Rabu, 10 April 2013

Utusan Online - Selatan

Utusan Online - Selatan


KAYM platform lahir pakar aeronautik

Posted: 09 Apr 2013 01:22 PM PDT

Oleh AMRAN MULUP
utusanmelaka@utusan.com.my

Saroni Judi (kanan) sambil disaksikan oleh Ahmad Zahid Hamidi bertukar dokumen perjanjian dengan Ismail Asha'ari pada majlis menandatangani MoU antara KAYM dengan SAS di Langkawi, baru-baru ini.

MELAKA 9 April - Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka (KAYM) mula mengorak langkah untuk melahirkan modal insan berkemahiran dan pakar dalam bidang penerbangan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Saroni Judi berkata, bagi tujuan tersebut, KAYM akan bekerjasama dengan sebuah syarikat bumiputera yang terlibat dalam bidang berkenaan iaitu Systematic Aviation Services Sdn. Bhd. (SAS).

Menurutnya, bidang pengajian Aeronautik yang ditawarkan di KAYM menjadi program terkini yang semakin mendapat perhatian para pelajar dan ibu bapa dalam usaha memajukan industri penerbangan negara ke peringkat lebih tinggi.

"Ini merupakan langkah positif KAYM bagi merealisasikan hasrat menjadikan kolej ini sebagai pusat latihan kepakaran dalam bidang penyelenggaraan enjin pesawat yang dapat menawarkan tenaga pakar dan mahir kepada syarikat-syarikat penerbangan tempatan dan antarabangsa," katanya.

KAYM menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan SAS sewaktu Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2013 yang berakhir bulan lalu.

Pada majlis tersebut, di Dewan Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC), Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyaksikan majlis menandatangani antara Saroni dengan Ketua Pegawai Eksekutif SAS, Ismail Asha'ari.

Saroni berkata, melalui perjanjian tersebut, kedua-dua pihak akan bekerjasama dalam memberikan latihan kepakaran dan kemahiran kepada bakal-bakal jurutera penyelenggara pesawat.

Beliau berkata, usahasama dengan SAS ini dilihat amat bermakna terutama para pelajar yang mengikuti kursus lesen jurutera penyelenggara pesawat (AML) bagi menimba ilmu pengetahuan dan pengalaman semasa menjalani latihan praktikal.

"Industri penerbangan, terutamanya sektor penyenggaraan dan pembaikan sentiasa memerlukan tenaga kerja yang dinamik, berkemahiran dan profesional untuk menangani pertumbuhan pesat industri tersebut," katanya.

Ujarnya, Malaysia memerlukan lebih ramai jurutera penerbangan berlesen, KAYM berazam untuk terus memberikan komitmen bagi menggalas peranan dalam memberikan pendidikan dan latihan kepada bakal-bakal juruteknik dan jurutera pesawat.

BLISS eratkan hubungan penduduk, USIM

Posted: 09 Apr 2013 01:22 PM PDT

Sebahagian kanak-kanak dari Taman Nilai Perdana yang menyertai bengkel celik solat menerusi program Belia Islam Selamat dan Sejahtera anjuran USIM di Taman Nilai Perdana, Nilai, Negeri Sembilan, baru-baru ini.

SEREMBAN 9 April - Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) memperluaskan aktiviti kemasyarakatannya menerusi penganjuran program Belia Islam Selamat dan Sejahtera (BLISS) yang diadakan bersama penduduk Taman Nilai Perdana, Nilai, dekat sini baru-baru ini.

Program anjuran penuntut yang menganggotai Pembimbing Rakan Universiti (PRU) USIM itu merupakan kerjasama antara Kawasan Rukun Tetangga (KRT) penduduk taman berkenaan.

Pengarah program, Syazwani Salleh berkata, objektif pelaksanaan program tersebut bertujuan untuk berkongsi ilmu, selain mengeratkan hubungan antara penduduk dengan penduduk sekitar.

''Pelbagai program telah diatur bersama penduduk kawasan berkenaan seperti bengkel membuat kek, jahitan manik, caklempong dan celik solat.

''Kami amat berbesar hati menerusi sambutan serta penyertaan daripada penduduk setempat yang meliputi pelbagai peringkat umur," katanya di sini baru-baru ini.

Syazwani berkata, pihaknya berharap untuk meneruskan program tersebut pada masa akan datang berikutan respons penduduk yang amat menggalakkan.

Sementara itu, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng, Mustafa Salim memberitahu, usaha pihak USIM untuk mendekati masyarakat melalui program komuniti sedemikian amat dihargai dan dialu-alukan.

''BLISS menjadi salah satu platform bagi warga universiti untuk berkongsi kemahiran dan ilmu bersama penduduk setempat yang pastinya memberikan manfaat bersama," ujarnya.

Dalam pada itu, sebanyak 10 peserta berusia sembilan hingga 17 tahun terpilih untuk mengikuti bengkel kesenian alat muzik Negeri Sembilan iaitu permainan caklempong.

Bengkel berkenaan akan diadakan berasingan bertempat di kampus universiti itu yang dikendalikan oleh Urus Setia Kebudayaan Pelajar USIM.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan