Utusan Online - Kota |
- Bukti komitmen kerajaan BN
- DBKL laksana baik pulih tebing sungai runtuh
- 40 anak yatim terima peralatan sekolah
Posted: 08 Apr 2013 12:55 PM PDT Oleh HASHNAN ABDULLAH RAJA Nong Chik Raja Zainal Abidin (depan) memotong reben sebagai simbolik pelancaran Dasar Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan di Putrajaya, semalam. - UTUSAN/SYEFRY MONIZ PUTRAJAYA 8 April - Dasar Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (Rumawip) yang dilancarkan hari ini merupakan komitmen kerajaan bagi memastikan golongan pertengahan dan bawahan mampu memiliki rumah sendiri di Wilayah Persekutuan menjelang 2017. Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, usaha itu selaras dengan langkah Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar untuk membina 30,000 unit rumah di WP dalam tempoh lima tahun akan datang. "Pembinaan itu membabitkan 20,000 unit di Kuala Lumpur, 8,000 unit di Putrajaya manakala baki 2,000 unit di Labuan. "Difahamkan projek tersebut akan dimulakan tiga hingga empat bulan lagi," katanya kepada pemberita selepas melancarkan dasar Rumawip di sini. Turut hadir Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Adnan Md. Ikhsan. Pada bulan lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan kerajaan akan membina 80,000 unit rumah mampu milik untuk golongan berpendapatan sederhana di Lembah Klang bermula tahun ini. Daripada jumlah itu, 30,000 unit rumah akan dilaksanakan di bawah program Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar. Raja Nong Chik berkata, dasar itu dirangka memandangkan jumlah penduduk yang menyewa di Kuala Lumpur hampir 50 peratus, Putrajaya 89.8 peratus dan 36.1 peratus di Labuan. Beliau berkata, langkah juga sejajar dengan kajian oleh Jabatan Perangkaan Malaysia yang mendapati 58 peratus daripada jumlah isi rumah di Wilayah Persekutuan Kuala tergolong di bawah berpendapatan RM5,000 dan ke bawah. "Umum sedia maklum bahawa kos pembangunan perumahan di Wilayah Persekutuan adalah tinggi disebabkan kekurangan tanah untuk pembangunan terutama di Kuala Lumpur dan Putrajaya. "Di samping itu, kos tanah dan penyediaan infrastruktur akan meningkatkan lagi kos pembangunan dan oleh itu, pembeli menanggung beban harga rumah yang tinggi dan kos sampingan seperti guaman, duti setem dan penyelenggaraan perumahan serata," katanya. Beliau berkata, melalui dasar itu, rumah mampu milik di Wilayah Persekutuan untuk golongan isi rumah yang berpendapatan bulanan RM6,000 dan ke bawah merupakan pemilikan pertama dengan harga jualan RM300,000 dan ke bawah. Katanya, terdapat tiga jenis kategori rumah iaitu harga rendah, sederhana rendah dan sederhana. "Bagi memastikan dasar ini ditadbir dengan cekap dan terancang, dicadangkan agar diwujudkan satu agensi khas bagi merancang dan mengawal selia Rumawip. "Agensi itu juga bertindak sebagai pusat pendaftaran dan mengawal hal ehwal yang berkaitan dengan Rumawip," katanya. |
DBKL laksana baik pulih tebing sungai runtuh Posted: 08 Apr 2013 12:55 PM PDT CHIEW Lian Keng (lima kanan) bersama penduduk melihat kerja-kerja baik pulih tebing sungai yang runtuh di PPR Raya Permai, Kuala Lumpur, baru-baru ini. - Utusan/Hafiz Johari KUALA LUMPUR 8 April - Kebimbangan kira-kira 1,000 keluarga di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Raya Permai, terhadap ancaman tebing runtuh yang berlaku awal Februari lalu bakal berakhir. Ini berikutan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) giat melaksanakan kerja-kerja baik pulih tebing berkenaan. Pengerusi MCA Bandar Tun Razak, Senator Chiew Lian Keng berkata, runtuhan tebing berdekatan padang permainan perumahan itu menimbulkan kebimbangan penghuni terutama dalam kalangan kanak-kanak. Menurutnya, selepas menerima aduan penduduk berkaitan masalah itu pihaknya terus melaporkan kepada DBKL. "Kami berterima kasih kepada DBKL kerana bertindak dengan segera membaiki tebing tanah runtuh itu. "Tindakan pantas pihak bertanggungjawab sekurang-kurangnya memberi kelegaan kepada penghuni," katanya ditemui ketika mengadakan lawatan ke lokasi baru-baru ini. Yang turut hadir, Ketua Pemuda MCA Bandar Tun Razak, Tan Kok Eng dan Ketua Biro Ekonomi MCA Bandar Tun Razak, Datuk Dr. Prof. Chin Yew Sin. Lian Keng berkata, kerja-kerja baik pulih tebing itu sepatutnya siap pada awal bulan ini, namun tertangguh disebabkan keadaan cuaca yang tidak menentu. "Kerja-kerja baik pulih ini dijangka selesai pada Mei depan,'katanya. Sementara itu, Kok Eng berkata, tindakan pantas DBKL melaksanakan kerja-kerja baik pulih di kawasan itu membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap rakyat. Katanya, apa yang diharapkan pelbagai masalah yang dihadapi penduduk di situ juga dapat diselesaikan. "Salah satu daripadanya masalah talian tetap telefon yang dihadapi penduduk sejak PPR Raya Permai dibuka. "Kami berharap pihak bertanggungjawab dapat menyelesaikan masalah tersebut demi keselesaan dan kesejahteraan penghuni," katanya. |
40 anak yatim terima peralatan sekolah Posted: 08 Apr 2013 12:55 PM PDT KUALA LUMPUR 8 April - Seramai 40 kanak-kanak dari rumah anak-anak yatim dan miskin sekitar Bangi menerima bantuan berjumlah RM10,000 bagi membeli peralatan sekolah tambahan . Timbalan Naib Canselor Universiti Tenaga Nasional (Uniten), Prof. Ir. Dr. Kamal Nasharuddin Mustapha berkata, bantuan tersebut yang disalurkan melalui Islamic Relief Malaysia (IRM), telah diagihkan kepada kanak-kanak tersebut sebanyak RM200 setiap seorang. "Melalui proses ini, kanak-kanak terlibat dibawa membeli-belah bersama 10 orang sukarelawan dilantik di kedai barangan peralatan sekolah yang terpilih,"katanya selepas majlis perasmian program Uniten-YCU Cheer to School di sini. Yang turut hadir Pengarah Negara IRM, Zairulshahfuddin Zainal Abidin, Pengurus Yayasan Canselor Universiti Tenaga Nasional, Wan Zain Zakaria, Yang Dipertua Pertubuhan Ibu Tunggal Rangkaian Hati (Pitrah) Khadijah Masrah dan Pengarah Eksekutif Kumpulan Uniform Gallery, Roslan Hassan. Tambahnya, selain melaksanakan tanggungjawab sosial, kerjasama ini bertujuan menerapkan kepentingan 'ingin ke sekolah' dalam kalangan kanak-kanak tersebut. "Amat penting untuk kita tanamkan dalam minda kanak-kanak ini bahawa tidak ada apa yang boleh menghalang mereka untuk ke sekolah walaupun kemiskinan membelenggu. "Oleh itu, pihak kami akan meneruskan program-program seperti ini pada masa akan datang dengan harapan lebih banyak penyertaan dari pertubuhan lain," katanya. Jelasnya, pihak Uniten akan meneruskan kerjasama dengan IRM bagi mewujudkan aktiviti berkaitan pembelajaran seperti menubuhkan kelas-kelas tuisyen dan bengkel kemahiran untuk mereka yang tidak berkemampuan. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Kota To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan