Jumaat, 17 Mei 2013

Utusan Online - Selatan

Utusan Online - Selatan


Ayuh 'serbu' Festival Hari Guru di Paroi

Posted: 16 May 2013 11:38 AM PDT

Oleh NOOR HANIS HARUN
utusanN9@utusan.com.my

SEREMBAN 16 Mei - Guru perlu berpegang teguh kepada etika profesion keguruan yang mempunyai satu agenda utama iaitu melahirkan murid yang seimbang berdasarkan Falsafah Pendidikan Negara.

Pengarah Pelajaran negeri, Kalsom Khalid berkata, di bawah tema sambutan Hari Guru 2013, 'Guru Malaysia: 1Aspirasi 1Agenda', mengkehendaki semua guru bersama-sama membangunkan sistem pendidikan yang berkualiti bertaraf dunia sebagaimana yang dihasratkan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025.

''Selaras dengan tema tersebut, pameran pendidikan sempena Hari Guru 2013 di Kompleks Belia dan Sukan Paroi ini, yang berlangsung sekarang hingga Ahad ini, amat relevan untuk memberikan penjelasan kepada guru dan masyarakat tentang dasar dan program pendidikan itu.

''Ini telah dimanifestasikan melalui terowong masa dan lain-lain pempamer dari Kementerian Pelajaran. Pengunjung yang datang ke Paroi itu nanti akan merasai perubahan itu apabila mereka menjelajah dalam khemah yang disediakan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kata Kalsom, pameran dari Kementerian Pelajaran itu adalah berkonsepkan Kelestarian Pendidikan Dulu, Kini dan Masa Depan.

''Pengunjung akan melihat pelbagai info dan kejayaan pelbagai dasar kementerian antaranya ialah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013- 2015, Pembudayaan Sains dan Teknologi, Inovasi Guru, Buku dan Karya Penulisan Guru, Program 1 Murid 1 Sukan, Guru Muda 1 Malaysia dan sebagainya.

''Agensi luar kementerian juga turut serta dalam pameran ini seperti Sekolah Amanah, Sekolah Antarabangsa, Penerbitan dan Penterjemahan Buku, Peralatan Pengajaran dan Pembelajaran dan lain-lain," kata Kalsom.

Beliau juga menjelaskan melalui pameran pendidikan ini, masyarakat dan komuniti setempat akan mendapat informasi yang jelas tentang perubahan-perubahan yang berlaku di dalam dunia pendidikan dalam negara ini serta cabaran yang perlu dihadapi.

''Banyak idea kreatif dan inovatif dipamerkan dan diharapkan warga pendidik, pelajar, ibu bapa dan masyarakat setempat akan beramai-ramai hadir dan memperoleh banyak informasi berguna," katanya.

Pada Jumaat (17 Mei), pelbagai acara menarik akan berlangsung di Pameran dan Festival Hari Guru 2013 di kompleks ini sempena sambutan Hari Guru 2013 bermula pukul 10 pagi hingga 10 malam dan ia termasuklah pertandingan choral speaking, pelancaran buku, ceramah agama, selain jualan buku.

Manakala hari Sabtu akan dilangsungkan aktiviti melukis, penampilan Upin dan Ipin, mewarna, persembahan Sci-Fi Utusan Karya Sdn. Bhd. (UKSB) seta konsert Apo Kono Eh Jang yang menampilkan artis terkenal tanah air.

Pada hari Ahad pula berlangsung aktiviti interaktif, pertandingan akhir Bintang Suara Bank Simpanan Nasional (BSN) dan pentarama.

Pelbagai info diperoleh dalam pameran, festival

Posted: 16 May 2013 11:38 AM PDT

SEREMBAN 16 Mei - Pameran dan Festival Hari Guru 2013 yang sedang berlangsung di Kompleks Belia dan Sukan, Paroi dekat sini telah menerima kedatangan ramai pengunjung sejak ia dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan pada Selasa lalu.

Pelbagai program dan aktiviti telah diadakan termasuklah yang dikendalikan penaja dan pempamer di festival berkenaan.

Ini termasuklah pelancaran kad kredit 1Teachers Card oleh Bank Simpanan Nasional (BSN), yang menyasarkan 30,000 pelanggan kad dalam kalangan warga pendidik serta kakitangan Kementerian Pelajaran dalam tempoh setahun.

Timbalan Ketua Eksekutif Perbankan Runcit BSN, Winston E. Jeyaprakash berkata, sasaran itu diyakini mampu dicapai menerusi ciri istimewa produk berkenaan yang menawarkan caj kewangan terendah di pasaran termasuk pelbagai ganjaran menarik.

''Kad kredit 1Teachers Card yang juga merupakan kerjasama bersama Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) ini merupakan salah satu inisiatif BSN untuk merakamkan penghargaan terhadap sumbangan guru kepada rakyat Malaysia.

''Ciri istimewa 1Teachers Card ini adalah ia menawarkan caj kewangan terendah dalam industri kad kredit iaitu pada kadar 8.88 peratus setahun dan hanya 0.74 peratus sebulan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, pempamer dari Syarikat Grolier Malaysia Sdn. Bhd., Sam D'arul, 42, berkata, masyarakat telah menyedari bahawa kecemerlangan pendidikan itu harus bermula sejak usia kanak-kanak lagi.

Malah katanya, peranan itu juga boleh dilakukan oleh ibu bapa, mahupun guru melalui pembelajaran secara interaktif dan menyeronokkan.

''Kita menawarkan set pembelajaran interaktif untuk proses pembelajaran kanak-kanak di peringkat awal umur dan produk ini bertujuan untuk memupuk kemahiran bercakap dalam bahasa Inggeris untuk kanak-kanak," katanya.

Sementara itu, wakil Sarana Ibu Bapa Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Tuanku Jaafar, Senawang, Siti Amrah Maulud, 56, berpendapat, ibu bapa harus menjalinkan kerjasama yang erat dengan guru dan pihak sekolah untuk memantau perkembangan pendidikan pelajar.

''Kita percaya dalam festival ini banyak aspek berkaitan hubungan guru dengan ibu bapa, hubungan guru dengan pelajar dan ceramah motivasi, di mana kesemuanya memberi banyak manfaat kepada pengunjung," ujarnya.

Menurut Siti Amrah lagi, dalam hal membangunkan kebajikan sekolah, ibu bapa boleh membantu dalam aspek kewangan dan tenaga.

Dalam pada itu, Ketua Unit Sektor Penerbitan Sekolah Menengah (Buku Teks) Kementerian Pelajaran, Sharizan Ahmad berkata, penerbitan buku-buku teks sekolah telah menjalani evolusi seiring dengan kemajuan pendidikan negara.

''Buku-buku teks zaman dahulu hingga kini telah banyak berubah dari segi material kertas yang digunakan, bahasa, penggunaan kata hinggalah susunan gambar yang lebih menarik dan berwarna-warni.

''Matlamat kami adalah untuk menyediakan bahan sokongan untuk guru dan pelajar bagi memudahkan proses pembelajaran mereka dalam kelas," katanya.

Penolong Pengarah bahagian Pengurusan Sekolah Harian di kementerian sama, Saiful Effendi Mohd. Zahari berkata, dalam usaha untuk memastikan guru muda seiring dengan agenda pendidikan negara, pihak kementerian telah mewujudkan Guru Muda 1Malaysia (GM1M).

''GM1M menyasarkan golongan guru di bawah lingkungan 23 hingga 40 tahun yang memiliki idea dan daya pemikiran yang kreatif, inovatif, kritis dan bertenaga. Di festival ini kita memperkenalkan GM1M ini," katanya.

Ubah budaya kerja terus majukan Melaka

Posted: 16 May 2013 11:38 AM PDT

SEBAHAGIAN tetamu menghadiri taklimat mengenai hal ehwal pentadbiran kerajaan negeri termasuk Exco dan Timbalan Exco di Melaka, semalam.

MELAKA 16 Mei - Perubahan budaya kerja yang cemerlang, menepati masa dan efisien mampu menjamin kejayaan Melaka Maju Fasa Kedua.

Bagi tujuan tersebut, Ketua Menteri, Datuk Idris Haron berkata, seluruh rakyat khususnya kakitangan awam dan Persekutuan perlu bersedia untuk menerima perubahan transformasi budaya kerja yang akan diperkenalkan.

Menurutnya, perubahan budaya kerja itu perlu melalui pelbagai peringkat evolusi kerana usaha itu bukan sesuatu yang boleh berlaku sekelip mata.

''Seluruh rakyat terutama kakitangan kerajaan perlu bersedia untuk berubah cara kita bekerja kerana ia perlu ada transformasi menjadikan nilai tambah sebagai satu budaya dalam setiap pekerjaan yang dilakukan.

''Jika perubahan budaya kerja ini tidak berlaku adalah sukar hasrat kerajaan ingin memberikan perkhidmatan terbaik kepada seluruh rakyat di semua peringkat tidak mungkin akan tercapai.

''Acuan pentadbiran terdahulu sudah ada, tugas saya adalah meneruskan kesinambungan yang ada dan menjadikan Melaka Maju Fasa Kedua dalam tempoh 10 tahun akan datang," katanya dalam sidang akhbar di Philea Resort dan Spa, di sini hari ini.

Terdahulu, Idris menghadiri taklimat Hal Ehwal Pentadbiran kerajaan negeri yang disampaikan oleh ketua-ketua jabatan pelbagai peringkat.

Pada majlis tersebut, beliau turut menyaksikan sesi penyerahan nota serah tugas kepada lapan Exco kerajaan negeri yang dilantik dua hari lalu.

Sesi taklimat sehari itu melibatkan beberapa anak-anak syarikat dan badan berkanun kerajaan negeri antara Kumpulan Melaka Berhad (KMB), Perbadanan Ketua Menteri, Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka dan Yayasan Melaka.

Sementara itu, beliau berkata, pelantikan Ahli Parlimen Tangga Batu, Datuk Dr. Abu Bakar Mohamad Diah sebagai Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi adalah hadiah paling berharga kepada rakyat Melaka khususnya penduduk di Tangga Batu.

Kata Idris berkata, walaupun harapan kerajaan negeri lebih daripada itu, namun pemilihan Abu Bakar tetap memberi kelegaan dan sanjungan buat kerajaan negeri.

''Saya ucapkan terima kasih dan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana memilih salah seorang daripada calon kita di Tangga Batu untuk menyertai Kabinet baharu penggal ini.

''Buat penduduk di Tangga Batu, ia adalah hadiah triple bonus kerana kita ada Ketua Menteri dan Exco kerajaan negeri serta ditambah dengan Abu Bakar yang dilantik sebagai Timbalan Menteri," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan