Khamis, 11 April 2013

Utusan Online - Pahang

Utusan Online - Pahang


RM175j projek naik taraf jalan

Posted: 11 Apr 2013 12:26 PM PDT

Oleh HARIS FADILAH AHMAD
pengarang@utusan.com.my

Abdul Rahman Mohamad (tengah) bersama-sama kontraktor meninjau kerja menaik taraf jalan menghubungkan Kechau Tui dan Kampung Relong di Kuala Lipis, baru-baru ini.

KUALA LIPIS 11 April - Kerajaan memperuntukkan RM175 juta untuk projek menaik taraf jalan Kechau Tui hingga ke Kampung Relong di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Padang Tengku tahun ini sejajar dengan transformasi luar bandar bagi daerah Lipis.

Ketua UMNO Bahagian Lipis, Datuk Abdul Rahman Mohamad berkata, jalan berkenaan antara sebahagian daripada pakej projek Central Spine Road (CSR) antara Kuala Lipis ke Merapoh sejauh 60 kilometer yang kini sedang dinaik taraf.

Beliau berkata, projek menerusi peruntukan Kerajaan Persekutuan itu bakal memberi keselesaan kepada pengguna jalan raya sekali gus dapat mengurangkan kemalangan di laluan berkenaan.

"Kerja menaik taraf kini sedang giat dilaksanakan bermula dari Merapoh sekali gus menzahirkan usaha kerajaan Barisan Nasional (BN) melestarikan pembangunan mengikut jadual selari dengan manifestasi kerajaan menjaga kebajikan rakyat.

"Projek berkenaan sekali gus 'menutup mulut' pembangkang yang kerap kali memfokus isu pembangunan untuk tujuan mempengaruhi rakyat," katanya ketika meninjau projek jalan di Kechau Tui di sini baru-baru ini.

Menurut beliau, kerajaan negeri mempunyai mekanisme yang tersusun untuk pembangunan luar bandar khususnya projek jalan utama di daerah ini yang menjadi perhubungan kenderaan dari Lembah Kelang berulang alik ke negeri Kelantan.

"Projek CSR yang telah bermula pada awal Rancangan Malaysia Ke-Sepuluh (RMK-10) beberapa tahun lalu di daerah Bentong dan menghubungkan ke daerah ini hingga ke Merapoh untuk keselesaan pemandu kenderaan serta mengurangkan kemalangan," ujarnya.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga memperuntukkan lebih RM35 juta untuk menaik taraf jalan raya fasa kedua dari Kampung Aur Gading ke Kampung Chegar Perah dan Sungai Temau tiga tahun lalu yang kini telah digunakan oleh penduduk kawasan berkenaan.

Abdul Rahman yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku berkata, laluan itu merupakan perhubungan alternatif dari pekan Sungai Koyan melalui Bukit Kota, Aur Gading melalui Chegar Perah seterusnya ke Merapoh untuk mengurangkan kesesakan jalan Lipis-Merapoh.

UTC Pahang tingkat kualiti, kecekapan perkhidmatan

Posted: 11 Apr 2013 12:26 PM PDT

KUANTAN 11 April - Pusat Transformasi Bandar (UTC) Pahang merupakan pendekatan kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam meningkatkan kualiti dan kecekapan perkhidmatan kerajaan supaya rakyat lebih mudah berurusan dan menjimatkan masa.

Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, UTC Pahang merupakan idea Perdana Menteri di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) dalam menyediakan pelbagai perkhidmatan utama kerajaan dan sektor swasta di dalam satu pusat sehenti atau bangunan.

"Pada hari ini, kita dapat lihat bangunan UTC Pahang ini menempatkan pelbagai jabatan kerajaan dan swasta. Langkah ini pasti akan memudahkan orang ramai untuk menyelesaikan banyak masalah.

"Saya juga telah menjadi pelanggan pertama UTC ini untuk memperbaharui kad pengenalan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis perasmian UTC Pahang yang disempurnakan Perdana Menteri di sini hari ini.

Adnan berkata, rakyat terutama di Kuantan perlu bersama-sama menghebahkan kepada umum bahawa Pahang sudah memiliki UTC.

"Untuk UTC ini, pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri akan mengedarkan risalah-risalah kepada seluruh rakyat di negeri ini bagi memberikan penerangan tentang UTC dan perkhidmatan yang disediakan di sini," katanya.

Menurutnya, beliau tidak menolak kemungkinan UTC akan turut dibina di daerah-daerah lain di negeri ini.

"Selain UTC ini, kerajaan sebelum ini telah memperkenalkan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) yang dilaksanakan di RTC Kuala Pahang.

"Kerajaan pastinya akan memperluaskan perkhidmatan yang dapat memberikan kemudahan kepada rakyat bukan sahaja di bandar, malah di kawasan luar bandar," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan