Isnin, 11 Jun 2012

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


Pelajar didakwa rompak tukang cuci

Posted: 11 Jun 2012 02:57 AM PDT

Mutakhir

KUALA LUMPUR: Seorang pelajar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas tuduhan merompak seorang tukang cuci bulan lalu.

Muhammad Amrullah Wasman, 20, didakwa merompak K Periakha, 56, dengan melarikan beg tangan mengandungi wang tunai RM200, seutas rantai tangan emas, sebuah telefon bimbit dan kad pengenalan mangsa.

Muhammad Amrullah, pelajar sebuah institut kemahiran di Johor Baharu, Johor, didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Mutiara Raya, Taman Mutiara Barat di sini pada jam 9.30 pagi, 18 Mei lalu. Dia didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 24 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Amira Sariaty Zainal menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin namun Muhammad Amrullah yang tidak diwakili peguam memohon jaminan itu dikurangkan kepada RM2,000 kerana bapanya hanya menguruskan pusat perkhidmatan mencuci kereta.

Hakim S M Komathy Suppiah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin. Bagaimanapun Muhammad Amrullah hanya perlu membayar RM2,000 hari ini dan sekiranya dia gagal hadir ke mahkamah, penjamin perlu membayar selebihnya iaitu RM8,000.

Komathy juga mengarahkan pelajar itu melaporkan diri di Balai Polis Larkin, Johor, sebulan sekali dan menetapkan 10 Ogos untuk sebutan kes. - BERNAMA


Peniaga cedera dan rugi RM70,000 dirompak dua lelaki bersenjata pistol

Posted: 11 Jun 2012 02:39 AM PDT

Mutakhir

BUKIT MERTAJAM: Seorang peniaga cedera pada bahagian kepala dan kerugian lebih RM70,000 selepas disamun dua lelaki dipercayai bersenjatakan pistol di rumahnya di Taman Desa Damai di sini, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Azman Abd Lah, berkata pada kejadian jam 5 pagi itu, dua perompak yang menaiki kereta jenis Proton Waja memecah masuk rumah mangsa.

Ahli perniagaan lelaki itu tinggal bersama bapanya dan menyedari rumahnya dipecah masuk selepas terdengar bunyi bising sebelum beliau keluar dari bilik dan bergelut dengan dua perompak terbabit. "Seorang perompak terbabit mengetuk pistol di kepala mangsa sebelum melepaskan tembakan amaran," katanya di sini, hari ini.

Katanya, bapa mangsa yang terdengar bunyi tembakan itu terjaga dan ketika beliau keluar dari bilik, dua perompak itu melarikan diri dengan kereta jenis Mercedes Benz lama berharga RM70,000.

Peniaga itu kemudiannya dibawa oleh bapanya ke Hospital Bukit Mertajam dan menerima rawatan pesakit luar.

"Siasatan awal mendapati kereta Proton Waja yang digunakan dua lelaki itu menggunakan nombor pendaftaran palsu dan polis mengesyaki ia adalah kereta curi," katanya.
Azman berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan. - BERNAMA


Tiada ulasan:

Catat Ulasan