Khamis, 7 April 2011

Utusan Online - Utara

Utusan Online - Utara


Adam Syamil 'hero paramotor'

Posted:

Adam Syamil 'hero paramotor'

Adam Syamil 'hero paramotor'

Oleh OPAT RATTANACHOT
uspetani@utusan.com.my


ADAM Syamil Azman bersama paramotor yang digunakan untuk sesi meluncur di udara di Sungai Petani, baru-baru ini. - utusan/OPAT RATTANACHOT


SUNGAI PETANI 6 April - Sukan luncur udara bermotor atau paramotor amat rendah risikonya, walaupun ramai yang menganggapnya sebagai berbahaya dan boleh meragut nyawa.

Didorong rasa gerun, kebanyakan penggemar sukan lasak kurang berminat mencuba sukan tersebut yang sebenarnya menjanjikan cabaran dan kepuasan tersendiri.

Tidak hairanlah ramai lebih menggemari sukan lasak yang kurang berisiko seperti mendaki dinding batu (wall climbing), rollerblade, paintball, mountain bike, berkayak atau papan selaju (skateboard).

Namun, seorang kanak-kanak berusia 10 tahun, Adam Syamil Azman, telah membuktikan pilihannya betul apabila menolak semua perasaan gementar untuk meluncur di udara.

Murid tahun empat, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Seng Yok, Kupang, Baling itu ternyata mempunyai keberanian tersendiri apabila berjaya melakukan aksi meluncur di udara di kawasan lapang berdekatan Pesiaran Cinta Sayang di sini baru-baru ini.

Meskipun diiringi jurulatihnya, Norhisham Mansur, 27, Adam Syamil sudah mampu terbang dengan ketinggian sehingga 152.4 meter (500 kaki) dari aras laut.

Menurut kanak-kanak itu, dia cukup puas dan gembira setiap kali meluncur di langit tinggi.

"Memang mula-muda agak gemuruh, tetapi saya kuatkan semangat. Ternyata apabila paramotor naik, perasaan takut akan hilang dengan sendiri dan mula teruja dengan pemandangan sekeliling," katanya yang bercita-cita menjadi juruterbang.

Anak ketiga daripada empat beradik itu berkata, selepas ini, dia berazam untuk melakukan aksi penerbangan paramotor secara solo.

"Saya mahu tunjukkan bahawa usia muda boleh lakukan penerbangan solo seperti orang dewasa lain," katanya.

Sementara itu, Norhisham berkata, pihaknya sebelum ini tidak pernah membawa kanak-kanak seusia Adam Syamil untuk terbang menggunakan paramotor.

Bagaimanapun, atas kekuatan semangat yang ditunjukkan kanak-kanak tersebut, di samping dorongan ibu bapa, Adam Syamil diberikan latihan secukupnya untuk meluncur di udara.

"Ini pertama kali saya melatih kanak-kanak terlibat dalam sukan paramotor. Sebelum terbang, kita akan pastikan dia dilengkapi dengan tali keselamatan," katanya.

Norhisham yang merupakan jurulatih berpengalaman berpendapat, dengan menjalani latihan yang betul, dia berharap satu hari nanti Adam Syamil dapat menguasai sukan berkenaan.

Tambahnya, bagi orang dewasa, tempoh satu hingga dua minggu diperlukan untuk membolehkan mereka belajar sehingga mampu terbang secara solo.

Bagaimanapun katanya, bagi pelatih baru yang terbang secara solo, pihaknya akan memandu arah menggunakan kawalan radio bagi menentu arah terbang dan angin.

"Dalam kes Adam Syamil ini, kita mungkin perlukan masa yang lebih untuk memantapkan lagi selok-belok pengendalian paramotor," jelasnya.

Sementara itu, ibu Adam Syamil, Rogayah Yahya, 41, berkata, dia bersyukur kerana anaknya menunjukkan semangat kental untuk bergiat aktif dalam sukan berkenaan.

Katanya, dia dan keluarga sentiasa memberikan sokongan agar anaknya itu berjaya dan cemerlang dari semasa ke semasa.

"Dia berjaya menunjukkan semangat tinggi setanding dengan orang dewasa lain," ujarnya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Ibu masih trauma anak rentung

Posted:

Ibu masih trauma anak rentung

Ibu masih trauma anak rentung

Oleh AZELI ALI
azeli.ali@utusan.com.my


MOHD. Zaidi Mohd. Said (kiri) menyerahkan cek bernilai RM15,000 kepada Abdul Rashid Ismail (tiga dari kanan) untuk memperbaiki rumahnya yang terbakar di Permatang Nibong, Bukit Mertajam, Pulau Pinang, semalam.


BUKIT MERTAJAM 6 April - Ibu kepada kanak-kanak yang rentung dalam kebakaran di Kampung Permatang Nibong dekat sini Ahad lalu masih trauma dengan kejadian yang menimpa anaknya, Mohamad Irfan Abdul Rashid.

Perkara itu dimaklumkan bapa kanak-kanak malang itu, Abdul Rashid Ismail, 31, yang memberitahu, isterinya, Nur Amalina Mat Ariffin, 25, tidak mahu menjamah makanan sejak kejadian itu berlaku.

Menurutnya, Amalina juga tidak mampu untuk menjejakkan kaki ke rumah tersebut kerana terbayangkan Irfan yang merupakan anak kedua daripada tiga adik-beradik di samping tidak ingin lagi menetap di rumah tersebut.

"Semalam isteri saya ada datang jenguk rumah ini tapi tak sampai lima minit dia beredar kerana masih trauma dan bersedih dengan kejadian yang menimpa Irfan tambahan pula kejadian itu berlaku di depan matanya sendiri.

"Kakak mangsa, Nur Afiqah, 7, mula faham yang adiknya telah meninggal dunia tapi anak bongsu kami, Mohamad Ikmal, 3, sering menyebut nama abangnya itu," katanya ketika ditemui sewaktu dikunjungi Ketua Pemuda UMNO Bahagian Permatang Pauh, Mohd. Zaidi Mohd. Said hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.55 pagi itu, Irfan, 5, rentung kira- kira 70 peratus manakala datuknya, Mat Ariffin Hassan, 61, cedera apabila cuba menyelamatkannya selepas api menyambar rumah dua tingkat itu.

Sementara itu, Mat Ariffin berkata, dia kini menetap sementara di rumah pusaka bersebelahan rumah yang musnah itu sementara menunggu kerja- kerja pembaikan dijalankan.

Jelasnya, kejadian yang menimpa cucunya itu tidak akan luput di ingatan dan amat terkilan kerana tidak mampu menyelamatkan nyawa cucu kesayangannya itu.

Dalam pada itu, Mohd. Zaidi berkata, pihaknya serta Koperasi Tanjung Keramat Berhad menyalurkan bantuan sebanyak RM15,000 untuk membaiki rumah yang rosak itu.

"Kerja-kerja akan dijalankan segera dan dijangka siap dalam masa dua minggu dan ini adalah tanggungjawab sosial kami kepada masyarakat yang memerlukan.

"Sebelum ini pihak koperasi telah menjalankan kerja baik pulih dua rumah di Kampung Tanjung Putus dan Permatang Pasir bagi membantu mereka yang memerlukan" ujarnya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Mohon simpati MBAS lulus lesen niaga

Posted:

Mohon simpati MBAS lulus lesen niaga

Mohon simpati MBAS lulus lesen niaga


Rohani Osman menyuap minuman ke mulut suaminya, Azizan Bakar yang terlantar sakit radang hati di rumahnya di Kuala Kedah, baru-baru ini.


ALOR SETAR 6 April _ Seorang pesakit radang hati merayu agar Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) meluluskan segera lesen perniagaan untuk isterinya menjual nasi lemak di Kuala Kedah di sini.

Ini kerana, Azizan Bakar, 39, berkata, sudah tiga bulan dia dan isterinya tiada sumber pendapatan manakala keluarganya semakin dihimpit kemiskinan kerana tidak dapat lagi berniaga ekoran ketiadaan lesen.

Dia berkata, sejak disahkan menghidap penyakit radang hati, kesihatannya semakin tidak menentu dan isterinya, Rohani Osman, 38, mengambil alih tugas menyara keluarga dengan menjual nasi lemak di Kuala Kedah.

"Namun kerana tiada lesen kami tidak dapat berniaga nasi lemak lagi.

"Kami telah memohon lesen untuk berniaga daripada MBAS sejak tahun lalu namun sehingga kini kami masih gagal memperoleh lesen tanpa mendapat sebarang penjelasan daripada pihak MBAS," katanya ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Tok Pasai di sini baru-baru ini.

Menurutnya, dia tidak dapat melakukan sebarang pekerjaan kerana penyakitnya semakin parah dan kemungkinan dia berisiko tinggi untuk menghidap penyakit barah hati.

"Anak saya seramai tujuh orang, semuanya masih bersekolah dan disebabkan tiada lesen isteri saya sudah tiga bulan tidak berniaga nasi lemak.

"Setiap malam sejak November lalu, kami sekeluarga terpaksa tinggal di dalam gelap kerana bekalan elektrik telah dihentikan dan bekalan air punya hanya menunggu masa untuk dipotong," katanya.

Jelasnya, dia kini buntu kerana pihak MBAS tidak menjelaskan apakah alasan permohonan lesennya tidak diterima.

"Saya memang berharap agar MBAS dapat mempertimbangkan permohonan lesen perniagaan untuk isteri saya kerana itu sahajalah punca rezeki kami sekeluarga," katanya.

Bagi Rohani dia juga berharap agar ada pihak yang tampil untuk membantu dan meringankan bebannya untuk merawat penyakit yang dihidapi oleh suaminya.

"Permohonan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga telah dibuat namun masih belum menerima sebarang jawapan.

"Pihak JKM pernah membuat tinjauan Januari lalu namun sehingga kini permohonan itu belum diluluskan," ujarnya.

Dia yang kini mengambil upah menjual dodol di kampung berkenaan berkata, dia terpaksa menghantar makanan kepada anak-anak yang bersekolah kerana tidak mampu untuk memberikan wang saku untuk mereka.

"Anak-anak saya juga tidak mendapat sebarang bantuan persekolahan, jadi apabila terputus pendapatan mereka terpaksalah pergi sekolah tanpa membawa wang saku.

"Saya sememangnya berharap agar JKM dapat meluluskan permohonan bantuan yang dibuat oleh saya kerana dengan bantuan yang diberikan itu mampu meringankan perbelanjaan saya sekeluarga," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan