Isnin, 11 Jun 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Raih simpati jual rantai kunci

Posted: 10 Jun 2012 12:32 PM PDT

KUALA LUMPUR: Kehadiran beberapa warga asing menjual rantai kunci dan barang hiasan untuk mendapatkan 'wang mudah' di sekitar pusat komersial Bangsar, di sini, menimbulkan rasa kurang selesa orang ramai.

Warga asing terbabit termasuk 'Mat Salih' yang tidak dikenal pasti status sebenar menyasarkan pelanggan yang menjamu selera di premis makanan kawasan berkenaan untuk meraih simpati dengan menjual barangan mereka.


Malah, ada segelintir mereka ini berlagak seperti orang kelainan upaya (OKU) pekak dan bisu, meletakkan rantai kunci pelbagai corak berharga RM10 berserta dengan sekeping nota di meja pelanggan.

Tinjauan Harian Metro di sekitar pusat komersial Bangsar mendapati selain orang asing, warga tempatan yang bukan OKU meminta sedekah daripada pelanggan di kedai makan. Wartawan Harian Metro ketika meninjau keadaan dengan menjamu selera di sebuah kedai makan di pusat komersial itu selama sejam didatangi tiga individu warga asing termasuk orang tempatan yang meminta sedekah dan menjual rantai kunci.


Walaupun tiada paksaan untuk menderma, perbuatan individu terbabit mengganggu pelanggan yang mahu menikmati makanan selain menganggap permintaan mereka melampau kerana menganggap jumlah itu banyak.


Pengunjung, Roslan Ahmad, 32, berkata, kehadiran 'pengemis' terbabit menyebabkan dia kurang selesa mengunjungi premis makanan di kawasan itu kerana sering didatangi individu yang meminta derma.

"Memang tidak tenteram duduk di kedai makan kerana selepas seorang pergi, menyusul lagi individu lain yang menjual rantai kunci untuk menderma atau meminta sedekah. "Saya tidak pernah memberi wang kepada mereka kerana berasa ragu dengan status OKU mereka," katanya. Katanya, tindakan warga asing terbabit menimbulkan tanda tanya kenapa mereka perlu meminta derma memandangkan keadaan fizikal segelintir mereka kelihatan sempurna dan tidak mempunyai masalah kesihatan.


"Saya juga pernah didatangi seorang Mat Salih yang menjual rantai kunci dengan harga RM10 dan dia bukan bisu, malah tubuhnya sihat," katanya.

Sementara itu, Siti Nadirah Abdullah, 27, berharap pihak berkuasa memandang berat masalah ini kerana individu terbabit mengganggu ketenteraman pelanggan.


"Selain di Bangsar, terdapat beberapa kawasan sekitar ibu kota menjadi tumpuan warga asing menjual barang hiasan dan meminta derma dengan cara seperti ini," katanya.




Polis tahan lelaki 48 tahun

Posted: 10 Jun 2012 12:30 PM PDT

KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang lelaki berusia 48 tahun bagi membantu siasatan kes samun seorang guru yang kini koma akibat kejadian langgar dan samun berhampiran rumahnya di Bandar Kinrara, di sini, 6 Jun lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah berkata, lelaki itu ditahan di Taman Mas Falim, Ipoh, Perak, jam 11.15 malam kelmarin.


"Polis juga sudah menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat kes samun berkenaan sehingga tertangkapnya semua suspek yang disyaki terbabit kes itu," katanya ketika dihubungi, semalam.

Harian Metro kelmarin melaporkan, mangsa, Teoh Soo Kim, 51, disamun dua lelaki tempatan selepas kereta dipandunya disyaki dilanggar dari belakang ketika dia keluar dari rumahnya untuk bersenam di Taman Rekreasi Bukit Jalil, di sini. Dalam kejadian itu, mangsa bukan saja disamun, malah turut dicederakan dua suspek terbabit yang menetak kepala mangsa sebelum wanita itu ditinggalkan di sebuah ladang sawit di Kuala Selangor. Suami mangsa, Tan Lee Ming, 48, berkata, isterinya parah di kepala dipercayai ditetak tiga kali.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan