Khamis, 21 April 2011

Utusan Online - Muka Hadapan

Utusan Online - Muka Hadapan


Beng Hock risau disiasat

Posted:

Beng Hock risau disiasat

Beng Hock risau disiasat

Oleh NOOR AZMAH IBRAHIM
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 20 April - Seorang kontraktor, Lee Wye Wing didakwa memperoleh kebanyakan projek kecil bagi kawasan Dewan Undangan (DUN) Negeri Seri Kembangan dan Kampung Tunku yang sepatutnya diberi kepada kontraktor bumiputera dengan bantuan anak saudaranya, Lee Khee Heong.

Peguam yang mewakili Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Dr. Muhammad Shafee Abdullah turut mendakwa saksi itu mempergunakan nama-nama syarikat kontraktor bumiputera bagi memperoleh projek tersebut sedangkan keuntungan diperoleh syarikatnya.

Sementara Teoh Beng Hock pula turut memainkan peranan sebagai orang tengah dalam menentukan sebut harga bagi projek-projek yang diluluskan untuk disampaikan kepada ketuanya, ADUN Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah.

''Faktor-faktor bahawa Khee Heong kenal pihak atasan DAP, orang yang sama dapat kontrak, kontraktor sebenar hanya mendapat bahagian yang sedikit dan sebahagian wang disalurkan kepada DAP cukup untuk menyebabkan Beng Hock risau akan disiasat dan menjadi saksi,'' kata Muhammad Shafee pada prosiding Suruhanjaya Siasatan Kematian Beng Hock di sini, hari ini.

Wye Wing yang dihalang oleh pengerusi suruhanjaya, Tan Sri James Foong Cheng Yuen daripada membuat tanggapan bahawa Beng Hock terjun dari tingkat 14, Plaza Masalam disebabkan faktor tersebut bagaimanapun mengaku kebanyakan daripada projek kecil diberikan kepada syarikatnya dengan menggunakan nama syarikat bumiputera.

Beliau turut mengaku dia dan Khee Heong yang juga bekas setiausaha politik pada pemimpin DAP adalah merupakan penyelaras projek memainkan peranan penting dalam mendapatkan projek tersebut manakala peranan isterinya hanya menandatangani cek.

''Semua kontrak diperoleh melalui kontraktor kelas F iaitu syarikat-syarikat bumiputera tetapi kerja-kerja dilakukan oleh syarikat saya. Saya tiada pilihan kerana projek kecil memerlukan kontraktor kelas F yang hanya terbuka untuk bumiputera sahaja.

''Syarikat-syarikat bumiputera turut mendapat bantuan pendahuluan daripada DAP tetapi mereka tidak tahu mengenai projek yang dijalankan kerana saya yang mengawal akaun syarikat,'' jelasnya.

Syarikat bumiputera tersebut adalah MKMN Enterprise, MA Bina Melur Enterprise, Fizami Constructions dan Aris Enterprise yang mana sebut harga mereka yang disediakan oleh Wye Wing dijumpai dalam komputer riba Beng Hock.

Berhubung senarai sebut harga tersebut, Wye Wing memberitahu, beliau menghantar kesemua draf tersebut melalui e-mel untuk disemak oleh Beng Hock dan berbincang mengenai harga kerana tahu projek tersebut akan diperoleh syarikatnya.

Dalam keterangan hari ini, Wye Wing yang mengaku dua syarikat WSK dan Hon Chai menyalurkan setengah daripada bayaran projek kepada DAP bagaimanapun menafikan syarikat-syarikat itu milik parti politik tersebut.

Sementara itu, Cheng Yuen turut memaklumkan suruhanjaya yang sepatutnya berakhir 25 April ini dilanjutkan selama dua bulan lagi sehingga 25 Jun depan bagi meneruskan siasatan.

Katanya, perkara tersebut dimaklumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melalui sepucuk surat kepada suruhanjaya selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Turut memberi keterangan dalam prosiding hari ini ialah Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Deputi Supritendan (DSP) Kamaruddin Ismail berhubung laporan polis oleh suspek-suspek terhadap SPRM.

Prosiding suruhanjaya yang diadakan di Mahkamah Tinggi Sivil Baharu (NCvC) di Kompleks Mahkamah di sini akan bersambung esok.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

AS1M: Skim pinjaman mudah

Posted:

AS1M: Skim pinjaman mudah

AS1M: Skim pinjaman mudah

Oleh AINUL ASNIERA AHSAN
utusanperak@utusan.com.my


NAJIB Tun Razak meletakkan labu sayong sebagai gimik perasmian sambil diperhatikan Zambry Abd. Kadir (kanan), Ahmad Sarji Abdul Hamid (dua dari kiri) dan Hamad Kama Piah Che Othman ketika majlis perasmian Minggu Saham Amanah Malaysia 2011 di Ipoh, semalam.


IPOH 20 April – Kerajaan akan memperkenalkan skim pinjaman mudah bagi membolehkan golongan berpendapatan rendah melabur di dalam Amanah Saham 1Malaysia (AS1M).

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, skim pinjaman itu dilaksanakan bertujuan untuk meluaskan penyertaan golongan pendapatan rendah dalam unit amanah saham keluaran Permodalan Nasional Bhd. (PNB).

Katanya, penyertaan golongan itu dalam pelaburan unit amanah mampu menjamin masa depan mereka.

Beliau tidak menolak kemungkinan memperkenalkan satu bentuk pinjaman kepada golongan itu dan pembayaran balik dibuat melalui pengagihan pendapatan yang diterima pada setiap tahun.

''Perincian skim ini sedang dipertimbangkan oleh Kementerian Kewangan dan Suruhanjaya Sekuriti. Pengumuman lengkap bakal diumumkan dalam jangka terdekat," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Minggu Saham Amanah Malaysia 2011 di Kompleks Sukan Majlis Bandaraya Ipoh di sini hari ini.

Turut hadir pada perasmian MSAM 2011 ialah Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zambry Abd. Kadir, Pengerusi PNB, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman. AS1M dilancarkan oleh Najib pada 2009 dengan saiz dana sebanyak 10 bilion unit dengan lima bilion bagi pelabur bumiputera, tiga bilion untuk pelabur Cina, India 1.5 bilion unit dan lain-lain kaum 500 juta unit. Setakat ini, peruntukan bagi kaum Cina telah habis dijual.

Terdahulu, Najib dalam ucapannya menyatakan penghargaan kepada PNB kerana berjaya melakukan transformasi terhadap minda rakyat Malaysia tentang dunia pelaburan sehingga ramai menerima unit amanah sebagai satu instrumen tabungan dan pelaburan utama mereka.

Ini dibuktikan apabila sejumlah 127 bilion unit amanahnya dilanggan oleh 10.4 juta pemegang saham, katanya.

''Dengan dana yang terkumpul itu, PNB berjaya menguasai syarikat-syarikat milik penjajah. Meskipun nama-nama syarikat itu dikekalkan seperti Sime Darby dan I&P Bhd., yang lebih penting ia milik rakyat Malaysia," tambah beliau.

Jelas Najib, kejayaan itu menunjukkan PNB mampu menguruskan syarikat-syarikat dengan lebih baik sehingga mencatat keuntungan besar dan kemudian diagihkan kepada pelaburnya dalam bentuk dividen.

Beliau yakin Program Transformasi Ekonomi mampu memberi prospek positif kepada syarikat-syarikat pelaburan PNB untuk berkembang dengan lebih baik.

''Prospek positif itu akan meningkatkan keyakinan rakyat untuk terus melabur dan tidak mustahil Malaysia mampu muncul sebagai pelabur terbesar di dunia," ujarnya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Pengajian Melayu semakin meluas

Posted:

Pengajian Melayu semakin meluas

Pengajian Melayu semakin meluas

Oleh Nizam Hamid


MUHYIDDIN Yassin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman bergambar bersama para pelajar dan kakitangan Kedutaan Malaysia di China pada majlis makam malam di China World Hotel, Beijing, semalam. – BERNAMA


BEIJING 20 April – Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin jalinan persefahaman dan persahabatan antara rakyat Malaysia dan China akan dapat diperkukuhkan lagi dengan meluasnya program Pengajian Melayu di institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, sebanyak enam buah universiti di negara ini telah menawarkan program pengajian Bahasa Melayu iaitu Universiti Komunikasi China, Universiti Peking, Universiti Pengajian Asing Guandong, Universiti Bangsa-Bangsa Guangxi, Universiti Bangsa-Bangsa Yunnan dan Universiti Pengajian Asing Beijing.

"Saya dimaklumkan antara 49 jurusan yang ditawarkan di Universiti Pengajian Asing Beijing (BFSU), Bahasa Melayu merupakan salah satu jurusan yang amat popular," katanya berucap semasa melawat universiti tersebut di sini hari ini.

Malah katanya, pelajar yang mengikuti jurusan itu telah dapat menguasai bahasa Melayu dengan amat baik sekali dan ia terbukti apabila dua pelajarnya menjadi johan dan naib johan pada Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri pada tahun lalu dan 2008.

Menurut beliau, iltizam dan penglibatan kerajaan Malaysia dan China dalam mengembangkan bahasa dan persuratan Melayu di negara ini telah ditingkatkan lagi dengan penubuhan Kursi Pengajian Melayu Malaysia-China di BFSU pada 2008.

"Dengan wujudnya Kursi Pengajian Melayu di universiti ini, saya yakin usaha pemantapan program ilmiah dalam bidang pengajian Melayu, baik dalam penawaran kursus yang lebih luas, penyelidikan, penerbitan dan pengembangan kebahasaan dapat dilaksanakan dengan lebih baik lagi," ujarnya.

Timbalan Perdana Menteri turut melahirkan penghargaan terhadap BFSU kerana memberikan tumpuan istimewa dalam program Pengajian Melayu sehingga universiti ini menjadi pusat pengembangan bahasa dan persuratan Melayu yang terunggul di China.

Tambahnya, BFSU juga aktif dalam menghantar tenaga pengajar bahasa Mandarin ke universiti di Malaysia dalam meningkatkan penguasaan bahasa itu di kalangan mahasiswa.

Katanya, BFSU telah memulakan program bahasa Melayu sejak 1961 lagi dan mewujudkan Pusat Pengajaran Bahasa Melayu pada 1997 dan Pusat Pengajian Melayu China pada 2005.

Dalam pada itu Muhyiddin berkata, walaupun bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan dan menjadi bahasa pengantar dalam sistem pendidikan kebangsaan, kerajaan tetap memberi pengiktirafan terhadap bahasa Mandarin.

Malah katanya, kerajaan juga mengambil langkah memantapkan pengajaran bahasa Mandarin di sekolah dan IPT termasuk menghantar pelajar ke BFSU bagi mengikuti pengajian bahasa Mandarin dengan harapan mereka pulang untuk mengajar bahasa tersebut.

"Setakat ini terdapat seramai 119 pelajar Malaysia di bawah tajaan Kementerian Pelajaran dan Mara di BFSU sejak 2007," ujarnya.

Kunjungan ke BFSU diadakan sempena lawatan kerja seminggu Timbalan Perdana Menteri ke negara ini dan turut serta ialah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Chor Chee Heung; Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek; Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin, Ahli Parlimen Pulai; Datuk Nurjazlan Mohamed dan Ahli Parlimen Lawas; Datuk Henry Sum Agong. – Utusan

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan