Khamis, 7 April 2011

Harian Metro: BeritaUtama

Harian Metro: BeritaUtama


Arwah sering murung

Posted: 06 Apr 2011 12:54 PM PDT

KUALA LUMPUR: "Arwah berulang kali menyuarakan rasa bimbang dengan siasatan yang dijalankan ke atasnya. Dia tidak menceritakan secara terperinci mengenai siasatan itu, tapi memberitahu sering murung hingga sukar tidur malam."

Demikian kata Ridzuan Mamat, 46, rakan karib Penolong Pengarah Kastam Cawangan Import Eksport Pelabuhan Utara Jabatan Kastam Diraja Selangor (KDRM), Ahmad Sarbini Mohammed, 56, yang ditemui mati di tingkat satu, Bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jalan Cochrane di sini, semalam.


Dalam kejadian kira-kira jam 10.20 pagi itu, mangsa ditemui tertiarap dengan kesan kecederaan parah di kepala oleh seorang pegawai SPRM sebelum memaklumkannya kepada pihak atasan.

Ridzuan yang ditemui ketika menziarahi jenazah Ahmad Sarbini di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) di sini, berkata, perkara itu diceritakan arwah rakannya itu dalam perbualan telefon di antara mereka, beberapa hari lalu.


"Saya hanya menasihatinya agar tidak takut jika berada di pihak yang benar," katanya.


Ahmad Sarbini sering berkongsi cerita atau masalah dengan Ridzuan yang dikenalinya sejak 20 tahun lalu disebabkan hubungan baik yang terjalin di antara mereka sejak tinggal bersama di Kampung Talang, Lambor Kanan, Parit, Perak.

Ahmad Sharbini meninggalkan seorang balu berusia 40-an dan lima anak berusia antara lapan hingga 20-an termasuk anak perempuannya yang dikatakan baru bertunang awal bulan lalu.


Seorang rakan setugas Ahmad Sarbini yang enggan dikenali pula berkata, kira-kira jam 5 petang kelmarin, dia bermain tenis bersama Allahyarham di pejabatnya di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang.

"Ketika itu, arwah seolah-olah melepaskan tekanan dihadapinya. Apabila saya tanya mengenai perkembangan siasatan kes rasuah membabitkannya, dia diam dan terus meninggalkan gelanggang," katanya.


Tinjauan wartawan Harian Metro di PPUKM mendapati satu majlis tahlil dilakukan pegawai dan anggota kastam di perkarangan bilik mayat hospital berkenaan. Isteri dan ahli keluarga mangsa enggan memberi sebarang komen.


Sementara itu, Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Mustafar Ali berkata, Ahmad Sarbini datang ke bangunan itu untuk berjumpa seorang pegawai penyiasat kesnya dengan menunggang motosikal pada jam 8.26 pagi semalam. Menurutnya, Allahyarham antara 62 pegawai dan anggota KDRM yang ditahan SPRM dalam serbuan besar-besaran pada 1 April lalu atas kesalahan rasuah, aktiviti pengubahan wang haram dan pelbagai kesalahan lain.


"Ahmad Sarbini ditahan SPRM kira-kira jam 1 tengah hari 1 April lalu di Pejabat Kastam Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang bagi membantu siasatan membabitkan operasi 3B iaitu siasatan berkaitan kesalahan mengikut Akta SPRM 2009 kerana dipercayai terbabit dalam rasuah.


"Selepas rakaman keterangan dilakukan pegawai penyiasat, keesokan harinya kira-kira jam 12.30 tengah hari Ahmad Sarbini dibebaskan dengan jaminan," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.


Menurutnya, pagi semalam, Ahmad Sarbini datang semula ke bangunan SPRM menunggang motosikal Modenas Kriss untuk berjumpa pegawai penyiasat yang mengendalikan kesnya.


"Ketika itu, pegawai penyiasat terbabit sedang bermesyuarat. Jadi, Ahmad Sarbini diarahkan menunggu di lobi sehingga jam 9.30 pagi.


"Sebaik mesyuarat tamat kira-kira jam 10.15 pagi seorang pegawai membawanya ke sebuah bilik dan dia ditinggalkan di situ sementara pegawai pengiring mencari pegawai penyiasat terbabit," katanya.


Difahamkan, bilik berkenaan terletak di tingkat tiga bangunan SPRM itu.


Mustafar berkata, bagaimanapun, sekembalinya pegawai pengiring itu ke bilik berkenaan beberapa minit kemudian, dia mendapati Ahmad Sarbini tiada.


Katanya, pegawai itu mencari Ahmad Sarbini di sekitar bangunan sebelum menemuinya tertiarap di gelanggang badminton di tingkat satu bangunan berkenaan, lalu memaklumkan kejadian itu kepada pihak atasan.


Menurutnya, pihak SPRM segera menghubungi hospital memaklumkan kejadian itu sebelum melaporkannya kepada polis.


"Kami menyerahkan sepenuhnya kes itu kepada pihak polis untuk melakukan siasatan," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Telinga koyak, tubuh digigit

Posted: 06 Apr 2011 12:45 PM PDT

KOTA TINGGI: "Bukan setakat dicakar di belakang badan, malah telinga, tengkuk, ketiak, paha dan kaki saya juga digigit," kata Muhammad Rafiq Abdul Rashid yang diserang empat anjing jiran ketika berjalan pulang bersama kembarnya, Muhammad Rafie, ke rumah mereka di Kampung Panti di sini.

Murid berusia sembilan tahun itu berkata, ketika kejadian kira-kira jam 3 petang Ahad lalu, dia hanya mampu menutup muka sambil meraung kesakitan.


Dia yang ditemui di Hospital Kota Tinggi di sini, semalam, berkata ketika kejadian itu dia dan Muhammad Rafie berjalan kaki pulang ke rumah sebelum tiba-tiba dikejar empat anjing jiran.

Menurut murid tahun tiga itu, kembarnya sempat melarikan diri tapi dia gagal berbuat demikian kerana terjatuh menyebabkan dia dikerumuni empat anjing berkenaan.


"Saya dicakar serta digigit. Sakit sangat rasanya masa itu. Tidak lama kemudian kembar saya datang bersama beberapa penduduk lalu menghalau semua anjing itu.


"Syukur kerana mereka cepat membantu, jika tidak, saya tidak tahu apa akan berlaku," katanya.

Rafiq menerima 30 jahitan di seluruh badan manakala telinga kanannya dijahit bagi menyambung koyakan lebar.


Abang pasangan kembar berkenaan, Mohd Shahril, 23, berkata empat anjing itu dipercayai milik seorang peniaga ikan yang tinggal kira-kira 200 meter dari rumah mereka untuk mengawal harta bendanya.

"Entah bagaimana, pada petang hari kejadian anjing peliharaannya terlepas lalu mengejar dua adik saya itu. Ini kejadian pertama membabitkan anjing menyerang manusia di kampung ini.


"Saya harap pihak berkaitan dapat melakukan sesuatu untuk mengatasi masalah ini kerana bimbang jika tiada tindakan dibuat, perkara lebih buruk mungkin boleh berlaku," katanya.


Bapa mangsa, Abdul Rashid Ibrahim, 55, berkata ketika kejadian, dia berada di Melaka kerana berkursus.


"Pemilik anjing itu ada datang ke hospital menjenguk anak dan berjanji membiayai segala kos perubatan sehingga Rafiq sembuh," katanya.


Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pasir Raja, Datuk Dr Adham Baba, Naib Pengerusi Umno Bahagian Tenggara, Suhaimi Khalid serta Ketua Wanita UBT, Datin Salasiah Idris turut melawat keluarga mangsa.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Komen