Utusan Online - Utara |
- PRU-13: Bukit Aman bantu P. Pinang
- Syarikat korporat dikagumi
- Polis Perak bakal lancar unit berbasikal
PRU-13: Bukit Aman bantu P. Pinang Posted: 06 Apr 2013 11:59 AM PDT Oleh MOHD. FIRDAUS ISMAIL PULAU PINANG 6 April - Sebanyak 800 anggota dan pegawai polis dari Bukit Aman dikerah ke negeri ini bagi membantu 5,390 anggota sedia ada sepanjang tempoh Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) berlangsung. Jurucakap Pilihan Raya Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, Asisten Komisioner Roslee Chik berkata, mereka akan ditempatkan di beberapa lokasi termasuk di 304 pusat mengundi, 1,545 pusat saluran mengundi, 13 tempat penamaan calon dan tempat penjumlahan undi. "Polis juga telah mengenal pasti beberapa kawasan yang dikategorikan sebagai 'panas' dan akan memaklumkan kepada media dalam masa terdekat," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini. Sementara itu, Roslee turut mengingatkan parti politik supaya mematuhi undang-undang bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini. "Sekarang peruntukan undang-undang yang terpakai adalah Akta Perhimpunan Aman 2012. Segala ceramah yang mahu dianjurkan mestilah membuat permohonan mengikut peruntukan di bawah akta ini. "Selepas sahaja penamaan calon sehingga hari mengundi, kita akan menggunakan Akta Pilihan Raya," katanya. Beliau menambah, bagi membolehkan orang ramai mendapat sebarang maklumat, pihaknya telah membuka enam bilik gerakan termasuk satu di IPK. "Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat tentang PRU-13 boleh menghubungi Pusat Kawalan Kontinjen Pulau Pinang di talian 04-2613125," katanya. |
Posted: 06 Apr 2013 11:59 AM PDT TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyaksikan pertukaran perjanjian persefahaman CSR Perlis antara Affendi Rajini Khan (kiri) dan Mazlan Nordin sambil diperhatikan oleh Azizan Hamid (dua dari kanan) di Kangar baru-baru ini. KANGAR 6 April - Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail kagum dengan langkah sektor korporat kerana amat bijak menjalinkan perkongsian pintar dengan kerajaan dan pelbagai agensi bagi membantu meningkatkan lagi taraf kehidupan masyarakat. Salah satu perkongsian bijak yang dimaksudkan oleh baginda ialah menerusi tanggungjawab sosial korporat Perlis (CSR Perlis) yang dilaksanakan oleh beberapa syarikat korporat untuk membantu golongan kurang berkemampuan. Titah baginda, pelaksanaan program CSR Perlis merupakan antara strategi penting ke arah memangkin pembangunan sosioekonomi negeri untuk menjadikan Perlis sebagai negeri yang berjaya membina kemajuan secara strategik. Baginda juga turut memuji syarikat korporat yang tidak melepaskan tanggungjawab sosial membantu golongan tidak berkemampuan agar tidak tercicir daripada arus pembangunan perdana negara. Tuanku Syed Faizuddin mengutarakan demikian sewaktu bertitah melancarkan Program Bantuan Peralatan Komunikasi Dan Peralatan Sokongan Pendidikan Kepada Pelajar-Pelajar Yang Kurang Berkemampuan di Negeri Perlis Tahun 2013 di Hotel Sri Malaysia di sini baru-baru ini. CSR Perlis itu dijayakan di bawah satu sekretariat yang diterajui oleh Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Azizan Hamid dengan kerjasama Dewan Usahawan Islam Malaysia (DUIM) dan syarikat swasta Gema Rebana Sdn. Bhd. (Gema Rebana). Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Yayasan Kebajikan Perlis, Affendi Rajini Khan dan COE Gema Rebana, Mazlan Nordin hadir sama. Raja Muda Perlis juga turut menyatakan kebanggaan baginda kerana negara ini memiliki banyak penyumbang ke arah menjayakan program CSR di semua negeri. Antara pihak yang dimaksudkan itu, termasuklah baitulmal majlis-majlis agama Islam negeri, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Yayasan Kebajikan Perlis, badan bukan kerajaan dan sektor korporat yang menyumbang secara berterusan. Tuanku Syed Faizuddin juga turut mengingatkan masyarakat agar sama-sama memastikan hanya golongan yang layak atau asnaf sahaja diberikan bantuan itu. "Ini kerana kumpulan sasar tersebutlah yang sepatutnya dibantu terlebih dahulu atau diberi perhatian serius," titah baginda. |
Polis Perak bakal lancar unit berbasikal Posted: 06 Apr 2013 11:59 AM PDT IPOH 6 April - Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak akan melancarkan unit rondaan berbasikal di semua Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di negeri itu dalam usaha mendekatkan diri bersama masyarakat. Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahlan erkata, selain mesra alam, langkah tersebut dapat memberikan lebih banyak masa untuk anggota polis berinteraksi bersama penduduk terutamanya di kawasan luar bandar. Sebenarnya di beberapa balai polis, sudah terdapat kumpulan berbasikal, namun hanya dijadikan sebagai satu hobi. Kita melihat ada keperluan untuk menggunakan basikal sebagai satu elemen rondaan kerana Perak merupakan negeri yang agak luas. Walaupun 85 buah motosikal berkuasa tinggi jenis Kawasaki Ninja 250 telah diluluskan untuk kegunaan Unit Rondaan Bermotor (URB) baru-baru ini tetapi kita percaya dengan pelancaran kumpulan berbasikal itu dapat menggalakkan pegawai mahupun Ketua Polis Daerah turun padang bertemu masyarakat," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan program kayuhan santai sempena Hari Polis Ke-206 di Mes Pegawai Kanan di sini hari ini. Semasa majlis tersebut, Mohd. Shukri turut melepaskan kumpulan berbasikal media Perak bagi mengutip sumbangan untuk keluarga anggota yang cedera dan terkorban di Ops Daulat. Mengenai perjalanan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), Mohd. Shukri berharap semua pihak termasuk individu serta parti politik dapat memberikan kerjasama secukupnya dalam melancarkan proses perjalanan pilihan raya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Utara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan