Khamis, 1 Disember 2011

Utusan Online - Rencana

Utusan Online - Rencana


UMNO menjuarai transformasi

Posted:

UMNO menjuarai transformasi

UMNO menjuarai transformasi


Najib Tun Razak ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung UMNO ke-62 di Dewan Merdeka, PWTC, Kula Lumpur semalam.


MUKADIMAH
Alhamdulillah, dizahirkan sejuta kalimah syukur ke hadrat Allah SWT, Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani yang telah memberi izin dan inayah-Nya supaya kita dapat sekali lagi berkumpul dalam dewan penuh bermakna ini. Ucapan selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad SAW yang senantiasa dipersadakan kepimpinannya.

Berbekal rasa tawadhu' dan kerendahan hati, Perhimpunan Agung UMNO kali ini ditandai masuknya Tahun Baru Hijrah 1433. Ini bererti, hampir 1380 tahun wafatnya Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW pada 11 Hijrah bersamaan tahun 632 Masihi. Baginda telah kembali ke pangkuan Ilahi. Pergi selamanya meninggalkan kita dengan dua pegangan utama yakni al-Quran dan Sunnah sebagai suluh sepanjang zaman agar tidak tersasar dalam perjalanan hidup di dunia ini.

Menyisir sirah Nabawi, dengan beriktibar daripada rentetannya, Rasul yang agung itu, telah mewariskan kepada tamadun kemanusiaan suatu riwayat kepimpinan penuh berteladan. Baginda telah didokong dan didamping penuh kemuliaan oleh Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Khalifah Pertama selaku teman setia yang arif berpengalaman, Saidina Umar Al-Khattab, Khalifah Kedua, Al-Faruq yang menjadi perlambangan ketegasan prinsip beragama.

Seterusnya, Saidina Uthman Al-Affan, Khalifah Ketiga, hartawan amanah dengan kewarakan dan keperibadian tiada tolok bandingnya, manakala Saidina Ali, Khalifah Keempat, simbol ketokohan golongan muda yang sanggup berkorban apa saja. Dimuliakan wajahnya serta turut digelar sebagai Singa Allah seperti mana Saidina Hamzah.

Sayugialah, para cendekiawan dan para pengkaji menyifatkan tali temali perjuangan suci Baginda dalam menegakkan syiar Islam sebagai penuh berstrategi. Semuanya dipintal dan diikat oleh sifat-sifat mahmudah yang terpuji seperti cinta dan kasih kepada perjuangan, ketaatan, kesetiaan, pengorbanan, keikhlasan, kejujuran, amanah, kuat kerja, tidak putus asa, tabah dan pastinya bertawakal kepada Allah.

Menjejaki laluan tersebut, kita mahu terus mencontohi dan mengambil pengajarannya, bagi memperelok dan memperbaiki perjuangan UMNO, yang selama ini turut dipersaksikan oleh perjalanan suka duka, pahit dan manis, selaku sebuah parti penuh berjasa.

Tahun ini, UMNO menyambut kelahirannya yang ke-65. Hampir tujuh dekad berjuang sebagai organisasi politik yang menyejarah, mendaging dan mendarah dalam ikhtiar memartabatkan maruah serta mengangkat tinggi kedudukan orang Melayu.

Sungguh jauh kita berjalan. Sungguh banyak hitungan masa. Walau dihadap segenap cabaran, walau dilempar segala fitnah, walau diterjah sedemikian banyak taktik jahat lagi kotor, digodam dan dihentam oleh pihak lawan, terbukti kita tidak pernah pudar semangat, tidak akan mengalah dan tidak akan mungkin padam cita-cita.

Bahkan derap demi derap, terus menyusun strategi, mengatur langkah demi langkah, mara ke hadapan, menjulang panji-panji bangsa, agama dan negara.

Bersesekali dengan itu jua, saya pohon, marilah kita sama-sama bangun dan berdiri..., bangkit, untuk beri satu penghormatan kepada para pendahulu, kesatria-kesatria UMNO, warga parti yang tidak didendang serta barisan negarawan unggul lagi terbilang yang dilahirkan oleh perjuangan mulia ini. Marilah..., marilah, kita angkat tinggi penghargaan kepada Tun Dr. Mahathir, Tun Abdullah, Tun Sarkaran Dandai dan semuanya.

Bermula dengan gemulah tokoh-tokoh tersanjung yang telah pulang menyahut panggilan Ilahi seperti Allahyarham Dato' Onn, Almarhum Tunku Abdul Rahman, Allahyarham Tun Razak, Allahyarham Tun Hussein, Allahyarham Tun Dr. Ismail dan Allahyarham Tun Ghaffar Baba.

Khususnya, kalungkanlah penghormatan kita kepada parti bertuah ini, Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu yakni UMNO yang telah memungkinkan sebuah negara merdeka terbina gagah, ilmu pengetahuan digembur dan disebar luas pada anak-anak, belantara dipugar, sawah ladang diusahakan, hingga laba yang lumayan melimpah-limpah ke kaki halaman.

Sememangnya termaktub, ceritera kejayaan Malaysia adalah cerita kejayaan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu, yakni UMNO, bersama dengan rakan-rakannya. Parti Perikatan, yang kemudiannya bergelar Barisan Nasional, adalah satu jelmaan dan terjemahan hasil pakatan ikhlas kaum Melayu/Bumiputera berserta kaum-kaum lain di Malaysia.

Berkat pengurusan negara yang begitu cekap, terutamanya di lapangan ekonomi, wajah Malaysia telah berubah daripada sebuah negara pertanian berpendapatan rendah, diawali dengan lebih separuh warganya hidup di bawah paras kemiskinan, kepada sebuah negara perindustrian moden berpendapatan sederhana tinggi, di mana kurang daripada empat peratus penduduknya berada bawah paras kemiskinan relatif manakala kemiskinan tegar pula hampir berjaya dibasmi.

Jika dihalusi, susur galur kejayaan ini, mempunyai bibit-bibitnya dalam prakarsa, perancangan rapi, penggubalan dasar dan pelaksanaan oleh kerajaan yang diterajui UMNO. Dalam kata lain, ia tidak terjadi secara sendiri mahupun dalam vakum atau kelompongan.

Lantas, usahlah kita berasa bimbang dan ragu. Malaysia, nyatanya bukanlah sebuah kisah ditulis parti pemerintah yang gagal. Ia dinukil oleh sebuah parti yang berhak untuk berbesar hati, bahawa, mandat dan kepercayaan diberikan oleh rakyat Malaysia, telah digunakan sebaik-baiknya, demi kebajikan dan kegemilangan pertiwi.

Menghayati ehwal demikian, secara sedar atau tidak, bukan semua parti politik jika membentuk kerajaan akan menghasilkan kejayaan yang sama seperti kita. Lihat saja kepada sejumlah besar negara di dunia, waima, mempunyai pelbagai potensi termasuk sumber asli yang kaya, namun dek sebab kerajaan tidak berkebolehan, sia-sialah segala faktor dimiliki, malah akhirnya mereka menjadi negara yang gagal.

Pada perhimpunan tahun lepas, saya telah bercakap dan membicarakan dari sudut falsafah dan asal usulnya, siapakah itu Melayu. Kita dah dengar bahawa antara terhitung dalam kelompok Melayu adalah Bugis, Minang, Arab, Muallaf, serta berpuluh suku kaum di Sabah dan Sarawak. Hatta Mamak dan Malbari pun dah serap jadi Melayu. Celah-celah itu, ketiga-tiga Naib Presiden kita tampaknya terdiri daripada Jawa, Turki dan Bajau Laut. Saya kata takpalah, yang penting semua kira Melayu…

Jadinya, pada perhimpunan kali ini, setelah saya belek-belek dan saya kaji-kaji pengalaman secara aktif selama 35 tahun dalam parti, bersempena pula UMNO sudah menjangkau satu umur yang sangat dewasa, berpengalaman dan matang yakni 65 tahun, elok rasanya kalau dikupas pula siapakah dan apakah ertinya menjadi orang UMNO.

Maksud saya, bila mana memperkatakan tentang parti, kita semua sebenarnya tidak cukup sekadar didefinisikan sebagai ahli UMNO. Sebaliknya, kita perlu menjadi orang UMNO. Makna kata, orang UMNO yang tergambar dan terpamer perwatakannya melalui tindak tanduk serta sistem nilai yang dipegang.

TAAT DAN SETIA

Pertama sekali, orang UMNO itu adalah orang yang taat dan setia kepada parti. Orang UMNO tidak akan sekali-sekali mengkhianati parti.

Kita faham, adalah lumrah dalam sesebuah parti mesti timbul perbezaan pendapat. Apa yang penting, kelainan pandangan itu seharusnya membawa rahmat dan bukannya mengundang mudarat.

Dalam berijtihad pula, orang UMNO harus mencipta kebaikan untuk parti. Mengambil mufaham pengertian setia dan taat melalui syura dan musyawarah seperti difirmankan dengan indahnya pada helaian Surah An-Nisa', apabila sesuatu keputusan telah dibuat, jika tidak menyalahi syariat, maka wajiblah ditaati.

Contohnya, kita mahu pengikut seperti Khalid al-Walid yang taat mengundur diri sebagai panglima perang apabila diarahkan oleh Khalifah dan hanya ikut serta sebagai soldadu biasa. Sekalipun sedang berada di kemuncak karier, menurut sejarahnya tidak pernah kalah perang.

Seterusnya, Usamah bin Zaid, seorang anak muda belasan tahun yang setia menurut arahan mengepalai pasukan tentera Islam walaupun bukanlah seorang panglima yang berpengalaman di medan perang. Inilah dia, watak, dan keperibadian pejuang sejati yang kita inginkan dalam susuk diri orang-orang UMNO.

Bercakap tentang taat setia juga, kita tidak mahu, bila depan kita disuruh angguk, dia angguk, disuruh geleng, dia geleng. Tapi di belakang lain pula halnya. Jangan tikam dari belakang dan jangan pula main belakang. Bak kata pepatah, janganlah telunjuk saja lurus tetapi kelengkeng berkait.

CINTA DAN KASIH

Adapun nilai kedua orang UMNO itu adalah, orang yang cinta dan kasih kepada perjuangan parti. Seperti dimadah oleh Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, dalam lagunya… itulah kasih mesra, sejati dan mulia.

Dalam hal ini, apabila ada rasa cinta dan kasih kepada parti, orang UMNO itu juga adalah orang yang tidak takut dan tidak gentar menyuarakan pendapat serta mendengar pula pendapat orang lain demi kebaikan parti.

Ajaran agama dan pujangga melorongkan pedoman, perkatakanlah yang benar kerana kebenaran itu isi dan makanannya sejarah, tidak akan patah dipukul zaman.

Bersesuaian dengan nilai kesetiaan, bila kuat hawa kasihnya kepada parti, orang UMNO wajib membela dan mempertahankan parti, selagi hayat dikandung badan.

Seperkara utama lagi adalah cerdik pandai berfatwa, tak kenal maka tak cinta. Lantaran, untuk mencintai parti, orang UMNO wajar kenal sejarah parti, sama ada yang tersurat mahupun yang tersirat. Begitulah, seharusnya menjiwai prinsip serta falsafah perjuangannya.

Pendek kata, orang UMNO harus melihat parti sebagai satu-satunya wadah yang mampu membela untung nasib orang Melayu. Dalam berusaha pula sebagai tanda kasih, orang UMNO sewajibnya bersemangat dan tidak sesekali mengecewakan parti yang dicintai.

Meluncur topik cinta dalam berorganisasi, orang UMNO wajib ada cinta yang satu sahaja kepada parti, tidak boleh cinta poligami, tidak boleh cinta berbelah bagi atau kata orang Indonesia berbagi cinta…tak mungkin Pak...enggak bisa Pak…

BERKHIDMAT TANPA JEMU DAN BERKORBAN

Orang UMNO itu adalah orang yang sanggup berkhidmat tanpa jemu dan sanggup berkorban. Pengorbanan adalah satu sifat yang harus bersebati dalam diri orang UMNO. Bersandarkan prinsip persalingan, orang UMNO harus menunjukkan keikhlasan berkhidmat kepada rakyat.

Beringatlah bahawa rakyat sedang memerhati kita. Kata orang, rakyat itu sentiasa merasa, mendengar dan mengadili, biar betapa pun senyap suara mereka, biar betapa pun jua diam gerak geri mereka.

Di sudut lain, sambil menghadam peradaban Melayu, orang UMNO perlu bermuhasabah ke dalam diri masing-masing. Masih wujudkah semangat Tun Tuah di sanubari? Masih bergemakah kekentalan jiwa Tun Fatimah?

Mahu tidak mahu, orang UMNO harus berusaha tanpa jemu. Biar berdepan apa pun cabaran, pastikan UMNO menang, biar dilintang apa pun dugaan, orang UMNO mesti terus berdamping dengan rakyat. Sedarlah kita bahawa, dalam sistem demokrasi, tidak ada tempat naib juara. Kita wajib jadi juara.

Kesimpulannya, kemuncak pengorbanan adalah menjunjung kepentingan dan maruah parti, bukannya kepentingan dan maruah peribadi.

(i) 1946

Terpanggu atas segalanya, kejayaan terbesar UMNO adalah menyatupadukan orang Melayu melalui penubuhannya pada 11 Mei 1946. Lantaran itu, perlu ditegaskan bahawa kejayaan ini bukannya kecil, jauh sekali daripada bersifat enteng kerana bangsa Melayu sebelum Perang Dunia Kedua, masih belum endah politik, di samping terbelenggu semangat kenegerian.

Jangan dilupa juga, termusta'id dalam lembaran sejarah bahawa, UMNOlah yang telah berjaya menguburkan penubuhan Malayan Union dan menggantikannya dengan sistem Persekutuan Tanah Melayu. Sekali gus, ditanda dengan episod itu, UMNO telah berbakti menyelamatkan kedudukan Raja-Raja Melayu, bangsa Melayu dan kesucian agama Islam.

(ii) 1951

Kemudiannya, satu episod getir telah dilalui oleh UMNO apabila Dato' Onn Jaafar seorang tokoh bangsa, selaku Presiden Pengasas meletakkan jawatan sebagai Yang Dipertua dan keluar dari parti.

Pada masa tersebut, banyak pihak telah menitipkan belasungkawa dan membacakan talkin terhadap UMNO kerana hilangnya kepimpinan. Sekalipun begitu, pemilihan parti telah menyaksikan Tunku Abdul Rahman mengambil tempat sebagai Yang Dipertua dengan Tun Razak sebagai Timbalannya yang setia.

Ternyata, telahan kelam oleh pelbagai pihak bahawa UMNO akan karam amat meleset, malah penggantian kepimpinan ini telah merancakkan lagi usaha bagi mendapat kemerdekaan negara. Serentak dengan itu, slogan "Hidup Melayu" telah diubah kepada "Merdeka".

Kendatipun para ahli tidak menerima cadangan Dato' Onn untuk membuka pintu UMNO kepada orang-orang bukan Melayu, kepimpinan parti waktu itu, memahami realiti yang ada dan berfikir panjang, malah berilham jauh ke hadapan dengan mencipta prinsip atau konsep perkongsian kuasa unik, melalui Parti Perikatan dengan menggabungkan UMNO, MCA dan MIC. Yang termustahak adalah taat setia semua kaum kepada Persekutuan Tanah Melayu.

(iii) 1955

Menyentuh usaha tersebut, iltizam UMNO bagi menjayakan prinsip yang dipelopori jelas terpamer sejak dari awal lagi. Sebagai contoh, dalam pilihan raya tahun 1955, untuk memilih 51 daripada 52 ahli Majlis Perundangan Persekutuan, prinsip perkongsian kuasa telah dipraktikkan UMNO apabila kita meletakkan calon di hanya 35 kawasan, berbanding MCA, 15, dan MIC, 2. Walhal, daripada 52 kerusi yang dipertandingkan, 50 adalah kawasan majoriti Melayu, dan hanya 2 kawasan majoriti Cina.

Perlu diketahui juga, pecahan pengundi semasa pilihan raya tersebut mencatatkan majoriti kira-kira 84 peratus (%) atau lebih 1 juta pengundi Melayu. 11 peratus atau seramai 143,000 pula adalah pengundi Cina, manakala 50,000 atau hampir 4 peratus sahaja di kalangan pengundi India.

Hakikat tersebut nyatanya, tidak menghalang semua calon parti MCA dan parti MIC untuk menang. Bagi pemimpin dan orang UMNO, demi mencapai perpaduan antara parti-parti komponen Perikatan, mereka harus menunjukkan keikhlasan berkongsi kuasa. Keikhlasan ini dimanifestasikan dalam bentuk kerelaan memberi kerusi majoriti Melayu kepada parti-parti komponen untuk ditandingi.

Tidak terhenti setakat itu sahaja, ia diikuti pula dengan kesanggupan orang UMNO untuk mengundi calon bukan daripada bangsa mereka sendiri, demi matlamat lebih besar yakni memenangi pilihan raya, kemudiannya membentuk kerajaan, seterusnya mencapai kemerdekaan.

Terbukti, sejak dari dulu lagi UMNO bukanlah sebuah pertubuhan rasis. UMNO sebenar dan sebetulnya adalah pencetus serta perintis kepada semangat tolak ansur antara kaum yang akhirnya telah mencipta kestabilan sosial, membawa kepada kemakmuran nasional.

(iv) 1957

UMNO juga melalui Parti Perikatan telah mengemudi pelayaran bahtera merdeka, tanpa pertumpahan darah, mahupun revolusi. Ia dimeterai atas meja rundingan. Syukur, tiada kemusnahan, sekalipun terhadap sumber kekayaan negara, sama ada dalam bentuk ladang mahupun lombong. Ini, membolehkan kerajaan yang baru merdeka, membina sebuah watan aman berjaya, di atas asas-asas pemerintahan sedia ada.

Setepatnya, kisah kejayaan kita bermula sebelum negara mencapai kemerdekaan, 54 tahun yang lalu. Ia bertitik tolak apabila Kerajaan Perikatan dengan kuasa terhad, di bawah kepimpinan Tunku Abdul Rahman dibentuk pada tahun 1955. Sebaik sahaja mencapai taraf berkerajaan sendiri, Perikatan mula mengorak langkah bagi membaiki nasib rakyat dengan penggubalan Rancangan Malaya Pertama, antara tahun 1956 hingga 1960. Dalam ketika itu, pada 1956 Felda ditubuhkan, disusuli pula langkah-langkah lebih konkrit pasca merdeka.

Penubuhan Felda menjadi satu langkah yang amat mendahului waktunya. Ia telah memberi peluang kepada mereka yang tidak bertanah, ia telah membawa sinar kepada mereka yang tidak mempunyai harapan, dan ia telah menawarkan permulaan baru untuk warga Malaysia keluar daripada kemelut kemiskinan. Segala tahmid ke hadrat Yang Esa, hari ini terdapat lebih 100,000 peneroka di seluruh negara yang telah menikmati hasil rancangan penuh berwawasan ini, bersama-sama ratusan ribu generasi kedua.

Berbalik kepada salasilah, apabila negara memperoleh kemerdekaan, maka cabaran pertama dihadapi UMNO dan Parti Perikatan ialah bagaimana hendak menangani pengaruh dan ancaman Parti Komunis Malaya serta menamatkan darurat yang telah diisytiharkan pada tahun 1948. Alhamdulillah, matlamat ini telah berjaya dicapai kurang daripada tempoh tiga tahun selepas 1957.

Kejayaan yang dicapai bukanlah sedikit, sebaliknya ia begitu signifikan dan tersergam kepada negara. Kita harus melihat kejayaan ini dari perspektif apa yang berlaku di rantau ini. Kalau diamati, walau ada penglibatan kuasa besar dunia dengan kekuatan ketenteraan tanpa tolok banding, masih tidak mampu menghalang pengaruh komunisme. Sebaliknya, sebuah kerajaan baru merdeka, dengan sokongan padu rakyat, berjaya menyanggah teori domino.

Oleh yang demikian, UMNO mengecam sekeras-kerasnya tindakan pihak tertentu yang cuba menulis dan meriwayat semula sejarah, dengan memperlekehkan sumbangan para pahlawan negara. Sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab dan mengenang budi, kerajaan Barisan Nasional tidak akan sekali-kali membiarkan wirawan serta wirawati kita, tanpa pembelaan sewajarnya. Sesungguhnya, jasa dan bakti mereka akan terus malar serta segar dalam sanubari dan ingatan setiap rakyat Malaysia.

Selepas memenangi keamanan, telah diisytiharkan pula perang terhadap kemiskinan dan kemunduran. Seperti disebut tadi, ini wajar dilakukan kerana, seawal merdeka, lebih 89 peratus rakyat Malaya hidup di kawasan luar bandar dan pedalaman, dengan kadar buta huruf yang tinggi, akses kepada pendidikan yang rendah, ditambah pula kemudahan asas yang terkebelakang.


Sebahagian daripada perwakilan mengangkat tangan melaungkan "Hidup UMNO" pada majlis perasmian Perhimpunan Agung UMNO 2011 di Dewan Merdeka, PWTC, Kuala Lumpur semalam.


Lucunya, kita kini mendengar pihak-pihak tertentu tanpa segan silu menguar-uarkan konsep negara berkebajikan. Kita ucapkan syabas dan tahniah kepada mereka, kerana baru sedar terhadap konsep negara kebajikan ini. Sesungguhnya, mereka sudah 60 tahun terlewat.

Soalnya, kenapakah kini, baru prihatin terhadap kebajikan rakyat? Kita ingin bertanya, sebelum ini apa matlamat perjuangan mereka? Adakah matlamatnya semata-mata untuk memecahbelahkan ukhuwah umat? Hakikatnya, dengan segala inisiatif dan perlaksanaan demi rakyat, kerajaan Barisan Nasional sudah sejak melebihi enam dekad, mengamalkan konsep negara berkebajikan.

(v) 1969

Apabila tragedi hitam rusuhan kaum 1969 terjadi, prognosis pemerhati antarabangsa terhadap Malaysia amat buruk. Mereka meramalkan kita akan gagal manakala rakyat seolah-olah telah hilang harapan. Sementelahan pun begitu, UMNO dan rakan-rakannya jauh dari menyerah kalah atau hilang pedoman. Sehubungan peristiwa ini juga, jangan sekali-kali kita alpa bahawa terdapat di kalangan pemimpin pembangkang, turut terlibat mengapi-apikan slogan untuk menghina orang Melayu sehingga berlakunya tragedi 13 Mei.

(vi) 1970

Tarikh 22 September 1970 menyaksikan Tunku Abdul Rahman melepaskan kepimpinan negara diikuti kepimpinan parti. Tun Razak telah mengambil alih kedua-dua jawatan tersebut, maka bermulalah era pelaksanaan DEB. Fokus masih lagi kepada kawasan luar bandar dan pedalaman.

Ini dicerminkan menerusi penubuhan agensi, antara lainnya, RISDA untuk pekebun kecil getah, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, Lembaga Pertubuhan Peladang dan Lembaga Kemajuan Ternakan Negara, masing-masing untuk petani, peladang dan penternak. Bagi merancakkan pembangunan wilayah pula, kerajaan telah menubuhkan KEJORA, KETENGAH, PERDA, KEDA, KESEDAR, DARA dan Lembaga Kemajuan Wilayah Jengka.

Bagi mencipta masyarakat perdagangan dan perindustrian serta kemasukan kaum Melayu/Bumiputera ke dalam sektor moden pula, kerajaan telah menubuhkan agensi seperti Bank Bumiputra, UDA, Pernas dan Perusahaan Awam Bukan Kewangan atau PABK.

Kesan utama pelaksanaan dasar ini, dan pewujudan Barisan Nasional adalah terciptanya kestabilan sosial yang membolehkan pertumbuhan ekonomi mapan dengan kadar pukul rata hampir 7 peratus untuk dua dekad berturut-turut. Ini secara langsung telah meningkatkan kemakmuran serta taraf hidup semua rakyat Malaysia daripada pelbagai kaum.

(vii) 1988

UMNO menghadapi saat paling dahsyat apabila parti keramat ini diharamkan pada tahun 1988. Ini kerana keputusan pemilihan parti 1987 tidak dapat diterima dan kes telah dibawa ke mahkamah. Walaupun UMNO berpecah dua, seraya menyaksikan satu percubaan untuk meniru konsep Barisan Nasional melalui Gagasan Rakyat dan Angkatan Perpaduan Ummah, hal ini tidak berjaya, kerana tidak ada keikhlasan.

Sungguh apa pun, segala cabaran telah berjaya diharungi. Bangkit dari runtuhan UMNO lama, UMNO baru telah wujud bagi terus membela umat Melayu dalam satu proses pemulihan parti dengan tidak mengambil masa yang lama.

(viii) 1990

Berlawanan dengan tafsiran cetek oleh sesetengah pihak, DEB sejelasnya tidak pernah merugikan orang bukan Melayu. Buktinya, setelah dua dekad pelaksanaan, pada tahun 1990, orang bukan Melayu masih lagi memiliki ekuiti terbesar dalam kekayaan negara manakala pendapatan pukul rata isi rumah mereka masih yang tertinggi antara kaum di Malaysia.

Diperakui, walaupun matlamat pemilikan ekuiti tidak tercapai sepenuhnya, paling terkesan ialah penciptaan kelas menengah Melayu yang besar menjelang berakhirnya dasar ini. Saiz kelas menengah ini meningkat tinggi dengan pelaksanaan Dasar Pembangunan Nasional antara 1991 hingga 2000. DEB, sebenarnya telah mengasaskan kestabilan sosial kebangsaan yang membolehkan penciptaan kekayaan dan kemakmuran dinikmati oleh semua pihak.

Salah satu kisah kejayaan lagi, ialah bertambahnya jumlah profesional Melayu/Bumiputera. Jika dikaji, ketika bermula pelaksanaannya pada awal 70-an, hanya terdapat kurang lima peratus profesional daripada kaum Melayu dan Bumiputera. Jumlah ini telah bertambah kepada 45 peratus dari keseluruhan profesional hasil DEB dan dasar-dasar seangkatan dengannya.

Prakarsa kerajaan melalui penubuhan sekolah berasrama penuh atau SBP dalam bentuk Sekolah Menengah Sains, Maktab Rendah Sains Mara, pusat asasi sains, matrikulasi untuk IPTA tempatan dan penghantaran pelajar ijazah pertama ke luar negara menjadi pemangkin yang telah membawa kepada kemunculan kelas pertengahan Melayu.

Dasar ini juga telah menunjang pergerakan menegak mobiliti sosial, maka tidak pelik melihat anak seorang buruh kasar hari ini merupakan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan perbankan. Anak pesawah, penoreh getah, nelayan dan peladang pula menjadi anggota pentadbiran tertinggi, penjawat awam dan korporat, usahawan, hartawan dan cendekiawan.

Sebagai dimaklumi, asalnya kita adalah sebuah negara pertanian yang eksport utamanya adalah komoditi seperti getah, kelapa sawit dan bijih timah. Pada pertengahan tahun 80-an, apabila pulih daripada menghadapi kemelesetan ekonomi akibat kejatuhan harga komoditi utama negara, kerajaan telah memulakan proses industrialisasi.

Tumpuan juga mula diberikan bagi menjadikan Malaysia pusat tarikan pelancongan global di samping pembinaan projek infrastruktur yang besar. Misalnya, Lebuhraya Utara-Selatan yang telah berjaya merangsang pertumbuhan dan proses urbanisasi.

Pucuk pangkalnya, semua inisiatif, dasar dan program ini telah membawa kepada perubahan struktural bukan sahaja kepada landskap sosioekonomi rakyat Malaysia tetapi juga kepada sistem nilai, taraf hidup dan pendidikan lebih tinggi serta akses kepada maklumat yang lebih luas.

(ix) 1999

Direnung-renung dan ditinjau-tinjau semula, dalam Pilihan Raya 1999, sungguhpun penggunaan telefon bimbit makin meningkat, disebabkan keupayaan teknologi masih terbatas ketika itu, ia belum mampu menyalurkan data. Maka, e-mel, faks dan laman sesawang yang tidak interaktif, menjadi medium popular sebagai penyampai berita alternatif. Meneropong kembali, waktu itu, belum ada Google, belum ada Facebook, belum ada Twitter hatta telefon pintar.

Berbanding sekarang ini, menurut data dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia kita mencatat 36 juta pelanggan telefon selular iaitu kadar penembusan 124%, atau 124 set bagi 100 penduduk. Penembusan jalur lebar sekarang pula telah meningkat kepada 62% langganan isi rumah. Dengan kata lain, 4 juta isi rumah dari sejumlah 6.5 juta isi rumah, atau lebih 16 juta penduduk Malaysia mempunyai kemudahan jalur lebar.

Selain itu, lebih 40 peratus yang melanggani TV satelit berbayar, mendedahkan mereka kepada saluran berita seperti CNN, BBC dan Al-Jazeera, bagi mengikuti perkembangan dunia secara langsung.

(x) 2011

Bertapak jauh selepas satu dekad, pengenalan SMS, MMS, BlackBerry Messenger, telefon pintar, media sosial, tablet elektronik pintar dan Wi-Fi percuma telah menjadikan akses kepada idea, pendapat dan berita melaluinya menjadi lebih mudah.

Umpamanya, ucapan perayaan Aidiladha, yang disiarkan semasa saya dan rombongan mengerjakan haji baru-baru ini telah dirakam semasa di Padang Arafah dengan menggunakan iPhone, sebelum diedarkan kepada media tempatan.

Berkalam tentang kecanggihan sebegini, demikian kita menyaksikan saat-saat akhir Saddam Hussein di tali gantung, serta juga nasib yang menimpa Muammar Gaddafi. Perubahan yang berlaku di Tunisia, Mesir, Libya dan Yemen serta protes di Syria seperti kita lihat, adalah juga, genesis kepada medium media sosial. Kita dapati, walaupun pemerintah negara-negara berkenaan cuba untuk membuat putaran cerita, namun dengan hanya telefon pintar, jalur lebar dan YouTube, mampu menceritakan apa yang sebenarnya berlaku di negara-negara tersebut.

Berpacu dari sini, kerajaan, melalui SKMM telah mewujudkan lebih kurang 560 pusat jalur lebar masyarakat, iaitu hampir satu di setiap mukim di negara ini. Kita mantapkan lagi usaha penubuhan lebih 1,300 kampung tanpa wayar di merata negara, agar, rakyat keseluruhan, berkemampuan melayari internet manakala 1,700 lagi masih dalam proses.

Malaysia sekarang sudah terletak antara tangga teratas di kalangan negara ASEAN dari segi kemampuan ICTnya. Kita juga mempunyai 17.5 juta pengguna Internet, dan menurut kajian, orang Malaysialah, yang paling ramai mempunyai rakan Facebook, yakni, secara puratanya, 234 bagi setiap seorang.

Begitu juga bermula tahun 90-an, bagi menangani perasaan tidak puas hati terhadap akses pendidikan tinggi, maka bermula tahun 1995, kerajaan telah mengorak langkah untuk meliberalkan sektor pengajian tinggi tempatan.

Kesannya, dari hanya sembilan buah universiti awam, hari ini telah bertambah menjadi 20. Di samping itu, 25 universiti, 22 kolej universiti dan lebih 400 kolej swasta serta lima kampus tempatan universiti asing kini telah wujud.

Hasil peningkatan taraf sosioekonomi dan akses lebih meluas kepada pendidikan pasca menengah, telah mewujudkan generasi rakyat Malaysia baru lebih kritikal dan meningkat ekspektasinya terhadap kerajaan.

Generasi ini adalah anak-anak kepada generasi pertama DEB. Mereka dilahirkan bermula tahun 70-an. Generasi ini, tidak suka dibentak-bentak, tidak suka diarah-arah apa yang perlu dilakukan, tidak gemar diberitahu apa yang benar dan salah, serta paling tidak disenangi mereka apabila kita mengungkit-ungkit jasa-jasa kita yang lalu.

Kita dapati bahawa, mereka ini mahu terus dirundingi, mahu kebebasan untuk menilai, berhujah dan membuat keputusan berdasarkan kepada pasaran maklumat dan idea yang ada. Jadinya, untuk terus kekal, UMNO perlu berkomunikasi mengikut langgam dan laras bahasa anak-anak muda, supaya parti kita difahami.

Lalu, dalam persekitaran inilah kerajaan mengumumkan untuk meminda Seksyen 15 Akta Universiti dan Kolej Universiti atau AUKU bagi membenarkan mahasiswa dan mahasiswi universiti awam untuk menjadi ahli parti politik apabila mencapai umur baligh undang-undang atau 18 tahun.


Najib Tun Razak menyampaikan ucapan perasmian pada Perhimpunan Agung UMNO 2011 di Dewan Merdeka, PWTC, Kuala Lumpur, semalam.


UMNO sentiasa mendengar suara dan menghargai peranan serta sumbangan orang muda. Kita mengiktiraf mereka bukan sahaja apabila menghadapi pilihan raya, sebaliknya pada setiap masa dan ketika.

Dalam sejarahnya, UMNO adalah parti politik pertama di negara ini, yang mempunyai sayap untuk orang muda, lelaki, wanita dan diikuti dengan sayap puteri. Bagi meningkatkan peranannya, dalam pindaan Perlembagaan UMNO yang terbaru, kita telah menambah jumlah perwakilan di peringkat Bahagian dan Perhimpunan ini. Malah, jumlah mereka juga ditokok dalam proses memilih pucuk pimpinan parti.

PENUTUP

Kejayaan membentuk wajah Malaysia seperti yang ada, telah menghadapkan kita dengan cabaran terbesar kepada survival parti dan Barisan Nasional itu sendiri. Sama ada kita akan kekal sebagai parti yang dipercayai rakyat dan mendapat mandat bagi terus menjadi kerajaan, bergantung kepada kesedaran, kefahaman dan tindakan kita selanjutnya.

Sepanjang ucapan saya tadi, dirakamkan kronologi 10 detik yang telah menjadi game changer kepada UMNO menyusuri sejarah parti.

Sehubungan itu, suka saya simpulkan, lima kekuatan teras, yang membolehkan kita menghadapi apa pun badai dan mehnah yang merempuh parti, sama ada bersifat dalaman, mahupun luaran. Pertamanya ialah keupayaan menggagas semula parti bagi memanfaatkan persekitaran yang baru.

Kedua, pengamalan prinsip wasatiyyah dalam semua bidang, sama ada urus tadbir, perkongsian kuasa, iktisad yakni ekonomi, perhubungan kaum mahupun perhubungan antarabangsa.

Ketiganya, UMNO sentiasa mengulungi idea atau supremacy of ideas dalam era pertarungan minda dan persaingan sengit pasaran idea serta maklumat.

Keempat, UMNO perlu terus meletakkan kebajikan rakyat di atas segalanya-galanya. Segala dasar yang digubal, prakarsa yang dirancang dan program yang dilaksana mesti mengutamakan kebajikan rakyat.

Kelimanya, kebolehan UMNO untuk mengotakan apa yang dikata dan menunaikan janji. Pucuk pangkalnya, kita bukan seperti sesetengah pihak yang hanya menjadi tukang karut.

Oleh sebab itulah, apabila saya mengambil alih tampuk kepimpinan parti dan kerajaan tiga puluh bulan yang lalu, saya dan rakan-rakan sama ada dalam Majlis Tertinggi UMNO, Dewan Tertinggi Barisan Nasional mahupun Kabinet, telah mengambil keputusan untuk melaksanakan proses islah dan pembaharuan.

Dalam parti, mula-mula sekali kita telah membesarkan francais pemilih bagi ahli-ahli Majlis Tertinggi. Kita mahu lebih ramai orang UMNO diberi hak untuk memilih pemimpin mereka. UMNO bukan parti yang gentar terhadap demokrasi seperti tuduhan seteru politik kita, malah UMNO adalah parti yang mendakap demokrasi. Kata pepatah Inggeris "the proof of the pudding is in the eating".

Kita bukan seperti pihak lawan. Contoh pertama, Parti A, jawatan Ketua Umum sudahlah tidak dipilih secara demokratik, tetapi lebih berkuasa pulak dari Presiden parti. Contoh kedua, Parti B sebuah parti yang memakai gelar demokrasi, namun tidak demokratik sebenarnya. Apakah demokratik namanya kalau perwakilan cawangan memilih 20 orang ahli jawatankuasa pusat dan kemudian ahli jawatankuasa pusat tersebut pula, memilih kepimpinan tertinggi parti? Ini jelasnya, tidak sama sekali mencerminkan kehendak ahli terbanyak.

Manakala contoh ketiga adalah Parti C, yang kononnya memperjuangkan negara kebajikan. Lahawlawala... jawatan Mursyidul Am pun, tampaknya tidak diundi secara demokratik, tetapi ternyata lebih berkuasa dari Presiden. Sama juga dengan Parti A. Tambahan lagi Parti A itu, suami, Ketua Umum, isteri, Presiden, anak perempuan sulung, Naib Presiden, Timbalan Presiden pula... tak payah lah kita cerita, hrmm...

Menelaah perkara-perkara itu, kita mesti insaf, jika UMNO masih gagal memahami dan menghayati faktor-faktor yang menjadi game changer atau peneraju cara gaya baru kepada lanskap politik nasional, serta tidak pula mengambil langkah merangka semula game plan yakni gerakan terancang, maka kita namanya menempah tragedi untuk parti.

Apakah yang dimaksudkan dengan game changer ini? Pertamanya ialah realiti baru. Jika UMNO tidak memahami realiti baru lanskap politik nasional, bagaimana UMNO dan BN mahu berjaya?

Keduanya, media baru. Mahu tidak mahu, suka tidak suka, UMNO harus menguasai media baru kerana hari ini, detik ini, ia mampu menentukan kemenangan atau kekalahan. Ia berupaya mendatarkan the playing field atau ia turut boleh menjadikan satu pertarungan itu, tidak setara. Dari yang demikian, orang UMNO wajib mengetahui cara-cara untuk memanfaatkan media baru demi survival parti.

Memenuhi maksud dan menjiwai realiti baru ini, UMNO selaku sebuah parti siasah yang dinamik, tidak boleh hanya sekadar hebat bertempur dalam pertarungan lalu, kita semestinya juga menjadi juara dalam berperang di medan laga terkini.

Ketiga, UMNO juga harus menghayati pemikiran baru yang ada di kalangan semua segmen pengundi, bagi menarik sokongan mereka. UMNO tidak boleh bersikap atau sekalipun dilihat sebagai bersikap angkuh lagi sombong. Jika tidak, para pengundi dan rakyat akan benci dan menjauhi kita.

Selama hampir enam dekad, UMNO telah menjadi parti teras yang menonggak kejayaan. Selama ini, rekod-rekod membuktikan bahawa, kita tidak pernah mendominasi atau sekalipun berniat untuk mendominasi parti-parti komponen seperti yang difitnah oleh pembangkang.

Jauh sekali dari kemelut gabungan parti pembangkang yang tidak mampu berijma' dan bersatu hati walaupun dalam soal-soal dasar. Misalnya, dalam perihal negara Islam, Parti A kata setuju secara peribadi, Parti B kata, tidak sekali-kali, langkah mayat mereka dulu, Parti C pula kata "kita tukar jadi negara kebajikan". Pening dan keliru rakyat dibuatnya.

Berbeza dengan UMNO, sebagai parti teras, kita mengambil langkah berganding dan bekerjasama dengan parti-parti komponen. Kerjasama kita bersifat pragmatik, realistik dan ikhlas. Kita menerima seadanya rakan-rakan dalam Barisan Nasional. Kita saling percaya mempercayai, saling bergantungan dan saling bersefahaman sejak sebelum merdeka lagi. Inilah yang membuatkan kita berjaya sebagai teraju dalam memakmurkan negara ini.

Sebagai game changer yang kesebelas, kita mulakan dengan Program Transformasi Kerajaan bagi membaiki penyampaian sektor awam. Seterusnya, Program Transformasi Ekonomi dan Model Baru Ekonomi sebagai peta hala tuju pusingan akhir ke arah wawasan negara maju berpendapatan tinggi. Kemudiannya, Program Transformasi Politik bagi menyeimbangkan antara Keselamatan Kebangsaan dan Kebebasan Individu.

Program Transformasi Luar Bandar dilancar, bagi meningkatkan kualiti hidup masyarakat luar bandar dan pedalaman, serta, Program Transformasi Sosial yang berpandukan falsafah pemandu 1Malaysia. Kita lanjutkan pula dengan inisiatif-inisiatif yang dapat mengurangkan kos sara hidup rakyat seperti Klinik 1Malaysia, Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M), Menu 1Malaysia dan Perumahan Rakyat 1Malaysia atau PRIMA.

Sebetulnya, apa yang ada hari ini seperti dapat disaksikan oleh semua, bukan dibina dalam masa yang singkat. Ia terbina dengan penuh tatih, pengorbanan dan jerih payah. Ia dibangunkan oleh bapa-bapa kita orang Melayu, orang Cina, orang India, Iban, Kadazan dan lain-lain lagi termasuklah Orang Asli dan orang Siam. Cita-cita mereka, impian mereka, tidak lain tidak bukan demi kehidupan lebih baik untuk kita. Ia diteruskan lagi oleh generasi kini yang mendambakan masa depan lebih cerah untuk anak-anak cucu kita.

Ingatlah..., ingatlah bahawa, semua ini dimungkinkan oleh kita orang UMNO, sebuah parti yang amat berjasa kepada kita semua, bukan sahaja anak-anak Melayu tetapi rakyat Malaysia keseluruhannya. Namun, alangkah pedih dan alangkah lukanya hati kita, apabila hari ini, UMNO, parti yang sarat jasa dan baktinya, sedang dimomok, dinista dan dicerca semahunya. Malah, jasa kita seolah hendak dipadam terus dari helaian sejarah.

Mereka tanpa malu dan segan, gah mendakwa bahawa, UMNO langsung tiada budi atas kehidupan mereka. Kalau benarlah begitu, siapakah yang mengubur Malayan Union? Siapa yang memenangi kemerdekaan secara aman? Kalau bukan parti bertuah ini.

Mengatasi semua persoalan ini, kata orang, kalau mandi air dikali, jangan lupa pada siapa yang menggalinya. Kerana bukankah UMNO yang menjadi induk, mencipta kemakmuran?

Ini tidak, belum lagi berkuasa, sudah ibarat kaduk naik junjung. Ibarat lidah tidak bertulang, katanya mahu membuang separuh dari penjawat awam kalau sudah berkuasa. Apa maksud mereka mahu membuang lebih 200,000 orang guru? Siapa yang mahu mengajar anak-anak kita? Bukan semua yang mampu menghantar anak ke sekolah-sekolah swasta.

Tidak cukup dengan itu, mahu ditamatkan khidmat separuh doktor dan jururawat sedangkan tidak semua rakyat Malaysia yang mampu mendapatkan rawatan di hospital-hospital swasta. Mahu diberhentikan separuh tentera dan polis? Lalu, pada siapa hendak diharap untuk membenteng keselamatan kita dan keluarga?

Inilah nasib yang akan melanda, jika UMNO sudah hilang kuasa. Siapa yang akan membela syiar Islam? Siapa yang mampu membela hak umat dan agenda orang Melayu? Siapa pula yang dapat terus memuliakan Raja-Raja kita? Siapa pula nak mentransformasi orang Melayu? Tepuklah dada, tanyalah jawapan.

500 tahun yang lalu, jatuhlah empayar Melaka. Ia jatuh bukan kerana Melayu kurang hulubalang atau kependekarannya, ia rebah bukan kerana kemiskinan atau kefakiran, ia tersungkur menyembah bumi kerana terlerainya perpaduan dan berlakunya pengkhianatan.

Begitu juga nasib tamadun-tamadun besar di dunia yang hancur, mereput dan runtuh. China, terhina akibat siri perang candu, Empayar Rom, dirobek perpecahan dari dalam dan Khilafah Othmanniyah, punah dek kerana kehalusan strategi pecah belah dan perintah. Bertolak dari situ, marilah kita jadikan kisah-kisah ini sebagai teladan dan sempadan. Jangan sekali-kali kita terperangkap olehnya.

Akhir kalam, selaku Presiden UMNO, saya bersyukur kerana mempunyai Timbalan Presiden yang setia, barisan Naib Presiden yang taat, Pergerakan Wanita yang tidak jemu-jemu mendokong perjuangan parti, ketumbukan Pemuda yang lantang dan berani, para Puteri yang cekal dan bersemangat, Majlis Tertinggi yang sentiasa bersiaga, khususnya, orang UMNO sekalian yang menunggu-nunggu panggilan bertempur.

Ayuh, rapatkan saf, nyalakan jamung, gigitlah kuat-kuat perjuangan ini dengan geraham kita. Palulah genderang perang, palulah ia tabuh-tabuhan dan tiupkanlah semboyan. Masanya sudah hampir, waktunya sudah tiba. Bingkaslah orang UMNO, kita turun ke medan bakti.

Mudah-mudahan Allah memberkati perjuangan kita. Hidup UMNO! Hidup UMNO! Hidup UMNO!

Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Full content generated by Get Full RSS.

Pas dan joget: 'Saya datang, dia lari'

Posted:

Pas dan joget: 'Saya datang, dia lari'

Pas dan joget: 'Saya datang, dia lari'

Oleh Dr. Mohd Puad Zarkashi
(PENULIS ialah Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Malaysia)

PADA 1969, Pas memecat Ahli Parlimennya, Hashim Gera kerana berjoget di Parlimen. Tetapi pada hari ini, apakah Pas berani mengambil tindakan yang sama jika ada ahlinya melakukan perbuatan serupa.

Ketika itu Pas amat rigid dalam soal agama. Di depan Jawatankuasa Disiplin, Hashim memberitahu ulama Pas, joget adalah tarian bersih. "Bila dia (perempuan joget) datang, saya lari. Bila saya datang, dia (perempuan joget) itu lari. Tidak berlaku sentuhan antara perempuan dan lelaki kerana saya datang dia lari, dia datang saya lari". Bagaimanapun Pas menolak penjelasan Hashim itu dan dia tetap dipecat.

Kini kefahaman pemimpin Pas terhadap makna joget sudah berubah. Kalau UMNO datang Pas lari, kalau DAP datang Pas tidak lari.

Pas sanggup bersentuhan dan berpeluk cium dengan DAP. Sebab itu ada kebenarannya apabila Timbalan Presiden UMNO mendakwa, Pas tidak mungkin ganti UMNO, tetapi DAP mungkin ganti Pas.

Pas semakin liberal dalam banyak hal mengenai hukum agama. Apabila Mat Sabu didakwa atas tuduhan berkhalwat, Pas tuduh ia adalah konspirasi UMNO. Dalam kes video seks Anwar, Haji Hadi berdalih pula, 'besi tidak boleh jadi saksi'.

Semua jawapan itu adalah jawapan nafsu akal. Sebab itu dalam kes gambar bogel Elizabeth Wong, Pas paling kuat membelanya. Hujah Pas, berdosa hukumnya apabila mengaibkan peribadi seseorang.

Tetapi jika berkaitan dengan orang UMNO, mereka akan telanjang habis habisan walaupun ia adalah fitnah. Perkara yang makruf pun mereka sanggup putar belit, contohnya memfitnah ibadat haji Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, baru-baru ini.

Pas pengecut bila berdepan dengan DAP. Itu puncanya dia menjadi liberal. Pas sanggup korbankan orangnya sendiri demi menjaga hati DAP.

Dr. Hassan Ali ialah mangsa joget terbaharu ini. Beliau disisih kerana berbeza pandangan dalam soal rampasan arak dan isu memurtadkan orang Islam di Gereja Methodist Damansara Utama.

Dalam isu negara Kristian, Pas bacul dan mendiamkan diri. Siasat pun tidak, komen pun tidak, bagi amaran lagi tidak berani.

Hakikatnya, sikap Pas sudah terbalik. Pas melanggar fatwa lama Haji Hadi, 'politik suku agama suku', iaitu agama dan politik tidak boleh bercampur aduk.

Kenapa Pas tidak berani menyertai 'Himpunan Sejuta Umat' walaupun ia dianjurkan oleh pihak badan bukan kerajaan (NGO)?

Himpunan itu bertujuan menyedarkan umat Islam tentang bahaya gejala murtad. Pas mahu menjaga hati DAP, walaupun tindak-tanduk DAP sering menyakitkan hati orang Islam.

Keputusan DAP untuk meletakkan calon Melayu berkelulusan agama dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 mewajarkan keyakinan kita bahawa DAP mungkin mengambil alih peranan Pas.

Kejayaan Mat Sabu menumbangkan Nasaruddin bagi jawatan Timbalan Presiden Pas membuktikan golongan agama dan ulama semakin tersisih dalam Pas.

Pokoknya, Pas tidak akan dapat mengganti UMNO, kerana Pas didokong oleh ahli yang taksub pada pemimpin bukan perjuangan. Sedangkan UMNO parti yang didokong oleh 'Orang UMNO'.

Menurut Presiden parti, satu daripada ciri penting orang UMNO ialah, dia cinta dan kasih pada perjuangan. Perjuangan mendarah dan mendaging pada dirinya. UMNO bermula kerana perjuangan. Terus hidup kerana perjuangan. Itulah UMNO, iaitu UMNO-Perjuangan.

Full content generated by Get Full RSS.

Kosmo Online - Negara

Kosmo Online - Negara


Tiada unsur pecah amanah

Posted:

Tiada unsur pecah amanah

Tiada unsur pecah amanah

KERATAN Kosmo! 19 November 2011.


KUALA LUMPUR - Tiada unsur pecah amanah atau penyelewengan dalam isu dana Pusat Fidlot Nasional (NFC) dan pembelian sebuah kondominium mewah di ibu negara, kata Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar.

Beliau berkata, siasatan masih dijalankan sambil pihaknya memberi jaminan proses itu akan dilakukan secara telus tanpa melindungi mana-mana pihak.

"Siasatan polis setakat ini mendapati tiada elemen pecah amanah. Namun, kita masih menyiasat secara keseluruhan kes ini termasuk ke mana wang atau dana NFC dibelanjakan.

"Kita sudah panggil 74 individu untuk diambil keterangan setakat ini," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Rondaan Bersama Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia di bawah Strategi Gelombang Biru Kebangsaan di Taman Bukit Rahman Putra di sini semalam.

Ikuti berita selanjutnya di Kosmo! hari ini.

Full content generated by Get Full RSS.

Pengkhianat penghancur bangsa

Posted:

Pengkhianat penghancur bangsa

Pengkhianat penghancur bangsa


NAJIB berucap dengan cukup bersemangat di PWTC, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan orang Melayu supaya sedar tentang bahaya pengkhianat bangsa yang boleh meruntuhkan kuasa Melayu di negara ini sehingga menghakis hak dan agenda orang Melayu, syiar Islam dan kemuliaan Raja-Raja.

Dengan cakap-cakap mengenai Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) menjadi buah mulut ahli-ahli UMNO dan rakyat, Presiden UMNO itu meminta orang Melayu dan ahli-ahli UMNO bersedia untuk bertempur bagi memastikan Melayu tidak hilang kuasa.

Beliau yang tidak menyatakan bila PRU-13 akan diadakan menegaskan kepada orang Melayu: "Palulah genderang perang, palulah tabuh-tabuhan dan tiuplah semboyan. Masanya sudah hampir, waktunya sudah tiba."

Dalam ucapan dasar pada Perhimpunan Agung UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini semalam, Perdana Menteri mengaitkan politik masa kini Malaysia dengan sejarah keruntuhan empayar Melaka 500 tahun lalu yang menunjukkan orang Melayu hilang kuasa bukan kerana kemiskinan atau kefakiran.

"Ia tersungkur menyembah bumi kerana terlerainya perpaduan dan berlakunya pengkhianatan," kata Najib.

Ikuti berita selanjutnya di Kosmo! hari ini.

Full content generated by Get Full RSS.

UMNO perlu jiwai realiti baharu

Posted:

UMNO perlu jiwai realiti baharu

UMNO perlu jiwai realiti baharu


GAYA Najib ketika berucap pada majlis perasmian Perhimpunan Agung UMNO 2011 di Dewan Merdeka, PWTC, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - UMNO selaku sebuah parti siasah yang dinamik tidak boleh hanya sekadar hebat bertempur dalam pertarungan lalu tetapi perlu menjiwai realiti baharu supaya mampu menjadi juara ketika berperang di medan laga terkini.

Untuk itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak mahu semua ahli parti itu insaf, memahami serta menghayati faktor-faktor yang menjadi game changer atau peneraju gaya baharu kepada landskap politik nasional serta mengambil langkah merangka semula game plan iaitu gerakan terancang.

Menurut beliau, jika UMNO gagal memahami dan menghayati semua faktor tersebut maka ia sebenarnya akan menempah tragedi untuk parti.

"Apakah yang dimaksudkan dengan game changer ini? Pertamanya adalah realiti baharu. Jika UMNO tidak memahami realiti baharu landskap politik nasional, bagaimana UMNO dan Barisan Nasional (BN) mahu berjaya?

"Keduanya, media baharu. Mahu tidak mahu, suka tidak suka, UMNO harus menguasai media baharu kerana hari ini ia mampu menentukan kemenangan atau kekalahan. Ia berupaya mendatarkan the playing field atau ia turut boleh menjadikan satu pertarungan tidak setara," tegasnya dalam ucapan dasar pada Perhimpunan Agung UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini semalam.

Ikuti berita selanjutnya di Kosmo! hari ini.

Full content generated by Get Full RSS.

Utusan Online - Kota

Utusan Online - Kota


Tak sempat selamat barangan

Posted:

Tak sempat selamat barangan

Tak sempat selamat barangan

Oleh MOHD. AINUDDIN ALIFF SALEHUDEN
kota@utusan.com.my


SEORANG penduduk, Mohd. Nazri Jumuri terpaksa mengangkut buah kelapa sawit yang telah dipetik menggunakan sampan setelah Kampung Sungai Sireh di Tanjung Karang mengalami banjir semalam. – utusan/ saharuddin ABDULLAH


TANJONG KARANG 1 Dis. – Meskipun masih berpantang selepas melahirkan anak pertamanya pada 5 November lalu, Noor Azizah Mohd. Tugi, 23, perlu menempuh cabaran getir berikutan Kampung Sungai Sireh di sini dilanda banjir sehingga menyebabkan 208 penduduk terpaksa dipindahkan.

Dia yang kini ditempatkan di pusat penempatan sementara di balai raya kampung itu bagaimanapun tetap bersyukur kerana keperluan asas untuk bayi lelakinya itu sempat diselamatkan daripada rosak akibat bencana alam tersebut.

"Walaupun bersedih, saya tetap bersyukur kerana hanya peti sejuk dan mesin basuh yang rosak akibat banjir. Barang berharga lain sempat diselamatkan.

"Malah, saya juga gembira dengan kemudahan di penempatan sementara ini yang bersih dan selesa selain layanan baik yang diberikan petugas yang ditugaskan di sini," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Seorang lagi mangsa yang ditemui, Misnan Paiman, 52, berkata, dia terkilan apabila mendapati tilam kesihatan yang dibelinya pada harga lebih RM1,000 rosak teruk kerana tidak sempat diselamatkan dalam kejadian tersebut.

"Saya dan isteri baru bangun dari tidur untuk solat subuh pada pagi Selasa lalu dan menyedari rumah kami telah dimasuki air. Selepas diperiksa, saya mendapati tilam kesihatan yang dibeli beberapa tahun lalu telah rosak dibasahi air banjir.

"Bukan itu saja, katil, almari serta set dapur saya juga rosak teruk kerana dimasuki air," katanya yang menggunakan rakit batang pokok pisang buatannya untuk keluar dari kawasan rumahnya yang teruk dinaiki air.

Seorang suri rumah, Juhriah Tosan (gambar), 21, berkata, ketika menyedari rumahnya dinaiki air, dia dan suaminya bersama anak mereka berusia lapan bulan ketika itu sedang nyenyak tidur.

"Akibat banjir itu, perabot serta barang elektrik milik kami rosak teruk kerana tidak sempat diselamatkan.

"Saya berharap keadaan banjir ini akan surut segera supaya kami sekeluarga boleh kembali ke rumah selain memastikan bayi kami ini tinggal dalam keadaan selesa," katanya yang kini berlindung di penempatan sementara di Sawah Sempadan di sini.

Full content generated by Get Full RSS.

Banjir kilat: 2 kereta terkandas

Posted:

Banjir kilat: 2 kereta terkandas

Banjir kilat: 2 kereta terkandas


ANGGOTA skuad penyelamat DBKL berusaha menarik keluar sebuah kereta Perodua MyVi yang terkandas dalam banjir kilat yang berlaku di Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 1 Dis. - Hujan lebat yang melanda ibu negara sejak pukul 5 petang ini mengakibatkan dua buah kereta terperangkap dalam banjir kilat yang berlaku terus berlaku di Jalan Chan Sow Lin, berhampiran stesen transit aliran ringan (LRT) di sini hari ini.

Dua buah kereta tersebut iaitu Volkswagen GTI dan Perodua MyVi diliputi banjir sehingga setengah badan apabila pemandu kenderaan tersebut masing-masing tidak menyedari kawasan jalan sepanjang kira-kira 100 meter itu telah dinaiki air setinggi 0.3 meter.

Seorang daripada pemilik kereta itu, Lee Xin Yee berkata, kereta Volkswagen miliknya tiba-tiba mengharungi banjir kilat yang dalam dan tanpa disedari air mula masuk sedikit demi sedikit.

"Ketika kejadian, hujan lebat dan saya dalam perjalanan pulang ke rumah sebelum kenderaan saya terperangkap dalam banjir kilat.

"Saya tidak sedar tiba-tiba laluan berselekoh di bawah jambatan ini dinaiki air banjir yang tinggi. Tanpa membuang masa, saya segera keluar dari kereta untuk menyelamatkan diri," katanya ketika ditemui pukul 6 petang ini.

Sementara itu, skuad penyelamat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil masa kira-kira sejam untuk mengeluarkan kedua-dua kenderaan itu dari kawasan banjir.

Beberapa anggota polis trafik turut kelihatan di tempat kejadian bagi mengawal keadaan lalu lintas ekoran jalan tidak dapat digunakan.

Full content generated by Get Full RSS.

Paip pecah: 150,000 akaun di Gombak, KL terganggu

Posted:

Paip pecah: 150,000 akaun di Gombak, KL terganggu

Paip pecah: 150,000 akaun di Gombak, KL terganggu

KUALA LUMPUR 1 Dis. - Sebanyak 150,000 akaun pengguna di wilayah Gombak dan sebahagian Kuala Lumpur mengalami gangguan bekalan air apabila berlaku kejadian paip pecah berdekatan Hospital Selayang, Selayang semalam.

Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) memaklumkan saluran paip yang pecah tersebut membekalkan air kepada 104 kawasan di wilayah Gombak dan Kuala Lumpur.

Pengarah Eksekutif, Bahagian Hal Ehwal Korporat Syabas, Abdul Halem Mat Som hari ini berkata, kawasan di wilayah Gombak yang terlibat ialah Kawasan Perindustrian Batu Caves, Jalan Gombak, pekan Setapak, Jalan Genting Klang, seluruh Hulu Klang, sebahagian Jalan Ampang, seluruh pekan Ampang, AU 1 hingga AU 5 dan Keramat.

Di wilayah Kuala Lumpur pula, kawasan yang akan mengalami gangguan ialah keseluruhan Jalan Semarak, sebahagian kawasan Ampang, keseluruhan kawasan Cheras Batu 2 dan Batu 3 serta keseluruhan kawasan Pandan.

"Pelan Tindakan Kecemasan (ERP) Kod Kuning telah diaktifkan oleh Syabas Wilayah Gombak dan Kuala Lumpur pada pukul 3.45 petang semalam berikutan kejadian paip dari jenis mild steel (MS) berukuran 2,000 milimeter dari Kolam Air Dusun Kubung (di Gombak) telah pecah.

"Kejadian ini berpunca daripada kerja-kerja pembinaan oleh pihak ketiga dan telah disahkan pada waktu tengah hari.

"Pengaktifan ERP Kod Kuning adalah untuk memastikan agar kawasan-kawasan terlibat mendapat bantuan dan usaha mengatasi masalah bekalan air kepada pengguna dapat dilakukan dengan segera," katanya.

Jelas beliau, bagi mengurangkan jumlah kawasan yang terlibat dengan gangguan bekalan air tidak berjadual ini, Syabas telah meminta pihak operator loji rawatan air untuk meningkatkan pengeluaran dari sumber-sumber yang lain dan juga menyalurkan sumber alternatif ke kawasan terlibat.

Tambah Abdul Halem, Syabas juga telah menyediakan sebanyak 42 buah lori tangki dalam keadaan tunggu sedia sekiranya diperlukan.

"Kerja-kerja pembaikan telah selesai kira-kira pukul 2 pagi hari ini dan bekalan air pulih secara berperingkat-peringkat ke kebanyakan kawasan terlibat pada pukul 12 tengah hari," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

Kosmo Online

Kosmo Online


Produk ciptaan UniMAP pikat syarikat global

Posted:

Produk ciptaan UniMAP pikat syarikat global

Produk ciptaan UniMAP pikat syarikat global

01/12/2011 7:05pm

KANGAR — Sebuah hasil ciptaan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang diberi nama e-SAVE: Easy Sprayer Aerial Vehicle yang memenangi pingat emas pada Pertunjukan Reka Cipta Antarabangsa (INOVA) ke-36 di Zagbreb, Croatia bulan lalu, menarik perhatian banyak syarikat antarabangsa.

Penyelidik produk itu, Prof. Madya Dr. Hazri Desa berkata, pihaknya menerima banyak pertanyaan dari dalam dan luar mengenai produk berkenaan.

Produk seberat 3.5 kilogram itu berkeupayaan terbang sehingga sejauh lima kilometer persegi dan sesuai bagi tujuan menabur baja untuk ladang, penggambaran filem dari udara, memantau aliran trafik menerusi kawalan teknologi sensor dan dapat membantu sistem pertahanan negara.

Hazri yang juga Dekan Pusat Pengajian Inovasi Perniagaan dan Teknousahawan UniMAP, berkata beliau yang dibantu para penyelidik UniMAP mengambil masa lebih dua tahun bagi menghasilkan produk berkenaan.

"Kami akan mengkormersilkan produk yang telah dipatenkan ini melalui kerjasama syarikat tempatan," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan para pegawai kanan syarikat Unmanned Systems Technology Sdn. Bhd. di pejabatnya di sini hari ini.

Beliau berkata, walaupun produk itu sudah mendapat pengikirafan antarabangsa, namun pihaknya akan melakukan penambahbaikan kepada produk berkenaan sebelum ia berada di pasaran di dalam dan luar negara.

Hazri berkata, produk itu telah diuji termasuk digunakan untuk menyembur racun serangga di ladang anggur, merakam gambar masjid terapung Al-Hussain di Kuala Perlis dari udara dan digunakan pada beberapa gimik perasmian majlis anjuran UniMAP.

Bagi prototaip produk berkenaan, beliau berkata, ia hanya menggunakan bahan buangan termasuk bekas plastik, aluminium dan besi tingkap.

UniMAP memenangi lapan pingat emas pada pertunjukan berkenaan yang disertai para penyelidik daripada 22 buah negara dengan Dr Hazri sendiri dinobatkan sebagai penerima anugerah Pereka Cipta Terbaik melalui e-SAVE. — Bernama

Full content generated by Get Full RSS.

Lelaki rempuh polis disyaki terlibat samun

Posted:

Lelaki rempuh polis disyaki terlibat samun

Lelaki rempuh polis disyaki terlibat samun

01/12/2011 7:01pm

SHAH ALAM — Seorang lelaki yang ditembak dan ditahan selepas merempuh seorang anggota polis ketika diarahkan untuk menyerah diri di Jalan Meru, Klang dekat sini semalam, disyaki terlibat dalam sembilan kes samun di sekitar Selangor.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, SAC Mohd. Adnan Abdullah berkata, siasatan juga mendapati suspek berumur 23 tahun itu mempunyai tiga rekod jenayah lampau.

"Rekod jenayah itu membabitkan kes curi kenderaan di Sungei Way, Petaling Jaya dan samun sehingga mendatangkan kecederaan di Damansara Utama pada 2007 serta pemulihan akhlak selama 18 bulan di Simpang Renggam pada 2008.

"Sembilan kes samun itu membabitkan kawasan sekitar Kapar di Klang, Puchong, Sungei Way dan Damansara antara 2007 dan tahun ini," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini, hari ini.

Mohd. Adnan berkata, kereta jenis Vios yang dipandu suspek, dilaporkan disamun di Puchong pada 15 Nov lepas dan dipercayai telah digunakan dalam kes cubaan samun di Sungai Buloh pada 29 Nov lepas.

Dalam kejadian kira-kira 7.30 pagi semalam, suspek yang kebetulan bertembung dengan kereta peronda polis di Jalan Meru, Klang, enggan keluar dari kereta selepas diarahkan berbuat demikian sebelum bertindak melanggar seorang anggota polis menyebabkannya cedera di tangan.

Ekoran tindakan suspek itu, polis melepaskan tembakan dan terkena satu daripada tayar kereta yang dipandunya menyebabkan ia terbabas serta melanggar palang tempat letak kereta berhampiran sebelum ia terbalik.

Tembakan itu turut terkena pada paha kiri suspek, yang berasal dari Sungai Way, Petaling Jaya, dan dia kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.

Hasil siasatan pada kereta yang dipandunya, polis menemui dua batang kayu besbol, sebilah parang dan beberapa peralatan menagih dadah.

Mohd. Adnan berkata kira-kira sejam selepas ditahan, polis bertindak memeriksa sebuah hotel yang didiami suspek di kawasan Klang Utara, Klang, dan menemui seorang wanita berumur 18 tahun dipercayai teman wanita lelaki itu yang juga berasal dari Petaling Jaya.

"Dalam pemeriksaan di hotel itu polis turut menjumpai telefon bimbit, beberapa kunci kereta, komputer riba, jaket hitam dan sarung tangan. Suspek dan teman wanitanya kini direman selama tujuh hari sehingga 7 Dis ini," katanya. — Bernama

Full content generated by Get Full RSS.

Tun Rahah lancar buku koleksi rencana

Posted:

Tun Rahah lancar buku koleksi rencana

Tun Rahah lancar buku koleksi rencana

01/12/2011 6:35pm

KUALA LUMPUR — Ibu Perdana Menteri, Tun Rahah Tan Sri Mohd Noah hari ini melancarkan buku hasil nukilan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Datuk Aziz Jamaludin Mhd Tahir bertajuk Membumikan Erti Kasih Sayang.

Buku terbitan Yadim itu menghimpunkan 97 koleksi rencana tulisan Aziz Jamaluddin yang menyentuh mengenai kurangnya perasaan kasih sayang di kalangan masyarakat Islam masa kini.

Aziz Jamaluddin pada majlis pelancaran buku itu di Restoran Riverside, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) berkata, buku setebal 550 halaman itu bertujuan memberi pandangan kepada masyarakat Islam mengenai kasih sayang yang tepat, sesuai dan berkesan untuk dibangkitkan dalam sebuah kehidupan yang harmoni dan sejahtera agar kita tidak tergelincir daripada landasan akidah dan moral sebenar.

"Selain itu, ia juga berkisar tentang isu politik dalam dan luar negara, sosial dan ekonomi yang memberikan kesan terhadap umat Islam di negara ini serta negara lain seperti Indonesia, Kemboja, Myanmar dan Thailand," katanya.

Buku itu yang sesuai untuk bacaan semua peringkat umur dijual pada harga RM21 senaskah, dan untuk hari ini, RM1 daripada setiap pembelian akan disalurkan kepada Rumah Anak Yatim At-Taqwa Hulu Langat. — Bernama

Full content generated by Get Full RSS.

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Pelajar Malaysia di Indonesia dinasihat patuhi peraturan mengenai sijil penduduk

Posted: 01 Dec 2011 03:53 AM PST

JAKARTA: Pelajar-pelajar Malaysia dinasihatkan mematuhi peraturan Indonesia berkaitan kewajipan mendapatkan sijil penduduk dan dokumen pengenalan tempatan bagi mengelakkan dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa Indonesia.

Atase Pendidikan di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta Ludinata Misnun berkata mereka diberi penerangan mengenai perkara itu sebelum ini dan tidak seharus memandang ringan soal itu.

Beliau diminta mengulas peringatan oleh sepasukan pegawai Jabatan Pendaftaran Medan kepada beberapa mahasiswa Malaysia di Medan, Sumatera Utara semalam, kerana didapati tidak memiliki atau tidak membawa dokumen yang berkaitan.

Ketua jabatan itu Drs Darussalam Pohan memberi peringatan bahawa mahasiswa asing yang tidak memiliki atau tidak membawa dokumen berkenaan boleh dikenakan denda Rp100,000.


Darussalam berkata sikap mahasiswa asing seperti dari Malaysia yang menganggap tidak penting membawa dokumen itu, tidak seharusnya berlaku kerana mereka kini tinggal di negara lain.


"Jika tahun 2012, mereka yang berada di Indonesia tidak menguruskan Surat Keterangan Tempat Tinggal (SKTT) untuk orang asing, mereka boleh didenda Rp100,000 sesuai dengan Undang-undang No 23 tahun 2006 mengenai Pentadbiran Kependudukan," katanya sebagaimana yang dilaporkan media tempatan.

Undang-undang yang sama menyatakan bahawa orang asing yang sudah memiliki Izin Tinggal Tetap atau Izin Tinggal Terhad tetapi tidak membawa dokumen pengenalan yang dikeluarkan kepada mereka, juga boleh dikenakan denda Rp100,000.

Konsul Jeneral Malaysia di Medan Norlin Othman berkata pihaknya turut membantu menyelesaikan beberapa kes dokumen pengenalan bagi pelajar-pelajar Malaysia namun beliau berharap ejen-ejen pelajar itu dapat sentiasa membantu dalam urusan itu.

Beliau juga berharap Kerajaan Malaysia dapat menempatkan seorang pegawai hal ehwal pelajar di Medan bagi memantau pelajar-pelajar Malaysia di Medan dan sekitarnya, yang berjumlah hampir 1,500 orang. - Bernama

Full content generated by Get Full RSS.

Lelaki rempuh anggota polis disyaki terlibat 9 kes samun

Posted: 01 Dec 2011 03:48 AM PST

SHAH ALAM: Seorang lelaki yang ditembak dan ditahan selepas merempuh seorang anggota polis ketika diarahkan untuk menyerah diri di Jalan Meru, Klang dekat sini semalam, disyaki terlibat dalam sembilan kes samun di sekitar Selangor.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Mohd Adnan Abdullah berkata siasatan juga mendapati suspek berumur 23 tahun itu mempunyai tiga rekod jenayah lampau.

"Rekod jenayah itu membabitkan kes curi kenderaan di Sungei Way, Petaling Jaya dan samun sehingga mendatangkan kecederaan di Damansara Utama pada 2007 serta pemulihan akhlak selama 18 bulan di Simpang Renggam pada 2008.

"Sembilan kes samun itu membabitkan kawasan sekitar Kapar di Klang, Puchong, Sungei Way dan Damansara antara 2007 dan tahun ini," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini, hari ini.


Mohd Adnan berkata kereta jenis Vios, yang dipandu suspek, dilaporkan disamun di Puchong pada 15 November lalu dan dipercayai digunakan dalam kes cubaan samun di Sungai Buloh pada 29 November lalu.


Dalam kejadian kira-kira 7.30 pagi semalam, suspek yang kebetulan bertembung dengan kereta peronda polis di Jalan Meru, Klang, enggan keluar dari kereta selepas diarahkan berbuat demikian sebelum bertindak melanggar seorang anggota polis menyebabkannya cedera di tangan.

Ekoran tindakan suspek itu, polis melepaskan tembakan dan terkena satu daripada tayar kereta yang dipandunya menyebabkan ia terbabas serta melanggar palang tempat letak kereta berhampiran sebelum ia terbalik.

Tembakan itu turut terkena pada paha kiri suspek, yang berasal dari Sungai Way, Petaling Jaya, dan dia kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.

Hasil siasatan pada kereta yang dipandunya, polis menemui dua batang kayu besbol, sebilah parang dan beberapa peralatan menagih dadah.

Mohd Adnan berkata kira-kira sejam selepas ditahan, polis bertindak memeriksa sebuah hotel yang didiami suspek di kawasan Klang Utara, Klang, dan menemui seorang wanita berumur 18 tahun dipercayai teman wanita lelaki itu yang juga berasal dari Petaling Jaya.

"Dalam pemeriksaan di hotel itu polis turut menjumpai telefon bimbit, beberapa kunci kereta, komputer riba, jaket hitam dan sarung tangan. Suspek dan teman wanitanya kini direman selama tujuh hari sehingga 7 Disember ini," katanya. - Bernama

Full content generated by Get Full RSS.

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


‘Mujur 44 nyawa tak melayang’

Posted: 30 Nov 2011 11:47 AM PST

ALOR GAJAH: "Mujur saya tak panik apabila beberapa guru yang duduk di bahagian depan dan belakang saya menjerit dengan kuat apabila melihat sebuah kereta tiba-tiba muncul di satu selekoh tajam," kata Mohd Hafiz Ismail, 22, mengenai kemalangan membabitkan bas sekolah dipandunya dengan sebuah kereta di selekoh Kampung Telok Belanga, Kuala Sungai Baru, di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 4.50 petang itu, Mohd Hafiz bersama 44 penumpang termasuk 38 pelajar sekolah pendidikan khas dan enam guru pengiring mereka berdepan detik cemas akibat perlanggaran kuat itu yang turut menyebabkan pemandu kereta berusia 20-an parah apabila keretanya remuk teruk. Difahamkan, sebelum kejadian, bas sekolah terbabit dalam perjalanan ke Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) di Taman Desa Bayu, di sini, selepas mengadakan lawatan sehari di Jasin.


Menurut Mohd Hafiz, dia cuba memaut stereng ke kiri, namun belum sempat berbuat demikian kereta berkenaan yang datang dari arah Kuala Sungai Baru meluncur laju dan merempuh bahagian hadapan kanan bas.

"Beberapa guru yang duduk di bahagian hadapan menjerit kepada saya supaya mengelak dari terus melanggar kereta itu namun saya cuma mampu mengelak ke kiri jalan.


"Dalam keadaan cemas saya sedar di sebelah kiri jalan terdapat penghadang besi dan gaung, jika saya gagal kawal bas dengan baik berkemungkinan boleh meragut 44 nyawa yang ada dalam bas," katanya.


Katanya, akibat perlanggaran kuat itu beberapa pelajar berusia antara tujuh dan 12 tahun tersungkur di atas lantai dan di bawah kerusi manakala kereta berkenaan berpusing beberapa kali.

"Apabila berjaya memberhentikan bas dan memastikan semua penumpang selamat dan tidak cedera saya turun melihat keadaan pemandu kereta yang tidak sedarkan diri dan tersepit di tempat duduk sebelum dikeluarkan orang ramai dan dibawa ke Hospital Melaka untuk rawatan.


"Sementara itu, saya dan beberapa guru pengiring terpaksa menahan beberapa buah bas kilang untuk menghantar pelajar tadi pulang ke PDK yang terletak kira-kira lima kilometer dari lokasi kejadian," katanya.

Katanya, dia bersyukur kerana mereka semua terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan serius dalam kejadian itu.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Saharuddin, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kemalangan itu dan mengesahkan tiada kemalangan jiwa.


Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan saksi kejadian diminta tampil menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di talian 06-556 3222 atau mana-mana balai berhampiran bagi membantu siasatan.

Full content generated by Get Full RSS.

Pendera Nirmala macam ‘zombie’

Posted: 30 Nov 2011 11:37 AM PST

PUTRAJAYA: Suri rumah, Yim Pek Ha yang disabit kesalahan kerana menyebabkan kecederaan teruk terhadap pembantu rumahnya rakyat Indonesia, dimasukkan ke wad psikiatri Pusat Pakar Universiti Malaya (PPUM) akibat kemurungan, Mahkamah Rayuan diberitahu di sini, semalam.

Peguamnya, Datuk Jagjit Singh mengemukakan sepucuk surat daripada Prof Madya dan konsultan psikiatri hospital itu Dr Subash Kumar Pillai, menyatakan ibu empat anak itu mengalami kemurungan teruk dan beliau kini merawatnya.


Dalam surat itu, konsultan berkenaan menyatakan kini, Yim, 43, merasakan 'fikirannya sangat terganggu dan kemurungan' dan mengalami 'niat untuk membunuh diri'.

Konsultan itu berkata, sungguhpun Yim agak stabil, keadaannya bertambah teruk sejak beberapa minggu lalu.


Surat berkenaan menyatakan Yim dimasukkan ke hospital itu kelmarin.


Panel tiga anggota terdiri daripada Hakim Datuk Sulong Matjeraie, Datuk Azhar Ma'ah dan Datuk Clement Allan Skinner membenarkan permohonan peguamnya untuk menangguhkan perbicaraan rayuan beliau itu serta rayuan balas pendakwaan terhadap hukumannya tempoh dipenjarakan.

Sulong menetapkan 5 Mac depan bagi tarikh akhir perbicaraan.


Sementara itu, panel menolak permohonan pendakwaan untuk mengeluarkan waran tangkap terhadap Yim.

Timbalan Pendakwa Raya, Abazafree Mohd Abas membuat permohonan itu selepas membantah penangguhan itu atas alasan ini bukan pertama kali permohonan untuk menangguhkan atas sebab dia mengalami kemurungan.


Beliau berkata, tidak ada ketentuan dalam rayuan itu kerana ada kemungkinan Yim tidak menghadiri perbicaraan akan datang.


Jagjit kemudian memberitahu mahkamah kali terakhir beliau melihat Yim, beliau dalam keadaan 'zombie' selepas makan ubat.


"Ia persepsinya (Yim) bahawa dia tidak bersalah," kata Jagjit sambil menambah hukuman penjara terhadapnya menyebabkan dia kemurungan.


Yim menghadapi empat pertuduhan menyebabkan kecederaan teruk terhadap pembantu rumahnya, Nirmala Bonat di apartmennya di Villa Putera, Jalan Tun Ismail, Kuala Lumpur pada Januari, Mac dan April 2004.


Selepas perbicaraan, dia didapati bersalah dan dihukum penjara 18 tahun oleh Mahkamah Sesyen atas tiga kesalahan menyebabkan cedera teruk terhadap Nirmala menggunakan seterika panas dan air panas, tetapi dibebaskan atas empat pertuduhan yang menyebabkan kecederaan kepada pembantu rumah itu dengan cawan logam.


Dalam rayuannya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hukuman penjaranya dikurangkan kepada 12 tahun.


Mahkamah Tinggi mengekalkan sabit kesalahannya untuk pertuduhan pertama dan kedua, tetapi membebaskannya atas pertuduhan ketiga. Mahkamah Tinggi juga menolak dan membebaskan pertuduhan keempatnya kerana mematahkan hidung pembantu rumah itu dengan cawan keluli oleh Mahkamah Sesyen. — Bernama

Full content generated by Get Full RSS.