Khamis, 14 Jun 2012

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


Peniaga nasi lemah dipenjara seumur hidup mengilang senjata

Posted: 14 Jun 2012 02:51 AM PDT

Mutakhir

SHAH ALAM: Seorang peniaga nasi lemak dijatuhi hukuman penjara seumur hidup dan enam sebatan oleh Mahkamah Tinggi hari ini kerana mengilang senjata atau amunisi tanpa lesen tiga tahun lepas.

Hakim Datuk Mohd Sofian Abd Razak turut menjatuhi hukuman penjara setahun ke atas Abdul Wahab Mohammad Noor, 45, kerana memiliki selaras revolver tiruan jenis Python 357.

Selain itu, dia dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan dua sebatan kerana memiliki 810 biji skru yang telah menimbulkan anggapan munasabah bagi tujuan menyalahi undang-undang. Hakim Mohd Sofian memerintahkan ketiga-tiga hukuman penjara itu berjalan serentak berkuatkuasa dari tarikh Abdul Wahab ditangkap iaitu 2 April 2009.

Dalam penghakimannya, Mohd Sofian berkata tertuduh amat bernasib baik terlepas daripada hukuman mati kerana kesalahan mengilang senjata tanpa lesen mengikut Seksyen 12(1) Akta Senjata 1960 membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebatan.

"Tidak seperti kes pengedaran dadah, dalam kes ini, pihak pendakwaan tiada kuasa untuk reduce charge. It all depends on me. Saya berpuas hati kamu lakukannya sebagai hobi tetapi ia hobi yang amat bahaya.

"Kalau kamu dapat pengampunan (daripada Sultan) jangan ulangi kesalahan ini. Sekarang kamu akan ke penjara, belajarlah ilmu yang sesuai, buat kasut atau menjahit ke, saya harap kamu insaf dan terimalah takdir kamu ini," kata Mohd Sofian.
Abdul Wahab mengaku bersalah melakukan ketiga-tiga kesalahan itu di No.2893, Batu 15, Paya Jaras Hilir, Petaling dekat sini pada 9.30 malam, 2 April 2009.
Tertuduh sebelum ini mengaku tidak bersalah dan dibicarakan bagi ketiga-tiga pertuduhan itu.

Bagaimanapun, selepas sembilan saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan, Abdul Wahab menukar pengakuannya.

Terdahulu, dalam rayuan untuk pengurangan hukuman, peguam S.S.Ravichandran yang mewakili Abdul Wahab berkata anak guamnya yang beristeri dua mempunyai 11 orang anak termasuk seorang anak angkat, yang mana sebahagian besarnya masih bersekolah.

Ravichandran berkata, tertuduh membuat senapang angin sebagai hobi atas permintaan pelanggannya.

"Daripada keterangan saksi-saksi yang sudah beli senapang, mereka menggunakannya sebagai hobi untuk memburu puyuh, ayam hutan dan binatang liar kecil. Tiada keterangan menunjukkan senapang itu digunakan untuk mencederakan manusia," katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Fazillah Begum Abdul Ghani berkata keterangan menunjukkan tertuduh mempunyai daya pemikiran yang tinggi untuk membuat senapang daripada bahan-bahan yang secara tersendirinya tidak bahaya.

Bagaimanapun, beliau berkata apabila bahan-bahan itu dikumpulkan, ia menjadi senapang angin yang boleh digunakan untuk menembak.

"Saya tidak nafikan keterangan saksi-saksi bahawa penggunaan senapang adalah sebagai hobi tetapi kita tidak boleh ketepikan keterangan pegawai persenjataan daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor yang memberitahu bahawa senapang buatan sendiri adalah bahaya dan boleh menyebabkan kematian," katanya. - BERNAMA


SPRM teliti dakwaan Anwar kawal aset RM3 bilion: Abu Kassim

Posted: 14 Jun 2012 02:29 AM PDT

Mutakhir

GEORGETOWN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang memberi tumpuan terhadap laporan yang dibuat oleh beberapa pihak terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung dakwaan pernah mengawal 20 akaun induk bernilai RM3 bilion.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abu Kassim Mohamed, bagaimanapun berkata beliau tidak boleh mengulas lanjut mengenai perkara itu kerana terikat dengan dasar SPRM yang tidak boleh mendedahkan sebarang siasatan.

"Apa sahaja aduan yang mempunyai unsur rasuah kita akan siasat tidak kira siapa yang membuat aduan dan siapa yang dituduh," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penerangan dan Diskusi Meja Bulat Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Pencegahan Rasuah bersama pelabur asing, di sini hari ini. Abu Kassim berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Datuk Ibrahim Ali, yang menimbulkan persoalan mengenai status siasatan SPRM terhadap kes yang didedahkan oleh bekas Penolong Gabenor Bank Negara, Datuk Abdul Murad Khalid.

Murad, dalam akuan berkanunnya, mendedahkan Anwar semasa memegang jawatan Menteri Kewangan pada tahun 1990-an pernah mengawal sebanyak 20 akaun induk membabitkan aset, saham dan wang yang keseluruhannya bernilai lebih RM3 bilion.

Abu Kassim berkata, SPRM juga akan membuka kertas siasatan terhadap Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali, berhubung dakwaan memiliki aset melebihi RM30 juta jika pihaknya memperoleh keterangan yang kukuh berhubung dakwaan itu.

"Sekiranya ada keterangan baru yang boleh membawa kepada pembukaannya (fail siasatan) kita akan buka sekiranya tiada kita tidak akan membuka...dasar kita iaitu semua kes yang ditutup akan ditutup sehingga ada keterangan baru," katanya.
Baru-baru ini, Panel Penilaian Operasi SPRM mengarahkan siasatan dijalankan terhadap Azmin yang didakwa memiliki aset dan harta melebihi pendapatan penjawat awam, antara 1995 dan 1997, ketika menjadi Setiausaha Sulit Anwar yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri.

Pengerusinya, Tan Sri Dr Hadenan Abdul Jalil, berkata panel mengarahkan SPRM menyambung siasatan berdasarkan kertas laporan siasatan yang dibuka pada 2009.
- BERNAMA


Tiada ulasan:

Catat Ulasan