Khamis, 14 Jun 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Penculik minta RM1.9j

Posted: 13 Jun 2012 02:28 PM PDT

KUALA LUMPUR: Sepasang suami isteri mendakwa dibelasah di seluruh badan selain kepala diketuk dengan batu selepas diculik sekumpulan lebih 10 lelaki bersenjatakan pisau dan parang dalam kejadian di Kampung Baru, di sini, awal pagi kelmarin.

Dalam kejadian jam 3 pagi itu, pasangan berusia 40-an itu dikatakan ditahan ketika dalam perjalanan pulang ke rumah dari restoran milik mereka sebelum diperlakukan sedemikian kira-kira 12 jam menjadi tawanan kumpulan penjenayah itu.

Difahamkan, kumpulan terbabit sudah mengekori mangsa sejak tiga bulan lalu selepas mendapat maklumat konon mangsa dan isteri mempunyai wang simpanan sebanyak RM1.9 juta.

Bagaimanapun mangsa bertegas mengatakan tidak mempunyai wang sebanyak itu sebelum akhirnya dibebaskan di Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban, di sini, jam 4 petang selepas kumpulan itu merampas wang tunai RM24,000 dan kereta jenis Toyota Camry milik mangsa.


Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.




Buntu masuk senarai penipu

Posted: 13 Jun 2012 01:15 PM PDT

KUALA LUMPUR: Seorang pemasang alat penyaman udara dari Taman Indah Perdana, Cheras, dekat sini, mendakwa buntu apabila namanya disenaraikan sebagai suspek dikehendaki polis kerana didakwa terbabit kes penipuan dengan melakukan transaksi wang berjumlah RM114,317 pada Mei 2010.

Mangsa, Ong Shie Fatt, 42, berkata, dia tidak menyangka akaun peribadinya yang tidak aktif sejak 2008 disalahgunakan pihak terbabit hingga menyebabkan dia menanggung kesan apabila akaunnya dengan sebuah bank tempatan dibekukan sejak setahun lalu.


Menurutnya, dia menyedari perkara itu ketika mengeluarkan wang yang dimasukkan pelanggan syarikat tempatnya bekerja sebanyak RM4,598 pada Mei lalu.

"Saya terkejut apabila dimaklumkan pihak bank yang akaun saya dibekukan dan polis mencari saya kerana kesalahan mengeluarkan wang RM114,317 pada Mei 2010.


"Saya keliru memikirkan masalah itu memandangkan tidak pernah mempunyai wang sebanyak itu dalam akaun bank," katanya pada sidang media di Biro Perkhidmatan dan Aduan Awam Parti Gerakan Rakyat, di sini, semalam.


Katanya, bagi mengelak menjadi buruan, dia membuat laporan di Balai Polis Desa Jaya, Kepong, dan polis memaklumkan kejadian menimpanya mempunyai kaitan dengan kejadian di Johor Bahru, Johor.

"Berdasarkan rakaman CCTV tempat wang itu dikeluarkan, polis mendapati bukan saya yang melakukan pengeluaran itu, tetapi seorang lelaki lain dan polis masih menjalankan siasatan," katanya.


Menurutnya, dia merayu pihak berkaitan membantu menyelesaikan masalahnya segera kerana bimbang menjejaskan perniagaan majikannya, sekali gus menyebabkannya hilang pekerjaan.

"Saya ada tiga anak masih bersekolah dan perlu ditanggung. Saya harap masalah ini diselesaikan segera," katanya.


Katanya, selain terbabit kes penipuan seperti itu, dia juga mempunyai hutang kad kredit RM9,000 apabila nombor kad pengenalannya disalahgunakan pihak tidak bertanggungjawab.


Sementara itu, Ketua Biro Perkhidmatan dan Aduan Awam Parti Gerakan Rakyat Malaysia, Wilson Lau berkata, pihaknya cuba membantu menyelesaikan masalah Ong dan menghantar surat kepada Bank Negara Malaysia serta bank berkenaan mendapatkan maklum balas dan penjelasan terhadap kejadian menimpa mangsa.


"Selain itu, kami akan menghantar surat kepada Ketua Polis Negara bagi mengetahui status siasatan kerana sudah lama berlaku menyebabkan mangsa tertekan," katanya.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan