Jumaat, 8 April 2011

Utusan Online - Muka Hadapan

Utusan Online - Muka Hadapan


8 pegawai Imigresen didakwa

Posted:

8 pegawai Imigresen didakwa

8 pegawai Imigresen didakwa

Oleh NOOR AZMAH IBRAHIM
pengarang@utusan.com.my

SHAH ALAM 7 April - Lapan pegawai Jabatan Imigresen dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 83 tuduhan menerima rasuah daripada pemandu feri dan orang perantara membabitkan jumlah keseluruhan sebanyak RM122,140 dalam tempoh antara April dan September tahun lalu.

Kesemua tertuduh yang merupakan penguat kuasa di Bahagian Perkapalan, Pelabuhan Selatan, Pelabuhan Klang didakwa memperoleh wang suapan itu yang dimasukkan ke dalam akaun mereka atau individu lain sebagai upah bagi memudahkan urusan kemasukan penumpang warga Indonesia ke negara ini tanpa perlu mematuhi syarat yang ditetapkan.

Md. Shahrizal Che Dan, 26, Mohd. Khairul Haqimie Kamarudin, 26, Ahmad Zahed Abd. Alim, 28, Azmir Mahadi, 28, Mohd. Hafiz Zakaria, 27, Nor Shahazlina Sulaiman, 25, Mohamad Huzzail Ahmad, 31, dan Mohamad Izuwanshah Samsuri, 25, masing-masing mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibaca secara berasingan.

Md. Shahrizal menghadapi 31 pertuduhan memperoleh wang tunai berjumlah RM51,760 melalui 31 transaksi di beberapa buah cawangan Public Bank, manakala Nor Shahazlina didakwa menerima suapan sebanyak RM2,900 melalui akaun milik Abdul Razak Khaidir di Maybank Cawangan Pandamaran.

Sementara itu di mahkamah berasingan, Mohamad Izuwanshah didakwa atas 25 pertuduhan memperoleh wang tunai sebanyak RM31,690, manakala Mohamad Huzzail didakwa memperoleh suapan RM500 di hadapan sebuah rumah di Persiaran Seraya, Taman Palm Grove, Klang.

Di sebuah lagi mahkamah, Ahmad Zahed didakwa atas 12 pertuduhan memperoleh wang tunai sebanyak RM13,590, manakala Azmir Mahadi pula didakwa atas enam pertuduhan memperoleh RM5,710.

Mohd. Hafiz pula didakwa atas empat pertuduhan memperoleh suapan RM8,640 dan Mohd. Khairul Haqimie yang sedang menyambung pelajaran pula menghadapi tiga pertuduhan memperoleh RM7,350.

Tiga hakim iaitu Asmadi Hussain, M. Bakri Abd. Majid dan Mat Ghani Abdullah yang mendengar kes itu secara berasingan membenarkan setiap tertuduh diikat jamin antara RM4,000 dan RM10,000.

Mat Ghani menetapkan esok untuk sebutan kes terhadap Ahmad Zahed, Azmir, Mohd. Hafiz dan Mohd. Khairul Haqimie bagi memutuskan sama ada mereka akan dibicara bersama atau sebaliknya, manakala dua hakim lain menetapkan sebutan kes pada 5 Mei dan 27 April ini.

Bagi setiap pertuduhan, mereka didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi.

Pada Ogos tahun lalu, sebuah akhbar melaporkan kes kakitangan Imigresen di Jeti Pulau Ketam, Pelabuhan Klang menerima suapan sehingga RM60,000 sebulan sebagai habuan bagi memudahkan urusan keluar masuk pendatang haram serta melepaskan warga asing dengan pasport yang mempunyai cop palsu atau tiada dokumen.

Tindakan tersebut menyebabkan pintu masuk negara melalui pelabuhan itu mudah dibolosi pendatang haram dari Indonesia.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Pembangkang gadai prinsip

Posted:

Pembangkang gadai prinsip

Pembangkang gadai prinsip

Oleh ROZAMAN ISMAIL dan SAIFUL HAIZAN HASAM
pengarang@utusan.com.my


Najib Tun Razak diserbu oleh pelajar-pelajar sekolah yang ingin mendapatkan tandatangan Perdana Menteri di atas buku kartun Perdana Menteri bertajuk 'Transformasi Najib' selepas Pelancaran dan Penyerahan SIRIM Pintar-Learning dan SIRIM Robotkit di Sekolah Menengah Kebangsaan Santubong dekat Kuching, semalam. - bernama


KUCHING 7 April - Datuk Seri Najib Tun Razak membidas pembangkang kerana sanggup menggadai prinsip dalam sesuatu isu yang mungkin tidak menguntungkan mereka.

Perdana Menteri berkata, mereka biasanya akan melihat apakah faedah politik yang boleh diperoleh sebelum membuat pendirian.

Katanya, sikap itu boleh dilihat dalam isu desakan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja berhubung rakaman seks yang dikatakan membabitkan pemimpin pembangkang.

"Nampaknya pembangkang tidak konsisten, dia tengok apa keadaan dan kalau mereka rasa ada sesuatu yang mungkin tidak menguntungkan, mereka akan ketepikan prinsip," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran dan penyerahan SIRIM Pintar-Learning dan SIRIM Robokit di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Santubong, di sini hari ini.

Najib berkata, sikap itu amat pelik kerana pembangkang biasanya akan 'meloncat' mendesak penubuhan suruhanjaya apabila timbul sebarang isu.

"Yang pelik bila isu ini (video seks pemimpin pembangkang), mereka membisu malah menolak penubuhannya," katanya.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz membuat kenyataan akan mengemukakan cadangan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat rakaman video seks berkenaan pada mesyuarat Kabinet esok.

Menurut Mohamed Nazri, cadangan itu akan dibangkitkan beliau bagi membersihkan nama kerajaan dan Barisan Nasional (BN) yang dituduh menjadi dalang dalam rakaman video berkenaan.

Ia merupakan susulan kepada penafian Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr. Wan Azizah Ismail bahawa lelaki dalam rakaman itu bukan suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Ketua Pembangkang.

Beberapa pemimpin utama pembangkang sebelum ini menolak cadangan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja berkaitan rakaman video itu dengan alasan ia membuang masa.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

PM arah siasatan rapi kematian pegawai kanan kastam

Posted:

PM arah siasatan rapi kematian pegawai kanan kastam

PM arah siasatan rapi kematian pegawai kanan kastam

KUCHING 7 April - Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengarahkan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan satu siasatan rapi yang telus serta profesional dalam kes kematian Penolong Pengarah Kastam Selangor, Ahmad Sarbani Mohamed, 56.

Perdana Menteri berkata, kerajaan tidak akan melindungi apa-apa maklumat mengenai insiden itu kerana rakyat juga berhak mengetahui apakah sebenarnya yang berlaku.

Katanya, pada masa ini biarlah kes itu disiasat oleh polis terlebih dahulu sebelum membuat keputusan adakah ia memerlukan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja.

"Setakat ini apa yang saya diberitahu, dia (Ahmad Sarbani) datang (ke SPRM) secara sukarela untuk menukar kenyataannya yang dibuat sebelum ini, bukan SPRM yang panggil dia.

"Dalam masa SPRM memanggil pegawai penyiasat, beberapa minit sahaja kejadian itu berlaku," katanya.

Semalam, Ahmad Sarbani yang ditahan SPRM pada 1 April lalu sebelum dibebaskan keesokannya bagi membantu siasatan Operasi 3B, ditemui mati di pekarangan Ibu Pejabat SPRM Kuala Lumpur.

Dalam Operasi 3B, seramai 62 pegawai kastam ditahan kerana terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram serta pelbagai kesalahan lain.

Sementara itu, Najib berkata, kejadian itu mungkin menjejaskan kepercayaan masyarakat kepada SPRM namun harus diingat bahawa suruhanjaya itu bertindak untuk menyelamatkan wang negara.

Katanya, semua pihak tidak sepatutnya lupa bahawa penyelewengan yang berlaku adalah serius dan berlarutan bertahun-tahun lamanya malah kerajaan sendiri mahu membersihkan nama baik kastam.

"(Kerajaan) tiada apa-apa niat, ini sesuatu yang kita tidak sangka berlaku," katanya.

Najib juga tidak menolak kemungkinan kejadian itu akan mengganggu siasatan Operasi 3B namun ia akan diteruskan demi manfaat rakyat keseluruhannya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan