Selasa, 12 Jun 2012

Berita Harian: Nasional

Berita Harian: Nasional


Bajet 2013 ada ‘ole-ole’ rakyat

Posted: 12 Jun 2012 03:02 PM PDT

Nasional

NAJIB bersama (dari kiri) Pengerusi Media Prima Berhad, Datuk Johan Jaaffar; Pengerusi The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP), Tan Sri Mohamed Jawhar Hassan; Pengarang Bersekutu NSTonline, Fauziah Ismail;  Pengarang Urusan Kumpulan NSTP, Abdul Jalil Hamid  dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) NSTP, Mohammad Azlan Abdullah (kanan) di Balai Berita, Kuala Lumpur, semalam. - Foto Hasriyasyah Sabudin

NAJIB bersama (dari kiri) Pengerusi Media Prima Berhad, Datuk Johan Jaaffar; Pengerusi The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP), Tan Sri Mohamed Jawhar Hassan; Pengarang Bersekutu NSTonline, Fauziah Ismail; Pengarang Urusan Kumpulan NSTP, Abdul Jalil Hamid dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) NSTP, Mohammad Azlan Abdullah (kanan) di Balai Berita, Kuala Lumpur, semalam. - Foto Hasriyasyah Sabudin

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak optimis terhadap unjuran ekonomi negara bagi tempoh separuh akhir tahun ini dan tahun depan kerana berdaya tahan, terutama sejak kerajaan melaksanakan program transformasi.

Sambil menjelaskan inisiatif itu meliputi Program Transformasi Kerajaan (GTP) serta Program Transformasi Ekonomi (ETP), Perdana Menteri bagaimanapun berkata tetap berhati-hati berikutan risiko ekonomi global menguncup yang perlu diberi perhatian.

Beliau berkata, usaha kerajaan meningkatkan kekayaan negara menerusi program transformasi akan memanfaatkan seluruh rakyat antara lain dapat menyediakan kemudahan dan perkhidmatan lebih baik, termasuk bagi warga emas. "Sebagai contoh perkhidmatan kesihatan, faedah persaraan serta faedah jangka pendek lain yang lebih baik," katanya menjawab soalan peserta pada sesi sembang secara langsung melalui laman web New Straits Times (NST), NSTLive, di Balai Berita di sini, semalam.

Beliau yang ceria sebaik tiba di Balai Berita, tenang memberi tumpuan kepada soalan dalam talian pada sesi sejam itu dengan pada ketika tertentu, kelihatan serius berfikir dan ada kala tersenyum lebar, malah ketawa mesra.

Seterusnya menjawab soalan Bajet 2013 yang akan dibentangkan di Parlimen pada 28 September ini bakal memberi 'ole-ole' kepada segenap penduduk negara ini, Najib berkata, kerajaan sentiasa menyediakan sesuatu untuk rakyat dalam belanjawan.

"Tapi anda perlu menunggu pembentangan bajet itu," katanya kepada KFTANG. Katanya, kerajaan juga dalam proses memformulasi Bajet 2013 bagi menentukan sama ada mampu meneruskan program bantuan baucar buku RM200 untuk pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT) pada masa depan.

Ditanya adakah Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kali kedua bakal diberi dan jumlah itu melebihi RM500, Najib yang menyifatkannya sebagai soalan popular berkata, beliau akan meneliti aliran tunai kerajaan tidak lama lagi bagi menentukan kemampuan berbuat demikian.

Dalam pada itu, beliau berkata, keputusan China untuk membenarkan Malaysia menerima sepasang beruang panda dari negara itu adalah satu simbol besar hubungan mesra dan rapat antara kedua-dua negara kerana panda adalah haiwan berharga bagi China.

Menjawab pandangan seorang peserta supaya kerajaan melabur dalam pembangunan jangka panjang bidang pendidikan dan penjagaan kesihatan, daripada berbelanja besar memberi bantuan tunai kepada golongan miskin, Najib berkata, kerajaan berusaha melakukan kedua-duanya.

Katanya, kerajaan mengenal pasti pengurangan kos sara hidup adalah keutamaan rakyat, justeru, bantuan itu diumum sebagai langkah jangka pendek, namun bagi jangka panjang, ia ditangani melalui usaha seperti meningkatkan gaji penjawat awam antara tujuh hingga 13 peratus, memperkenalkan gaji minimum untuk sektor swasta dan mewujudkan lebih banyak pekerjaan menerusi program ETP.

Ditanya mengenai insentif untuk pekerja swasta yang menerima gaji peringkat sederhana, beliau berkata, kerajaan akan mengkaji struktur percukaian dan insentif boleh disediakan untuk golongan kelas pertengahan.

Najib berkata, keupayaan kerajaan mewujudkan lebih banyak pekerjaan bergaji tinggi dan kekayaan, akan turut memberi manfaat kepada golongan kelas pertengahan, bersama insentif lain seperti program perumahan, penambahbaikan pengangkutan awam serta program kesihatan.

Menjawab soalan lebih santai seperti warna beliau untuk Hari Raya tahun ini dan apa yang akan dilakukan sekiranya benar-benar susah hati, beliau berkata:
"Baju biru untuk Barisan pun boleh ... warna merah untuk UMNO pun boleh ..."

Komen Anda

Terima kasih diatas penyertaan anda. Berita Harian berhak untuk tidak memaparkan sebarang komen yang menyentuh isu-isu sensitif dan yang berbentuk iklan komersial. Alamat IP anda akan direkodkan dan mungkin digunakan untuk menghalang penghantaran komen seterusnya jika melanggar peraturan yang ditetapkan.

Senarai komen

atie azatie

" apelh oleh-oleh nya kn... same-same kita nanti kn... "

hazwan hafiy

Alhamdulillah..."ole-ole untuk Rakyat" ini amat ditunggu-tunggu untuk Bajet 2013 akan datang terutama daripada golongan pelajar-pelajar yg memerlukan Baucer Buku 1Malaysia...

Moga Bajet 2013 akan memberikan satu sinar yg mengembirakan golongan Pelajar...


Kerajaan harus teliti penggunaan bahasa Malaysia di mahkamah

Posted: 12 Jun 2012 02:58 PM PDT

Nasional

KUALA LUMPUR: Kerajaan harus meneliti penggunaan bahasa Malaysia di mahkamah kerana penggunaan bahasa bercampur aduk dalam sistem perundangan negara menyebabkan fungsinya sebagai bahasa kebangsaan, tidak dihormati.

Berhujah mengenainya, Ahli Parlimen Tangga Batu, Datuk Idris Haron berkata, pihak terbabit dalam sistem perundangan di mahkamah dikesan menggunakan bahasa Malaysia yang bercampur aduk dengan bahasa Inggeris, sekali gus menyebabkan fungsi berkenaan seolah-olah tidak dihormati.

Katanya, ada pengamal undang-undang tidak memahami perkataan dalam bahasa Malaysia, sebaliknya lebih memahami perkataan dalam bahasa Inggeris. "Lebih menyedihkan, ada perkataan bahasa Inggeris 'diMelayukan' tanpa mematuhi sistem mengadaptasi bahasa Inggeris ke bahasa Malaysia yang ditetapkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), katanya.

Keadaan itu menyebabkan pengamal undang-undang yang tidak mampu menggunakan bahasa dengan betul, sama ada bahasa Malaysia atau bahasa Inggeris.

"Ini macam teratai. Pucuk tidak sampai ke langit, akar tidak sampai ke dasar," katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Akta Kerjaya Undang-undang 1976 (Pindaan 2012) pada sidang Dewan Rakyat, di sini semalam.
Rang undang-undang itu dibentangkan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk VK Liew, kelmarin.
Idris yang mengakui tidak mempunyai pendidikan dalam bidang perundangan kerana beliau adalah seorang jurutera, berkata kerajaan melaksanakan kempen menggunakan bahasa Malaysia di mahkamah pada 1980-an tetapi sekarang keadaan itu seolah-oleh tidak wujud lagi.

"Di mana kesudahannya? Oleh itu, saya mencadangkan supaya perkara ini diteliti semula," katanya.

Beliau berkata, peguam di Sabah dan Sarawak harus dibenarkan menjadi ahli Majlis Peguam dan begitu juga sebaliknya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan