Sabtu, 23 April 2011

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Poco-poco boleh tapi bersyarat

Posted: 22 Apr 2011 12:47 PM PDT

SEPANG: Muzakarah Jawatankuasa Fatwa (JKF) Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang di sini, sejak Rabu hingga semalam memutuskan tidak menghalang orang ramai terbabit dengan tarian poco-poco, selagi tidak melanggar garis panduan ditetapkan.

Pengerusinya, Prof Emeritus Tan Sri Datuk Dr Abdul Shukor Husin berkata, jawatankuasa itu sudah mengeluarkan Garis Panduan Amalan Kebatinan Dalam Persembahan Kesenian Tradisional Masyarakat Melayu pada 2007 yang boleh dijadikan rujukan berhubung perkara itu.


"Di antara garis panduan ditetapkan adalah menjaga pergaulan antara lelaki dan wanita serta mengawal pergaulan, menjaga etika berpakaian, tidak berbentuk pemujaan dan tidak melakukan ritual atau ibadat orang bukan Islam.

"Jadi, jika berdasarkan garis panduan itu, kita tidak ada halangan... tambahan lagi kita dimaklumkan tarian poco-poco sudah dibuat dengan pelbagai cara dan ada juga pandangan menyatakan ia baik untuk kesihatan.


"Namun, kita menasihatkan masyarakat Islam supaya berhati-hati dan melihat kepada garis panduan itu, sekiranya tidak melanggar (garis panduan) dan mendatangkan kesihatan, kita tiada halangan," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan muzakarah terbabit di sini, semalam.


Januari lalu, Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak memutuskan tarian poco-poco diharamkan di negeri itu kerana ia mempunyai kaitan dengan kepercayaan agama lain iaitu Kristian selain pemujaan roh, malah berdasarkan kajian ia sering diamalkan di Jamaica dan bercirikan agama Kristian.

Bagaimanapun, Abdul Shukor berkata, pihaknya masih melakukan beberapa kajian terhadap tarian berkenaan sebelum keputusan lanjut berhubung perkara itu diambil. Beliau berkata, keputusan pengharaman tarian itu di Perak masih kekal memandangkan Majlis Agama Islam Negeri mempunyai kuasa mengeluarkan fatwa berhubung sesuatu perkara.


Sementara itu, katanya muzakarah selama tiga hari itu turut membincangkan mengenai penggunaan vaksin untuk jemaah haji dan umrah dan mereka bersetuju penggunaan vaksin Meningitis Mencevax yang sudah digunakan sejak sekian lama di negara ini adalah harus dan dibenarkan.

"Kita sudah meneliti semua pandangan yang diterima dan sudah mendapatkan maklumat terperinci daripada Kementerian Kesihatan dan pakar berkenaan. Berikutan itu kita bersetuju ia harus digunakan masyarakat Islam... tambahan pula ia sudah lama digunakan di negara ini," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Kawan larikan RM4 juta

Posted: 22 Apr 2011 12:45 PM PDT

JITRA: Niat murni lebih 50 wanita yang kebanyakannya warga emas membantu seorang rakan mereka dengan memberikan pinjaman kerana suspek ingin menjalankan perniagaan dan pelaburan, terjerat apabila mereka tertipu membabitkan kerugian lebih RM4 juta.

Wanita berusia 50-an itu dikatakan sudah mengenali semua mangsa sejak antara 20 hingga 30 tahun lalu di Pusat Nyanyian dan Tarian di sini, namun masih tergamak menipu mereka sebelum menghilangkan diri akhir Mac lalu.


Difahamkan, suspek meminjam wang daripada mangsa kononnya untuk menjalankan perniagaan serta pelaburan dan berjanji akan memberi komisen antara lima hingga 10 peratus kepada mereka.

Kebanyakan mangsa yang berusia antara 40 hingga 80 tahun tidak menyangka suspek yang kelihatan baik dan pendiam itu mempunyai niat tidak baik.


Semua wanita itu mula menyedari perbuatan jahat suspek selepas dia tidak lagi mengunjungi pusat hiburan berkenaan iaitu tempat mereka sering berkumpul.


Suspek yang berasal dari Taman Ihsan di sini, sudah menjalankan kegiatan itu sejak lima bulan lalu dengan meyakinkan mangsa dia boleh mendapatkan keuntungan hasil pelaburan dan perniagaan yang dijalankannya.

Seorang mangsa yang mahu dikenali sebagai Oong, 82, berkata dia kerugian hampir RM60,000 selepas tertarik dengan pelaburan yang dijanjikan wanita itu.


"Saya tak sangka dia berniat jahat. Sebelum ini kami percayakannya kerana kami anggap dia seperti adik beradik. Sudah 20 tahun saya kenal dia, kenapa dia sanggup buat saya macam ini.

"Sekarang saya jadi miskin sampai nak makan pun susah, habis semua duit simpanan saya selama beberapa tahun hilang sekelip mata," katanya selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu di sini, semalam.


Seorang tukang jahit dikenali sebagai Teoh, 56, berkata dia menyerahkan RM43,000 kerana percaya dengan suspek yang berjanji memberikan komisen 10 peratus.


"Dia ada datang rumah saya di Taman Indera pada Jun tahun lalu, kira-kira jam 8 pagi dan mempelawa saya menyertai skim pelaburan menjanjikan pulangan lumayan dalam masa singkat.


"Saya sudah lama kenal dia, sebab itu saya tidak curiga. Saya bagi dia duit sebanyak empat kali iaitu RM15,000, RM12,000, RM10,000 dan RM6,000.


"Sepanjang tempoh itu, saya cuma dapat komisen RM1,000 dan selepas itu tiada lagi sehingga dia menghilangkan diri," katanya.


Yeoh, 50, berkata dia kerugian hampir RM80,000 selepas terpedaya dengan pelaburan dan perniagaan yang ditawarkan wanita itu.


"Suspek kata dia banyak perniagaan dan pelaburan yang sudah berjaya seperti kilang kain terbesar di Sungai Petani. Jadi dia suruh kami melabur dengannya supaya keuntungan dapat dikongsi bersama-sama," katanya.


Sementara itu, Setiausaha Sulit Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Loh Eng Chong berkata, dia menerima panggilan daripada beberapa mangsa berhubung kes penipuan wang mencecah RM4 juta, Isnin lalu.


Menurutnya, mangsa memberitahu mereka tidak mengetahui ditipu wanita terbabit kerana semuanya menyimpan rahsia ketika memberi pinjaman wang kepada suspek.


"Bagaimanapun, penipuan itu terbongkar selepas masing-masing mula mengesyaki sesuatu sejak wanita berkenaan tidak lagi datang ke pusat hiburan untuk berlatih nyanyian dan tarian sejak 27 Mac lalu.


"Semua mangsa memberitahu wanita berkenaan memperdayakan mereka dengan ganjaran dua kali ganda daripada jumlah pinjaman yang dibuat dan sebab itulah mereka yakin dengan wanita berkenaan yang turut memberi cek namun ia hanya cek tendang," katanya.


Timbalan Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Deputi Superintendan Ibrahim Mohamed Yusof ketika ditemui mengesahkan menerima laporan kes berkenaan.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Komen