Ahad, 14 April 2013

Utusan Online - Politik

Utusan Online - Politik


Saya masih Setiausaha Agung Pas - Mustafa Ali

Posted: 14 Apr 2013 12:20 PM PDT

KUALA TERENGGANU 14 April - ''Saya masih lagi Setiausaha Agung Pas," ujar Datuk Mustafa Ali secara ringkas kepada Utusan Malaysia petang semalam ketika ditanya sama ada beliau akan melepaskan jawatan ekoran tersebarnya dakwaan video seks yang dikaitkan dengannya.

Mustafa terus mengambil sikap mengunci mulut berhubung isu itu ketika desakan juga mula kedengaran agar beliau 'direhatkan' dan pucuk pimpinan perlu menyiasat kebenaran dakwaan itu di samping memintanya bersumpah bagi menafikan perkara tersebut.

Sehari sebelum itu, Mustafa yang hadir dalam majlis perasmian Markas Pemuda Pas cawangan Dewan Undangan Negeri Paka, di Dungun sebelum bergegas ke satu lagi ceramah di Kampung Molek dalam daerah yang sama hanya menyentuh sedikit mengenai soal itu.

Di hadapan kira-kira 100 orang ahli dan penyokong di markas itu, di penghujung ucapannya beliau yang kelihatan sebagaimana biasa, sepintas lalu menyentuh isu yang mula meledak di ruang siber, di dalam blog-blog dengan polemik yang hangat.

Mustafa menjadikan UMNO sebagai sasaran yang didakwanya bertanggungjawab membuat fitnah terhadapnya dengan menggunakan media arus perdana bagi menyebarkan pembohongan.

Mustafa seterusnya mengulangi kenyataannya sebelum ini yang beliau menyerahkan kepada peguamnya, Asmuni Awi dan Hanifah Maidin melalui Tetuan Awi & Co. untuk mengambil tindakan selanjutnya.

"Saya malas layan kat media ini sebab pelawok (penipu). Ada pula antara blog-blog yang kata bahawa saya letak jawatan sebagai setiausaha agung (Pas) kerana isu video ini.

"Saya hidup lagi ini, (masih) Setiausaha Agung Pas lagi. Tidak jadi kudis gatal pun dengan perkara itu. Saya dah faham surat khabar," jelasnya.

Beliau berkata, semua dakwaan berkaitan VCD seks yang mengaitkan beliau itu sebagai bukti UMNO kian terdesak menjelang menghadapi pilihan raya umum kali ini.

Sehubungan itu, beliau menyerahkan kepada para peguamnya berhubung pendedahan dan pembikinan VCD itu untuk tindakan lanjut.

Beliau terus mengelak untuk mengulas lanjut mengenai dakwaan itu sebaik sahaja diajukan soalan daripada para pemberita.

"Sudah-sudah, saya dah bagi tahu, saya tak nak cakap apa-apa. Saya dah serah kepada peguam, itu saja.

"Not worth commenting (Tidak berbaloi untuk bagi komen)," katanya lalu masuk ke dalam kenderaan sebelum beredar.

Hadi: Mustafa sudah lama sakit lutut dan solat atas kerusi

Posted: 14 Apr 2013 12:20 PM PDT

KOTA SAMARAHAN 14 April - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang terus mempertahankan orang kanannya, Datuk Mustafa Ali dan memberitahu video seks yang menampilkan lelaki mirip setiausaha agung parti itu sebagai tidak tulen.

Abdul Hadi turut mendakwa watak itu dilakonkan oleh orang lain dan membidas pihak yang 'mengarah' video tersebut sebagai tidak tahu latar belakang Mustafa.

Dakwanya, Mustafa sebenarnya sakit lutut dan sudah beberapa tahun terpaksa solat di atas kerusi.

"Nak cari pelakon, carilah yang gagah dan kuat sikit (ketawa), nak turun tangga pun (Mustafa) sakit (lutut), nak sembahyang pun atas kerusi.

"Apabila kami dapat tahu berita ini kami pun nak tergelak, macam mana orang yang sembahyang di atas kerusi ini boleh jadi pelakon (ketawa).

"Kalau nak iklan ubat (guna Mustafa), tidak laku ubat itu, carilah yang gagah-gagah (ketawa)," katanya dalam sidang akhbar di Markas Pas Kota Samarahan di sini hari ini.

Beliau mengulas penyebaran rakaman video seks lelaki mirip Mustafa bersama seorang wanita dalam sebuah bilik yang dikesan disebarkan menerusi laman blog.

Video berkenaan sebelum ini dikatakan sudah disebarkan dalam bentuk cakera padat video (VCD) di sekitar Besut, Terengganu, pada Khamis lalu.

Sementara itu, Abdul Hadi yang ditanya tentang kesan penyebaran video itu berkata, ia tidak akan menjejaskan Pas dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), sebaliknya menambahkan sokongan rakyat.

"Rakyat tahu peringkat (hal) yang sebenar, Allahuakhbar," katanya.

Mengulas sama ada video itu perbuatan sabotaj daripada kem Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Anwarinas di dalam Pas, katanya, beliau tidak tahu perkara yang 'ghaib'.

"Benda yang ghaib ini hanya Allah yang tahu, maka saya hukum apa yang saya tahu sahaja.

"Saya buat kenyataan Jumaat lalu dan serahkan pada Allah yang tentukan," katanya.

Pada Oktober 2009, nama Mustafa pernah disenaraikan oleh Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bersama Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa dan Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hassan Ali sebagai pemimpin bermasalah yang perlu disingkirkan melalui Muktamar Agung Khas (EGM).

Daripada tiga nama itu, hanya Mustafa yang masih memegang jawatan utama manakala Hassan telah disingkirkan dan Nasharuddin pula hanya kekal sebagai ahli biasa Pas.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan