Rabu, 13 Jun 2012

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


Lelaki Iran ke tali gantung edar Methamphetamine

Posted: 13 Jun 2012 03:19 AM PDT

Mutakhir

SHAH ALAM: Seorang lelaki warga Iran dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis Methamphetamine seberat 312.2 gram di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, dua tahun lalu.

Hakim Noor Azian Shaari menjatuhkan hukuman itu terhadap Abbas Shirazi, 26, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Tertuduh didakwa menyembunyikan dadah berkenaan dalam sandal yang dipakainya di kaunter pemeriksaan Kastam D, cawangan pemeriksaan penumpang 1, Balai Ketibaan Antarabangsa, KLIA, kira-kira jam 10.25 pagi pada 15 Jun 2010. Pekerja kilang itu didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 39B(2) Akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Dalam penghakimannya, Noor Azian berkata, tertuduh dalam pembelaannya mendakwa diupah dengan jumlah wang yang besar untuk membawa sepasang sandal dan alat pelurus rambut sebagai sampel ke Malaysia.

Beliau berkata, keterangan tertuduh bahawa dia tidak mengetahui mengenai kewujudan dadah di dalam sandal berkenaan jelas tidak munasabah.

"Justeru, mahkamah mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan yang munasabah dan oleh itu tertuduh dijatuhi hukuman gantung sampai mati," katanya.
Sejurus Noor Azian membuat keputusannya, Abbas yang berdiri di kandang tertuduh dilihat melemparkan senyuman.

Seramai enam saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari Kastam Diraja Malaysia, Azamuddin Abd Aziz sementara tertuduh diwakili peguam Datuk N Sivananthan. - BERNAMA


Bangsa bukan kriteria kenaikan pangkat hakim: Nazri

Posted: 13 Jun 2012 02:44 AM PDT

Mutakhir

KUALA LUMPUR: Pemilihan hakim bagi kenaikan pangkat dibuat berdasarkan kepelbagaian kepakaran dan pengetahuan undang-undang dalam bidang kehakiman tanpa mengira bangsa dan keturunan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, berkata pemilihan dibuat berdasarkan kriteria pemilihan yang digunakan oleh Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman.

"Sebagaimana yang dinyatakan di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 (Akta 695) kriteria itu mengambil kira integriti, kecekapan dan pengalaman, objektif, tidak berat sebelah, adil dan peribadi moral yang baik. "Selain itu, ketegasan, kebolehan membuat penghakiman tepat pada masanya dan kemahiran yang baik dalam penulisan undang-undang, kerajinan dan kebolehan untuk mengurus kes dengan baik dan kesihatan mental serta fizikal," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) di Parlimen hari ini.

Karpal ingin tahu mengapa tidak ada hakim yang berketurunan India di Mahkamah Persekutuan walaupun terdapat hakim tersebut di Mahkamah Rayuan yang layak untuk memegang pangkat sebagai hakim di Mahkamah Persekutuan.

Nazri berkata, bagi tujuan ketelusan, pemilihan hakim untuk kenaikan pangkat adalah dibuat secara undi sulit oleh suruhanjaya itu dan mereka yang dipilih adalah berdasarkan keputusan majoriti. - BERNAMA


Tiada ulasan:

Catat Ulasan