Khamis, 25 April 2013

Utusan Online - Politik

Utusan Online - Politik


Kit Siang sokong Karpal Singh

Posted: 25 Apr 2013 01:09 PM PDT

Oleh HISYAMUDDIN AYUB
pengarang@utusan.com.my

KOTA KINABALU 25 April - Pengerusi DAP, Karpal Singh mendapat sokongan padu dalam usahanya menentang hasrat Pas melaksanakan hukum hudud di negara ini selepas Penasihat DAP, Lim Kit Siang turut mengulangi pendirian sama.

Malah, Kit Siang turut menempelak hasrat Pas yang masih berkhayal mahu melaksanakan hukum itu dengan menyifatkan sesuatu undang-undang di negara ini hanya boleh dilaksanakan jika merupakan amalan kebiasaan dalam kalangan rakyat dan diterima semua pihak.

"Kami sangat jelas berhubung perkara ini seperti mana yang telah dibincangkan sebelum ini yang mana amalan ini akan hanya dilaksanakan jika merupakan amalan biasa dalam komuniti," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Kenyataan Kit Siang itu sekali gus menyokong pendirian Karpal semalam yang menolak pelaksanaan hukum hudud Pas di negara ini kerana menyifatkan tidak ada keperluan ke arah pelaksanaannya.

Pendirian Kit Siang dan Karpal itu bercanggah dengan kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr. Haron Din yang turut bertegas melaksanakan hukum hudud sekiranya pembangkang menguasai Putrajaya.

Menurut Kit Siang, pertelagahan mengenai isu itu tidak seharusnya timbul semula kerana sudah difahami sepenuhnya semua pemimpin pembangkang sebelum ini.

Nalla rayu tolak pembangkang

Posted: 25 Apr 2013 01:09 PM PDT

Oleh RAJA SYAHRIR ABU BAKAR
syahrir.bakar@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 25 April - Bekas rakan karib Datuk Seri Anwar Ibrahim selama 30 tahun, Datuk S. Nallakaruppan merayu rakyat agar tidak memilih pakatan pembangkang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) bagi memastikan negara terus harmoni dan selamat.

Beliau dengan ikhlas mengingatkan rakyat bahawa Anwar yang terpalit dengan pelbagai isu moral tidak akan sesekali mampu mentadbir negara dengan baik kerana Ketua Pembangkang itu sejak dahulu mempunyai agenda peribadi untuk berkuasa sebagai Perdana Menteri.

"Sebaliknya, rakyat perlu terus menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang berjaya melakukan pelbagai transformasi dalam negara dan menjaga kepentingan semua kaum serta kepercayaan.

"Najib baru empat tahun mentadbir negara, namun telah melakukan banyak perubahan berbanding Anwar yang hanya pandai berjanji tetapi tidak melakukan apa-apa sewaktu berkuasa sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, dia hanya cakap kosong," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Anwar dalam satu majlis di Johor Bahru memberitahu beliau akan bersara dari politik jika pembangkang tewas pada PRU-13 dan mungkin menerima tawaran untuk mengajar di institusi pengajian tinggi di Eropah.

Kenyataan terbaharu Anwar membuktikan Ketua Pembangkang itu menyedari beliau tidak layak menjadi Perdana Menteri.

Selain itu, Penasihat DAP, Lim Kit Siang juga dilaporkan hanya menyebut nama Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai Perdana Menteri pembangkang dan bukannya Anwar, dalam satu ceramah di Johor baru-baru ini menimbulkan persoalan dalam masyarakat.

Dalam pada itu, Nallakaruppan yang juga Presiden Parti India Bersatu Malaysia (MIUP) memohon Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerima serta mengiktiraf MIUP sebagai sebuah parti komponen BN.

Katanya, ini kerana MIUP merupakan sebuah parti mesra BN dan telah lama berkhidmat bersama parti pemerintah itu dalam memberikan khidmat kepada masyarakat khususnya kaum India.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan