu membabitkan kerugian sebanyak RM1.4 juta.

"Sepanjang tahun lalu pula sebanyak 3,583 aduan diterima dan tuntutan ganti rugi dianggarkan berjumlah kira-kira RM6.7 juta," katanya.

0 ulasan:

Catat Ulasan