Jumaat, 12 April 2013

Utusan Online - Politik

Utusan Online - Politik


Suara anak muda didengar

Posted: 12 Apr 2013 11:36 AM PDT

Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED, HUSSAINI AMRAN dan SOFIAN BAHAROM
pengarang@utusan.com.my

Najib Tun Razak melambaikan tangan kepada lebih 7,000 generasi baru yang hadir pada program Suara Generasiku di Dewan Seri Putra, Kompleks Sukan Bukit Jalil, semalam. - uTUSAN/ Hafiz Johari

KUALA LUMPUR 12 April - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, generasi muda kini seharusnya tidak terlibat dalam demonstrasi jalanan atau gerakan menjatuhkan kerajaan kerana suara serta kehendak mereka sentiasa mendapat perhatian kerajaan Barisan Nasional (BN).

Menurut Perdana Menteri, golongan itu juga tidak mempunyai sebab berasa dipinggirkan kerana pelbagai platform dan saluran telah disediakan untuk mereka menyuarakan isi hati masing-masing.

Malah jelasnya, menerusi aku janji BN yang dilancarkan baru-baru ini, anak-anak muda tidak terkecuali mendapat pembelaan kerajaan dan perkara itu akan berterusan jika BN diberi mandat baharu oleh rakyat dalam pilihan raya umum nanti.

''Oleh itu, tiada sebab orang muda hari ini perlu berdemonstrasi jalanan, menuntut supaya dilakukan sesuatu perubahan dengan menjatuhkan kerajaan sedia ada. Tiada sebab mereka rasa bahawa mereka tidak dibela. Sebab hari ini kita telah beri ruang yang luas kepada mereka.

''Kita tampil dengan proses amalan demokrasi yang terbuka dan liberal. Kita telah pinda Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) supaya golongan muda boleh bergerak aktif dalam politik. Kita juga akan menyediakan 3.3 juta peluang pekerjaan termasuk bantuan lain seperti baucar buku, Bantuan Rakyat 1Malaysia, rumah mampu milik dan skim-skim latihan lain,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan gerakan Suara Generasiku yang memberi peluang golongan belia menyuarakan aspirasi mereka kepada kerajaan di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil, dekat sini hari ini.

Najib memberitahu, selaku kerajaan yang dibarisi generasi terdahulu, pemikiran 'lebih dahulu makan garam' iaitu kerajaan mengetahui segala-galanya bukannya amalan kerajaan kini.

''Kita tak ambil sikap sedemikian. Sebaliknya kita sedar dan menginsafi bahawa mereka membesar dalam keadaan serta suasana dalam negara dan persekitaran berbeza. Mereka menerima unsur-unsur luar sama ada secara fizikal mahupun alam maya yang menjadikan pembentukan, cita rasa dan nilai mereka berbeza.

''Oleh itu, kalau kita mengambil sikap bahawa apa yang patut kita lakukan mesti diperturunkan, ini merupakan pendekatan ortodoks atau konvensional. Saya tak setuju,'' tegasnya.

Atas dasar itu, beliau merasakan adalah lebih baik kerajaan membangunkan cara-cara dan saluran yang baharu supaya segala kehendak generasi muda dapat diberikan pertimbangan sewajarnya oleh kerajaan.

''Sesuai dengan perubahan itu, kita adakan pelbagai inisiatif. Terbaharu kita lancarkan 1Malaysia for Youth (1M4U) untuk membangunkan semangat sukarelawan anak muda dan inisiatif lain yang membawa harapan.

Bercakap mengenai Suara Generasiku, jelas Najib, platform baharu itu akan digerakkan ke seluruh negara bagi menerbitkan suara anak muda yang cintakan keamanan, kestabilan dan kemajuan.

''Bukannya suara yang mahukan huru-hara dan kerosakan tetapi suara yang inginkan masa depan yang lebih hebat,'' tambahnya.

Terdahulu dalam majlis sama, Najib menyerahkan watikah pelantikan pelumba negara, Fairuz Fauzy dan pemain badminton negara, Hafiz Hashim selaku Duta Suara Generasiku.

Sementara itu, Presiden Gerakan Belia gagasan 1Malaysia (GBG1M), Shahrul Nasrun Kamarudin menganggap program itu sebagai platform terbaik bagi golongan belia menyuarakan pandangan kepada kerajaan.

Beliau berkata, generasi muda bebas menyuarakan idea, harapan, cita-cita dan kritikan yang boleh menyumbang kejayaan negara.

Menurut beliau, bagi menjayakan matlamat itu, GBG1M akan melancarkan program jelajah Suara Generasiku ke seluruh negara yang bermula di Johor Bahru, Johor pada 20 April ini.

---

''Kita memberi tumpuan kepada kawasan luar bandar agar suara golongan belia di desa dan kawasan pedalaman dapat didengari oleh kerajaan.

''Kesemua pandangan dan kritikan yang dikumpulkan seterusnya akan dipamerkan dalam Facebook 'Suara Generasiku,'' katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran program Suara Generasiku.

Yang turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Lebih 5,000 belia pelbagai kaum hadir pada majlis pelancaran tersebut yang dimeriahkan dengan persembahan bertenaga oleh artis-artis terkenal tanah air termasuk Cat Farish, One Nation Emcees dan Black Mentor.

Shahrul Nasrun menambah, kemuncak program Suara Generasiku ialah penganjuran konsert secara besar-besaran yang menghimpunkan lebih 100,000 belia pada November ini.

BN pilih calon berdedikasi, ambil berat masalah rakyat

Posted: 12 Apr 2013 11:36 AM PDT

KUALA LUMPUR 12 April - Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kesemua calon yang dinamakan pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) untuk mewakili BN, adalah anggota parti yang begitu berdedikasi dan mengambil berat terhadap masalah rakyat.

Justeru, beliau berharap agar rakyat meluangkan masa mengenali calon-calon itu dengan lebih dekat, mengetahui perubahan yang ingin dibawa dan wawasan mereka terhadap kawasan yang diwakili serta negara secara keseluruhannya.

"Dalam lebih tiga minggu lagi kita sama-sama akan dapat bertindak bagi menentukan perjalanan negara kita seterusnya.

"Sekiranya keamanan dan kemajuan yang anda inginkan, maka teruslah menyokong BN kerana sepanjang lima tahun lalu, kami sudah pun membuktikan yang program transformasi telah berjaya membawa kemajuan kepada Malaysia," katanya dalam blog www.1malaysia.com.my.

Najib berkata lebih banyak program transformasi boleh direalisasikan sekiranya BN diberi mandat dan kepercayaan untuk meneruskan menerajui negara.

Dalam pada itu, Najib berkata dalam meneruskan tradisi menepati janji membawa harapan, BN telah mengumumkan manifesto atau Akujanji kepada rakyat untuk tempoh pentadbiran seterusnya.

Katanya manifesto itu boleh dilihat dalam bentuk paparan grafik di laman blog www.1malaysia.com.my dan berharap rakyat dapat berkongsi maklumat dengan keluarga dan rakan-rakan mereka.

Di samping itu, Najib berkata BN telah melancarkan Kit Tindakan Online yang boleh dimuat turun sebagai tanda sokongan secara online kepada parti itu.

"Dengan sokongan itu, kita dapat bersama-sama memastikan impian kita semua untuk melihat Malaysia menjadi sebuah negara yang aman, maju dan makmur pada masa akan datang dapat dicapai," katanya. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan