Khamis, 21 April 2011

Utusan Online - Rencana

Utusan Online - Rencana


Hindari gelora prejudis antara kaum

Posted:

Hindari gelora prejudis antara kaum

Hindari gelora prejudis antara kaum

Oleh Aziz Jamaludin Mhd Tahir

MANUSIA dijadikan sebagai makhluk yang berbeza meskipun dilahirkan dalam kalangan ibu bapa yang sama. Dua orang anak kembar sekalipun mempunyai latar belakang pendidikan dan pengalaman yang hampir sama – tidak memiliki persamaan dalam emosi, akal fikiran dan tabiatnya. Inilah kebesaran Allah SWT sedangkan hasil ciptaan menurut piawaian tertentu mempunyai sifat yang manakala jika ia berbeza akan dianggap sebagai cacat (defect) atau rosak (reject).

Bagi Allah SWT, hakikat perbezaan itulah menjadi tanggungjawab kecerdikan akal untuk membolehkan nilai-nilai yang berbeza menjadi kekuatan apabila semuanya berada dalam satu ikatan kefahaman. Hakikat keyakinan antara manusia juga berbeza dan dengan sengaja Allah SWT menjadikan sedemikian rupa bagi menguji keintelektualan dan kekuatan iltizam manusia.

Perbezaan yang terjadi di antara manusia, baik dalam urusan ukhrawi mahupun urusan duniawi sudah berlaku sejak dahulu lagi dan akan tetap berlangsung hingga hari kiamat kelak. Banyak ayat al-Quran yang menerangkan hakikat ini. Allah SWT berfirman yang bermaksud:

"Dan bukanlah tanggungjawabmu untuk menjadikan seluruh manusia itu, beriman jika Tuhanmu kehendaki nescaya berimanlah sekalian penduduk bumi. Apakah patut kamu hendak memaksa manusia semua supaya mereka menjadi orang beriman." (Surah Yunus ayat 99)

Demikian juga dalam ayat yang lain Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Jikalau Tuhanmu menghendaki, tentu Ia menjadikan manusia umat yang satu. Tetapi mereka senantiasa berselisih pendapat, kecuali orang-orang yang diberi rahmat oleh Tuhanmu. Dan untuk itulah Allah menciptakan mereka." (Surah Hud ayat 118-119)

Atas perbezaan itulah juga telah memberikan kekuatan kepada Malaysia dalam membentuk struktur masyarakat di mana setiap komponen bersedia menerima tolak ansur. Tolak ansur yang dibina sejak pemimpin tiga kumpulan kaum terbesar membentuk sebuah kesepakatan.

Kesepakatan itu telah menyerlahkan struktur dan institusi yang mendokongnya dihormati. Setiap nasihat dan keputusan yang diambil menjadi sesuatu yang konsensus. Setiap ahli mematuhinya sebagai pemandu arah sehinggalah Malaysia kekal menjadi sebuah negara yang pesat membangun.

Sebagaimana sifat manusia yang merasakan ada kekuatannya sendiri, maka perjuangannya menjadi semakin eksklusif sehingga memandang nilai-nilai primordial sebagai kerangka bertindak pada masa selanjutnya. Bagi memperkuatkan nilai primordial ini mereka mencipta pula pelbagai sifat khusus dengan memaksa orang lain memahaminya, sedangkan dirinya sendiri kurang berusaha untuk memahami orang lain. Hubungan yang terjalin tidak lagi dalam bentuk timbal balik, tetapi lebih menjuruskan kepada pemenuhan kehendak, sama ada dipaparkan secara langsung ataupun tersembunyi.

Nasihat Paduka Sultan Perak sempena hari ulang tahun keputeraan baginda pada 18 April lalu agar kita tidak mengecam agama, bangsa dan keturunan orang lain, kerana ia bakal membawa kepada perbalahan kaum yang lebih luas. Sengketa agama turut terbangkit, walhal secara jelasnya masing-masing agama mempunyai nilai universal, mengajak manusia melakukan kebaikan sepanjang hayat di samping taat kepada prinsip-prinsip kehidupan harmoni.

Antara rakyat boleh berkongsi falsafah, cita-cita dan tindakan berdasarkan keupayaan masing-masing. Yang ingin dikawal oleh elit pemerintah ialah bagi memastikan hak orang lain tidak dirampas, milik setiap kaum kekal dan tidak beralih haluan melalui tekanan, ugutan dan terjahan keinginan mendominasi kelompok yang lain.

Al-Quran telah mengisyaratkan bahawa perbezaan yang terjadi demi mempertahankan kebenaran dan mewujudkan keadilan adalah sesuatu yang menjadi keharusan dalam menangani kemaslahatan umat manusia.

Jika Allah tidak mencipta orang yang selalu menyebarkan kebenaran untuk menandingi orang yang berbuat kebatilan, maka hancurlah bumi ini dan kerosakan akan bermaharajalela. Justeru, mereka di kalangan ahlul batil (para pelaku kebatilan) jika dibiarkan melakukan apa yang mereka kehendaki, maka akan berlakulah kekejian di muka bumi ini.

Namun, Allah amat besar kurnia-Nya ke atas manusia. Dia memberikan kekuatan dan hujah kepada orang yang selalu melakukan kebaikan untuk melawan dan mengalahkan perbuatan kaum yang selalu membuat kerosakan di muka bumi.

Seandainya Allah tidak mengizinkan untuk memerangi ahlul batil, pasti mereka telah membuat kerosakan di muka bumi ini. Tempat-tempat ibadah pada masa Nabi Musa dan Nabi Isa, masjid-masjid tempat solat kaum Muslimin pada zaman Nabi Muhammad tentu sudah mereka hancurkan.

Justeru, perbezaan-perbezaan yang berlaku di antara manusia itu adalah disebabkan faktor tidak mampu memahami setiap permasalahan secara menyeluruh, melakukan taklid tanpa dasar dan dalil, fanatik terhadap sesuatu pendapat atau pemikiran, sikap dengki kepada orang lain, tamak kepada kepentingan diri dan mengikut hawa nafsu.

Apa yang menyedihkan ada di kalangan umat Islam yang memulau dan menghukum umat Islam lain dengan syirik dan bidaah kerana orang lain tidak sama adat resam budayanya dengan mereka. Malah mereka cuba memaparkan fahaman mereka untuk diserap kepada masyarakat lain.

Dunia ini tidak akan menjadi aman selagi penghuninya tidak memiliki sifat berlapang dada dan terbuka fikirannya. Situasi sebegini ditambah dengan hilangnya sifat hormat menghormati antara satu sama lain, juga rasa tidak puas hati yang tersemat di sanubari terhadap apa yang ditentukan Allah SWT.

Sesungguhnya, perselisihan yang terjadi di antara manusia adalah sunatullah (hukum Allah yang berlaku pada makhluk-Nya) yang akan sering berlaku dari semasa ke semasa. Cuma, kita sebagai manusia yang dianugerahi akal dan fikiran yang sempurna perlu memaknakan segala yang berlegar di sekeliling kita ke arah jalan atau cara yang diredhai-Nya.

Kita selalu membaca sejarah Rasulullah SAW yang begitu mengambil berat tentang hak-hak kejiranan dan terhadap pembesar satu-satu kaum dan terhadap orang tua dan orang kafir yang berhajat.

Kita pernah mendengar bagaimana hubungan Rasulullah dengan orang Yahudi, bagaimana penghormatan yang diberi kepada seorang ketua satu kabilah, bagaimana layanan diberi kepada orang tua dan mereka yang memusuhi dan bagaimana sanjungan yang diberi kepada jenazah seorang Yahudi yang sudah meninggal dunia yang dibawa di hadapannya sehingga sahabat merasa iri hati dengan penghormatan itu.

Kata mereka, "tidakkah jenazah itu seorang Yahudi?" soal mereka. Jawab baginda, "bukankah dia juga satu jiwa yang dicipta oleh Allah." Ini menggambarkan hubungan kebaikan atau penghormatan sesama manusia tidak dilarang.

Perbezaan agama tidak menyebabkan adanya perakuan diskriminatif terhadap agama lain. Tidak ada pertentangan antara konsep Islam mengenai ahl-al-dzimmah dengan konsep kewarganegaraan. Bahkan konsep ahl-al-dzimmah sejalan dengan konsep kewarganegaraan, yang mana setiap penganut agama dan aliran kepercayaan mesti mendapat perlindungan sebagaimana sepatutnya, sesuai dengan undang-undang dan konsensus bersama, tanpa melihat apa agamanya. Apatah lagi dalam sebuah negara yang mengamal sistem demokrasi, yang merupakan fenomena terkini yang tidak boleh dihindarkan.

Oleh hal yang demikian, umat Islam dari semasa ke semasa mengikuti jejak langkah Nabi SAW yang bergaul dengan umat-umat lain khususnya yang bukan Muslim tetapi tergolong dalam ahlul milal wan nihal dengan penuh kejujuran. Dalam sejarah Islam, banyak contoh toleransi yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad SAW. Rasulullah SAW adalah contoh terbaik yang harus diikuti oleh semua umat manusia.

Islam pada intinya adalah seruan pada semua umat manusia menuju cita-cita bersama, iaitu kesatuan manusia tanpa membezakan ras, warna kulit, etnik, kebudayaan dan agama.

DATUK AZIZ JAMALUDIN MHD TAHIR Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah

Malaysia

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Kesedaran baru politik Cina

Posted:

Kesedaran baru politik Cina

Kesedaran baru politik Cina

Oleh Zainuddin Maidin

JIKA MCA masih boleh dianggap mewakili majoriti kaum Cina di Malaysia maka kenyataan Presidennya, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek baru-baru ini menyerlahkan lagi suatu kesedaran baru masyarakat Cina yang berasaskan kepada prinsip moral politik dan demokrasi berikutan pengasingan diri kaum Cina Sarawak daripada aliran majmuk negara ini.

DAP telah mencapai kejayaan besar dalam menjerumuskan masyarakat Cina Sarawak ke dalam aliran politik ini menerusi Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-10. Keputusan itu yang diyakini akan melebarkan wabaknya ke Semenanjung mendorong Presiden MCA itu membuat kenyataan bahawa sekiranya keputusan pilihan raya akan datang memberikan keputusan yang memedihkan seperti Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 maka MCA akan mengkaji semula kedudukan dalam Kabinet Kerajaan Persekutuan dan negeri (The Star, 20 April 2011).

MCA hanya diwakili 15 wakil rakyat dalam Parlimen Malaysia sekarang berbanding dengan sebelum PRU 2008 sebanyak 31 orang. Kenyataan Soi Lek itu boleh dilihat dari dua sudut politik. Yang pertama adalah amaran awal secara halus kepada masyarakat Cina di Semenanjung jika mereka tidak memberikan sokongan memulihkan angka perwakilan MCA dalam kerajaan Barisan Nasional (BN). Keduanya, merupakan kesedaran terhadap wujudnya kebimbangan masyarakat Cina di Semenanjung terhadap keputusan Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-10 terhadap masa depan mereka dalam politik dan ekonomi negara.

Ini jelas daripada kenyataan Soi Lek bahawa DAP tidak senang dengan kenyataannya supaya SUPP menolak sebarang tawaran untuk menyertai Kabinet Sarawak. "Adakah ini merupakan perasaan bersalah dan bertanggungjawab di atas kemungkinan tidak akan adanya wakil orang Cina dalam kerajaan Sarawak?" tanya Soi Lek.

Sebenarnya senario yang sama telah berlaku apabila MCA kalah teruk dalam pilihan raya 1969 yang mendorong beberapa ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO selepas tragedi 13 Mei menuntut supaya kedudukan MCA dalam Kabinet dikaji semula (Utusan Malaysia, 6 Jun 1969).

Kenyataan itu dipelopori oleh Dr. Mahathir Mohamad ketika dihubungi di kliniknya di Alor Setar. Beliau membuat kenyataan keras supaya MCA disingkirkan tetapi telah diperlembutkan oleh Ketua Pengarang Utusan Melayu, Tan Sri Melan Abdullah (Allahyarham) dengan menambah kenyataan dua orang lagi Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO iaitu Tan Sri Syed Jaafar Albar dan Syed Nasir Ismail. Berita yang diterbitkan sebagai tajuk utama muka satu pada 6 Jun 1969 adalah "Tokoh-tokoh UMNO Sokong MCA Tak Sertai Kabinet" sebagai menyambut keputusan pucuk pimpinan MCA ketika itu untuk tidak menyertai Kabinet.

Ini adalah reaksi kepada desakan beberapa Dewan Perniagaan Cina dan lain-lain pertubuhan Cina yang meminta Presiden MCA, Tun Tan Siew Sin supaya menimbangkan semula keputusan parti itu tidak mahu menyertai Kabinet. Syed Jaafar Albar berkata soal yang dihadapi bukan soal memberi kepercayaan kepada Tan Siew Sin sebagai pemimpin MCA tetapi masalah adakah orang Cina menyokong dasar kerajaan Perikatan.

Dr. Mahathir berkata sokongan pertubuhan-pertubuhan Cina kepada Tan Siew Sin tidak dapat dianggap sebagai sokongan orang Cina kerana badan-badan itu tidak mewakili hasrat orang Cina seluruhnya. "Kalau MCA hendak tahu sama ada ia disokong oleh orang Cina atau tidak maka ia terpaksa menunggu pilihan raya yang lambat lagi masanya dan kerana itu MCA tidak mustahak duduk dalam Kabinet," katanya.

Syed Nasir Ismail pula menuntut supaya keseluruhan hubungan antara UMNO, MCA dan MIC dikaji semula mengikut keadaan yang wujud selepas pilihan raya itu. Soal pokok kekalahan SUPP, parti Cina yang menyaingi DAP di Sarawak bukanlah kerana pengekalan Tan Sri Abdul Taib Mahmud sebagai Ketua Menteri Sarawak tetapi kerana SUPP seperti juga MCA tidak dapat bermain dengan api perkauman, terkawal dengan etika dan prinsip-prinsip Perlembagaan dan kerjasama yang menjadi asas kepada penubuhan BN.

Sukar untuk MCA dan SUPP bersuara secara terbuka seperti DAP yang merupakan parti berakar umbi perkauman Cina yang merupakan kegagalan kerajaan Perikatan dan BN untuk mencabutnya dari awal secara tegas seperti yang dilakukan oleh kerajaan PAP Singapura.

Hakikat ini mestilah kita terima sekalipun kerajaan Singapura memulihkan pengajaran bahasa Mandarin tetapi ia tetap berasaskan pada dasar-dasar Singapura yang telah diterapkan supaya pengajaran bahasa itu tidak menjadi asas penyuburan semula cauvinis Cina berasaskan kepada kebudayaan Cina.

Bapa kemerdekaan Singapura yang melihat bahaya cauvinisme Cina telah melumpuhkannya dengan menutup sekolah-sekolah Cina dan pusat-pusat pengajian tinggi Cina di Singapura sejak dari awal kemerdekaannya menerusi penggunaan bahasa Inggeris. Tetapi di Malaysia, penerapan bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris tidak berlaku secara tegas sebaliknya menyuburkan fahaman perkauman Cina dan fahaman sempit di kalangan orang Melayu.

Sekalipun kenyataan Soi Lek itu telah sedikit sebanyak dapat menyejukkan perasaan orang Melayu yang melihat dengan kebimbangan cetusan polarisasi kaum di Sarawak yang dicerminkan oleh keputusan pilihan raya negeri yang ke-10 itu, tetapi kenyataan Naib Presiden MCA, Senator Gan Ping Sieu (The Star 21 April 2011) telah memanaskan balik perasaan bukan sahaja bumiputera Sarawak tetapi juga orang Melayu di Semenanjung.

Ping Sieu telah menyuarakan apa yang disuarakan oleh DAP apabila beliau menuntut Abdul Taib meletak jawatan kerana katanya tidak mendapat sokongan daripada pelbagai kaum. Adakah kenyataan ini berasaskan fakta sebenar atau mengikut sentimen orang Cina yang tidak mahu menerima kepimpinan bumiputera di Sarawak? Wajarkah hanya kalah 16 kerusi daripada 71 kerusi kepada satu kaum setelah lebih 30 tahun berkuasa boleh dianggap sesuatu yang sangat teruk dan hilang kuasa kepimpinan masyarakat majmuk?

Dari awal lagi, saya percaya sekiranya Abdul Taib tidak memimpin Sarawak dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-10 maka malapetaka pastinya akan menimpa BN Sarawak. Bagaimanapun masa yang terlalu lama yang diperlukan beliau untuk menguruskan peralihan kuasa kepimpinan di Sarawak mungkin wajar difikirkan semula oleh beliau dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak demi kepentingan memperkukuhkan masa depan BN, khususnya di Sarawak.

Sesungguhnya kenyataan yang dibuat oleh Presiden MCA adalah tepat pada masanya bagi menyekat arus deras politik perkauman yang menggugat perasaan hingga ke Semenanjung. Kebimbangan dan persepsi orang Melayu terhadap sikap politik orang Cina untuk mencari jalan lain ke syurga semakin meningkat ekoran keputusan pilihan raya Sarawak itu.

Persepsi ini adalah benar jika berasaskan kepada suara akhbar-akhbar Cina. Umpamanya apa yang disuarakan oleh akhbar Sin Chew Daily, 18 April menerusi tulisan Goh Kien Nan yang mempersoalkan bagaimana MCA hendak menghadapi PRU akan datang berikutan fenomena orang Cina melawan arus bukan lagi hanya terbatas di Sarawak, sebaliknya rentak sama berlaku di seluruh negara.

"Ini bukan sahaja tidak reda malah nampaknya begitu kuat, mungkin akan terus melarat, semarak dan membara hingga PRU akan datang," katanya.

Tentunya sebagai rakan lama UMNO, Soi Lek juga dapat membaca persediaan orang Melayu untuk menghadapi kemungkinan kerakusan politik kaum Cina yang tidak mengenal batas sekiranya mereka tidak dapat mewaraskan pemikiran mereka dengan kesan Program Transformasi Ekonomi yang berlaku dan yang dapat dirasakan di bawah pimpinan Perdana Menteri. Soi Lek telah cuba membangkitkan kesedaran ini jika orang Cina mahu terus mengekalkan perkongsian ekonomi dan kuasa di negara ini.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Komen