Sabtu, 9 Jun 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Projek penyuraian trafik mesra OKU

Posted: 08 Jun 2012 04:30 PM PDT

KUALA LUMPUR: Projek penyuraian trafik bagi kawasan Brickfields dan Kuala Lumpur Sentral, di sini, yang siap sepenuhnya turut memberi kelebihan kepada golongan orang kelainan upaya (OKU) apabila kebanyakan kemudahan disediakan mesra golongan berkenaan.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, kemudahan kepada golongan berkenaan termasuk laluan khas bercat kuning pada laluan pejalan kaki bagi kemudahan orang cacat penglihatan serta kemudahan jejantas yang dilengkapi lif OKU.


"Tiga daripada lima jejantas yang siap dibina dilengkapi lif bagi memudahkan OKU, sekali gus membuktikan kejayaan kami menyediakan kemudahan kepada rakyat.

"Malah, kami yakin dengan kemudahan yang disediakan, kawasan ini lebih mudah dikunjungi terutama OKU dan secara keseluruhannya saya berpuas hati dengan perkembangan projek ini," katanya ketika mengadakan tinjauan di kawasan projek naik taraf sekitar Brickfields di sini, semalam. Selain itu, katanya, bagi mengurangkan masalah kekurangan parkir di kawasan terbabit, tempat letak kereta bertingkat yang boleh memuatkan hingga 340 kereta disediakan di Jalan Sultan Abdul Samad.


"Pelancaran projek berkenaan dijangka diadakan pada Julai ini," katanya.


Projek sistem penyuraian trafik di kawasan berkenaan bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas yang kerap menjadi rungutan pengguna jalan raya termasuk pembinaan Jejambat Travers/Jalan Bangsar bernilai RM34.75 juta dibuka kepada orang ramai akhir Julai 2010.




Buntu ‘hutang’ RM120,000

Posted: 08 Jun 2012 04:29 PM PDT

KUALA LUMPUR: Seorang wanita mendakwa diburu beberapa bank selepas dikatakan berhutang lebih RM120,000 sejak 2004 menyebabkan namanya kini disenaraihitamkan.

Mangsa, Noor Lela Nazri, 40, yang juga operator pengeluaran berkata, dia didakwa berhutang dengan lebih tiga bank termasuk satu untuk pinjaman perumahan serta dua membabitkan kad kredit.


Menurutnya, dia terkejut selepas memeriksa namanya dengan Bank Negara Malaysia yang memaklumkan dia disenaraihitamkan selepas menanggung hutang bank lebih RM120,000.

Katanya, lebih malang apabila dia perlu menjelaskan hutang berkenaan jika mahu namanya dibersihkan selain tidak boleh membuat pinjaman di institusi kewangan dan tidak boleh membuka akaun bank.


"Kejadian itu terjadi selepas kad pengenalan saya hilang pada 1994 akibat disamun dua lelaki yang mungkin menjualnya kepada sindiket yang menyalahgunakannya untuk membuat pinjaman.


"Saya menerima panggilan pertama dari sebuah bank pada Mei 2004 memaklumkan mempunyai hutang kad kredit dengan dua bank berjumlah RM22,000," katanya pada sidang media di Wisma MCA, di sini, semalam.

Katanya, pada Jun 2006, dia sekali lagi dikejutkan dengan panggilan telefon dari sebuah bank yang menyuruhnya membayar pinjaman perumahan RM80,000 yang dibuat pada 2003.


"Saya tidak mengendahkan perkara itu dan membuat laporan polis, namun bimbang selepas permohonan untuk membuka akaun di sebuah bank pada Ogos 2009 tidak berjaya berikutan nama sudah disenaraihitamkan.

"Saya pergi ke Bank Negara Malaysia untuk memeriksa identiti sindiket yang menyalahgunakan kad pengenalan dan mendapati individu itu sudah menukar gambar bagi mengelak dicam pihak berkuasa," katanya yang sudah membuat lima laporan polis.


Sementara itu, Ketua Biro Aduan Awam MCA, Datuk Seri Micheal Chong berkata, pada tahun lalu saja, pihaknya menerima 26 aduan penipuan membabitkan nilai RM26 juta manakala pada tahun ini, sebanyak 12 kes membabitkan nilai RM1.3 juta.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan