Khamis, 7 April 2011

The Malaysian Insider :: Bahasa

The Malaysian Insider :: Bahasa


Mashitah: Bahagian Sokongan Keluarga percepat proses cerai

Posted: 07 Apr 2011 12:59 AM PDT

KUALA LUMPUR, 7 April — Pewujudan Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) di setiap Mahkamah Syariah di seluruh negara berjaya menyegerakan proses penceraian di mahkamah itu, sekali gus membantu golongan isteri yang diceraikan yang dibebani dengan pelbagai masalah atau hal yang berkaitan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim berkata, golongan isteri yang diceraikan atau ibu tunggal boleh merujuk masalah mereka di BSK yang membantu usaha menguatkuasakan penghakiman atau perintah Mahkamah Syariah dalam kes hal ehwal kekeluargaan, terutamanya dalam perkara berkaitan nafkah dan hak penjagaan anak.

Beliau berkata, pegawai-pegawai BSK akan membantu mereka, termasuk dalam menjejaki suami, di samping menangani pelbagai isu yang dapat menyegerakan proses, kerana kes-kes penceraian biasanya akan memakan masa terutama dalam urusan nafkah.

"Isteri yang menuntut (cerai) perlu membuktikan kepada mahkamah (kenapa) dia menuntut penceraian itu, terutama mereka kena bawa bukti suami tidak membayar nafkah," katanya menjawab soalan Datuk Idris Harun (BN-Tangga Batu) di Dewan Rakyat hari ini.

Bernama Online melaporkan Idris bertanya mengenai peranan kementerian dalam membantu isteri-isteri yang diceraikan suami di mana mereka terpaksa melalui proses mahkamah syariah yang panjang sehingga berlaku penganiayaan dan tanggapan negatif masyarakat terhadap kredibiliti Mahkamah Syariah.

Mashitah berkata selain itu, berikutan prosedur dan tatacara perbicaraan di Mahkamah terikat dengan undang-undang yang ditetapkan, kerajaan melalui agensi Jabatan Kehakiman Mahkamah Syariah Malaysia (JKSM) dan Jabatan Kehakiman Syariah Negeri-negeri mengambil langkah-langkah mengusahakan penyelesaian kes menerusi Majlis Sulh, BSK Transit dan Skim Bantuan Dana BSK bagi membantu isteri-isteri yang diceraikan.

Sementara itu menjawab soalan Azan Ismail (PKR-Indera Mahkota) berhubung nilai terkini harta wakaf, harta pusaka serta nilai kutipan zakat seluruh negara, Dr Mashitah berkata berdasarkan maklumat yang diterima daripada Majlis Agama Islam Negeri (MAIN), sehingga kini terdapat 13,397.97 hektar tanah wakaf di Malaysia dianggar bernilai RM1.2 bilion.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 7,113.35 hektar merupakan tanah am dan 6,284.62 hektar adalah tanah wakaf khas manakala bagi nilai harta pusaka maklumat yang diperolehi daripada MAIN seluruh negara sehingga 2009 adalah RM38.7 juta.

"Jumlah kutipan zakat untuk tahun lepas pula adalah RM1.3 bilion. Bagaimanapun, jumlah ini belum muktamad iaitu tertakluk kepada audit pihak juruaudit MAIN masing-masing," katanya.

Menurutnya, bagi memperbaiki pengurusan zakat terutamanya aspek pengagihan, terdapat enam negeri telah mengkorporatkan entiti kutipan zakat mereka dan bagi negeri-negeri lain, pengurusan zakat dibuat oleh MAIN atau Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) sendiri.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Kes Sarbani: Dua pegawai SPRM ditahan kerja

Posted: 07 Apr 2011 12:21 AM PDT

KUALA LUMPUR, 7 April — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menggantung tugas seorang kakitangannya yang membiarkan pegawai Kastam berada seorang diri sebelum dia ditemui mati pagi semalam.

Kedua-dua mereka ditahan kerja untuk tujuan siasatan kerana dikatakan melanggar perintah berhubung pengendalian saksi atau pelanggan di premis SPRM di mana pegawai-pegawai tersebut dikatakan gagal berada bersama saksi atau pelanggan sepanjang masa mereka berada dalam premis agensi antirasuah itu.

The Malaysian Insider difahamkan kedua-dua mereka ditahan kerja berkuat kuasa hari ini.

"Proses tahan kerja ini adalah bagi membantu melicinkan penyiasatan dalaman berhubung perkara ini dan tindakan tahan kerja ini juga adalah sehingga siasatan dalaman selesai dijalankan.

"Tindakan tahan kerja tersebut dibuat di bawah Peraturan 43 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) (Pindaan) 2002 iaitu penahanan kerja bagi maksud penyiasatan," kata SPRM dalam satu kenyataan dikeluarkan petang ini.Kenyataan itu menambah, hasil siasatan dalaman iitu setelah selesai kelak akan dibentangkan di Jawatankuasa Aduan SPRM.

Pagi semalam, Ahmad Sarbani Mohamed, penolong pengarah Kastam Diraja Malaysia, ditemui mati di tingkat satu pejabat SPRM Wilayah Persekutuan Jalan Cochrane.

Jawatankuasa Aduan yang dianggotai oleh Datuk Mohd Nor Abdullah, Datuk Muhammad Mohd Noor, Datuk Wan Abdul Wahab Abdullah, Chooi Mun Sau dan Ravindran Muthu akan memantau pengendalian oleh suruhanajaya akan aduan mengenai salah laku yang tidak bersifat jenayah terhadap pegawai-pegawai suruhanjaya dan mengenal pasti apa-apa kelemahan dalam tatacara kerja suruhanjaya yang mungkin menimbulkan aduan dan jika difikirkannya sesuai untuk membuat apa-apa syor tentang tatacara kerja suruhanjaya sebagaimana yang difikirkannya patut.

Pagi tadi di Sarawak, Datuk Seri Najib Razak mengarahkan polis dan SPRM menjalankan siasatan menyeluruh dan telus berhubung kematian Ahmad Sarbani.

Sehubungan itu, Perdana Menteri menegaska, pentadbirannya tiada rancangan untuk mengadakan satu suruhanjaya diraja bagi menyiasat kes tersebut.

Pelbagai pihak meminta agar Putrajaya mengadakan satu suruhanjaya diraja bagi menyiasat kes terbaru ini.

Menurut SPRM, Ahmad Sarbani datang ke pejabat SPRM WIlayah Persekutuan pagi semalam tanpa diarah untuk datang membantu siasatan susulan.

Bagaimanapun rakan-rakannya dan Kesatuan Pegawai-pegawai Kastam Semenanjung sangsi Ahmad Sarbani pergi ke pejabat SPRM tanpa dipanggil.

Ahmad Sarbani merupakan salah seorang daripada 62 pegawai kastam yang menjadi tumpuan Operasi 3B, yang merujuk kepada kehilangan sumber cukai RM3 bilion.

Ia kejadian kedua dalam dua tahun ini. Kes kematian Teoh Beng Hock, yang ditemui jatuh dari Plaza Masalam, yang menempatkan pejabat SPRM Selangor, pada Julai 2009 masih disiasat oleh suruhanjaya diraja.


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan