Khamis, 7 April 2011

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Pengorbanan tak dihargai

Posted: 06 Apr 2011 12:53 PM PDT

KUALA LUMPUR: Seorang bekas Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Abd Rahman Atin, 63, yang tercedera dan mendapat kecacatan kekal di tangan dalam pertempuran bersama komunis di Gunung Bintang, Perak, terkilan pengorbanannya tidak dihargai.

Menurutnya, dia kecewa kerana perkhidmatan dan kecederaan yang dialaminya pada tahun 1972 ternyata sia-sia berikutan ganjaran yang diperuntukkan kerajaan bagi tentera yang tercedera semasa menjalankan tugas hanya diterima tentera yang berkhidmat pada tahun 1994 hingga sekarang.


Dia yang berkhidmat selama 22 tahun dalam pasukan itu mendakwa pengalaman dalam Ops Sedar di Perak membawa perubahan yang besar pada dirinya apabila letupan bom, mencederakan bahagian tangan, kaki dan mulut, hingga menghilangkan keyakinan dirinya dalam bersosial.

Anaknya Ayu@Siti Khatijah Abd Rahman, 33, yang turut hadir menemani ayahnya berkata sejak kejadian terbabit ayahnya jarang menghadiri majlis kenduri jiran dan malu untuk bersalaman walaupun dengan anaknya sendiri.


"Oleh sebab itu, kami mencuba pelbagai cara untuk memulihkan semula semangat ayah seperti membuat beberapa pembedahan tangan di mana segala perbelanjaan ditanggung sendiri oleh kami," katanya.


Menurut Rahman, perniagaan yang dibuka bagi menampung pendapatan keluarganya juga terjejas akibat dari rasa jijik masyarakat terhadap kecederaan yang dialaminya.

"Tidak ada pelanggan mahu ke kedai saya apabila melihat kecacatan ini. Setiap hari hanya RM50 saja hasil jualan yang saya dapat. "Walaupun saya ada menerima pencen dan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), namun ia masih tidak mencukupi memandangkan masih mempunyai anak yang masih belajar di sebuah institusi pengajian tinggi," katanya ketika ditemui di balai berita.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Pak Ngah kesal jasa tak dikenang

Posted: 06 Apr 2011 11:40 AM PDT

KUALA LUMPUR: "Mata saya hampir buta dimasuki pasir akibat pekerjaan ini, tetapi jasa saya langsung tidak dihargai," dakwa seorang penggali kubur Masjid At-Taqwa Selayang Baru, Othman Naim, 83, yang ditamatkan perkhidmatannya oleh Jawatankuasa Kariah Masjid itu sejak 1 Februari lalu.

Dia yang lebih dikenali sebagai Pak Ngah berkata, penamatan perkhidmatan oleh jawatankuasa masjid dibuat tanpa sebarang penjelasan dan dianggapnya sebagai tidak sah.


"Saya tak faham sebab apa perkhidmatan ditamatkan sedangkan gaji saya bukannya dibayar oleh jawatankuasa kariah, tetapi dibayar oleh mereka yang memerlukan perkhidmatan.

"Apa mereka sudah lupa jasa saya selama 14 tahun sebagai penggali kubur di kawasan itu," katanya ketika ditemui Harian Metro.


Katanya, dalam notis yang diberikan kepadanya, jawatankuasa kariah bersetuju memberi bayaran sagu hati berjumlah RM900.


Sagu hati berkenaan akan dibayar secara bulanan dan bayaran akan dibuat secara berperingkat, RM300 selama tiga bulan.

"Jasa saya hanya setakat itu saja? Bukan saya nak minta bayaran lebih pun tapi saya rasa masih mampu untuk buat kerja itu dan tidak sepatutnya saya diberhentikan," katanya.


Menurutnya, kemungkinan untuknya terpaksa keluar dari rumahnya yang dibina bersebelahan tanah perkuburan itu juga akan berlaku. Ia disebabkan dalam notis yang diterimanya turut memberitahu bahawa pihak masjid akan mengadakan perbincangan dengan Pejabat Agama Islam Daerah Gombak bagi membincangkan status rumah terbabit. "Rumah saya itu dibina atas sumbangan orang ramai dan ketika pembinaannya, Ahli Jawatankuasa Kampung Selayang memberitahu secara lisan kepada pejabat tanah dan jabatan agama Islam.

"Pembinaan rumah saya atas dasar keselamatan tanah perkuburan disebabkan bimbang berlaku perkara tidak elok di kawasan itu dan memudahkan tugas saya," katanya.


Sementara itu, Nazir Masjid At Taqwa, Mizan Mamat, berkata, keputusan untuk menamatkan perkhidmatan Othman dibuat dalam Mesyuarat Pegawai dan Jawatankuasa Masjid kali ke-14 pada 5 November tahun lalu.


"Jawatankuasa sebulat suara bersetuju supaya perkhidmatan dia ditamatkan dan keputusan itu bukanlah dibuat oleh individu tertentu," katanya.


Katanya, status rumah terbabit juga masih dalam perbincangan dan belum ada sebarang keputusan yang dibuat.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Komen