Jumaat, 17 Mei 2013

Utusan Online - Utara

Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Selesa berniaga di pasar baharu

Posted: 16 May 2013 11:38 AM PDT

Oleh OTHMAN YAHAYA
utusanperak@utusan.com.my

Abdul Latiff Teha, Mokhtar Said

KEPALA BATAS 16 Mei - Peniaga di pasar basah Penaga di sini kini menarik nafas lega selepas boleh berniaga dengan selesa apabila sebuah pasar baharu yang dibina oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) siap sepenuhnya.

Bangunan yang mula dibina sejak awal tahun ini mempunyai 20 ruang niaga itu telah mula digunakan sebagai pasar basah sejak beberapa hari lalu.

Sebelum ini, kawasan itu yang dikenali sebagai Lahar Endin sebagai pintu air oleh penduduk sekitar khususnya antara waktu pagi sekali gus tengah hari sentiasa sibuk hingga mendatangkan masalah kesesakan lalu lintas.

Ini kerana selain digunakan sebagai jalan pintas antara pekan Penaga lama dengan yang baru, para peniaga turut menjalankan aktiviti jualan ikan segar yang baru didaratkan nelayan di tepi laluan berkenaan.

Bagaimanapun sejak sejak beberapa hari lalu, aktiviti tersebut sudah dihentikan kerana semua peniaga terbabit ditempatkan di pasar baharu bersebelahan tapak lama di situ.

Ketua Unit Nelayan Penaga, Abdul Latiff Teha, 49, berkata, sejak puluhan tahun lalu aktiviti menjual ikan di kaki lima laluan tersebut sering mengganggu kelancaran traffik di situ.

Ini merupakan jalan pintas yang digunakan oleh penduduk beberapa buah kampung sekitar untuk menghantar anak mereka ke sekolah serta turut dijadikan laluan pengguna berurusan di pekan Penaga lama.

Penempatan penjual ikan di bangunan baru ini menjadikan laluan itu lancar serta memberi keselesaan kepada peniaga," katanya di sini hari ini.

Seorang peniaga, Mokhtar Said, 46, yang lebih 15 tahun berniaga hasil laut di situ berkata, kemudahan yang disediakan di pasar ini lebih baik serta melegakan semua pihak.

Dulu kami hanya menggunakan hamparan plastik untuk melonggokkan ikan selain terpaksa berpanas dan berhujan semasa menjual hasil laut di sini.

Sekarang tidak lagi kerana dapat mempamerkan jualan di atas meja yang disediakan serta dapat menjalankan perniagaan dalam keadaan selesa kerana bangunan ini berbumbung," katanya.

Pembinaan pasar berkenaan mendapat sambutan pembeli apabila lebih ramai pelanggan hadir kerana mereka dapat berurusan dalam keadaan selesa berbanding sebelum ini.

Pemandu terselamat nahas treler

Posted: 16 May 2013 11:38 AM PDT

Anggota polis mengawal lalu lintas selepas sebuah treler membawa muatan kotak terbabas dan terbalik di persimpangan lampu isyarat Jalan Junjong-Kulim dekat Bukit Alwi, Kulim, Kedah, semalam.

KULIM 16 Mei - Seorang pemandu treler dan kelindannya terselamat selepas kenderaan membawa muatan kotak kertas yang dinaiki mereka terbabas dan terbalik di persimpangan lampu isyarat Jalan Junjong-Kulim dekat Bukit Alwi di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.15 pagi itu, lori dipandu M. Thamilselvam, 48, dikatakan hilang kawalan ketika cuba membelok di persimpangan tersebut.

Ketua Polis Daerah Kulim, Supritendan Ghuzlan Saleh berkata, semasa kejadian, pemandu dan kelindannya yang berusia 30-an datang dalam perjalanan dari Valdor, Sungai Bakap, Seberang Perai ke Bukit Mertajam.

"Namun ketika membelok di situ, treler itu terbabas lalu terbalik. Pemandu itu bagaimanapun sempat melompat keluar dari treler dan cedera ringan di muka serta tangan manakala rakannya tidak cedera.

"Berlaku sedikit kesesakan di kawasan terlibat tetapi dalam keadaan terkawal," katanya sambil memberitahu, mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Kulim untuk rawatan pesakit luar.

Ismail Saffian dilantik CEO Yayasan Bina Upaya

Posted: 16 May 2013 11:38 AM PDT

Ismail Saffian (kiri) beramah mesra dengan sebahagian daripada kakitangan YBUDR selepas beliau melapor diri sebagai pengerusi agensi tersebut di Ipoh, Perak, semalam.

IPOH 16 Mei - Setiausaha Sulit Kanan kepada Menteri Besar Perak, Datuk Ismail Saffian dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR) yang baharu berkuat kuasa hari ini.

Bekas Setiausaha Majlis Perbandaran Manjung dan Kuala Kangsar itu mengisi kekosongan jawatan tersebut selepas persaraan Datuk Zainal Abidin Omar kira-kira setahun lalu.

Ismail merupakan seorang yang berpengalaman luas dalam bidang pentadbiran di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pernah menjadi Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Perak selama dua tahun dari 2009 hingga 2010.

Beliau juga pernah bertanding sebagai calon Barisan Nasional (BN) di kerusi Parlimen Bukit Gantang sebanyak dua kali iaitu dalam pilihan raya kecil 2009 dan pilihan raya umum lalu tetapi tewas kedua-duanya.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis serah tugas di pejabat YBUDR di sini hari ini, Ismail mengucapkan terima kasih kepada Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan Pengerusi Lembaga Pengarah YBUDR, Datuk Saarani Mohamad kerana memberikan kepercayaan kepada beliau untuk menerajui agensi tersebut.

"Saya akan memikul amanah ini dengan sebaik mungkin dan sudah pastinya saya memerlukan sokongan daripada semua pihak untuk memastikan pencapaian agensi ini lebih baik dari sekarang," katanya.

Menurut Ismail, pelantikan beliau bukan dibuat atas faktor politik tetapi kerana pengalaman luasnya dalam bidang pentadbiran organisasi diperlukan bagi membantu kerajaan negeri membasmi kemiskinan di negeri ini.

Kata anak kelahiran Taiping ini lagi, beliau merancang menjalinkan lebih banyak kerjasama dengan syarikat korporat serta organisasi bagi menjayakan program dirancang oleh YBUDR.

"Saya akui YBUDR ada kekangan bajet kerana peruntukan terhad daripada kerajaan negeri tetapi masalah itu dapat diatasi sekiranya kita boleh menjalinkan kerjasama dengan syarikat-syarikat korporat di Perak," katanya.

0 ulasan:

Catat Ulasan